Lapor kenaikan harga melampau, pertahan hak kita

 

Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011  digubal kerajaan bagi mengawal harga barangan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Akta baharu ini telah diperkenalkan pada 1 April 2011. Akta baharu ini menggantikan Akta Kawalan Harga 1946. 

Pencatutan bermaksud mengambil keuntungan secara berlebihan (profiteering). Ia digubal bagi mewujudkan sebuah mekanisme bagi menghalang dan melarang peniaga menaikkan harga barangan tanpa sebab walaupun dalam pasaran terbuka sekalipun. Peniaga yang menaikkan harga barangan serta mengaut keuntungan berlebihan sesuka hati sehingga menyusahkan pengguna berdepan hukuman berat, sama ada didenda mahupun dipenjarakan. Perlaksanaan undang-undang itu mampu menghalang peniaga daripada menaikkan harga sesuatu barangan tanpa sebab di negara ini.

Pun begitu harus difahami bahawa penentuan pencatutan ditentukan mengikut penetapan harga dan kos di peringkat premis peniaga itu sendiri dan bukan dibandingkan dengan premis yang lain. Ini juga bermakna bahawa dalam pasaran terbuka sekali pun, peniaga tidak boleh sewenang wenangnya menaikkan harga melampaui margin keuntungan asal berdasarkan kos asal. 

Turutan laporan, Kementerian akan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 kepada peniaga yang berkaitan untuk mendapatkan butiran lanjut berhubung dengan maklumat harga dan kos barangan atau caj bagi perkhidmatan di premis itu.