Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor tampilkan barisan menyengat

Juara berganda CP115 musim 2016 dan 2017 Md Akid Aziz akan beralih ke kategori CP150 untuk bergandingan bersama juara CP130 2017 dan juara CP150 2017, Kasma Daniel Kasmayuddin serta Mohd Ramdan Rosli, juara CP115 2010 dalam pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor.

Penampilan kesemua para juara sebagai satu pasukan sebegini walaubagaimana pun tidak menggusarkan Akid sebagai pendatang baharu CP150, dalam menghadapi pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 yang akan berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Johor, hujung minggu 31 Mac dan 1 April ini.

“Situasi ini agak mencabar namun pada masa sama sangat menarik. Selain bersaing sengit bersama pelumba berpengalaman yang lain, kami saling cabar-mencabar di dalam satu pasukan untuk mendapatkan yang terbaik,” jelas Akid yang juga merupakan juara Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) 2017.

Tambahnya. “Walaupun bertindak selaku pelumba ‘rookie’, saya tidak tertekan kerana sudah biasa mengendalikan jentera 150cc ini di peringkat Asia, jadi saya tidak ada masalah kekok untuk beraksi dengan jentera Yamaha Y15ZR.
“Cuma, jika di Asia Road Racing, litarnya lebih lebar, jadi saya dapat menggunakan jentera ke tahap maksimum berbanding di litar Cub Prix. Litar yang lebih pendek dan selekoh yang lebih sempit dan sangat mencabar. Kalau di litar saya terpaksa ‘berlawan’ dengan Kasma dan Ramdan, namun di paddock saya akan banyak belajar dan bertanya kepada mereka.”