Perodua telah menjual lebih 20,100 kenderaan pada bulan pertama tahun ini termasuk mencatat sebanyak 1,025 unit Aruz telah didaftarkan pada akhir Januari lalu - satu permulaan yang baik buat syarikat tersebut bagi tahun 2019.
"Walaupun berlaku sedikit kelewatan dalam proses pendaftaran Aruz, kami berjaya memaksimumkan penyerahan Aruz dalam jangkamasa yang singkat demi memanfaatkan cuti perayaan Tahun Baharu Cina," kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato' Dr. Zahari Husin.
"Masih lagi menunggu jumlah rasmi daripada MAA, kami menganggarkan bahagian pasaran Perodua adalah sebanyak 41.7% pada Januari 2019 dan pertumbuhan sebanyak 9.2% daripada 18,400 unit kenderaan Perodua yang dijual pada Disember 2018," katanya.
Berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas, Perodua telah menjual 20,100 unit atau 13.6% lebih pada Januari tahun ini berbanding 17,700 unit yang dilakukan pada Januari 2018.
"Walaupun Aruz telah mendapat respon yang baik dengan tempahan sebanyak 8,000 unit setakat ini, model-model kami yang lain juga turut diterima baik dengan lebih daripada 19,000 unit telah didaftarkan pada Januari," kata Dato' Dr. Zahari.
"Permintaan yang tinggi untuk Aruz telah meningkatkan tempoh menunggu terutamanya bagi varian AV. Kami akan berusaha melakukan yang terbaik untuk mengurangkan tempoh menunggu tersebut," kata Dato' Dr. Zahari.
Beliau menambah bahawa pada masa ini, komposisi pesanan bagi Aruz adalah 85% untuk varian Advance (harga pada RM77,900 tanpa insuran) dan baki 15% adalah untuk varian X (harga pada RM72,900 tanpa insuran).
"Mengenai spekulasi peningkatan harga bagi Perodua Aruz, saya ingin menjelaskan bahawa kami akan mengekalkan harga Aruz (tanpa insuran) yang bernilai RM72,900 untuk varian X dan RM77,900 untuk varian Advance," kata Dato' Dr. Zahari.
Bagi permintaan model-modelnya yang lain, Dato' Dr. Zahari berkata jualan amat memberangsangkan dimana Perodua Myvi yang masih mengungguli jualan dengan lebih 8,400 unit dijual pada bulan Januari.
Model-model lain juga turut mengungguli segmen masing-masing dengan Axia, Bezza dan Alza dijual lebih 5,500 unit, 3,400 unit dan 1,600 unit pada bulan Januari.
"Sila berkunjung ke bilik pameran jualan Perodua yang terdekat dan bercakap dengan penasihat jualan kami yang sah mengenai tawaran-tawaran kami. Saya yakin kami mempunyai kenderaan yang sesuai dan tepat untuk keperluan permotoran anda," kata Dato' Dr. Zahari.
"Kepada mereka yang meraikan perayaan Tahun Baharu Cina, kami di Perodua mendoakan kemakmuran, kesihatan yang baik dan kebahagiaan bersama orang yang tersayang. Berhati-hati di jalan raya," katanya.