Cagiva Raptor 125

Jentera 125cc 2 lejang ini diasaskan rekabentuknya dari model MV Agusta V-Raptor, dan kelihatan amat menarik dengan bercirikan Eropah yang unik.

Ketelitian rekabentuk dan estetik memang merupakan sesuatu yang sinonim jentera Eropah, dan ianya dipaparkan kepada jentera ini, seperti ruangan penyimpanan helmet di bawah tangki bahanapi 12.5liter nya yang boleh ditongkat, seperti kebanyakan model Cagiva yang terdahulu. Bekas pelincir 2T dan cecair penyejuk jua ditempatkan di sini dan mudah dicapai untuk pemeriksaan dan penambahan.

Tekonologi tinggi juga turut digunapakai pada jentera ini, dengan penggunaan brek Brembo hadapan cakera 320mm yang jauh lebih besar dari jentera lain sekelasnya, dan cakera 230mm di belakang. Penyerap hentak terbalik (USD) Marzocchi juga digunapakai di hadapan, beserta monoshock belakang digabungkan dengan kerangka aloi berbentuk berlian yang berketegasan tinggi untuk menenghasilkan maklumbalas jalanraya (Road feed-back) dan kawalan jentera yang baik.Ini di padankan pula dengan penggunaan rim aloi depan belakang 17".

Paparan meternya ringkas dengan satu meter kelajuan analog kilometer dab huga batu, yang turut mempamerkan lampu amaran kepanasan enjin dan tongkat diturunkan. Lampu isyarat aras bahanapi rendah, gear neutral dan 2T juga dipaparkan di bawah meter.Seperti kebiasaan jentera Eropah, ia juga dilengkapi dengan lampu parkir yang dilenglkapkan pada kunci utama. Stereng yang dikunci turut juga menghalang tangki dari diangkat, lantas sekaligus memastikan keselamatan helmet yang terletak di bawah nya.

Penunggangan Raptor ini sememangnya menepati jangkaan dari segi respons pendikit yang pantas dan cukup berkuasa untuk pemintasan kenderaan lain sewaktu memotong. Seperti jentera dua lejang yang lain, mainan pendikit pada rpm tinggi merupakan sesuatu yang dinikmati, dan jentera ini banya mengingatkan penulis kepada zaman kegemilangan enjin dua lejang pada akhir 80an dahulu di mana ianya menguasai jalanan sehinggalah kini. Kelebihan jentera dua lejang ejukan cecair sememangnya tidak dapat dinafikan untuk penunggangan yang tangkas dan agresif.

Bagi jentera sebaik ini, harga RM25154.75 mungkin bukan satu penghalang untuk memiliki pekej sebuah jentera yang berprestasi hebat dan rekabentuk yang mengundang jelingan. Cuma rasional yang mengatasi hati dan perasaan akan membataskan kemampuan anda dengannya...

"Tangkas menarik dengan gaya retro tersendiri"

Model: Cagiva Raptor 125
Engine: Satu selinder , dua lejang
Sesaran: 125cc
Gerek x Lejang: 56 x 50.6 mm
Nisbah Mampatan: 7.4:1
Nyalaan: CDI
Transmisi:6 kelajuan / rantai
Brek: (dpn)cakera 320mm 4 piston
(blkg) cakera 230mm 1 piston
Tayar (dpn) 110/70-17 (blkg) 150/60-17
Berat kering: 125 kg

Kawasaki GTR 1400


Lazimnya kalau kita memperkatakan tentang motosikal sports-touring, kelajuan terpaksa diimbangkan (atau dikorbankan....) untuk mendapat tunggangan yang selesa. Tetapi dengan Kawasaki GTR 1400, keseimbangan yang diinginkan penunggang telah dapat dicapai dengan menggabungkan kedua dua keselesaan dan kelajuan mutakhir. Emjin DOHC bersesaran 1352cc nya dilengkapi sistem Variable Valve Timing dan mampu menjana 155 kuasa kuda, cukup untuk mengekalkan keseronokan menunggang sebuah superbike Kawasaki dengan ciri roket yang lazim apabila melepasi 4,000rpm, dan mampu mencecah kelajuan tiga angka berkepala 2 dengan mudah melalui kekotak gear enam kelajuan. Berat 308kg keseluruhan tidak seberapa terasa dengan posisi tunggangan yang selesa seperti motosikal touring yang kebiasaan, lengkap dengan penghadang angin atau visor yang boleh dilaraskan dengan kuasa elektrik. Paparan meternya juga menarik dengan paparan purata penggunaan minyak, tekanan angin tayar, jarak berbaki perjalanan dengan bahanapi yang ada dalam tangki, selain paparan odometer yang biasa. Kuasa pemberhentiannya dihalusi dengan penggunaan sistem ABS yang memberikan keyakinan tunggangan, dan pengendalian jentera yang agak besar ini tidak terasa kekok walaupun melalui kesibukan ibukota. Suspensi bolehlarasnya membuatkan tunggangan terasa seperti di jalan baru yang amat rata dan selesa. Rupabentuk menariknya menjadi perhatian setiapkali berhenti di persimpangan, dan agak retro walaupun dilengkapi pannier atau kotak sisi yang mampu menyimpan helmet penuh. Sistem kuncinya juga menggunakan sistem fob sensor yang di bawa dalam kocek, dan kunci utama yang dikekalkan di motosikal tidak akan dapat digunakan apabila penunggang melangkah jauh dari motosikal. Jentera ini 60mm lebih panjang dari saudaranya iaitu ZX14 dan lebih tinggi harganya, namun berbaloi dengan perbezaan penunggangan yang agak ketara dari segi keselesaan. Waktu bukan lagi ukuran, jarak bukan lagi halangan, ketahanan bukan lagi satu masalah. Nikmati tunggangan semampunya.