Yamaha Xmax 250 kan jadi perintis?

Pra-tonton Yamaha X-Max 250 untuk pasaran tempatan telah diadakan bersempena pelancaran Yamaha MT09 2018 pada 12 Januari 2018 lepas oleh HONG Leong Yamaha Motor (HLYM). Skuter menarik ini akan muncul dalam pasaran bermula Mac ini, dan belum ada gambaran harga yang diberikan secara rasmi, namun diyakinkan tentunya akan kompetitif dengan pesaing yang ada di pasaran sekarang.
Langkah untuk memasarkan model 250 cc tentunya memudahkan peminat skuter mahupun peminat baharu untuk menaiktaraf skuter atau moped mereka tanpa perlu meningkatkan lesen memandu mereka.

Setakat ini sebenarnya belum ada butiran rasmi yang diberikan mahupun diumumkan bagi jentera pemasangan tempatan ini, tetapi dijangka bahawa X-Max 250 keluaran Indonesia ini akan dilengkapi enjin 4-lejang 249cc SOHC sejejukan cecair yang mempu menghasilkan kuasa 20 hp pada 7,500 rpm dan tork sekitar 21Nm pada 6,000 rpm, menggunakan sistem transmisi V-Belt Automatik.
Pelananya amat selesa pada ketinggian 785mm bagi membolehkan ia nya diimbangkan dengan mudah di hentian lampu isyarat, disamping menyembunyikan ruang simpanan yang cukup luas untuk dua buah topi keledar.

Di pasaran Eropah, warna kelabu turut ditawarkan bagi skuter menarik ini. Mungkin di sini ia bakal ditawarkan dalam dua warna yang dipertontonkan iaitu putih dan merah hati (yang kelihatan sedikit keperangan) dan ia nya turut dilengkapi ciri brek anti-kunci ABS sebagai peralatan standard. Walaupun ini mungkin memberikan sedikit kesan kepada peningkatan harga, namun ia adalah ciri yang dirasakan amat penting bagi jentera beroda kecil sepertinya. Tayar hadapannya bersaiz 120/70 R15 manakala tayar belakangnya pula bersaiz 140/70 R14. Lebih diharapkan lagi, apakah mungkin bahawa Yamaha akan menawarkan sistem kawalan cengkaman bagi skuter X-Max 250 yang mempunyai dimensi 2160mm panjang, 790mm lebar dan setinggi 1,337 mm ini?
Seperti Yamaha NVX, skuter ini turut menggunapakai unit kunci pintar yang dipanggil Sistem Smart Key Keyless Ignition bagi penghidupan tanpa kunci, dan dilengkapi fungsi pelumpuhan enjin atau immobiliser. Unit lampu utama LED berada di depan kluster meter paduan paparan digital dan analog.  Soket mengecas turut dibekalkan pada skuter terbaharu ini.

Butiran rasmi akan kami berikan apabila ia nya diperolehi kelak menjelang pelancarannya pada Mac ini, namun mungkin ramai yang sudah mula merancang untuk membuat tempahan bagi skuter yang dijangka akan mendapat sambutan di negara ini. Apakah anda setuju bahawa harga di bawah RM24,000 mungkin berbaloi bagi skuter peringkat pertengahan berjenama ini....?



















Toyota Gazoo Racing kan beraksi di Johor hujung minggu ini

Vios Challenge akan bertandang ke Johor bagi separuh kedua musim perlumbaannya dengan lebih banyak pertembungan menarik antara pelumba bagi merebut kejuaraan. Masih banyak untuk dikumpul, oleh itu saingan dijangka lebih sengit pada 19 dan 20 Januari ini di litar dalam bandar yang disediakan di Medini City, Iskandar Puteri.

Ia bakal menjadi perlumbaan jalanan dengan litar yang sama sekali asing bagi semua pelumba. Dengan jentera Vios yang dibangunkan mempunyai kemampuan yang sama, hanya kemahiran setiap individu mengendaikan kenderaan yang akan memisahkan kedudukan di antara mereka. Formula perlumbaan seperti ini terbukti berjaya dengan aksi-aksi yang mendebarkan, seperti yang dapat dilihat pada dua perlumbaan sebelum ini, di Batu Kawan, Pulau Pinang dan MAEPS Serdang.

"Apabila kami memperkenalkan perlumbaan Vios Challenge ini, kami jangka akan dapat melihat peningkatan tahap persaingan antara pelumba dari semasa ke semasa. Tetapi, melihat sejak perlumbaan pertama sahaja sudah cukup untuk merasakan kehangatan acara ini, baik bagi pengunjung, mahupun untuk semua pelumba dalam ketiga-tiga kelas yang mempamerkan aksi pemanduan yang berkualiti. Ia sebuah pengalaman yang menakjubkan, dan menjadi acara yang wajib dialami sendiri oleh semua peminat sukan perlumbaan," ujar Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran.

Walaupun pada awalnya, perlumbaan bagi kategori Promotional diungguli oleh Shawn Lee, sedikit kesilapan yang dilakukan dalam perlumbaan terakhir di MAEPS Serdang menyaksikan kereta dipandunya berpusing pada pusingan pembukaan. Shukri Yahaya tidak melepaskan peluang keemasan untuk memanfaatkan kesilapan itu untuk muncul juara. Kemenangan berkenaan meletakkan Shukri hanya lima mata di belakang Shawn, sementara tempat ketika diduduki oleh Danny Koo yang ketinggalan 14 mata.  Semua pemandu ini berpeluang untuk muncul juara, begitu juga dengan satu-satunya pemandu wanita yang berjaya naik podium yang kini berada dikedudukan keempat.
Bagi kategori Sporting pula, aksinya tidak kurang mendebarkan, selepas perlumbaan di Kuala Lumpur menyaksikan muka baru muncul di podium bagi kedua-dua pusingan yang berlangsung. Pendatang baru, Brendan Anthony berjaya menjadikan impiannya untuk membantu jentera pasukan Dream Team mencapai kemenangan sulung menjadi kenyataan. Dalam pusingan kedua pula, Patrick Tam dari Team Nanoplus berjaya merampas kedudukan pertama, memberikan kemenangan pertama kepadanya dalam siri perlumbaan ini.
Brandon Lim 86
Dengan pencapaian menamatkan perlumbaan yang berterusan bagi Brandon Lim dari pasukan Tedco Racing di Batu Kawan dan MAEPS Serdang, beliau kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 57 mata dan mempunyai kelebihan 10 mata mengatasi Ken Foo. Patrick berada dibelakang dengan perbezaan mata yang tipis. Namun, Kenneth Koh, Brendan Anthony dan Jackson Tan mengikuti rapat di belakang dan akan berhasil untuk merampas kedudukan di atas sekiranya pendahulu-pendahulu melakukan walau hanya sedikit kesilapan.
Bagi kategori Super Sporting pula, saingannya lebih sengit antara tujuh pemandu profesional yang terpisah hanya dengan perbezaan 20 mata. Tengku Djan masih kekal mengungguli persaingan dalam kejuaraan ini, walaupun hanya mengumpul sembilan mata ketika perlumbaan di MAEPS Serdang. Tetapi, kelompok ini yang terdiri daripada Mitchell Cheah, William Ho, Mark Darwin, Shafiq Ali, Boy Wong dan Ser Ming Hui tetap mempunyai peluang yang masih terbuka untuk mengatasi Raja Drift Malaysia itu pada litar yang lebih lebar dan pantas di Medini nanti.

Hujan yang dijangka akan membuatkan permukaan litar lebih sukar, sekaligus menjadikan perlumbaan di Johor nanti dipenuhi lebih banyak aksi mencabar. Sama seperti sebelumnya, kemasukan ke acara Toyota GAZOO Racing (TGR) Racing Festival adalah percuma dan aktiviti akan bermula pada 9 pagi hingga 6.30 petang, pada 19 dan 20 Jan ini.

Untuk mendapatkan jadual terkini, maklumat lokasi serta apa saja perincian berkaitan Vios Challenge, layari laman rasmi Toyota GAZOO Racing Malaysia, akaun Instagram dan juga Facebook.

Honda susun perancangan sukan bermotor motosikal 2018 mereka

Tahun 2018 akan menyaksikan penglibatan berterusan Honda dalam sukan bermotor motosikal. Antaranya, di persada MotoGP, kelas perdana perlumbaan Grand Prix Dunia, Juara Dunia empat kali Marc Márquez, yang memenangi kejohanan 2017 untuk tahun kedua berturut-turut, dan Dani Pedrosa, veteran yang telah berkecimpung selama 13 tahun di kelas ini, akan terus berlumba untuk Team Repsol Honda, menunggang mesin kilang RC213V model 2018.

Selain itu, empat pelumba lain akan bertanding di MotoGP, iaitu Cal Crutchlow (LCR Honda CASTROL), Takaaki Nakagami (LCR Honda IDEMITSU) yang naik-taraf ke kelas MotoGP musim ini, Franco Morbidelli dan Thomas Lüthi (Estrella Galicia 0,0 Marc VDS).

Dengan sejumlah tiga pasukan dengan enam pelumba, Honda akan berusaha untuk memenangi MotoGP "Triple Crown" - pelumba, pembina dan kejohanan pasukan.

Dalam kelas Moto3, yang mana kejohanan tahun lalu dimenangi Honda, mereka akan membekalkan jentera NSF250RW model 2018 untuk 7 pasukan / 13 pelumba dan berusaha untuk memenangi kejuaraan tersebut untuk tahun kedua berturut-turut.

Dalam perlumbaan ketahanan Suzuka 8 Hour Race Endurance Road, yang merupakan pusingan akhir Kejohanan Dunia FIM Endurance (EWC), Takumi Takahashi akan berlumba untuk Team HRC bermula perlumbaan tahun ini untuk pasukan kilang Honda. Honda akan memilih pelumba lain untuk pasukan ini dari kalangan pelumba Honda yang bersaing dalam kejohanan dunia dan serantau.

Dalam kelas SS600 FIM Asia Road Racing Championship (ARRC), Md Zaqhwan Zaidi yang menamatkan musim 2017 di tempat kedua, dan Azroy Anuar yang baru bergabung dari IATC dan Tomoyoshi Koyama, juga tambahan baru, akan berlumba untuk MuSASHi Boon Siew Honda Racing, sebuah pasukan yang berusaha untuk mendapatkan semula kedua-dua gelaran kejuaraan pasukan dan pelumba. Selain itu, dalam kelas AP250, Pasukan Astra Honda Racing akan berlumba untuk kejuaraan berturut-turut mereka bagi musim 2018 ini.

Pasukan Ducati mulakan 2018 dengan gaya

Projek MotoGP 2018 kilang Borgo Panigale telah bermula semalam di Bologna, dan matlamat mereka amat mudah: kemenangan!

Ducati merupakan pasukan MotoGP pertama yang turun ke grid untuk mendedahkan projek 2018 mereka. Selepas musim 2017 hebat yang telah menyaksikan 'DesmoDovi' meraih enam kemenangan dan mengejar kejuaraan ke pusingan akhir, perhatian pemnat MotGP tetap tidak beralih dari pasukan Ducati bermulanya musim 2018. Rakan sepasukan Dovi iaitu Lorenzo juga menambah jumlah markah pada musim pertamanya di bawah jenama merah tersebut, dan pelumba Mallorca tersebut semakin menghampiri kemenangan pada akhir musim lepas setelah penyesuaiannya dengan jentera tersebut semakin serasi.
"Ia nya menakjubkan," kata Andrea Dovizioso mengenai Desmosedici dan liveri barunya. Pencabar Kejohanan tersebut telah memberikan persembahan yang luar biasa pada musim 2017, dan matlamat Dovi untuk musim yang akan datang adalah amat positif. Mengenai jentera baharunya, Dovi mengulas "Ia begitu cantik. Setiap motosikal yang saya naik memang cantik, tetapi yang ini mempunyai sesuatu yang berbeza. Kami telah menambah beberapa jalur kelabu, dan ia tampak lebih agresif dan lebih menakjubkan lagi. "
"2017 tidak mudah bagiku, kerana saya tidak memenangi sebarang perlumbaan," kata Jorge Lorenzo mengenai peralihannya ke jentera Desmosedici, "dan pada permulaan musim saya tidak dapat bertarung untuk podium. Tetapi saya bersabar dan saya tidak pernah berputus asa. Saya menikmati kemajuan yang berterusan, dan kini kami bersedia untuk musim 2018. Kami mempunyai hasil yang semakin baik sepanjang tahun. Kerja berpasukan sangat penting dan Ducati banyak membantu saya untuk menyesuaikan motosikal dengan gaya menunggang saya." Sekarang, sudah tiba masanya untuk melihat ke hadapan sekali lagi. "Saya fikir kedua-dua pasukan dan motosikal sudah sedia untuk menang," tegas pemain Sepanyol tersebut.