KTMB cetus revolusi kesinambungan darat-laut

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), penyedia perkhidmatan rel nasional, mencapai satu lagi kejayaan luar biasa untuk perkhidmatan barangan di Malaysia dengan menawarkan penyelesaian pengangkutan yang lebih pantas dan cekap untuk pelanggan, melalui KTM Kargo lanjutan kerjasama dengan COSCO SHIPPING Lines, sebuah syarikat perkapalan berpangkalan di China yang beribu pejabat di Shanghai China.


 Upacara pelepasan kargo itu diadakan di Platform 1, Stesen Kuala Lumpur dengan membawa 40 gerabak dari Pelabuhan Klang ke Padang Besar.

 Perkongsian baharu ini ditetapkan untuk menghubungkan titik agihan utama ke pelabuhan laut di seluruh wilayah Semenanjung Malaysia, bagi menyediakan laluan perdagangan yang stabil, lebih murah dan lebih mudah untuk barangan import dan eksport. Ini akan menjimatkan masa transit dengan ketara kepada 4 hari secara kos efektif untuk semua pelanggan import dan eksport di kawasan pedalaman Malaysia, di samping meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan peluang pelaburan di negara ini.


Perkhidmatan jambatan darat rel-laut dijangka menyediakan pelanggan dengan penyelesaian logistik menyeluruh dari hujung ke hujung dengan gabungan kepakaran COSCO Shipping Lines dalam perkapalan dan logistik dalam rangkaian luas KTM Kargosebagai pengendali rel dan berpengalaman dalam sektor pengangkutan Malaysia.


Perkongsian ini ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin dan Pengarah Urusan COSCO Shipping Lines (Malaysia) Sdn. Bhd, Jamie Song Mingzhi. Turut menghadiri dan menyaksikan acara itu ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Timbalan Ketua Misi & Menteri Kedutaan Republik Rakyat China ke Malaysia, Tang Rui.


Menurut Anthony Loke, perkhidmatan itu dijangka menarik rakan kongsi daripada syarikat pengangkutan jalan raya, pengendali pelabuhan, penghantar kargo, pengendali terminal antara mod serta penyedia logistik pihak ketiga untuk bekerjasama dalam mengubah rantaian bekalan dan memperkemas perkhidmatan penghantaran. Ini juga selaras dengan Dasar Pengangkutan Negara (2019-2030) untuk meningkatkan ketersambungan logistik bagi menampung ledakan e-dagang, rancangan peningkatan dan pengembangan pelabuhan berterusan, dan meningkatkan produktiviti dan meningkatkan daya saing.

 Rani Hisham dalam satu kenyataan berkata "Kami mensasarkan untuk mengangkut 400 gerabak sebulan (800 TEU sebulan) meliputi Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Klang dan Padang Besar sebagai permulaan. COSCO kemudiannya akan mengembangkan liputannya ke Pasir Gudang dan Ipoh pada masa akan datang."