Motosikal Dibenar Guna Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya

http://www.bernama.com.my/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=337563

KUALA LUMPUR, 5 Jun (Bernama) -- Penunggang motosikal kini dibenarkan menggunakan Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya berkuatkuasa hari ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohd Zin Mohamed.

Dalam kenyataannya di sini, beliau berkata keputusan ini diambil setelah mengambil kira kepentingan pengguna lebuh raya terutama para penunggang motosikal.

Mohd Zin turut berkata tindakan ini secara tidak langsung dapat menggalakkan pengguna menggunakan motosikal ekoran kenaikan harga minyak yang diumumkan oleh kerajaan semalam.

Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya sepanjang 26 kilometer menghubungkan ibu negara ke Putrajaya, Cyberjaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang dan dibuka secara rasmi pada 13 Dis 2007.

-- BERNAMA

Motosikal dibenar gunakan Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH)

http://www.bernama.com/bernama/v3/bm/news_lite.php?id=340725

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) -- Penunggang motosikal pelbagai kelas kini dibenarkan menggunakan Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) berkuatkuasa hari ini, kata Menteri Kerja Raya Datuk Ir Mohd Zin Mohamed. Beliau berkata ini adalah lebuh raya kedua yang dibuka kepada motosikal pada bulan ini.

Pada 5 Jun lepas penunggang motosikal pelbagai kelas telah dibenarkan menggunakan Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya atau yang kini dikenali sebagai Maju Expressway, katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Beliau berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira peningkatan harga minyak yang menyebabkan rakyat, terutama sekali golongan berpendapatan rendah di bandar raya, yang kini lebih cenderung menjadikan motosikal sebagai pengangkutan utama untuk ke tempat kerja.

"Tindakan ini merupakan sebahagian inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat terutama ketika berhadapan dengan krisis harga minyak global dan kenaikan sara hidup," katanya.

Mohd Zin berharap pemegang konsensi lebuh raya itu serta polis akan melakukan pemantauan yang ketat bagi mengelakkan penyalahgunaan lebuh raya itu, terutama sekali untuk perlumbaan haram.

Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur yang dibuka pada tahun 2001, yang sepanjang 7.4 kilometer, dikendalikan oleh syarikat konsensi Projek Lintasan Kota Sdn Bhd (PROLINTAS).

-- BERNAMA