Honda Asia Dream Racing sertai ASB1000 ARRC 2019

Honda Group of Companies Asia & Oceania meneruskan komitmen mereka untuk mengukuhkan lagi pembangunan sukan permotoran di rantau Asia dan Oceania. Dalam satu sesi pengumuman bersama media selepas Perlumbaan 1 pusingan akhir Kejuaraan Motosikal Asia FIM di Thailand, Honda mengumumkan pembentukan pasukan Honda Asia Dream Racing yang akan membawa cabaran Honda di dalam kelas ASB1000cc bermula musim depan.
 Pasukan ini akan diwakili oleh pelumba tunggal dari Malaysia, Mohd Zaqhwan Zaidi bersama-sama Makoto Tamada yang akan bertindak sebagai Pengurus Pasukan dan Zulhelmi Ahmad sebagai Penolong Pengurus Pasukan.

Pasukan ini juga akan dianggotai oleh tenaga-tenaga dari Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Sebagai persediaan meghadapi cabaran kelas ASB1000, Zaqhwan telah menyertai saingan JSB1000 Kejuaraan Seluruh Jepun di sepanjang musim 2018 selain pasukan ini turut menyertai perlumbaan berprestis Suzuka 8 Hours di mana mereka menamatkan saingan di kedudukan ketujuh.

Azlan Shah wakili pasukan ONEXOX TKKR Racing Team bagi ASB1000 ARRC


Pelumba berpengalaman negara, Azlan Shah Kamaruzaman akan bersama pasukan ONEXOX TKKR Racing Team bagi menghadapi saingan kategori ASB1000 pada Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) musim 2019.


Pelumba berusia 34 tahun itu akan beraksi menggunakan jentera BMW S1000 RR.

“Azlan merupakan antara pelumba terbaik di Malaysia ketika ini. Saya agak terkejut memandangkan dia tidak diikat oleh mana-mana paukan pengeluar, jadi ia merupakan satu peluang baik kepada pasukan kami untuk memiliki pelumba berkaliber seperti Azlan di dalam pasukan,” jelas principal pasukan ONEXOX TKKR Racing Team, Bobie Farid.
 “Tidak ada pelumba lain yang memiliki pengalaman luas sepertimana yang ada pada Azlan,” jelas Bobie merujuk kepada pencapaian Azlan selama ini bermula dari siri Kejuaraan Cub Prix sehingga menjadi pelumba terbaik ARRC dan seterusnya menimba pengalaman di dalam kelas Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia.

Saingan musim 2019 menyaksikan pasukan ONEXOX TKKR Racing akan menyertai semua kelas di dalam siri Kejuaraan Cub Prix Malaysia dan juga ARRC. Pasukan tersebut juga sedang membuat perancangan untuk membuat penampilan pertama di dalam siri Kejuaraan Motosikal Sepanyol (CEV).