Antara cabaran yang dihadapi oleh penunggang adalah tugas memilih gear yang tepat dan dalam julat RPM bersesuaian untuk satu satu selekoh tertentu atau siri selekoh jika berada di litar lumba.
Hal ini jarang dititikberatkan kerana seringkali dilihat seperti sesuatu yang cukup mudah dilakukan, tetapi pada banyak sudut perkara menjadi lebih rumit.
Mari kita bincangkan beberapa pertimbangan apabila mengkaji pendekatan penilaian satu satu selekoh tertentu, agar ia akan membantu anda mencapai kestabilan sepanjang proses membelok, dan juga menjimatkan masa jika anda sedang berlumba di litar.
Ramai yang mungkin mengetahui bahawa ketika menunggang anda mahu mengekalkan enjin beroperasi dalam julat rpm yang menghasilkan kuasa maksima, lebih lebih lagi ketika berlumba.
Ia juga bermaksud bahawa anda harus memilih gear yang tepat untuk kemasukan selekoh supaya apabila kita mula keluar dari selekoh tersebut, motosikal anda akan memecut jauh lebih baik.
Walau bagaimanapun, penunggang seringkali membuat kesilapan memikirkan bahawa enjin perlu menjerit setiap masa. Ini tidak seharusnya berlaku. Semuanya banyak bergantung kepada pendekatan awal anda, mengkaji jika pendekatan itu betul, dan kemudian menyesuaikannya dengan wajar, jika perlu.
Berikut adalah beberapa perkara yang dapat membantu anda mendekati pendekatan yang ideal.
Jenis Selekoh
Agak jelas bahawa ia akan menjadi salah satu faktor penentu terbesar.
Satu selekoh yang panjang yang memerlukan anda menyendeng untuk jangka masa yang panjang akan memerlukan anda untuk membiarkan motosikal melajak buat seketika di pertengahan selekoh. Oleh itu, anda tidak semestinya mahu masuk ke dalam selekoh tersebut dalam rpm yang hampir maksima, hanya perlu bersedia menaikkan gear semasa anda melintasi puncak selekoh atau apeks.
Sebaliknya, jika selekoh pendek yang membolehkan anda untuk membelok pantas, cantas selekoh tersebut dan tegakkan jentera anda secepat mungkin agar anda boleh memecut keluar seberapa cepat.
Kebanyakan penunggang akan dapat mencari gear yang sesuai untuk selekoh biasa, tetapi selekoh yang lebih panjang yang diikuti dengan yang pendek atau siri beberapa selekoh akan menguji kemampuan anda.
Menaikkan gear dan mengekalkan kestabilan kestabilan
Selekoh panjang dan santai mungkin tidak akan memberi kesan banyak kepada kestabilan jentera anda sewaktu menaikan atau menurunkan gear. Tetapi satu siri selekoh yang rumit pendek selepas lurusan panjang mungkin akan menyebabkan anda hilang kawalan terhadap kestabilan motosikal. Dalam kes begini anda perlu menentukan bila hendak menukar gear dan mengekalkan kestabilan dalam waktu yang sama, terutama sekali jika anda perlu melibas motosikal ada dari kiri ke kanan.
Cuba lakukan cubaan lambatkan sedikit menukar gear, maknanya ubah ketika atau tempat di mana anda menukar gear alam satu satu selekoh itu. Apa pun, tumpukan perhatian kepada perkara yang paling penting iaitu ketika keluar! Pastikan anda tidak berada dalam gear yang terlalu rendah ketika keluar supaya anda tidak ketinggalan dan membazirkan saat saat penting terutamanya ketika berlumba di litar.
Jenis enjin motosikal
Cara motosikal anda bertindak balas kepada kilasan pendikit juga memainkan peranan yang besar. Perbezaan utama di antara jenis enjin adalah karekter enjin dan corak hantaran kuasanya.
Umum mengetahui bahawa enjin kembar mempunyai tork atau daya kilas yang datang lebih awal dan lebih banyak tork yang dihasilkan pada rpm yang lebih rendah. Penyampaian kuasa daripada enjin empat selinder sebaris adalah jauh lebih agresif, dan sifat responsif dan pantas enjin jenis ini bermakna ia memerlukan penunggang agar lebih berhati-hati dengan aksi tangan kanan mereka yang akan menjadi lebih sukar apabila enjin bergerak ke arah revolusi atau pusingan enjin lebih tinggi.
Enjin kembar mempunyai agihan kuasa yang lebih luas, lebih terkawal dan lebih rata, dan kuasanya lebih mudah disampaikan ke jalan atau litar. Ini memberi penunggang keupayaan untuk mendapatkan tenaga tujahan yang lebih keras dan lebih awal, yang memberikan kelebihan ketika keluar dari selekoh. Maknanya dari segi pemilihan gear, enjin kembar dalam gear tinggi pun lebih mudah mencapai daya yang diperlukan, jadi penunggang boleh mengekalkan gear yang lebih tinggi melalui selekoh dan ke lurusan berikutnya.
Bagi enjin empat selinder sebaris baris ia nya tidak begitu mudah, jadi pilihan gear adalah agak terhad berbanding enjin kembar kerana lebih mudah untuk kehilangan kuasa.
Kurang alih gear yang lebih baik
Pernyataan di atas harus difahami dengan mendalam. Tentunya menunggang keseluruhan litar dalam satu gear tidak akan mencapai apa-apa. Apa yang dimaksudkan adalah, secara idealnya anda ingin mengurangkan bilangan peralihan yang anda perlu buat namun masih memaksimakan kebanyakan kuasa enjin. Dengan membuat pengurangan peralihan gear anda akan akhirnya menunggang lebih lancar, dan seterusnya lebih cepat. Jangan terlalu amalkan bahawa lebih banyak peralihan gear akan memastikan enjin kekal dalam rpm tinggi sepanjang masa. Enjin dalam rpm tinggi dan menjerit sepanjang masa tidak bermakna masa pusingan anda akan lebih cepat. Adakah anda benar-benar perlu menurunkan gear ketika memasuki selekoh di hadapan hanya supaya anda boleh mempunyai pecutan kecil ketika keluar sebelum menaikkan gear semula? Mungkin tidak. Inilah yang anda perlu nilaikan.
Kesimpulan
Pertimbangkan apakah kelebihan motosikal anda dan bagaimana anda dapat menggunakannya dengan sebaik-baiknya. Juga pertimbangkan bagaimana sesuatu yang mungkin dirasakan tidak wajar (contohnya memilih gear yang lebih tinggi) sebenarnya boleh membawa hasil yang lebih baik (pecutan yang lancar dan terurus).
Harus disedari bahawa sentiasa ada kompromi yang perlu dilakukan, dan akan sentiasa ada situasi atau bahagian litar di mana motosikal anda seperti tersasar di luar rpm optimum.
Tiada penunggang yang sempurna, dan penunggang yang berbekalkan tetapan atau setup jentera sebaik mana pun masih perlu membuat kompromi. Natijahnya ia merupakan aksi mengimbangi antara kuasa dan kestabilan untuk mendapatkan tunggangan paling selamat dan menyeronokkan di jalan raya, atau masa paling baik di litar.