Aprilia kini bersama Moto Guzzi di Gasket Alley


Konglomerat motosikal dunia, Piaggio Group telah melantik Didi Resources Sdn Bhd in Malaysia, sebagai pengedar rasmi Aprilia di Malaysia. Jenama itu merupakan salah satu jenama premium yang berada di bawah payung Piaggio dan sebelum ini diedarkan oleh Kumpulan Naza.

Perlantikan pengedaran Aprilia oleh Didi Resources akan berkuatkuasa mulai 1 Ogos2018. Satu siri interaksi bersama media dan pelanggan telah dirancang bagi meneruskan kesinambungan jenama tersebut di negara ini.

Didi Resources yang juga merupakan pemilik pusat pameran dan servis Gasket Alley di Petaling Jaya Selangor akan menempatkan bilik pameran khusus buat kedua dua jenama Aprilia and Moto Guzzi, khidmat lepas-jualan dan juga servis yang akan di uruskan oleh sebuah pasukan teknikal yang dilatih khas oleh Aprilia.


Para pemilik Aprilia sedia ada dijamin akan mendapat khidmat pelanggan dan servis yang berterusan di bawah perlantikan baharu ini.

Pengerusi Didi Resources Sdn. Bhd., En Rewi Hamid Bugo berkata, "Kami amat berbesar hati untuk diberikan peluang untuk menguruskan Aprilia, jenama Piaggio Group yang berprestij untuk pasaran Malaysia. Ia melengkapkan kehadiran Moto Guzzi yang telah kami tubuhkan sejak Ogos 2017 dan melengkapkan rangkaian produk motosikal premium kami di bawah payung Piaggio. Melalui pengambilalihan ini, Didi Resources memberi komitmen kuat untuk membina jenama Aprilia melalui sokongan yang mendalam, mengukuhkan komuniti Aprilia dan memastikan penglibatan dengan jenama ini berterusan dalam suasana persekitaran dua roda yang kompetitif di Malaysia. "

Pengerusi & Ketua Pengarah Piaggio Vietnam merangkap Naib Presiden Eksekutif Dua Roda Asia Pasifik, En Gianluca Fiume, berkata, "Pelantikan Didi Resources adalah sebahagian daripada strategi perniagaan Piaggio untuk menggabungkan jenama motosikal Aprilia dan Moto Guzzi di bawah satu entiti tunggal bagi memaksimumkan kecekapan pengurusan merentasi semua aspek perniagaan dan menguatkan komitmen pelanggan kami di Malaysia. Kini dengan Aprilia dan Moto Guzzi di bawah satu bumbung, kami dapat menawarkan bakal pelanggan yang mencari pengalaman motosikal Itali yang unik yang disokong oleh prestasi unggul dan warisan yang kaya dengan jenama ini. Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan Didi Resources untuk memacu Aprilia dan Moto Guzzi ke tahap yang lebih tinggi. "