Adib Rosley terpaksa lupakan aksi ARRC

Pelumba RCB Accentwire Yamaha YY Pang Racing Team, Md Adib Rosley yang terpaksa melupakan aksi pada ARRC minggu ini gara-gara masih belum pulih daripada kecederaan.

Adib yang pernah muncul naib juara pada Perlumbaan 2 kelas Underbone 150 di Suzuka sebelum ini mengalami patah kaki ketika terjatuh pada aksi Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Teluk Intan minggu lalu.

Kekosongan yang ditinggalkan Adib itu akan memberi ruang kepada Tengku Amirul Haffirudin untuk beraksi pada Pusingan 6 ARRC di Sepang pada 20-22 September ini. Saingan kali ini sudah pastinya menjadi medan buat pelumba Malaysia untuk menyekat penguasaan para pencabar mereka dari negara jiran.

Pada saingan Pusingan 1 dua pelumba Filipina yang menggalas cabaran pasukan UMA Racing Yamaha Philippine, McKinley Kyle Paz dan Fernando Masato masing-masingnya menjuarai Perlumbaan 1 dan 2. Ia ternyata memberi kesan yang mendalam terhadap barisan pelumba Malaysia yang gagal mempergunakan sepenuhnya kesempatan beraksi di gelanggang sendiri.

Taruhan terbaik adalah pelumba UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team, Mohd Akid Aziz yang dilihat mampu menyekat penguasaan dua pelumba Filipina itu. Juara sebanyak dua kali iaitu di Buriram dan Zhuhai, Akid kini ketinggalan 4 mata di belakang Kyle Paz yang mendahului carta keseluruhan dengan 95 mata.
Pelumba lain yang diramal mampu melakar kejutan adalah Ahmad Fazli Sham (ONEXOX TKKR SAG Team) dan juga adiknya, Ahmad Fazrul Sham yang akan beraksi atas tiket wildcard.

Sokongan daripada peminat tempatan, ia diharap mampu melonjakkan semangat barisan pelumba negara untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas ARRC.

KEDUDUKAN KESELURUHAN PELUMBA
Underbone 150
1. McKinley Kyle Paz (PHI) (Yamaha)                   95 mata
2. Mohd Akid Aziz (MAS) (Yamaha)                     91
3. Ahmad Fazli Sham (MAS) (Yamaha)                81
4. Fernando Masato (PHI) (Yamaha)                   72
5. Wawan Wello (INA) (Honda)                            71
6. Aldi Satya Mahendra (INA) (Yamaha)             65
7. Mohd Haziq Mohd Fairues (MAS) (Yamaha) 60
8. Mohd Affendi Rosli (MAS) (Yamaha)              58
9. Peerapong Luiboonpeng (THA) (Yamaha)     58
10. Wahyu Aji Trilaksana (INA) (Yamaha)          54

KEDUDUKAN PASUKAN
1. UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team – 113 mata
2. ONEXOX TKKR SAG Team                                       109
3. UMA Racing Yamaha Philippine Team                 107
4. Yamaha Racing Indonesia                                        88
5. SND Factory Racing Rapido                                     83