Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. tawarkan program Waranti Lanjutan

Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd.
("HLYM") kini menawarkan program Waranti Lanjutan bahsru untuk pelanggan di
Malaysia. Program ini membolehkan pelanggan mereka menikmati nilai produk yang lebih baik dan perlindungan yang lebih lama untuk motosikal yang dimiliki mereka.
Pelanggan kini mendapat perlindungan tambahan untuk satu tahun tambahan, iaitu lanjutan dari waranti pengilang selama setahun yang sedia ada, dengan pembelian motosikal Yamaha baru. Program Waranti Lanjutan ini memberikan dua tahun
liputan atau sehingga 20,000km, yang mana terdahulu.

Perlindungan ini meliputi motosikal yang didaftarkan pada atau selepas 1 Julai 2019, dan termasuk semua model Yamaha yang dikeluarkan oleh HLYM Malaysia.

"Dengan ciri baru ini, HLYM berharap dapat meningkatkan keyakinan pengguna,
serta daya saing Yamaha dalam industri automotif Malaysia yang akan membantu membawa kesan positif kepada industri secara keseluruhan," kata Pengarah Urusan HLYM Dato' Jim Khor.

HLYM juga telah menyediakan senarai semak pra-penghantaran untuk faedah pelanggan selepas menerima motosikal baru mereka. Pengesahan dijalankan oleh pengedar sah Yamaha untuk memastikan semua motosikal disampaikan dalam keadaan terbaik, ke arah peningkatan kepuasan pelanggan.

Butiran lanjut boleh anda dapati di sini: http://www.yamaha-
motor.com.my/wp-content/uploads/2019/06/Extended%20Warranty-BM.pdf


Akhirnya Adib naik podium

 
Usaha Mohd. Adib Rosley sepanjang musim ini yang tidak pernah jemu untuk mengejar kedudukan podium akhirnya berjaya direalisasikan.
"Saya sudah mengotakan janji untuk berada di podium kemenangan. Hari ini saya sudah melakukannya walaupun hanya muncul naib juara. Terima kasih kepada pasukan.”

Itu kata-kata yang diungkap oleh pelumba pasukan RCB Accentwire Yamaha YYPang Racing Team itu sebaik tamat Perlumbaan 2 kelas Underbone 150 pada Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2019 di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun hari ini.

Pada perlumbaan yang berlangsung di litar yang agak basah itu gara-gara hujan, Adib muncul naib juara dengan catatan masa 14’15.759 saat (s).

Walaupun dilihat berpeluang untuk bergelar juara, namun kesilapan yang dilakukan Adib ketika perlumbaan berbaki dua pusingan telah memberi ruang kepada pelumba berusia 13 tahun dari Indonesia, Aldi Satya Mahendra (Yamaha Racing Indonesia) untuk memintasnya.

Aldi yang baharu menyambut harijadinya Jumaat lalu, memenangi lima pusingan perlumbaan itu dengan catatan masa 14’15.462s manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing Team, Mohd. Fazli Sham dengan masa 14’16.085s.

Pada Pusingan 3 di Buriram bulan lalu, Fazli muncul juara Perlumbaan 2.

“Saya tidak kisah kalau tak muncul juara, tetapi apa yang penting adalah untuk berada di podium kemenangan. Ia merupakan sasaran saya musim ini kerana sudah lama tidak merasai detik manis berada di podium ARRC,” jelas pelumba asal Selangor itu.

Ditanya mengenai perasaannya ketika mengharungi perlumbaan tersebut, Adib menjelaskan bahawa dia turun seperti biasa, namun tetap berhati-hati kerana keadaan litar yang agak basah.

Menurutnya, keadaan jenteranya juga berada dalam keadaan stabil berbanding ketika mengharungi Perlumbaan 1 semalam walaupun pelarasannya sama.
“Mungkin Perlumbaan 2 hari ini yang berlangsung dalam keadaan litar basah, telah memaksa pelumba lain untuk lebih berhati-hati, tetapi bagi saya ia bukan satu masalah asalkan kekal fokus dan cuba mengelak sebarang kesilapan,” jelasnya.

Pada penampilannya di Pusingan 1 dan 2 sebelum ini, nasib tidak begitu menyebelahi Adib kerana dia sering berdepan masalah teknikal sehingga menyaksikannya gagal menamatkan perlumbaan.

Pencapaian terbaiknya musim ini adalah menduduki tempat ketujuh Perlumbaan 1 di Buriram bagi membolehkannya mengutip tujuh mata manakala di Sepang dia menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-13 untuk meraih tiga mata.

Selepas selesai perlumbaan hari ini kedudukan keseluruhan masih diungguli Wawan Wello yang sudah mengumpul 71 mata manakala McKinley Kyle Paz dan Mohd. Akid Aziz terikat dengan 59 mata.

Sementara itu, Perlumbaan 2 kelas AP250 hari ini terus menyaksikan penguasaan pelumba Indonesia dengan Ahwin Sanjaya dari pasukan Astra Honda Racing Team muncul juara dengan masa 21’52.015s.

Tempat kedua menjadi milik rakan sepasukannya, Irfan Ardiansyah yang melakukan catatan masa 21’56.116s manakala pelumba pasukan Manual Tech KYT Kawasaki Racing yang juga juara Perlumbaan 1 semalam, Andy Muhammad Fadly berada di tempat ketiga dengan 21’57.084s.

Pelumba terbaik Malaysia dalam kelas AP250 hari ini adalah Muhammad Izam Ikmal (SIC Junior ZK Racing) yang menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dengan masa 22’12.748s.

KEPUTUSAN
Perlumbaan 2 Underbone 150 (Lima teratas)
Aldi Satya Mahendra (INA) Yamaha Racing Indonesia – 14’15.462s
Mohd. Adib Rosley (MAS) RCB Accentwire Yamaha YYPang Racing Team – 14’15.759s
Ahmad Fazli Sham (MAS) ONEXOX TKKR SAG Racing Team – 14’16.085s
Mohd. Akid Aziz (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team – 14’16.277s
Mohd. Affendi Rosli (MAS) Team One For All – 14’21.682s

Kedudukan keseluruhan
 Wawan Wello (INA) SND Factory Racing Rapido - 71 mata
 McKinley Kyle Paz (PHI) UMA Racing Yamaha Philippine Team - 59
 Mohd. Akid Aziz (MAS) UMA Racing Yamaha Motor Maju Asia - 59
 Mohd. Affendi Rosli (MAS) Team One For All - 55
Peerapong Luiboonpeng (THA) Team One For All - 54


Keputusan Perlumbaan 2 AP250 (Lima teratas)
Ahwin Sanjaya (INA) Astra Honda Racing Team – 21’52.015s
Irfan Ardiansyah (INA) Astra Honda Racing Team – 21’56.116s
Andy Muhammad Fadly (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing -21’57.084s
Piyawat Patoomyos (THA) A.P Honda Racing Thailand – 21’57.199s
Sawapol Nillapong (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 21’59.274s

Kedudukan keseluruhan
Andy Muhammad Fadly (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing -127 mata
Irfan Ardiansyah (INA) Astra Honda Racing Team – 104
Ahwin Sanjaya (INA) Astra Honda Racing Team – 104
Muklada Sarapueh (THA) A.P Honda Racing Thailand – 97
Aiki Iyoshi (JPN) Manual Tech KYT Kawasaki Racing – 88

Peerapong kukuhkan genggaman kejuaraan SS600 ARRC

Pelumba Thailand, Peerapong Boonlert terus mengukuhkan cengkamannya di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM musim ini.

Sekadar menduduki tempat ketiga pada perlumbaan 1 pada Sabtu lepas, pelumba pasukan Yamaha Thailand Racing Team itu  yang menguasai tiga pusingan awal sebelum ini, kembali menyengat untuk muncul sebagai juara Perlumbaan 2 kelas SS600 di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun semalam .

Walaupun Perlumbaan 2 itu ditangguhkan hampir setengah jam gara-gara hujan lebat di Litar Suzuka, ia ternyata tidak menjejaskan rentak cemerlang pelumba Thailand itu yang kini semakin menjarakkan dirinya dalam perebutan memburu gelaran juara keseluruhan.

Peerapong manamatkan perlumbaan tersebut dengan catatan masa 12’15.719 saat (s) meninggalkan pencabar terdekatnya yang juga pelumba wildcard, Kyosuke Okuda dari Jepun dengan perbezaan masa 0.115s.

Tempat ketiga menjadi milik seorang lagi pelumba wildcard, Soichiro Minamimoto dari Jepun yang melakukan catatan masa 12’21.000s. Semalam, Minamimoto mencipta kejutan selepas muncul juara Perlumbaan 1.

Ketika ditemui selepas perlumbaan tersebut, Peerapong menjelaskan bahawa dia puas hati dengan pencapaiannya di Suzuka walaupun tidak memenuhi sasaran awalnya untuk terus menguasai Perlumbaan 1 dan 2 seperti yang dilakukannya dalam tiga pusingan sebelum ini.

“Saya tetap bangga dan kemenangan ini juga terus mengukuhkan kedudukan saya dalam carta keseluruhan.

“Saya juga sudah biasa beraksi dalam keadaan hujan di Litar Suzuka dan pengalaman berlumba pada kejuaraaan Suzuka 4 Hour Endurance Race juga antara faktor yang membantu kemenangan ini.

“Pembabitan saya di Suzuka 4 Hour Race membolehkan saya mengawal keadaan dengan baik terutama apabila berdepan dengan beberapa selekoh sukar di litar ini,” jelas Peerapong.

Sasarannya selepas ini adalah untuk terus tampil konsisten pada Pusingan 5 di Zhuhai, China nanti.

Pelumba Malaysia, Kasma Daniel Kasmayudin (Hong Leong Yamaha Malaysia) yang muncul naib juara Perlumbaan 1 semalam, gagal menjejak kaki di podium kemenangan pada Perlumbaan 2 hari ini apabila berada di tempat keempat dengan masa 12’25.318s.
Menurut Kasma, keadaan litar yang licin dan basah antara punca menjejaskan rentak tunggangannya hari ini.

“Litar agak licin dan saya memilih untuk ‘play safe’ dan mengekalkan momentum dengan pelumba di barisan hadapan agar tidak keciciran mata.

“Saya juga berusaha untuk memberi tentangan tetapi situasi tidak mengizinkan walaupun prestasi jentera sangat stabil. Apa yang penting adalah saya tidak kehilangan mata,” tegas Kasma.

Selepas perlumbaan hari ini, Peerapong terus mengukuhkan posisinya dalam kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 191 mata diikuti Kasma (98 mata) manakala pelumba Indonesia, Andi Farid di tempat ketiga dengan 83 mata.


Keputusan Perlumbaan 2 SS600 (Lima teratas)
Peerapong Boonlert (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 12’15.719s
Kyusuke Okuda (JPN) Team MF & Kawasaki – 12’15.834s
Soichiro Minamimoto (JPN) Akenospeed-Yamaha – 12’21.000s
Kasma Daniel Kasmayudin (MAS) Hong Leong Yamaha Malaysia – 12’25.318s
Andi Farid Izdihar (INA) Astra Honda Racing Team – 12’31.687s

Kedudukan keseluruhan
Peerapong Boonlert (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 191 mata
Kasma Daniel Kasmayudin (MAS) Hong Leong Yamaha Malaysia – 98
Andi Farid Izdihar (INA) Astra Honda Racing Team – 83
Muhamad Adam Norrodin (MAS) SIC Junior ZK Racing – 80
Azroy Hakeem Anuar (MAS) Musashi Boon Siew Honda Racing Team – 69

Litar licin rencatkan misi Zaqhwan pada Perlumbaan 2 ASB1000

Keadaan jentera yang kurang stabil telah merencatkan misi pelumba Malaysia, Md Zaqhwan Zaidi untuk melakukan penyudah podium kelas ASB1000 pada Perlumbaan 2 Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2019 yang berakhir di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun hari ini.

Pada perlumbaan 11 pusingan itu, Zaqhwan sekadar menduduki tempat kelima dengan masa 27’04.355 saat (s) untuk mengutip 11 mata.

Perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan litar licin dan basah itu ternyata menyukarkan rentak pelumba pasukan Honda Asia Dream Racing with Showa itu untuk melancarkan strategi meskipun telah beberapa kali berusaha untuk menempatkan diri di hadapan.

Namun, bagi Zaqhwan, dia tidak kehilangan mata daripada perlumbaan tersebut selepas kejayaannya muncul naib juara pada Perlumbaan 1 semalam.

“Saya buka tidak berusaha untuk mengejar kedudukan podium, tetapi keadaan tidak mengizinkan saya untuk melakukan ke tahap maksimum.

“Saya akui perlumbaan tersebut memang sukar tetapi saya telah melakukan yang terbaik. Keadaan cuaca yang tidak menentu antara faktor yang menjejaskan usaha saya. Selepas hujan, litar licin dan tidak lama kemudian, keadaan agak kering pada hal kami telah memilih untuk menggunakan tayar basah.

“Situasi tersebut menyebabkan jentera kurang stabil dan ‘setting’ juga agak lari gara-gara perubahan cuaca yang begitu mendadak,” jelas Zaqhwan.

Menurutnya, ekoran masalah tersebut dia memilih jalan selamat dan mengekalkan momentum agar tidak kehilangan mata.

Perlumbaan 2 itu dimenangi pelumba Jepun, Shinichi Nakatomi yang mewakili pasukan HiTMAN RC-Koushien Yamaha dengan masa 26’48.314s.

Broc Parkes (Yamaha Racing Team ASEAN) yang muncul juara Perlumbaan 1 semalam, berada di kedudukan kedua dengan catatan masa 26’50.448s manakala Yuki Ito (Yamaha Racing Team ASEAN) di tempat ketiga dengan masa 26’50.898s.

Pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing Team, Azlan Shah Kamaruzaman menamatkan perlumbaan itu di kedudukan keenam dengan masa 27’10.335s.

Rentak Azlan pada perlumbaan itu juga kurang lancar gara keadaan cuaca yang tidak begitu baik.

Selepas berakhirnya perlumbaan hari ini, kedudukan keseluruhan kelak dipimpin oleh Broc dengan 150 mata diikuti Azlan (123 mata) dan Zaqhwan di tempat ketiga dengan 115 mata.

Keputusan Perlumbaan 2 ASB1000 (Lima teratas)
Shinichi Nakatomi (JPN) HiTMAN RC-Koushien Yamaha – 26’48.314s
Broc Parkes (AUS) Yamaha Racing Team ASEAN – 26’50.448s
Yuki Ito (JPN) Yamaha Racing Team ASEAN – 26’50.898s
Ratthapong Wilairot (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 26’56.597s
Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda Asia Dream Racing with Showa – 27’04.355s

Kedudukan keseluruhan
Broc Parkes (AUS) Yamaha Racing Team ASEAN – 150 mata
Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) ONEXOX TKKR SAG Racing Team – 123
Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda Asia Dream Racing with Showa – 115
Apiwat Wongthananon (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 97
Yuki Ito (JPN) Yamaha Racing Team ASEAN – 95