6 pelumba negara di FIM CEV REPSOL dan IATC Musim 2022

 

Pelumba-pelumba muda negara, Syarifuddin Azman, Danial Syahmi dan Hakim Danish sah akan beraksi di FIM CEV Repsol musim 2022 dan pusingan pertama telah dijadualkan pada 8 Mei 2022 di Circuito do Estoril, Portugal. 

Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok sekali lagi akan bersaing dalam kategori FIM Moto3 Junior World Championship bersama pasukan Monlau Motorsport. Pada musim 2021, 

Damok berada di tempat ke-9 bagi kedudukan keseluruhan dan tahun 2022 merupakan tahun ke-3 Damok berlumba di kejohanan FIM CEV Repsol. 

Dengan prestasi yang membanggakan dalam kejohanan Idemitsu Asia Talent Cup (IATC) pada musim 2021, Danial Syahmi yang merupakan naib juara keseluruhan akan membuat penampilan sulung di pentas FIM Moto3 Junior World Championship bersama Honda Junior Talent Team. 

Manakala, johan edisi pertama SIC MiniGP Championship, Hakim Danish akan membuat penampilan penuh dalam kejohanan Hawkers European Talent Cup (HETC) bersama pasukan 

Monlau Motorsport. Pada tahun 2021, Danish telah membuat empat penampilan di CEV dan menunjukkan prestasi cemerlang di IATC di tempat ke-5. Ini bermakna pada musim hadapan, Danish akan berlumba di HETC dan IATC. 

Finalis FIM MiniGP World Series, Farres Putra, Emil Idzhar dan Farish Hafiy juga akan menyertai Danish di IATC. Pusingan pertama IATC akan berlangsung pada 4-6 Mac 2022 di Losail International Circuit, Qatar.

“Tahniah buat pelumba-pelumba negara yang akan beraksi di kejohanan CEV dan IATC untuk musim 2022. Cabaran pandemik Covid-19 tidak menghalang mereka untuk mempamerkan prestasi yang membanggakan pada tahun ini. Saya yakin Damok, Danial, Danish, Farres, Emil dan Farish dapat menaikkan lagi nama Malaysia di persada dunia. Terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dan pasukan SIC Racing dalam memastikan program pembangunan bakat negara diteruskan ke peringkat yang tertinggi.” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Sepang International Circuit (SIC), Azhan Shafriman Hanif. 

Zulfahmi Khairuddin, pengurus pasukan SIC Racing berkata, “Bagi musim 2022, kita mempunyai barisan pelumba yang kompetitif di CEV dan IATC. Saya juga sangat gembira kerana pihak Dorna Sports S.L telah memberi peluang kepada finalis FIM MiniGP Malaysia Series untuk ke perlumbaan IATC 2022 dengan ketiadaan sesi pemilihan pada tahun ini. Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada SIC dan KBS untuk peluang keemasan ini kepada mereka. Saya yakin pelumba kita dapat berlumba dengan lebih baik pada musim 2022 di bawah bimbingan saya dan barisan jurulatih pasukan SIC Racing”.