Michael Jopp Ketua Jualan & Pemasaran baharu bagi Mercedes Benz Malaysia

Mercedes-Benz Malaysia hari ini mengumumkan pelantikan Michael Jopp sebagai Ketua Jualan & Pemasaran yang baru, Mercedes-Benz Cars, Malaysia & SEA II bermula 1 Julai 2019. Jopp menggantikan Mark Raine yang kini merupakan Naib Presiden Produk & Pemasaran di Mercedes-Benz Korea, setelah berkhidmat selama empat tahun di Malaysia.

 Ketua Rantau Asia Tenggara II Dr. Claus Weidner berkata, "Kami sangat gembira dengan penyertaan Michael Jopp dalam keluarga Mercedes-Benz Malaysia. Kami yakin bahawa dia akan dapat memimpin pasaran dan mengekalkan kedudukan kami di No.1 dalam pasaran automotif premium Malaysia, dengan pengalaman industri yang kaya dan kepakaran dalam Jualan & Pemasaran. Jopp juga akan memainkan peranan utama dalam strategi pelanggan kami, mengambil pendekatan holistik terhadap kecemerlangan automotif dengan menyediakan satu pengalaman jenama dengan portfolio produk yang kukuh bagi  pelanggan kami".
Sebelum menyertai Mercedes-Benz Malaysia, Jopp berkhidmat sebagai Naib Presiden Jualan dan Pemasaran di India selama tempoh hampir 3 tahun. Semasa beliau di sana, Mercedes Benz India menduduki tangga teratas Kepuasan Jualan JD Power serta melihat pelbagai inisiatif digital baru diperkenalkan. Jopp telah memainkan peranan penting dalam mengekalkan kedudukan Mercedes Benz India sebagai pemimpin dalam segmen kenderaan mewah, yang berakhir pada tahun 2018 sebagai pembuat kereta mewah paling laris untuk tahun keempat berturut-turut di negara tersebut.
Beliau mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam industri automotif, terutamanya yang berkaitan dengan Daimler dan Mercedes-Benz di Jerman.
Berkelulusan MBA dari Goizueta Business School, Jopp gemar bermain golf dan mengembara dalam masa terluangnya.

Kami mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Mark Raine sepanjang khidmatnya di negara ini, dan mengalu alukan kehadiran Michael Jopp ke dalam industri automotif negara ini. Selamat datang!

PUSPAKOM tidak kompromi keselamatan kenderaan

Berikutan insiden seorang pelajar darjah enam yang maut akibat jatuh dari bas sekolah yang sedang bergerak, PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) telah menghantar laporan pemeriksaan bas sekolah selepas kemalangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada petang semalam (10 Julai 2019). Ini berikutan pemeriksaan kemalangan ke atas bas sekolah tersebut bersama dengan PDRM, JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang dilakukan pada 9 Julai 2019.

PUSPAKOM tidak boleh memberi komen mengenai laporan tersebut secara lebih lanjut kerana ia di bawah siasatan polis. Walau bagaimanapun, PUSPAKOM ingin menegaskan bahawa PUSPAKOM tidak sesekali berkompromi terhadap kenderaan yang tidak mengikut piawaian yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut data pemeriksaan PUSPAKOM bagi bas-bas sekolah bagi tempoh 1 Julai 2018 hingga 30 Jun 2019, daripada lebih 26,000 pemeriksaan berkala bagi bas-bas sekolah, sebanyak lebih 7,300 bas sekolah atau 28% telah gagal pemeriksaan PUSPAKOM kerana tidak mengikut piawaian pemeriksaan. Ini merangkumi bahagian atas dan bawah kenderaan, brek, sistem gantungan kenderaan, gelincir sisi, asap dan lain-lain lagi yang tertakluk dalam skop pemeriksaan. Rekod ini jelas menunjukkan bahawa PUSPAKOM tidak sewenang-wenangnya meluluskan kenderan yang tidak menepati skop dan piawaian pemeriksaan.

Bas di dalam insiden di Kelantan tersebut telah melalui pemeriksaan berkala pada bulan Mei, dan berdasarkan rekod dan gambar-gambar pemeriksaan, PUSPAKOM telah memeriksa bas sekolah tersebut mengikut skop dan piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Kesemua item pemeriksaan pada bas sekolah tersebut adalah dalam keadaan baik.

Sehubungan itu, PUSPAKOM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian yang tidak berasas yang boleh menambahkan lagi kesedihan keluarga mangsa dan serahkan kes ini kepada pihak polis untuk membuat siasatan yang menyeluruh.

Kenyataan Media
Jabatan Komunikasi dan Perkhidmatan Pelanggan

PUSPAKOM Sdn Bhd
12 Julai 2019