Kawasaki ZX10R sudah dikenali ramai dek kerana kuasa dan kawalannya, dan mungkin ramai yang menganggap model 2008 cuma pembaharuan kosmetik seperti yang lazim dilakukan sesetengah syarikat pengeluar motosikal.
Mungkin kali ini anda silap, kerana model superbike perdana dari Kawasaki ini sebenarnya jentera serba baru yang direka semula, menggabungkan beberapa ciri pembaharuan. Chasis serba baru dari jenis kerangka dwi-tiub merupakan hasil pembangunan jentera Pasukan World Superbike Kawasaki, yang digabungkan dengan lengan-ayun serba baru. Maklumbalas jentera dan kestabilan kerangka ini sememangnya amat nyata berbeza dengan model model terdahulu, menjadikan ia jentera yang lebih diyakini dalam kelas nya.
Kawalan enjin elektronik(ECU)nya juga kini menggabungkan Kawasaki Ignition Management System KIMS, yang membantutkan nyalaan dan peningkatan kuasa di kala kenaikan rpm yang luarbiasa. Ini akan mengelakkan kilasan roda luar-kawal (wheelspin) dan mengelakkan jentera membuang di selekoh atau jalan licin, menjadikan ianya jentera yang lebih selamat, walaupun mungkin sedikit sebanyak mengecewakan peminat wheelie.
Menunggang-uji Kawasaki ZX10R 2008 untuk perjalanan hampir 1000km cukup mengujakan dan lebih dari mencukupi untuk memberikan gambaran tentang kemampuannya. 10-R ini sememangnya jentera litar yang disesuaikan untuk jalanraya dengan pemasangan aksesori wajib jalanan, seperti cermin sisi. Itu pun, ianya mudah dilipat jika perlu, agar tidak mengganggu tunggangan. Malah bahagian ekornya juga mudah dibuka untuk kegunaan trek. Kawasaki masih mempercayai posisi ekzos sisi adalah yang terbaik, dan ekzos rekabentuk baru ini juga lebih senyap.
Pada permulaan sesi, beg tangki jenis magnet melekap digunakan untuk membawa keperluan dan kamera penulis, namun didapati ianya menghalang posisi rapat-tangki yang diingini apabila kelajuan semakin tinggi. Mujur ada getah pengikat dan juga tali yang sering berada di dalam beg, maka beg-tangki dipindah ke pelana belakang. Ujian pecutan memang menepati andaian bagi jentera 4-selinder 4-lejang 998cc DOHC 16-injap ini. Konfigurasi oversquare dengan gerek 76mm dan jejang 55mm dan mampatan 12.9:1 ini mampu memembawa jentera 179kg ini mencecah 150kmh tatkala rpm mencecah permulaan zon hijau-selesa 6,000rpm, hingga 250kmh pada 10,000rpm, sebelum terhad pada 12,000rpm. Namun begitu, jentera ini membei pilihan mengubah pintasan atau cut-off rpm untuk selarasan peribadi. Pembehentian adalah meyakinkan dan terkawal dengan angkup Tokico dwi-cakera hadapan 310mm dan 220mm dibelakang, semuanya dalam rekabentul kelopak (petal) menarik ala jentera GP.
Dengan maklumbalas mantap dan stabiliti jentera yang menyakinkan, bukan berapa laju jentera ini yang menjadi persoalan, tetapi kemampuan kita sahaja yang membataskannya. Pendekata, ianya cukup lawas untuk kegunaan di litar Sepang, malah lurusan belakang (back-straight) litar Sepang pun mungkin tidak cukup panjang untuk jentera ini jika dihenyak maksima. Jalanraya memang bukannya trek lumba, namun keterujaan jentera mungkin membuat kita hilang kawalan realiti. Bersabar di jalanraya......
Enjin: 4-lejang 4-selinder 998cc sejukan cecair DOHC 16-injap suntikan bahanapi
Transmissi: 6-kelajuan
Kuasa max dgn ram-air: 147.1kW (200ps)@ 12,500rpm
Tork max : 113Nm (11.5kgf.m)@ 8,700rpm
Kelajuan: +300kmh
Harga RM78,900
"Jentera direka litar, kegunaan jalanraya"