Harga Perodua turun sempena pengenalan SST

Perodua telah mengeluarkan senarai harga baharu untuk semua kenderaannya selaras dengan pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerajaan mulai 1hb September 2018. Harga kenderaan Perodua kini antara 1-3% lebih rendah (untuk model tertentu sahaja) berbanding era 6% Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Berdasarkan struktur cukai baharu, hampir semua model Perodua berharga lebih rendah berbanding sebelum 1hb Jun 2018," kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd Dato' Dr Zahari Husin.
Pada 1hb Jun 2018, kerajaan telah merombak kadar cukai GST dari 6% ke kadar sifar, memberikan  'cuti cukai' selama 3 bulan kepada rakyat Malaysia dan membawa kepada peningkatan permintaan kenderaan dalam tempoh tersebut.

Pada bulan Julai, Kementerian Kewangan telah mengumumkan bahawa SST, yang menggantikan GST, akan ditetapkan pada kadar 10% untuk jualan dan 6% untuk perkhidmatan.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia, terutamanya kepada 3.3 juta pelanggan yang dihargai yang telah memilih Perodua sebagai jenama pilihan mereka.

“Kami akan terus menawarkan harga kompetitif kepada para pelanggan kami untuk servis penyelenggaraan serta alat ganti Perodua. Kami amat menghargai sokongan padu yang telah ditunjukkan oleh orang ramai terhadap produk dan perkhidmatan kami, dan akan terus memperbaiki diri untuk pelanggan kami," kata Dato’ Dr Zahari.

"Sila kunjungi mana-mana cawangan jualan dan perkhidmatan kami di seluruh negara dan bercakap dengan penasihat jualan dan perkhidmatan kami yang sah untuk mengetahui lebih lanjut tentang produk dan perkhidmatan yang ditawarkan," tambah beliau.

PROTON kan serap SST untuk semua model bagi bulan September

Pelaksanaan SST telah mendatangkan kesan kepada pasaran automotif Malaysia di mana pembeli kereta telah berpusu-pusu untuk membuat pembelian sebelum cukai tersebut dilaksanakan. Sebelum ini PROTON telah menyatakan bahawa perubahan harga akan dialami apabila SST dilaksanakan,

Namun begitu buat masa ini perubahan tersebut tidak akan memberi kesan terhadap pembeli-pembeli kereta Proton. Ini adalah kerana PROTON akan menyerap kos SST untuk semua model Proton bagi memastikan pembeli masih dapat membeli dengan harga tanpa cukai bagi bulan September.

“Sementara PROTON menunggu maklumat lanjut mengenai pelaksanaan SST, Syarikat kami akan menyerap kos SST tersebut untuk semua model bagi memberi peluang kepada kereta. Ini memberikan manfaat kepada mereka semasa tempoh peralihan ini serta membantu PROTON mengekalkan momentum jualan.”
“Disamping kos SST yang diserap untuk semua jenis model pada September ini, PROTON juga menyambut Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia pada bulan ini dengan memberikan tawaran hebat pada model-model terpilihnya. Diskaun antara RM500 sehingga RM1,000 akan ditawarkan bagi Saga, Iriz dan Persona, serta Proton Ertiga Xtra yang baharu sahaja dilancarkan, di mana model tersebut menampilkan tempat duduk baharu berwarna gelap serta unit utama berskrin sentuh, dengan penjimatan sebanyak RM2,000 daripada harga asal,” ujar Abdul Rashid.
Jumlah cawangan 3S dan 4S semakin meningkat Dengan pelancaran SUV pertama Syarikat dijangkakan pada hujung tahun ini, PROTON turut melancarkan pelan untuk menambahbaik rangkaian cawangan serta pengedarnya disamping penaiktarafan kemudahan 3S dan 4S. Sehingga 20 Ogos 2018, sebanyak 96 cawangan (cawangan baharu dan ubahsuai) telah mendapat kelulusan peningkatan. Jumlah sasaran kelulusan adalah sebanyak 109 cawangan pada Oktober tahun ini.

“Dengan menaiktaraf pusat-pusat jualan kami ini telah memberikan semangat kepada rangkaian pengedar yang melihatnya sebagai satu peluang untuk mereka. Ada di antara mereka berkomited untuk menjual lebih 2,000 unit kereta setahun, iaitu sasaran yang mampu dicapai kerana model SUV serta produk-produk akan datang yang dihasilkan bersama Geely hanya akan dijual secara eksklusif oleh pusat 3S dan 4S PROTON. Pusat-pusat jualan ini akan membantu PROTON untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan, dengan menyediakan kemudahan dan kualiti servis lebih baik daripada sebelum ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Abdul Rashid Musa.


Proton catat jualan pecah rekod lagi

Proton telah mengalami peningkatan jualan dalam bulan Ogos 2018 seperti yang dicatatkan pada bulan-bulan sebelum ini. Syarikat itu sekali lagi memperoleh jualan bulanan tertinggi bagi tahun 2018 untuk tiga bulan berturut-turut. Jualan mereka meningkat sebanyak 18.5% berbanding Julai, menjadikan Ogos sebagai bulan jualan tertinggi untuk kereta-kereta Proton sejak 36 bulan yang lalu. Secara keseluruhannya, sebanyak 9,501 unit kereta telah dijual, yang merupakan jumlah jualan terbanyak sejak Julai 2015.


Saga dan Persona terus mendominasi peningkatan pegangan pasaran selama tiga bulan berturut-turut. Sama seperti 7 bulan sebelum ini, kedua dua model ini kekal menjadi model pilihan pembeli. Saga menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan dan memecah rekod jualan sebanyak 4,000 unit dengan pendaftaran sebanyak 4,174. Manakala, Proton Persona hampir mencapai jualan 3,000 unit dengan sebanyak 2,957 unit terdaftar dalam bulan Ogos. Model-model yang lain turut menyumbang pada jualan, ditambahkan lagi dengan pembeli yang mencari kereta sebelum tamat hujung bulan.

“Ogos telah memperlihatkan pertumbuhan jualan tiga kali berturut-turut untuk PROTON," kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON Edar, Abdul Rashid Musa. "Pertumbuhan ini sedikit sebanyak didorong oleh GST yang berkadar sifar sebelum pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), serta kempen pemasaran yang giat dijalankan bagi mengingatkan rakyat Malaysia untuk mengambil kesempatan bersempena dengan pembelian tanpa cukai ini. Jumlah jualan yang tinggi ini menunjukkan peningkatan keyakinan orang ramai terhadap jenama kami kerana ramai yang masih memilih PROTON berdasarkan pakej menarik yang ditawarkan kepada mereka. Pelan pemulihan kami berjalan seperti yang dirancangkan, kini menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan mereka kekal memilih jenama kami dengan memberikan servis pelanggan yang terbaik.”