Perodua jelaskan isu pengumuman Daihatsu Motor Co

Kenyataan media oleh Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad mengenai pengumuman Daihatsu tentang isu ‘ketidakaturan prosedur’.

Merujuk kepada pengumuman Daihatsu Motor Co., Ltd. (DMC) yang dikeluarkan pada hari ini mengenai penggantungan model-modelnya disebabkan oleh "ketidakaturan prosedur".

Perodua turut mengeluarkan kenyataannya sebagai maklumbalas kepada laporan jawatankuasa audit bebas mengenai "ketidakaturan prosedur" yang dilakukan oleh DMC semasa menjalankan ujian keselamatan kenderaan terhadap beberapa pengeluar kenderaan (OEM)”, yang diumumkan awal pagi ini.

Laporan jawatankuasa audit bebas sepertimana yang diumumkan oleh DMC menyebut: "Pemeriksaan dan ujian ini mengesahkan bahawa kesemua 174 ketidakaturan yang dikenalpasti oleh jawatankuasa audit bebas memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan”.

Kami sedang melakukan penilaian terperinci mengenai isu tersebut dan sedang dalam perbincangan bersama pihak berkuasa Malaysia tentang kesan perkembangan ini terhadap kenderaan keluaran kami.

Pada 28 April 2023, DMC telah mengumumkan berlakunya "ketidakaturan prosedur" semasa menjalankan ujian keselamatan ke atas kenderaan di Jepun. Berikutan pengumuman itu, DMC telah menubuhkan jawatankuasa audit bebas yang terdiri daripada peguam dan tenaga kerja teknikal.

Kami memohon maaf kepada para pelanggan yang kami hargai serta orang awam di atas keresahan yang timbul daripada pengumuman ini. Niat kami adalah untuk memberi jaminan kepada para pelanggan yang kami hargai.

Kami akan berkongsi hasil perbincangan ini dengan semua pelanggan kami dalam masa terdekat.


Asian Compact Sedan Design Challenge 2023 terima penyertaan tujuh negara

 

Pertandingan reka bentuk kereta, “Asian Compact Sedan Design Challenge 2023” (ACSDC 2023) yang julung kalinya diadakan di Malaysia telah menyaksikan 93 penyertaan dari 7 buah negara bagi program sulungnya.

ACSDC 2023 ialah pertandingan reka bentuk kereta sedan yang terbuka kepada pereka profesional dan pelajar rekaan di Asia yang dianjurkan bersama Perodua dan Majlis Reka Bentuk Malaysia (MRM).

“Jumlah penyertaan dari negara-negara lain di dalam Asia adalah menggalakkan kerana pendedahan terhadap jenama Perodua dan MRM di luar Malaysia adalah terhad,” kata Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua.

Sebanyak 93 penyertaan yang diterima adalah dari Indonesia, Jepun, Filipina, Singapura, Iran, Jepun, India dan Malaysia.

Bagi kategori profesional, Kenny Chan dari Malaysia dinobatkan sebagai juara pertandingan ACSDC 2023 dengan kereta rekaannya yang berkonsepkan “Payung”.

Menurut ketua juri, Muhamad Zamuren Musa: Reka bentuk kereta yang dinamik dengan siluet ala ‘fastback’ dan karakter badan kenderaan yang kukuh serta stabil menjadikan kereta tersebut lebih seimbang. Selain itu, perincian yang ketara serta elemen gaya kreatif menjadi faktor lain yang membolehkan kereta itu dipilih sebagai yang terbaik di kalangan semua peserta.

Sementara itu, Philip Samuel Tandio dari Indonesia pula muncul sebagai naib juara dengan konsep "Out Ride", manakala Muhammad Izhar Che Shukarno berada di tempat yang ketiga dengan konsep “Fastback”.

Bagi kategori pelajar rekaan, Bryan Teh Yea Quan dari Universiti Asia Pasifik (APU), Malaysia dinobatkan sebagai juara dengan tafsiran uniknya tentang sebuah sedan yang ‘sporty’.

Manakalq Alfred Han Wen Hao dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Malaysia sebagai naib juara dan Muhammad Amin Othman dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Malaysia berada di tempat yang ketiga.

“Bagi Perodua, pertandingan ini memberikan gambaran mengenai sedan kerana definisi dan persepsi kenderaan jenis itu adalah berbeza dari satu negara ke negara yang lain.

“Rakyat Malaysia melihatnya sebagai kenderaan yang praktikal manakala negara lain mungkin melihatnya lebih sebagai simbol status dan dengan menganjurkan pertandingan ini, kita dapat melihat di mana kita boleh menggabungkan kedua-dua idea itu menjadi satu,” kata Dato’ Sri Zainal.

"Pertandingan ini bukan sahaja menggalakkan pereka untuk menguji bakat mereka tetapi juga mendedahkan mereka kepada falsafah reka bentuk yang berbeza dari negara lain di dunia," kata Pengarah MRM, Husaini Ismail.