Afif Amran menerima suntikan semangat





Pelumba Malaysia, Ahmad Afif Amran menerima suntikan semangat bagi menghadapi musim 2014 apabila menerima anugerah penghargaan 'Spirit Of Challenge ' Yamaha dalam satu majlis khas anjuran Yamaha Motor Sports di sini, semalam.

Bertempat di Hotel Sama-Sama, Sepang, anugerah ini diberikan sebagai tanda penghargaan kepada pelumba-pelumba Yamaha seluruh dunia yang telah meraih pelbagai kejayaan di dalam sukan permotoran.

Selain itu, Yamaha Motor Co Ltd turut berhasrat menjadikan anugerah ini sebagai dorongan kepada pelumba-pelumba sokongan Yamaha untuk terus meraih kejayaan dalam kejuaraan masing-masing.

Pemilihan Afif berdasarkan kepada pencapaian cemerlang sepanjang musim 2013 setelah meraih gelaran juara keseluruhan CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, muncul naib juara keseluruhan Underbone 115cc Kejuaraan Motosikal Asia PETRONA (ARRC) selain turut muncul juara keseluruhan Kelas B SuperSports 600cc di dalam saingan Super Siri Malaysia (MSS).

Selain Afif, pelumba Asia yang turut menerima anugerah ialah Katsuyuki Nakasuga dari Jepun, bekas juara ARRC, Decha Kraisart dari Thailand, Vingie Coloma dan Sigit Purno Harjono, masing-masing dari Filipina dan Indonesia.

"Saya begitu gembira kerana menjadi pelumba Malaysia pertama yang menerima anugerah ini. Saya begitu terkejut selepas dimaklumkan bakal menerima penghargaan ini pada minggu lepas," jelas Afif.

Mengulas tentang perancangannya pada musim ini, Afif berkata, "Saya akan beralih ke kelas CP130. Pada peringkat awal, sudah tentu saya agak berdebar kerana bakal berhadapan dengan pelumba-pelumba berpengalaman negara. Namun, pada masa sama, saya tidak sabar untuk melihat kemampuan beraksi dalam kelas perdana dan anugerah yang diterima ini turut meningkatkan semangat saya untuk memberikan aksi terbaik."

Tambah Afif, "Pasukan mahu melihat saya berada di kelompok lima pelumba teratas namun secara peribadi, saya mahu mengutip mata secara konsisten pada setiap perlumbaan. Kami tidak tahu keupayaan sebenar dan peluang untuk memenangi kejuaraan, namun saya tidak akan melepaskan sebarang peluang yang terhidang,' jelasnya.