Pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff semakin meniti puncak kecemerlangan dalam kariernya.
Aizat antara pelumba paling konsisten dalam kelas CP115 kerana selepas mengharungi empat pusingan dia tidak pernah gagal untuk menjejak kaki di podium kemenangan.
Dia sudah meraih empat gelaran naib juara dalam kelas tersebut, sekali gus membolehkannya untuk mendahului kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 80 mata.
Minggu ini, dia sudah pasti mahu mengubah kedudukan selaku naib juara yang sering diperolehnya kerana bakal mendapat suntikan semangat daripada para penyokong di negeri kelahirannya apabila turun beraksi pada Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas yang akan berlangsung di Litar Permotoran Kompleks Sukan Negeri Kuala Nerus, Terengganu pada 23 hingga 24 Ogos.
Walaupun ia merupakan litar baharu buat semua pelumba, tetapi aksi di tempat sendiri bakal dipergunakan sebaik mungkin oleh Aizat untuk mengubah reputasi selaku ‘pakar naib juara’ kepada status juara.
Ia bukan perkara mustahil untuk direalisasikan kerana prestasinya setakat ini boleh dianggap paling konsisten.
Empat kali muncul naib juara adalah sesuatu yang boleh dibanggakan, dan ia membuktikan dia juga memiliki jentera yang sangat stabil.
Beberapa pelumba kelas CP115 yang muncul juara di setiap pusingan sebelum ini seperti Md Syafiq Rosli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) mahupun Md Adib Rosley dan Md Fareez Afeez Abd Rahman (Motul Yamaha YY Pang Racing), tidak berupaya mempertahankan rentak konsisten, malah turut gagal menamatkan perlumbaan.
Syafik pernah muncul juara sebanyak dua kali iaitu pada pusingan 2 dan 4 namun dia gagal menamatkan perlumbaan pada saingan pembukaan dan juga di Pusingan 3.
Begitu juga dengan nasib Fareez yang muncul juara Pusingan 1, namun prestasinya merundum pada
Adib pula bergelar juara pada Pusingan 3, namun kurang menyerlah di pusingan lainnya.
Menyedari rentak yang kurang konsisten itu, Adib kini tidak meletakan sebarang sasaran pada saingan di Terengganu nanti kerana masih belum mengetahu keadaan litar di sana.
“Saya hanya mahu mengumpul mata sebanyaj mungkin dan cuba untuk mencari penyesuaian secepat mungkin dengan keadaan litar. Selain itu, saya harap pelarasan jentera berada dalam keadaan terbaik,” jelas Adib yang tidak menolak kemungkinan bakal berdepan cabaran sengit daripada Aizat.
Setakat ini, rentak konsisten yang dipamerkan oleh Aizat membuktikan pelarasan jentera Yamaha yang ditunggangnya tetap stabil tanpa berdepan dengan masalah mekanikal.
Keadaan itu yang diharapkannya apabila mengharungi saingan di Kuala Terengganu minggu ini bagi merealisasikan misinya untuk bergelar juara di negeri kelahiran sendiri.
Selepas mengharungi empat pusingan setakat ini, Aizat terus unggul memimpin kedudukan keseluruhan dnegan 80 mata diikuti Md Khairi Asyraf Mahmood (Motul Yamaha YY Pang Racing) yang sudah mengumpul 51 mata.
Pelumba asal Perak, Md Syafik Rosli pula menghuni tempat ketiga keseluruhan dengan 50 mata.
Bagi kategori berpasukan pula, pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing selesa mendahului kedudukan dengan 104 mata.
INFO
Kedudukan Keseluruhan CP115 (5 Teratas)
Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 80 mata
Md Khairi Asyraf Mahmood (Motul Yamaha YY Pang Racing) – 51
Md Syafiq Rosli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) – 50
Md Fareez Afeez Abd Rahman (Motul Yamaha YY Pang Racing) – 49
Md Adib Rosley (Motul Yamaha YY Pang Racing) – 41
Kedudukan pasukan
Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 104 mata
Motul Yamaha YY Pang Racing – 90
Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor – 64
Idemitsu Honda Yuzy Racing – 56
ONEXOX TKKR SAG Team – 41