Perodua saran utamakan keselamatan kepada semua


Perodua telah menganjurkan program keselamatan jalan raya selama sebulan untuk 8,000 kakitangannya. Inisiatif selama sebulan ini adalah sebagai peringatan kepada para pengguna jalan raya mengenai peraturan asas serta tip keselamatan berguna yang mampu menjimatkan masa dan wang ketika dalam perjalanan pulang untuk bertemu keluarga tersayang. Hampir 7,000 dari pekerja mereka telah pulang ke kampung halaman masing-masing di musim perayaan ini.

"Perjalanan pulang semasa musim perayaan adalah lebih mencabar kerana terdapat banyak kenderaan di atas jalan raya. Pada ketika itu, adalah penting untuk kita terus bertenang, berwaspada dan berhemah ketika memandu," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.


Program keselamatan ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kempen Keselamatan Jalan Raya Perodua yang dilancarkan pada Oktober 2017, sebuah projek selama 5 tahun bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai kepentingan peraturan asas jalanraya bagi mengelakkan sebarang kemalangan berlaku.

Intipati utama program ini adalah untuk menggalakkan penggunaan tali pinggang keledar, menggunakan isyarat membelok, penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak dan tidak menggunakan telefon mudah alih ketika memandu.

"Kami percaya pendidikan harus bermula daripada rumah dan oleh sebab itu Kempen Keselamatan Jalan Raya Perodua lebih menumpukan kepada mendidik masyarakat kita tentang pentingnya peralatan keselamatan di kenderaan mereka serta memupuk amalan memandu secara selamat dan berhemah.

"Kami percaya melalui contoh yang diteladani dan kami berharap semua pemandu Malaysia juga dapat menerima dan menyambutbaik seruan kami dalam menjadikan Malaysia jalan raya paling selamat di rantau ini," kata Datuk (Dr) Aminar.


 Program keselamatan dalaman Perodua bermula sebulan yang lalu dengan penganjuran kursus selama dua hari oleh Persatuan Keselamatan Jalan Raya dan Pengangkutan Malaysia pada 15hb dan 16hb Mei. Sebanyak 69 pekerja telah didedahkan dengan pelbagai topik keselamatan termasuk punca utama kemalangan dan prosedur pra-pemeriksaan kenderaan yang betul.

Selain itu, dalam memastikan motosikal milik kakitangan berada dalam keadaan baik sebelum cuti Raya, pemeriksaan percuma telah dilakukan pada 6hb Jun. Sebanyak 47 buah motosikal telah diperiksa yang mana pemilik akan dimaklumkan mengenai sebarang kerosakan sekiranya ada dan diminta untuk memperbaikinya dengan kadar segera.

Perodua juga turut menjalankan perkhidmatan 50-titik pemeriksaan kereta secara percuma melalui Tweckbot Pre-Raya. Melalui aktiviti ini, Perodua berjaya memeriksa 380 kenderaan Perodua secara keseluruhan di dua lokasi iaitu di Tesco Kota Bharu di stesen Petronas di Kota Kinabalu dari 12-14 Mei.

Tweckbot akan berada di Petronas Sungai Buloh PLUS R&R pada 23 dan 24 Jun untuk pemeriksaan Pasca-Raya dengan menawarkan sebanyak 20% diskaun bagi alat ganti dan aksesori kepada semua kenderaan yang diperiksa yang kembali ke pusat servis sah Perodua di seluruh negara.

"Kepada pelanggan yang dihargai, sila selenggara kenderaan Perodua anda di pusat servis sah Perodua.

Kami ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua yang beragama Islam. Kepada yang lain, selamat bercuti dan semoga perjalanan andakata Datuk (Dr) Aminar.


Brixton meriahkan penawaran motosikal retro

Brixton Motorcycles kini telah tiba di Malaysia, dan akan mula berada di ruang pameran pengedar sah motosikal Brixton bulan ini. Jenama ini dipasang dan dipasarkan oleh Mforce Bike Holdings Sdn Bhd yang merupakan pengedar terbaharunya di kalangan lebih daripada 500 pengedar di seluruh dunia.
Brixton Motorcycle adalah jenama motosikal roadster retro dari Austria, dan telah mula diperkenalkan buat kali pertama di Pameran Motor Vietnam 2017. Pada acara tersebut, Brixton mencatatkan jualan sebanyak 500 unit di gerai pameranmereka. Berikutan kejayaannya di Eropah & Vietnam, Brixton yang dimiliki KSR Group kini sedang dalam proses membina jaringan pengedaran di 50 negara yang berminat untuk mengimport motosikal Brixton. Brixton juga telah pun melabur dalam pembinaan kilang baharu untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat di seluruh dunia.
Dua motosikal Brixton yang sama tidak lah serupa. Walaupun dari kilang yang sama, spesifikasi yang sama, reka bentuk kelihatan serupa, keunikan motosikal itu ditentukan oleh setiap pelanggan, baik dari segi arah tuju yang dipilih untuk menunggang Brixton mereka dan siapa yang dibawa bersama. Ini lah individu yang menunggang motosikal Brixton, yang diperkenalkan dalam versi 3 model iaitu BX150, BX150X & BX150R.

BX 150
BX150 adalah motosikal rekabentuk klasik yang menampilkan ciri tradisional, namun di lengkapi aksesori yang moden. Ia datang dengan 2 warna iaitu Hijau tua & kelabu tua. BX150X pula, menampilkan reka bentuk motosikal scrambler yang lebih kepada tunggangan luar jalan atau off road, dan datang dengan pilihan 2 warna iaitu hijau legap (matte) & hitam legap. Sementara BX150R pula berinspirasikan ciri motosikal lumba retro atau lebih dikenali sebagai café racer, dan boleh didapati dengan warna merah & perak.
BX 150 X
Kesemua model Brixton dikuasakan enjin satu silinder 4 lejang bersesaran 149cc dengan sistem suapan EFI.  Kuasa maksima yang mampu dijana oleh enjin ini ialah 8.7k.W/8000 rpm, manakala tork maksima yang dicapai ialah 11.9Nm/6000 rpm. Perlepasan karbonnya pula melepasi piawaian Euro3, yang merupakan standard yang mesra alam. Kotak transmisi lima-kelajuan menyalurkan kuasa ke roda melalui pacuan akhir jenis rantai.  Sistem brek adalah dari jenis cakera tunggal bagi kedua-dua roda depan dan belakang & dilengkapi system Combined Braking System (CBS). Ianya dilengkapi dengan tangki minyak berkapasiti 14 liter.
Motosikal berkonsep retro ini mempunyai berat kasar 157kg. Sistem suspensinya menggunakan sepasang topang atau fork teleskopik standard untuk hujung hadapan manakala bahagian belakangnya diapung menggunakan jenis lengan ayun.

Paparan meternya terdiri daripada speedometer digital. Selain itu, ia juga dilengkapi lampu LED siang & lampu signal LED.

Model-model Brixton tersebut kini mula berada dalam pasaran dan akan ditawarkan pada harga asas (tanpa cukai jalan dan insurans) seperti berikut.

BX150 = RM8988.00
BX150X = RM9288.00
BX150R = RM9588.00.















Benelli terus maju setelah 107 tahun

Pada musim bunga tahun 1911, seorang janda bernama Teresa Benelli telah menggunakan keseluruhan modal kepunyaan keluarga untuk membina sebuah bengkel mekanik bagi mewujudkan pekerjaan untuk keenam enam anak lelakinya. Pada asalnya ia hanya sebuah bengkel pembaikan, di mana beberapa alat ganti untuk kereta dan motosikal dibuat.
Tetapi keenam enam Benelli bersaudara tersebut telah memasang aspirasi lebih jauh, iaitu untuk membina motosikal. Pada bulan Disember 1921, muncullah motosikal Benelli pertama: "Velomotore", iaitu sebuah motosikal 98 cc 2-stroke, yang dituruti pada tahun 1923 dengan versi 147 cc. Dan hanya dengan model motosikal ini, Tonino Benelli mula meraih kemenangan yang kemudiannya menjadikan kilang Itali itu terkenal di seluruh Eropah.

Pada tahun 1951, model Leoncino pula dilahirkan dan disamping menerajui kejayaan penjualan, ia juga muncun juara pada tahun 1953 di Motogiro d'Italia pertama, yang ditunggang oleh Tartarini. Selepas 65 tahun, Leoncino kini mengalami kebangkitan semula dalam bentuk moden yang indah, kembali untuk mencari kemenangan di Queens Cavalcade, Australia di mana Mark Townsend, akan cuba untuk mencontohi rakan senegaranya Ken Carruthers, yang merupakan juara dunia dengan Benelli pada tahun 1969.
Sentiasa berada di barisan hadapan teknologi dalam pengeluaran model luar biasa, Benelli menjadi milik QJGroup pada bulan Disember 2005. Quianjiang adalah sebuah syarikat yang terletak di Wenling, China di mana 14,000 pekerja setiap tahun menghasilkan lebih daripada 1.2 juta kenderaan roda dua, dan lebih daripada dua juta enjin, di sebuah kilang ultra-moden bersaiz 670,000 meter persegi kawasan pengeluaran, hampir sama besar dengan saiz sebuah bandar kecil. Quianjiang memberi tumpuan kepada kualiti, dan telah menerima pengiktirafan antarabangsa ISO 9001 yang disahkan sejak 1997. Kira-kira 20% pengeluarannya dieksport ke seluruh dunia, termasuk Amerika dan Eropah. Kini jenama Benelli terus mara ke hadapan selepas 107 tahun ia ditubuhkan.

KTM 790 DUKE kini ditawarkan di Malaysia

KTM MALAYSIA mengumumkan bahawa selepas mendominasi pasaran sub-700cc Malaysia
dengan model silinder tunggal 690 Duke, model terbaharu syarikat tersebut iaitu KTM 790 DUKE telah tiba di negara ini.

Para jurutera KTM di Mattighofen, Austria berusahauntuk meneruskan penguasaan pasaran segmen sesaran sederhana 800 cc dengan pengganti yanglebih kemas dan lebih berkuasa dengan KTM 790 Duke ini.
Bergelar "The Scalpel", KTM 790 DUKE menggabungkan prestasi keseronokan praktikal untuk perjalanan harian dengan ergonomik yang sangat baik. Penunggang boleh mencelah melalui lalu lintas dalam perjalanan ke tempat kerja, melayan jalan selekoh berbukit atau litar lumba pada hujung minggu. Seperti lazimnya sebuah KTM, 790 DUKE juga "Siap Untuk Berlumba."
Jantung KTM 790 DUKE baharu ini merupakan enjin serba baharu 799cc LC8c DOHC dwi-silinder kembar-sebaris (ya, DUA SILINDER) dengan ciri-ciri 75° dengan sisihan kedudukan pin acioleng (crank offset) sebanyak 75 darjah, seiring dengan enjin 1290 cc 75° kembar-V. Nama LC8c jelas menyatakan ianya sebuah enjin sejukan cecair 8 injap.


 Jurutera KTM memilih format kembar-sebaris untuk
keserasian dan kesederhanaannya dan juga pengagihan berat yang lebih baik dan penjimatan berat yang lebih besar bagi mendapatkan nisbah kuasa-ke-berat yang lebih baik. Enjin baharu ini menghasilkan 105 bhp pada 9,000 RPM dan tork 87 Nm di sekitar 8,000 rpm. Terdapat dua aci pengimbang untuk membatalkan getaran untuk operasi enjin yang lebih lancar. Aci sesondolnya (camshafts) adalah jenis yang dipasang dan bukannya ditempa (forged) untuk menjimatkan berat. Tambahan pula, permukaan sesondol adalah dari jenis karbon seperti berlian (DLC) bagi geseran lebih rendah, dan meningkatkan ketahanan. Kawalan ketegangan hidraulik bagi rantai pemasanya memastikan pemasaan optimum injap dengan tepat.

Kotak gear enam kelajuan adalah dari jenis PASC (Power Assist Slipper Clutch) iaitu teknologi berdaftar KTM sendiri. PASC meningkatkan tekanan klac ketika pecutan, namun ringan dan membolehkan tuil klac dikendalikan hanya dengan satu jari sahaja. Ketika nyahpecutan atau membrek keras, tekanan klac dilegakan sedikit untuk mengelakkan sentapan roda belakang agar membelok lancar dan yakin.

Sistem ekzos yang baharu disusun sangat dekat
dengan casis untuk kelegaan tanah yang luar biasa. Ia juga direka dengan akustik tersendiri. Ekzos  belakang turut dilindungi untuk keselesaan pembonceng.

KTM 790 DUKE ini juga dilengkapi keangka baharu yang direka sekuat dan seringan mungkin. Keluli molibdenum berdinding nipis yang dikimpal untuk mendapatkan ketegaran bagi memberikan rasa sporty dengan maklum balas yang cukup kepada pelumba. Bahagian enjin juga merupakan sebahagian dari kerangkanya untuk mendapatkan pengurangan berat. Satu lagi faedah penggabungan bingkai baharu dengan enjin adalah ketinggian tempat duduknya yang serendah hanya 825 mm bagi keselesaan capaian kebanyakan penunggang. Hasil daripada semua langkah penjimatan berat KTM 790 DUKE ini menjadikan jumlah beratnya hanya seberat 169 kg kering.
KTM 790 DUKE menggunakan topang kartrij terbalik WP 43mm yang direka khusus untuknya. Gegelung spring progresif memastikan kelancaran operasi sepanjang pergerakannya yang sebanyak 140mm. Peredam stereng WP turut mengawal pergerakan akhir bahagian depan. Hendalnya boleh dilaraskan pada empat kedudukan. Suspensi belakang juga adalah penyerap kejutan WP yang dibantu redaman gas.
Pakej elektronik intuitif menjadikan KTM 790 DUKE yang paling komprehensif dari segi teknologi
motosikal 800cc. Ini termasuklah pendikit tunggang-dengan-wayar (RbW), Kawalan Daya Cengkaman (MTC) berasaskan sudut sendeng motosikal, ABS selekoh, kawalan gelinciran enjin (MSR) untuk mengawal brek enjin, dan pengalih-tangkas Quickshifter + untuk kedua-dua operasi naik dan juga turun gear, dengan fungsi auto-blip. KTM 790 DUKE ini juga mempunyai Paparan TFT warna penuh yang boleh digabung dengan Integrasi telefon pintar KTM MY RIDE.
KTM 790 DUKE mempunyai lampu LED terpisah ke kiri kanan yang pertama kali digunakan pada KTM 1290 Super Duke R dan KTM 390 Duke. Lampu belakang dan isyarat disepadukan ke dalam pemegang plat nombor untuk mengecilkan saiz dan rupabentuk "Siap Untuk Lumba". Keseluruhan ekor ini dapat ditanggalkan dengan mudah untuk tunggangan di litar lumba.
KTM 790 DUKE "The Scalpel" ini dibawa masuk siap dipasang sepenuhnya CBU dan berharga dari RM 64,800 (harga jualan asas dengan 0% GST tidak termasuk cukai jalan dan insurans).

KTM 790 DUKE TECHNICAL SPECIFICATIONS
ENGINE Liquid-cooled, DOHC, 8-valves, parallel-Twin
DISPLACEMENT 799 cc
BORE X STROKE 88.0 mm X 65.7 mm
MAX POWER 105 bhp (77 kW) @ 9000 RPM
MAX TORQUE 87 Nm @ 8000 RPM
LUBRICATION Forced lubrication with 2 oil pumps
TRANSMISSION 6-speed
CLUTCH PASCTM anti-hopping clutch, mechanically operated
PRIMARY GEAR
REDUCTION 39:75
SECONDARY GEAR
REDUCTION 16:41
FRAME Powdercoated Chromium-Molybdenum Steel frame using
engine as stressed member
FRONT SUSPENSION WP 43 mm upside-down open-cartridge forks, 140 mm travel
REAR SUSPENSION WP shock absorber with preload adjuster, 150 mm travel
FRONT BRAKE Dual 300 mm discs, dual four-piston radial calipers
REAR BRAKE Single 240 mm disc, single-piston floating caliper
ABS Bosch 9MP two-channel ABS incl. Supermoto mode
(disengageable)
STEERING HEAD ANGLE 66o
TRAIL 98 mm
WHEELBASE 1475 mm
GROUND CLEARANCE 186 mm
SEAT HEIGHT 825 mm
FUEL TANK CAPACITY 14 litres
DRY WEIGHT 169 kg

Yamaha Balik Kampung Kali Ke-20 dianjurkan

Hong Leong Yamaha Motor telah menganjurkan acara tahunan mereka iaitu Kempen keselamatan jalanraya "Yamaha Balik Kampung" selama 20 tahun. Acara tahun ini telah diadakan di  di Plaza Tol Sungai Besi Arah Selatan dengan tema  yang membawa tema "20 Tahun Bersama Menjana Keselamatan Jalan Raya". Ia merupakan kerjasama di antara Hong Leong Yamaha Motor, Malaysia Motorcycle & Scooter Dealer Association (MMSDA), serta JPJ, JKJR, MIROS, PLUS, PDRM, P&O Insurance, AEON Credit, KHI Helmet dan FKR.
Menteri Pengangkutan Malaysia YB Anthony Loke Siew Fook,
Majlis ini turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan Malaysia yang baharu iaitu YB Anthony Loke Siew Fook, yang telah merasmikan acara tersebut. Dalam teks ucapannya, Menteri Pengangkutan turut menekankan aspek pembudayaan keselamatan jalanraya di kalangan semua pengguna jalanraya Malaysia dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan. Pendidikan awal tentang keselamatan jalan raya iaitu di sekolah turut akan diberikan perhatian khusus.
Pengarah Urusan Yamaha Motor Dato Jim Khor
Seperti lazimnya pihak Hong Leong Yamaha Motor telah menyediakan aktiviti pemeriksaan 7-perkara pada motosikal tidak mengira jenama, dan juga disokong oleh program penukaran topi keledar secara percuma oleh KHI Helmets, pemeriksaan palam pencucuh oleh NGK dan juga pemeriksaan tayar oleh FKR, di samping gerai gerai pameran yang lain.

 


Teks ucapan Menteri Pengangkutan dilampirkan di bawah ini untuk bacaan anda:

Yang Dihormati Encik Wee Hong, Chairman of Malaysia Motorcycle & Scooter Dealers Association (MMSDA)
Yang Berbahagia Dato Jim Khor, Managing Director, Hong Leong Yamaha Motor
Yang Berbahagia Dato’ Rosli bin Isa, KP JKJR.

Dato’-Dato’, penganjur majlis, rakan-rakan strategik keselamatan jalan raya daripada pihak swasta dan badan-badan bukan kerajaan, para media dan hadirin yang dihormati sekalian.

Terima kasih Pengacara Majlis
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Terlebih dahulu, saya ingin ucapkan terima kasih kepada hadirin sekelian kerana pada pagi ini, kita dapat  bersama bagi menjayakan program “ 20 th YAMAHA BALIK KAMPUNG ROAD SAFETY CAMPAIGN ”.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd selaku penganjur dan lain-lain agensi yang turut sama membantu menjayakan program kali ini. Saya yakin tanpa kerjasama erat semua pihak, program ini mungkin tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Tuan-tuan, puan-puan,
Negara kita kini semakin megah berdiri untuk menjadi ke arah negara maju, dengan ekonomi semakin berkembang pesat dan pelbagai bentuk pembangunan diusahakan seluruh pelusuk negara. Selaras dengan ini, tidak dapat kita nafikan, populasi juga kian bertambah, begitu juga bilangan kenderaan berdaftar yang berada di atas jalan raya.

Apabila situasi ini berlaku, kita seharusnya lebih memikirkan konsep keselamatan di mana-mana sahaja, dan yang paling utama yang ingin kita tujui kali ini adalah pembudayaan keselamatan jalan raya. Ia merupakan satu aspek penting bagi memastikan keamanan dan keharmonian negara berada pada tahap yang selesa. Jika dilihat hari ini, pelbagai berita kemalangan dipaparkan di dada-dada akhbar, di kaca televisyen, selain di radio. Terlalu ramai yang cedera parah, hilang anggota badan, dan ramai juga yang kehilangan nyawa. Mungkin mereka ini orang yang kita kenal, saudara mara, rakan taulan dan ada yang berlaku dalam keluarga sendiri.

Pelbagai Kempen Keselamatan Jalan Raya telah dilaksanakan oleh kerajaan secara berterusan tetapi sikap dan mentaliti pengguna jalan raya masih berada di tahap yang rendah. Kerjasama orang ramai atau pun pengguna jalan raya perlu bermula dengan mendidik dan mendisiplinkan ahli keluarga terdekat supaya memberi perhatian dan mematuhi peraturan jalan raya.

Tuan-tuan, puan-puan,
Nyawa itu sungguh berharga dan tidak dapat digantikan dengan wang ringgit. Kita tidak mahu nyawa kita ini hilang dengan sia-sia di dalam kemalangan jalan raya. Kita hendaklah mensasarkan jumlah kematian sifar di jalan raya. Kedengaran agak mustahil untuk dilaksanakan namun kita hendaklah sentiasa percaya yang suatu hari nanti kita akan dapat mencapai sasaran tersebut.

Majoriti yang maut di jalan raya adalah dari kalangan penunggang dan pembonceng motosikal. Berdasarkan perangkaan kes kematian yang dikeluarkan oleh PDRM, pada 2017 ialah sebanyak 6740 kes kematian dicatatkan yang mana melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal ialah 4348 kes kematian.


Ada juga sesetengah pihak yang mengatakan bahawa pelaburan terhadap tahap keselamatan jalan raya hanya menelan lebih banyak kos atau keuntungan. Tetapi hakikatnya, pelaburan terhadap keselamatan jalan raya ini lebih membawa kepada keuntungan daripada kerugian. Bayangkan jika tidak ramai orang yang terlibat dengan kemalangan jalan raya, sudah tentu tiada banyak kenderaan untuk dibaiki, tiada tuntutan kemalangan dan sudah tentu perkara-perkara tersebut akan mengurangkan penggunaan wang untuk menanggung kos-kos kemalangan tersebut.


Bagi pemandu yang memandu dalam tempoh masa yang lama serta berjarak jauh, risiko untuk mengantuk dan kepenatan amat tinggi, mengakibatkan hilang tumpuan ketika memandu. Kebanyakan kemalangan juga berlaku pada lewat tengah malam dan awal pagi, ketika badan kita sepatutnya dalam keadaan rehat sepenuhnya. Atas inisiatif pihak Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd ini, kita amat menyokong penuh usaha memberikan kesedaran berterusan kepada pengguna jalan raya yang menggunakan jalan raya atau lebuh raya ini, terutamanya mereka yang ingin balik ke kampung masing-masing.

Tuan-tuan, puan-puan,
Sehubungan ini, marilah kita semua pastikan tahap keselamatan adalah paling diutamakan. Baik dari segi fizikal tubuh badan kita, perlu cergas dan kuat untuk berada di jalan raya. Periksa tali pinggang keledar dan pakai bagi yang berkenderaan besar. Begitu juga dengan penunggang dan pembonceng motosikal, pastikan pakai topi keledar yang ada piawaian keselamatan seperti SIRIM, pakai dan klik dengan betul. Periksa juga keadaan kenderaan anda, terutamanya motosikal agar dapat berfungsi sempurna selain boleh mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Gaya memandu dan menunggang juga perlu diberi tumpuan utama. Elakkan memotong dengan melulu, kepada yang bermotosikal, jangan mencelah-celah kenderaan, jangan menunggang secara berbahaya serta melebihi had laju, dan jangan mengekori kenderaan lain terlalu rapat. Akibat kecuaian sesaat, hari raya mungkin bertukar menjadi tragedi hitam yang sukar dilupakan sepanjang hayat.

Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan sekalung tahniah kepada semua yang terlibat pada hari ini serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak di dalam menjayakan program pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

YB LOKE SIEW FOOK