PSKLM akur keputusan tangguh kenaikan tol

 

Persatuan Syarikat-syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) mengambil maklum akan keputusan Kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol tahun ini bagi tempoh bermula 1 Januari hingga 31 Disember depan.

 

Ini susulan pengumuman berkaitan, menerusi kenyataan media Menteri Kanan Kerja Raya, pada 30 April 2021, serta disusuli kenyataan media Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia, pada 1 Mei 2021.

 

PSKLM amat memahami akan keputusan yang diambil oleh Kerajaan berikutan cabaran yang melanda negara disebabkan penularan wabak Covid-19.

 

Pihak PSKLM dan semua syarikat-syarikat konsesi lebuh raya akan terus komited membantu negara menghadapi pandemik Covid-19 serta terus memberikan perkhidmatan terbaik demi memastikan keselamatan dan keselesaan semua pengguna lebuh raya kami.

 

PSKLM juga memohon sokongan dan kerjasama daripada semua pengguna lebuh raya supaya memandu dengan berhemah dan terus mematuhi Prosidur Operasi Standard (SOP) Covid-19 seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.

 

 

DATUK AZMAN ISMAIL

YANG DIPERTUA

PERSATUAN SYARIKAT-SYARIKAT KONSESI LEBUHRAYA MALAYSIA (PSKLM)

2 MEI 2021

Jom buat pemeriksaan VVI percuma di PUSPAKOM!


  •  Unit Pemeriksaan Bergerak PUSPAKOM akan turut berada di dua lokasi bagi menawarkan pemeriksaan percuma ini iaitu di Wisma DRB-HICOM, Shah Alam pada 3 Mei dan di Pekarangan Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada 8 Mei 2021 
Jaga jarak! Jaga kenderaan! Jom buat pemeriksaan VVI percuma! Itulah tema terbaru PUSPAKOM dalam menganjurkan kempen Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela (Voluntary Vehicle Inspection – ”VVI”) percuma sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. 

Kempen VVI percuma ini dianjurkan khusus untuk kenderaan persendirian di mana pemilik￾pemilik kenderaan boleh membawa kenderaan mereka di mana-mana cawangan 

PUSPAKOM seluruh negara (kecuali PUSPAKOM Shah Alam dan Pasir Gudang) untuk menjalani pemeriksaan percuma ini mulai 2 hingga 12 Mei 2021 dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

Walaupun musim perayaan ini kita tidak dibenarkan merentas negeri untuk pulang ke kampung, namun keselamatan kenderaan masih perlu dititikberatkan kerana kenderaan masih lagi digunakan untuk bergerak melakukan aktiviti harian seperti pergi bekerja dan membeli barang keperluan. 

Bagi memastikan para pelanggan yang hadir pemeriksaan mematuhi SOP yang di tetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga bagi mengelak daripada kesesakan di cawangan PUSPAKOM, semua pelanggan yang ingin menjalani pemeriksaan percuma ini dikehendaki membuat temujanji secara dalam talian terlebih dahulu di www.mypuspakom.com.my. Fi pemprosesan MyPUSPAKOM yang dikutip pada waktu tempahan akan dipulangkan setelah pemeriksaan selesai. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Shukor Ismail VVI secara percuma ini diadakan bagi mengubah minda masyarakat.

“VVI secara percuma ini dianjurkan untuk kita mengubah persepsi masyarakat dan meningkatkan kesedaran serta kefahaman mereka terhadap aspek keselamatan kenderaan. 

Kenderaan bukan hanya perlu diselenggara pada musim perayaan, atau sebelum memulakan perjalanan jauh, tetapi juga harus menjalani pemeriksaan secara berjadual. Ini akan memastikan keadaan kenderaan beroperasi pada tahap yang terbaik. Terdapat 25 item yang akan diperiksa iaitu termasuk ujian brek, gelincir sisi, tayar, suspensi, asap , lampu, cermin gelap, bahagian atas dan bawah kenderaan dan banyak lagi,” jelas Shukor.

Selain di cawangan, Unit Pemeriksaan Bergerak PUSPAKOM akan turut berada di dua lokasi bagi menawarkan pemeriksaan percuma ini iaitu di Wisma DRB-HICOM, Shah Alam pada 3 Mei dan di Pekarangan Stadium Cheras, Kuala Lumpur pada 8 Mei 2021 dengan kerjasama Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK). Unit Pemeriksaan Bergerak ini akan beroperasi dari jam 9.00 pagi hingga 4.00 petang pada tarikh tersebut. 

Sebarang maklumat terkini, orang ramai boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan PUSPAKOM di talian 03-5101 7000 atau Live Chat di www.puspakom.com.my atau mengikuti Facebook rasmi PUSPAKOM Sdn Bhd.