Showing posts with label perodua. Show all posts
Showing posts with label perodua. Show all posts

Perodua jelaskan isu pengumuman Daihatsu Motor Co

Kenyataan media oleh Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad mengenai pengumuman Daihatsu tentang isu ‘ketidakaturan prosedur’.

Merujuk kepada pengumuman Daihatsu Motor Co., Ltd. (DMC) yang dikeluarkan pada hari ini mengenai penggantungan model-modelnya disebabkan oleh "ketidakaturan prosedur".

Perodua turut mengeluarkan kenyataannya sebagai maklumbalas kepada laporan jawatankuasa audit bebas mengenai "ketidakaturan prosedur" yang dilakukan oleh DMC semasa menjalankan ujian keselamatan kenderaan terhadap beberapa pengeluar kenderaan (OEM)”, yang diumumkan awal pagi ini.

Laporan jawatankuasa audit bebas sepertimana yang diumumkan oleh DMC menyebut: "Pemeriksaan dan ujian ini mengesahkan bahawa kesemua 174 ketidakaturan yang dikenalpasti oleh jawatankuasa audit bebas memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan”.

Kami sedang melakukan penilaian terperinci mengenai isu tersebut dan sedang dalam perbincangan bersama pihak berkuasa Malaysia tentang kesan perkembangan ini terhadap kenderaan keluaran kami.

Pada 28 April 2023, DMC telah mengumumkan berlakunya "ketidakaturan prosedur" semasa menjalankan ujian keselamatan ke atas kenderaan di Jepun. Berikutan pengumuman itu, DMC telah menubuhkan jawatankuasa audit bebas yang terdiri daripada peguam dan tenaga kerja teknikal.

Kami memohon maaf kepada para pelanggan yang kami hargai serta orang awam di atas keresahan yang timbul daripada pengumuman ini. Niat kami adalah untuk memberi jaminan kepada para pelanggan yang kami hargai.

Kami akan berkongsi hasil perbincangan ini dengan semua pelanggan kami dalam masa terdekat.


Asian Compact Sedan Design Challenge 2023 terima penyertaan tujuh negara

 

Pertandingan reka bentuk kereta, “Asian Compact Sedan Design Challenge 2023” (ACSDC 2023) yang julung kalinya diadakan di Malaysia telah menyaksikan 93 penyertaan dari 7 buah negara bagi program sulungnya.

ACSDC 2023 ialah pertandingan reka bentuk kereta sedan yang terbuka kepada pereka profesional dan pelajar rekaan di Asia yang dianjurkan bersama Perodua dan Majlis Reka Bentuk Malaysia (MRM).

“Jumlah penyertaan dari negara-negara lain di dalam Asia adalah menggalakkan kerana pendedahan terhadap jenama Perodua dan MRM di luar Malaysia adalah terhad,” kata Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua.

Sebanyak 93 penyertaan yang diterima adalah dari Indonesia, Jepun, Filipina, Singapura, Iran, Jepun, India dan Malaysia.

Bagi kategori profesional, Kenny Chan dari Malaysia dinobatkan sebagai juara pertandingan ACSDC 2023 dengan kereta rekaannya yang berkonsepkan “Payung”.

Menurut ketua juri, Muhamad Zamuren Musa: Reka bentuk kereta yang dinamik dengan siluet ala ‘fastback’ dan karakter badan kenderaan yang kukuh serta stabil menjadikan kereta tersebut lebih seimbang. Selain itu, perincian yang ketara serta elemen gaya kreatif menjadi faktor lain yang membolehkan kereta itu dipilih sebagai yang terbaik di kalangan semua peserta.

Sementara itu, Philip Samuel Tandio dari Indonesia pula muncul sebagai naib juara dengan konsep "Out Ride", manakala Muhammad Izhar Che Shukarno berada di tempat yang ketiga dengan konsep “Fastback”.

Bagi kategori pelajar rekaan, Bryan Teh Yea Quan dari Universiti Asia Pasifik (APU), Malaysia dinobatkan sebagai juara dengan tafsiran uniknya tentang sebuah sedan yang ‘sporty’.

Manakalq Alfred Han Wen Hao dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Malaysia sebagai naib juara dan Muhammad Amin Othman dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Malaysia berada di tempat yang ketiga.

“Bagi Perodua, pertandingan ini memberikan gambaran mengenai sedan kerana definisi dan persepsi kenderaan jenis itu adalah berbeza dari satu negara ke negara yang lain.

“Rakyat Malaysia melihatnya sebagai kenderaan yang praktikal manakala negara lain mungkin melihatnya lebih sebagai simbol status dan dengan menganjurkan pertandingan ini, kita dapat melihat di mana kita boleh menggabungkan kedua-dua idea itu menjadi satu,” kata Dato’ Sri Zainal.

"Pertandingan ini bukan sahaja menggalakkan pereka untuk menguji bakat mereka tetapi juga mendedahkan mereka kepada falsafah reka bentuk yang berbeza dari negara lain di dunia," kata Pengarah MRM, Husaini Ismail.


Perodua labur RM7 juta untuk pusatkan pengeluaran bahagian model terdahulu

Perodua kini telah memusatkan pengeluaran alat ganti untuk model terdahulunya. Bagi memenuhi tujuan tersebut, syarikat pengeluar kereta tempatan tersohor tersebut telah melancarkan sebuah mesin tempa press stamping baharu di premis pembekalnya IQM Sdn Bhd di sini hari ini.
Mesin tempa hidraulik 1,600-tan metrik itu akan menghasilkan komponen badan kenderaan seperti penutup enjin, panel luar sisi, panel suku belakang, fender, pintu dan bumbung untuk model Perodua terdahulu seperti Myvi generasi pertama, Viva, Kelisa dan juga Kancil. Perodua melaburkan RM7 juta bagi mesin tersebut, termasuk pengangkutan dan pemasangannya di IQM.
Perodua juga telah memindahkan semua acuan tempa (stamping dies) yang diperlukan untuk menghasilkan alat ganti model terdahulu ke IQM. Ini membebaskan ruang di dalam kilang Perodua, meringkaskan proses keseluruhan, menjimatkan kos dan masa, serta memudahkan pemantauan dan pengurusan di bawah satu bumbung. Perodua juga berkongsi kemahiran dan pengetahuan dengan IQM berkenaan pengeluaran alat ganti model terdahulu.
Langkah ini merupakan salah satu inisiatif Perodua bersama dengan para pembekalnya untuk mengembangkan perniagaan dan keupayaan mereka ke arah menjadi pembekal automotif bertaraf dunia.

"Perodua membuat keputusan untuk memusatkan pengeluaran alat ganti model terdahulu di IQM berdasarkan empat teras. Pertamanya, kami ingin terus menyokong para pemilik model-model terdahulu kami dengan alat ganti yang berkualiti, pantas dan berpatutan menerusi perniagaan Badan & Cat kami. Kerana selagi anda memiliki kenderaan Perodua — biar lama mahupun baharu — sentiasa di sisi anda akan kami berada," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato' Zainal Abidin Ahmad.
"Kedua, kami komited untuk membangunkan semua 135 pembekal kami di Malaysia, bukan sahaja melalui perniagaan kami dengan mereka tetapi menerusi perkongsian kemahiran dan teknologi. Tiga, langkah ini mewakili komitmen kami kepada negara dan ekonominya dengan peningkatan daya saing ekosistem automotif Malaysia.
"Akhir sekali, ia melambangkan komitmen Perodua untuk terus meningkatkan kualiti dan kecekapannya ke arah menjadi sebuah syarikat yang lebih baik, maju dan mampan," tambah Zainal.
Sejak 1994, Perodua telah menjual lebih 3.7 juta kenderaan di Malaysia. Kini, lebih kurang satu pertiga daripada keseluruhan permintaan untuk alat ganti Perodua adalah untuk model-model terdahulu.

Kandungan tempatan dalam kenderaan keluaran mereka kini melebihi 90% bagi seluruh barisan modelnya. Perodua merupakan pembeli komponen automotif terbesar di Malaysia, membelanjakan RM4.5 bilion setakat tahun ini daripada RM5.4 bilion yang diperuntukkan untuk keseluruhan 2019.
IQM menjadi pembekal Perodua sejak 2002 dan ia kini membekalkan komponen logam teracu, pemasangan badan dan tiub brek kepada Perodua. IQM mula menghasilkan alat ganti Viva apabila pengeluaran model tersebut berakhir pada 2014, dan pada tahun lepas ia mula menghasilkan alat ganti Myvi generasi kedua di barisan pengeluaran khas yang baharu.


Perodua raih Emas Anugerah Jenama Putra untuk tahun ketiga berturut-turut

Majlis Anugerah Jenama Putra 2019 telah menyaksikan Perodua telah meraih Emas dalam kategori Automotif untuk tahun ketiga berturut-turut sebagai salah satu jenama automotif kegemaran Malaysia.

Perodua telah memenangi anugerah ini sebanyak sembilan kali dari sejumlah sepuluh tahun anugerah tersebut diadakan. Jenama automotif nasional ini telah memenangi Emas pertamanya pada tahun 2017 dan diikuti pada tahun 2018. Anugerah tersebut telah diterima oleh Naib-Presiden Perodua Auto Corporation Sdn Bhd Datuk Ahmad Suhaimi Hashim.

“Kami berasa rendah diri dengan pengiktirafan rakyat Malaysia terhadap jenama kami. Pengiktirafan ini memotivasikan dan menggalakkan kami untuk bekerja lebih keras seiring dengan objektif utama kami, iaitu People First, yang mengutamakan keperluan dan kehendak rakyat Malaysia,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad. 

“Perodua lebih daripada sekadar sebuah syarikat kenderaan. Pelbagai program dianjurkan merangkumi keselamatan, kesihatan, alam sekitar, pendidikan, belia, sukan dan aktiviti amal, hinggalah kepada inisiatif-inisiatif kepuasan pelanggan serta pembangunan modal insan, para pembekal dan pengedar, kami ingin menjadi jenama yang mampu memberi kesan positif dan nyata kepada rakyat Malaysia,” ujar Dato’ Zainal.

Anugerah Jenama Putra mengiktiraf jenama-jenama kegemaran Malaysia berdasarkan wawancara awam, yang telah melibatkan lebih 8,000 responden unik tahun ini.

Ia merupakan satu-satunya anugerah jenama di negara ini yang diperakui oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan dianjurkan oleh Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As). Acara ini disokong oleh Persatuan Digital Malaysia, Persatuan Pengiklan Malaysia dan Persatuan Pakar Media.
 

Perodua perluas inisiatif hijau dengan kempen anti-sampah

Perodua sedang bekerjasama dengan sebuah agensi kerajaan Malaysia bagi mendidik orang ramai untuk mengekalkan kebersihan persekitaran, bermula dengan jalan raya.

Pagi tadi, Perodua telah menjalinkan kerjasama dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) – sebuah agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan – pada Kempen 1:0 'Satu Kenderaan, Sifar Sampah' untuk mencegah pembuangan sampah dari kenderaan.

Kempen tersebut menyaksikan sukarelawan daripada Perodua dan SWCorp mengagihkan 500 tong mini di sebuah stesen minyak bersebelahan Plaza Tol Jalan Duta Lebuhraya PLUS menghala KL, untuk mengingatkan mereka membawa pulang sampah kecil mereka dan buang di tempat sepatutnya daripada membuangnya dari kenderaan.
 Para sukarelawan juga mempamerkan papan tanda berwarna-warni yang memaparkan mesej-mesej anti-sampah, manakala sepanduk dan gegantung telah ditempatkan dengan jelas untuk menarik perhatian para pemandu yang keluar dari plaza tol tersebut.

“Perodua berkongsi visi kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara yang lebih bersih dan hijau. Kami percaya kombinasi pendidikan dan penguatkuasaan akan memberi impak yang berterusan dan berkekalan kepada masyarakat kita,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Perodua berharap, pada Hari Merdeka Malaysia yang ke-62 ini, kita semua boleh memainkan peranan masing-masing dengan membuktikan kematangan minda kita dengan menjadikan kebersihan sebahagian daripada kehidupan.

“Kami berharap rakyat Malaysia dapat mengurangkan, mengguna dan mengitar semula sampah mereka sebaik yang mungkin. Setiap usaha ada permulaannya. Selepas rumah, kenderaan merupakan tempat yang paling lama kita luangkan masa dan jika kita boleh memastikan kenderaan kita bersih, maka secara tidak langsung ianya dapat mengubah kehidupan kita,” katanya.
Di kampus Perodua di Sungai Choh, terdapat Laman Hijau (taman rekreasi) dan ECO Garden seluas 1,500 meter, yang mana kedua-duanya menerapkan pelbagai unsur mampan. Kebanyakan bangunan di kampusnya juga dipasang dengan panel solar dan sistem penuaian air hujan.

Perodua adalah pengeluar Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) No 1 di Malaysia. Ia telah menghasilkan dan menjual lebih daripada 680,000 EEV sehingga kini, termasuk Axia, Bezza, Myvi generasi ketiga serta SUV tujuh tempat duduk, Aruz.


Perodua yakin atasi sasaran awal jualan 2019

Pada tahun 2018 yang lepas, Perodua menjual 227,243 kenderaan yang mana merupakan pencapaian jualan tahunan tertinggi dalam sejarahnya. Berbekalkan momentum ini dan prestasi semasa syarikat, Perodua telah meningkatkan sasaran jualannya untuk tahun ini kepada 235,000 unit, iaitu peningkatan sebanyak 4,000 unit daripada sasaran 231,000 unit yang diumumkan Januari lalu.
Separuh pertama 2019 telah menyaksikan Perodua mencapai peningkatan 4% dengan menjual kira-kira 121,800 kenderaan berbanding 117,100 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lepas. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato' Zainal Abidin Ahmad berkata, prestasi ini dicapai hasil permintaan yang memberangsangkan untuk semua modelnya. 190,765 tempahan telah diterima sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2019, , iaitu peningkatan lebih 3% daripada 184,949 tempahan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Peningkatan permintaan bagi kenderaan kami dalam tempoh enam bulan pertama 2019 telah memberi kesan positif terhadap ekosistem automotif secara keseluruhan, dengan pembelian komponen berjumlah RM2.7 bilion dalam tempoh kata Zainal.

"Berdasarkan ramalan kami untuk separuh kedua tahun ini, kami menjangkakan perbelanjaan sebanyak RM5.4 bilion untuk membeli komponen untuk keseluruhan 2019.
"Kami telah mencapai satu tahap di mana kami berusaha keras untuk membina jenama kami di luar negara secara berperingkat dan berterusan. Walau bagaimanapun, usaha ini memerlukan masa yang panjang. Kami berharap agar kami dapat membanggakan rakyat Malaysia," katanya.

Zainal menambah bahawa Perodua turut bekerjasama dengan Daihatsu Motor Company Jepun bagi membangunkan lagi pembekal komponen tempatannya dan meneroka pasaran di luar Malaysia, dan ini merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat untuk membina industri sokongan automotif Malaysia.
Mengenai ramalan untuk separuh kedua 2019, Data' Zainal berkata, "Bank Negara telah mengurangkan kadar overnight policy (OPR), yang mana membantu meningkatkan perbelanjaan pengguna."

"Perkembangan ini balk untuk industri, tetapi harus diingatkan bahawa tahun lepas terdapat insentif yang besar untuk membeli kenderaan, dengan adanya cuti cukai yang diumumkan selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14.
"Mengikut angka dalaman kami, industri telah mengatasi jangkaan pada separuh pertama tahun ini — jumlah jualan kenderaan (TIV) meningkat 2.4% kepada 296,800 unit," tambah Zainal.

Beliau menjelaskan bahawa insentif cuti cukai telah memberi kesan sementara kepada pasaran di mana syarikat automotif dan pengguna mengambil kesempatan daripadanya. "Dengan ini, kami percaya bahawa separuh kedua tahun ini tidak akan sehebat tahun lepas. Momentum pada separuh pertama mungkin menurun menjelang separuh kedua tahun ini," kata Zainal lagi.

Tertakluk kepada laporan rasmi Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Perodua menjangkakan Jumlah Keseluruhan Industri  TIV bagi 2019 akan kekal pada 600,000 unit.


Perodua sasar Aruz jadi SUV terlaris Malaysia Timur

Perodua mensasarkan SUV tujuh tempat duduk baharu mereka iaitu Perodua Aruz, akan menjadi SUV terlaris di Malaysia Timur, yang mana pasarannya didominasi oleh segmen tersebut.

"Perodua mensasarkan untuk mengembangkan lagi bahagian pasaran Malaysia Timur daripada 40% pada masa ini dan Perodua Aruz baharu akan menerajui perkembangan tersebut di wilayah ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato' Zainal Abidin Ahmad.

Semalam Dato’ Zainal telah menyempurnakan acara pelepasan Konvoi Perodua Aruz TransBorneo bertempat di Cawangan Perodua Kuching 1. Enam unit Perodua Aruz akan memulakan penjelajahannya dari Kuching, Sarawak ke Tawau, Sabah dengan jarak keseluruhan kira-kira 1,500 km bermula dari 16hb-22hb Mac 2019.

Di sepanjang penjelajahan, pasukan konvoi akan singgah di bandar-bandar utama termasuk Sibu, Bintulu, Miri, Kota Kinabalu, Ranau dan Sandakan untuk bertemu dengan komuniti dan pihak berkuasa tempatan bagi memperkenalkan serta memberi pengalaman pemanduan SUV baharu Perodua kepada mereka.
"Saya dengan berbesar hati ingin mengumumkan bahawa sejak pelancaran Perodua Aruz pada Januari lalu, lebih 4,000 unit telah diserahkan kepada pemiliknya daripada 14,000 tempahan di seluruh negara setakat ini.

"Sambutan yang menggalakkan daripada rakyat Malaysia telah mendorong kami untuk bekerja dengan lebih keras dalam memperbaiki tempoh masa penghantaran kami dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada anda," kata Dato' Zainal.

Beliau menambah bahawa ketinggian 220 mm dari aras tanah memberikan Perodua Aruz penglihatan keseluruhan yang baik buat pemandu, di samping itu menawarkan pemanduan yang selesa dan kemampuan merentasi keadaan jalan yang lasak atau berlopak dengan mudah.

Tambahan lagi, struktur body-on-frame menjadikan ia sangat tahan lama dan mampu menampung beban.

Tujuh tempat duduknya boleh dilaraskan dalam pelbagai cara untuk disesuaikan dengan gaya hidup pemilik. Turut ditawarkan, enam beg udara dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC) yang standard pada semua varian, ditambah juga Advanced Safety Assist 2.0 pada varian AV, menjadikan Perodua Aruz model yang diperakui dengan penarafan keselamatan 5-bintang ASEAN NCAP.

Tiada lagi kerisauan tentang jarak stesen petrol seterusnya kerana Perodua Aruz adalah  Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) yang diperakui kerajaan dengan penggunaan bahan api yang terbaik di kelasnya.

"Semua ini menjadikan Perodua Aruz sangat sesuai untuk Malaysia Timur yang mana model yang memberi nilai terbaik ini ditawarkan dengan harga RM74,900 untuk varian X dan RM79,900 untuk varian AV," kata Dato' Zainal.

1,025 Perodua Aruz didaftarkan akhir Januari 2019

Perodua telah menjual lebih 20,100 kenderaan pada bulan pertama tahun ini termasuk mencatat sebanyak 1,025 unit Aruz telah didaftarkan pada akhir Januari lalu - satu permulaan yang baik buat syarikat tersebut bagi tahun 2019.

"Walaupun berlaku sedikit kelewatan dalam proses pendaftaran Aruz, kami berjaya memaksimumkan penyerahan Aruz dalam jangkamasa yang singkat demi memanfaatkan cuti perayaan Tahun Baharu Cina," kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato' Dr. Zahari Husin.

"Masih lagi menunggu jumlah rasmi daripada MAA, kami menganggarkan bahagian pasaran Perodua adalah sebanyak 41.7% pada Januari 2019 dan pertumbuhan sebanyak 9.2% daripada 18,400 unit kenderaan Perodua yang dijual pada Disember 2018," katanya.

Berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas, Perodua telah menjual 20,100 unit  atau 13.6% lebih pada Januari tahun ini berbanding 17,700 unit yang dilakukan pada Januari 2018.

"Walaupun Aruz telah mendapat respon yang baik dengan tempahan sebanyak 8,000 unit setakat ini, model-model kami yang lain juga turut diterima baik dengan lebih daripada 19,000 unit telah didaftarkan pada Januari," kata Dato' Dr. Zahari.

"Permintaan yang tinggi untuk Aruz telah meningkatkan tempoh menunggu terutamanya bagi varian AV. Kami akan berusaha melakukan yang terbaik untuk mengurangkan tempoh menunggu tersebut," kata Dato' Dr. Zahari.

Beliau menambah bahawa pada masa ini, komposisi pesanan bagi Aruz adalah 85% untuk varian Advance (harga pada RM77,900 tanpa insuran) dan baki 15% adalah untuk varian X (harga pada RM72,900 tanpa insuran).

"Mengenai spekulasi peningkatan harga bagi Perodua Aruz, saya ingin menjelaskan bahawa kami akan mengekalkan harga Aruz (tanpa insuran) yang bernilai RM72,900 untuk varian X dan RM77,900 untuk varian Advance," kata Dato' Dr. Zahari.

Bagi permintaan model-modelnya yang lain, Dato' Dr. Zahari berkata jualan amat memberangsangkan dimana Perodua Myvi yang masih mengungguli jualan dengan lebih 8,400 unit dijual pada bulan Januari.

Model-model lain juga turut mengungguli segmen masing-masing dengan Axia, Bezza dan Alza dijual lebih 5,500 unit, 3,400 unit dan 1,600 unit pada bulan Januari.

"Sila berkunjung ke bilik pameran jualan Perodua yang terdekat dan bercakap dengan penasihat jualan kami yang sah mengenai tawaran-tawaran kami. Saya yakin kami mempunyai kenderaan yang sesuai dan tepat untuk keperluan permotoran anda," kata Dato' Dr. Zahari.

"Kepada mereka yang meraikan perayaan Tahun Baharu Cina, kami di Perodua mendoakan kemakmuran, kesihatan yang baik dan kebahagiaan bersama orang yang tersayang. Berhati-hati di jalan raya," katanya.

Perodua sasar jual 231,000 unit untuk tahun 2019

Perodua telah mencatatkan jualan tertinggi dalam sejarahnya pada tahun 2018, iaitu sebanyak 227,243 unit. Syarikat tempatan itu mensasarkan peningkatan sebanyak 1.7% kepada 231,000 unit menjelang akhir tahun 2019.

Angka ini disokong oleh kepopularitian Myvi dan pengenalan model Aruz baru-baru ini.
Myvi merupakan model terlaris Perodua pada tahun 2018, dengan 82,122 unit didaftarkan daripada 117,844 tempahan. Semenjak pelancarannya pada November 2017 sehingga kini, lebih 91,500 Myvi telah didaftarkan dari sejumlah 147,000 tempahan.
Sementara itu, Axia, Bezza dan Alza pula kekal mengungguli segmen masing-masing dengan
70,821, 49,911 dan 24,389 unit dijual dalam tahun 2018.

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menjangka peningkatan jumlah industri
keseluruhan (TIV) sebanyak 0.21% kepada 600,000 unit tahun ini berbanding 598,714 unit
tahun lepas. Persatuan itu menjelaskan bahawa perkembangan tahun lepas disebabkan cuti cukai
(tax holiday) yang berlangsung dari bulan Jun hingga hujung Ogos, dan andainya tiada
insentif baharu, pasaran dijangka kekal pada paras ini pada tahun 2019.

“Sasaran Perodua untuk meningkatkan jualannya sebanyak 1.7% tahun ini bukan
sahaja akan mengukuhkan jenama kami tetapi akan membantu industri automotif
Malaysia yang dijangka akan berkembang sedikit tahun ini,” kata Presiden dan Ketua
Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad kepada para media hari ini di
majlis makan tengahari Tahun Baru Cina syarikat itu.

“Bagi Perodua, Myvi dijangka terus popular tahun ini, dan sejak kami memulakan
tempahan untuk Aruz pada 3hb Januari, kami telah menerima hampir 5,700 tempahan
setakat ini. Memandangkan sasaran jualan kami 2,500 unit sebulan, angka ini sangat
menggalakkan,” ujar Zainal.

Perodua juga akan meningkatkan pembelian komponennya sebanyak 20%
daripada RM5 bilion tahun lepas kepada RM6 bilion tahun ini. Ini adalah selaras dengan
permintaan yang dijangkakan pada 2019 dan secara langsung akan memberi manfaat
kepada pembekal automotif tempatan.
Menurut Zainal, 219,000 kenderaan telah  dihasilkan daripada dua-dua kilang Perodua
Manufacturing Sdn Bhd dan Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd pada tahun 2018
dan syarikat tersebut mensasarkan peningkatan sebanyak 10.5% kepada 242,000
kenderaan pada tahun 2019.


“Perkhidmatan selepas jualan juga merupakan aspek yang sangat penting kepada kami kerana ia menyokong kami dalam pasaran yang berdaya saing ini. Kami akan menaiktaraf kepuasan
pelanggan kami untuk mengukuhkan lagi jenama kami di negara ini. Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia atas sokongan padu anda selama ini dan kami akan terus berusaha keras untuk memenuhi keperluan dan kehendak anda,” kata Zainal.

Perodua Aruz dibuka untuk tempahan, bermula RM72,200

Perodua Aruz, kini dibuka untuk tempahan dengan anggaran harga antara RM72,200 dan RM77,200 (harga atas jalan tanpa insurans di Semenanjung Malaysia). Kenderaan Sport Utiliti (SUV) tiga-barisan tujuh-tempat duduk ini merupakan model transformasi keempat mereka yang menandakan piawaian baharu dari sudut kualiti, ruang, kecekapan bahan api dan keselamatan yang diperakui dengan penarafan keselamatan 5-bintang oleh ASEAN NCAP.

Perodua Aruz ini ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.5 X dan 1.5 Advance, dengan lima warna iaitu putih Ivory White, perak Glittering Silver, biru Electric Blue, kelabu Granite Grey dan warna baharu, hijau Amazon Green.

"Dengan pelbagai aspek yang dipertingkatkan, Perodua Aruz adalah antara SUV yang menawarkan nilai terbaik di Malaysia," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato' Zainal Abidin Ahmad, sambil menambah bahawa kenderaan tersebut dilengkapi dengan waranti lima tahun/150,000 km (yang mana terdahulu).

"Perodua Aruz dijangka melengkapkan barisan produk kami yang sedia ada dan berdasarkan pakej produk yang ditawarkan, kami mensasarkan jualan purata bulanan sebanyak 2,500 unit atau 31,200 unit untuk tahun 2019," tambah Dato' Zainal.

Penarafan 5-bintang ASEAN NCAP bagi model baharu ini dicapai melalui penampilan ciri-ciri keselamatan seperti Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula-Daki (HSA), ISOFIX dan enam beg udara. Semua ciri-ciri tersebut terdapat pada semua varian.

Tambahan lagi, varian Advance menampilkan sistem bantuan pemanduan selamat (ASA) yang telah dipertingkatkan, dipanggil ASA 2.0.
 
Ciri-ciri baharu ASA 2.0 adalah pengesan pejalan kaki sehingga kelajuan pemanduan 50 km/j dan Amaran Pra-Pelanggaran dengan kelajuan operasi yang ditingkatkan sehingga 100 km/j dan 80 km/j untuk sistem Brek Pra-Pelanggaran. Sistem keselamatan ini juga menggabungkan Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan (Front Departure Alert) dan Kawalan Kesilapan Menekan Pedal (Pedal Misoperation Control).

ASA adalah sistem bantuan pemanduan yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran dan bukan gantian kepada pemanduan selamat. Sentiasa waspada dan berhati-hati ketika memandu.
"Perodua Aruz amat sesuai untuk keluarga dan mereka yang mempunyai gaya hidup yang aktif dan beraspirasi. Posisi tempat duduk yang tinggi memberikan penglihatan yang baik ketika memandu, manakala ruang yang luas dan susunan tempat duduk yang fleksibel menjadikan model ini serba boleh dan boleh disesuaikan dengan apa-apa aktiviti yang anda ingin lakukan," kata Dato' Zainal.

Trenkuasa yang cekap untuk Perodua Aruz dibina di Sendayan, Negeri Sembilan, terdiri daripada enjin empat silinder 1.5 liter blok aluminium dengan Dual VVT-i dan transmisi automatik yang dikawal secara elektronik (E-AT).

Ianya digabungkan dengan Sistem Melahu Eko (Eco Idle) untuk memberi kecekapan bahan api sehingga 15.6 km/l dan membolehkan ia diiktiraf oleh kerajaan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Memaparkan lampu depan LED dengan fungsi Follow-Me-Home (lampu auto pada varian Advance), Perodua Aruz juga diggayakan dengan rim aloi dwi-tona berukuran 17-inci, dengan ketinggian 220 mm dari aras tanah.

Akses Pintar dengan Butang Mula/Henti Enjin adalah standard untuk semua varian, manakala untuk varian Advance, lampu kabus dan rel bumbung ditambah untuk memberikan gaya yang lebih kepada varian tersebut.

Bahagian dalaman menyerlahkan lagi fungsi, gaya dan praktikal, di mana model ini turut dilengkapi dengan cangkuk anti-ragut untuk menghalang kecurian dan cangkuk utiliti di bahagian belakang kerusi.

Semua varian dilengkapi radio skrin sesentuh dengan paparan kamera undur, penghawa dingin digital dengan dua tetapan memori, corong penyaman udara untuk penumpang belakang dan alat pembaca kad tol terbina dalam.

Barisan tempat duduk kedua dibahagi 60:40, manakala barisan ketiga 50:50. Kedua-dua barisan tempat duduk ini boleh dilaras, dilipat dan digolek, menghasilkan banyak ruang dan konfigurasi untuk memenuhi setiap acara dan gaya hidup. Terdapat port pengecasan untuk ketiga-tiga barisan tempat duduk.

Bahagian dalaman untuk varian Advance adalah lebih eksklusif dengan kemasan kerusi kulit, stereng yang dibalut kulit dengan kawalan terima panggilan, serta perakam video memandu bersepadu. Varian teratas juga turut dilengkapi dengan HDMI, Smart Link, Bluetooth dan navigasi yang mana ditambah ke dalam sistem skrin sesentuh.

"Untuk maklumat lanjut mengenai Perodua Aruz, kami amat mengalu-alukan orang ramai untuk berkunjung dan bercakap dengan penasihat jualan kami yang sah di mana-mana cawangan jualan kami di seluruh negara.

"Perodua Aruz akan muncul di bilik pameran tidak lama lagi. Jangan tunggu lagi, tempah sekarang untuk menganjakkan gaya hidup anda untuk tahun baharu 2019!” kata Dato' Zainal.





Perodua Myvi juarai segmen Aras Mula di Anugerah Malaysia Car of the Year


Perodua Myvi telah diumumkan sebagai pemenang dalam segmen Aras Mula (Entry-Level) di majlis Anugerah Malaysia Car of the Year (MCOTY) 2018 yang diadakan di Saujana Hotel Kuala Lumpur pada malam Selasa yang lalu.

Dianjurkan oleh Institut Automotif Malaysia (MAI), acara tersebut turut dihadiri oleh Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, YABhg Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Datuk Ignatius Darell Leiking dan Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Dato’ Madani Sahari.
“Sejak dilancarkan pada November 2017, hampir 85,000 unit Perodua Myvi generasi ketiga telah dijual di Malaysia, daripada 138,000 tempahan setakat ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, YBhg Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh, yang naik ke pentas untuk menerima anugerah bagi pihak Perodua.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia di atas kepercayaan dan sokongan mereka terhadap Myvi kami.

“Kami gembira dan dalam masa yang sama berasa rendah diri kerana kami telah berjaya menambat hati rakyat Malaysia dengan menawarkan sebuah kereta yang disukai dan memenuhi keperluan mereka. Kami akan mengambil ini sebagai motivasi untuk kami berkhidmat dengan lebih baik lagi,” tambah Datuk (Dr) Aminar.

Populariti Myvi dapat dilihat semasa di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18), di mana Myvi GT, kereta rekaan yang sporty, telah berjaya menarik perhatian ramai.

“Reaksi positif pengunjung terhadap Myvi GT menjadi satu kejutan buat kami. Jadi sekiranya anda terlepas peluang untuk melihatnya di KLIMS18, kami memberi satu lagi peluang untuk melihatnya di pameran International Automodified Kuala Lumpur (IAMKL) yang julung kali berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hujung minggu ini dari 8hb hingga 9hb Disember!” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, YBhg Dato’ Dr Zahari Husin.

Anugerah tahun lalu menyaksikan kemenangan Perodua Bezza dan Perodua Myvi masing-masing di bawah kategori Bawah-RM50,000 dan RM50,001-RM60,000 manakala Dato' Dr Zahari Husin telah dinobatkan sebagai Automotive Man of the Year.

Di Anugerah MCOTY 2016, Perodua Bezza memenangi kategori Aras Mula (Entry-Level), Pilihan Ramai (People's Choice) dan Reka Bentuk Paling Signifikan (Most Significant Design Achievement).

Perodua sumbangkan 50 Myvi kepada Bomba dan IPT

Perodua akan menyumbang 50 buah Myvi kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak serta 25 institusi pengajian tinggi di seluruh negara untuk kegunaan mereka dalam latihan dan penyelidikan, menjadikan ia antara penyerahan kenderaan terbesar yang pernah dilaksanakan oleh syarikat tersebut.

“Kami menyumbang tujuh buah Myvi generasi terbaharu dan 43 buah Myvi generasi sebelumnya kepada organisasi-organisasi ini dengan harapan ia dapat dimanfaatkan di dalam penyelidikan, latihan dan pembelajaran mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

Datuk (Dr) Aminar menyerahkan kenderaan-kenderaan tersebut secara simbolik kepada wakil-wakil organisasi masing-masing dengan disaksikan oleh Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr Zahari Husin, di satu majlis yang diadakan di ibu pejabat Perodua di Sungai Choh semalam.

25 institusi pendidikan tinggi tersebut merangkumi universiti serta institusi vokasional, teknikal, latihan industri dan kemahiran belia.

“Sebagai syarikat People First, Perodua gigih memperkasakan golongan belia melalui pendidikan, kerana merekalah bakal pemimpin Malaysia dan peneraju masa hadapan industri automotif tempatan.

“Inisiatif-inisiatif pendidikan kami termasuk Perodua Eco Challenge dan Perodua Youth Training Programme (PYTP). PYTP merupakan program Tanggungjawab Korporat yang paling lama telah kami laksanakan, menghasilkan lebih 630 graduan sejak 1999,” kata Datuk (Dr) Aminar.

Awal tahun ini, Perodua telah mengadakan majlis konvokesyen untuk 141 belia yang dilatih dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran, melayakkan mereka untuk menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) berdasarkan kecekapan teknikal and vokasional.

Lebih 70% daripada mereka akan berkhidmat di pusat servis dan fasiliti Badan & Cat (Body & Paint) Perodua di seluruh negara.

“Dengan lebih sejuta unit dijual sejak kelahirannya pada tahun 2005, Myvi merupakan model kenderaan terlaris di Malaysia selama 13 tahun berturut-turut.

“Justeru itu, Myvi sangat sesuai untuk tujuan penyelidikan dan latihan tempatan kerana ia adalah model yang paling dekat mewakili kenderaan di Malaysia,” kata Datuk (Dr) Aminar.

Baru-baru ini, Perodua Myvi telah memenangi segmen Aras Mula (Entry-Level) di Anugerah Malaysia Car of the Year (MCOTY) 2018, anjuran Malaysia Automotive Institute (MAI).

Jumlah EEV Perodua capai 500,000 unit

Pengeluaran Kenderaan Cekap Tenaga (EEV)Perodua kini telah melebih setengah juta unit di Malaysia, sekaligus mengukuhkan statusnya sebagai syarikat pengeluar EEV No 1 negara.

“Jejak EEV kami bermula pada tahun 2014 dengan pengeluaran modelAxia, EEV pertama negara dan juga model Transformasi pertama kami. Ia diikuti duatahun kemudian dengan Bezza, sedan EEV pertama, dan seterusnya Myvi baharu pada tahun 2017.

“Saya dengan rendah diri ingin mengumumkan bahawa sejak pelancarannya masing-masing, sebanyak 342,600 unit Axia, 130,000 unit Bezza dan lebih 75,000 unit Myvi baharu telah menemui pemiliknya di Malaysia setakat ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.
Sejak kerajaan memperkenalkan klasifikasi EEV dalam Dasar Automotif Nasional 2014 (NAP 2014), lebih daripada 344,000 unit Axia, 130,800 unit Bezza dan 75,800 unit Myvi baharu telah dikeluarkan oleh Perodua di Sungai Choh.

Untuk diiktiraf sebagai EEV, sesebuahkenderaan itu harus sekurang kurangnya mencapai tahap kecekapan bahan api yang diuji mengikut piawaian UNECE R101 berdasarkan beratnya tanpa muatan. Axia, Bezza dan Myvi baharu kesemuanya mampu mencapai kecekapan bahan api melebihi 20 kilometer seliter.

“Kecekapan bahan api kenderaan kami menyumbang kepada kos operasi yang sangat rendah, dan juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia lebih bersih dan hijau serta trend global ke arah kenderaan yang lebih cekap bahan api.
“Kepada semua rakyat Malaysia, terima kasih kerana menjadikan Perodua jenama pilihan anda. Sokongan padu anda sepanjang 25 tahun ini menggalakkan kami untuk terus berusaha, kerana anda keutamaan kami,” tambah  kata Aminar.

Malahan, kilang Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd, yang mengeluarkan Axia dan Bezza, juga merupakan kilang bertaraf EEV pertama di Malaysia yang menggabungkan teknologi cekap tenaga dalam mengurangkan kadar pengeluaran pelepasan serta menetapkan piawaian baru dari segi kualiti, pengurusan kos dan penghantaran.

Komuniti Perodua sumbang RM1.1 juta kepada Tabung Harapan Malaysia





Komuniti Perodua, terdiri daripada kumpulan syarikat organisasi serta kakitangannya, telah menyumbang RM1.1 juta kepada Tabung Harapan Malaysia sebagai tanda sokongan kepada usaha kerajaan untuk mengurangkan jumlah hutang negara.


Pengerusi Perodua YBhg Tan Sri Asmat Kamaludin menyampaikan sumbangan tersebut kepada Menteri Kewangan Malaysia YB Tuan Lim Guan Eng di pejabatnya hari ini, disaksikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

"Sumbangan ini membuktikan bahawa Perodua dan kakitangan kami mahukan Malaysia yang lebih baik, dan kami berbesar hati menunjukkan tanda sokongan kami ini,” kata Tan Sri Asmat.
 Tabung Harapan Malaysia dilancarkan oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 30hb Mei 2018 untuk membantu kerajaan membayar balik jumlah hutang negara, yang melebihi RM1 trilion menurut Kementerian Kewangan.

Pelbagai organisasi, kumpulan dan individu telah menyumbang lebih daripada RM180 juta kepada Tabung Harapan Malaysia setakat akhir bulan Ogos.

“Kami memahami bahawa usaha mengurangkan jumlah hutang negara akan memakan masa yang lama, dan kami akan menyokong kerajaan masa kini dalam usaha membaikpulih semula ekonomi negara melalui eko-sistem automotif negara.

Untuk tahun ini, Perodua telah memperuntukkan RM5 bilion untuk membeli komponen kenderaan daripada pembekal-pembekalnya, yang kebanyakkannya adalah syarikat tempatan.

Perodua juga mensasarkan jualan kenderaan sebanyak 209,000 unit tahun ini, yang secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada pengedar bebas di seluruh negara.