Syarifuddin Azman menang kali kelima berturut-turut

Md Syarifuddin Azman berjaya meraih kemenangan kelima berturut-turut pada musim ini sekaligus berjaya muncul sebagai pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 133 mata.

Pelumba Idemitsu Kozi Yam Honda Racing itu berjaya menamatkan 12 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 11’14.467s menewaskan pencabar utama, Md Danial Syahmi (SIC Junior Team AFB TECH Racing) yang memberikan saingan sengit sepanjang perlumbaan sebelum akur di kedudukan kedua dengan masa 11’17.241s. Md Faiz Zekri Sabri (ONEXOX Racing Team) muncul pemenang tempat ketiga dengan masa 11:29.365s.

Md Danial yang tidak beraksi pada pusingan lepas turun ke tangga kedua dengan turut mengumpul 133 mata namun dibezakan dengan jumlah kemenangan milik Md Syarifuddin. Tempat ketiga ketika ini disandang oleh Md Alif Ashraf Tahiruddin (KUL) PETRONAS Sprinta YAMAHA yang gagal menamatkan perlumbaan dengan mengumpul 112 mata.

WIRA KBS

1 Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 11:14.467s
2 Md Danial Syahmi (PRK) SIC Junior Team AFB TECH Racing 11:17.241s
3 Md Faiz Zekri Sabri (PNG) ONEXOX Racing Team 11:29.365s
4 Daniel El Fahim (PNG) SIC Junior Team AFB TECH Racing 11:42.892s
5 Md Syahmi Md Anuar (NSN) 11:42.981s

Kedudukan Keseluruhan
1 Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 133
2 Md Danial Syahmi (PRK) SIC Junior Team AFB TECH Racing 133
3 Md Alif Ashraf Tahiruddin (KUL) PETRONAS Sprinta YAMAHA 112
4 Md Fadlyshah Redzuan (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 73
5 Md Faiz Zekri Sabri (PNG) ONEXOX Racing Team 62

Kasma kecewakan Afif di Batu Kawan

Pendahulu CP150, Ahmad Afif Amran (PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing) terpaksa menunggu pusingan akan datang untuk mengesahkan gelaran keseluruhan apabila menamatkan saingan di tempat kedua di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Batu Kawan, Pulau Pinang, di belakang pencabar utama, Kasma Daniel Kasmayuddin yang menjuarai perlumbaan dengan masa keseluruhan 17’25.990s.

Afif yang turut menerima tentangan sengit daripada rakan sepasukan Kasma, Md Akid Aziz menamatkan 20 pusingan perlumbaan dengan masa 17’27.456s manakala Akid ketiga dengan masa 17’27.990s.
 Afif kini berkelebihan 44 mata ke atas Kasma dengan mengumpul 180 mata manakala Kasma di kedudukan kedua dengan 136 mata. Afif hanya perlu menamatkan saingan di kelompok 10 pelumba terbaik untuk mengesahkan gelaran pada pusingan kesembilan yang akan berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan pertengahan November depan.

Tengku Amirul Haffirudin Juara CP115 2018

 “Pada asalnya, saya hanya cuba untuk mengutip mata kerana hanya memerlukan lapan mata untuk mengesahkan gelaran. Namun selepas insiden melibatkan pelumba kelompok hadapan, saya berjaya merapatkan kedudukan dengan pelumba di hadapan. Menyedari ada peluang untuk menamatkan saingan di atas podium, saya mencari ruang untuk memintas dan memenangi perlumbaan.”

Itulah komen Tengku Amirul Haffirudin yang telah mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan CP115 musim 2018 setelah menjuarai perlumbaan akhir pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Batu Kawan, Pulau Pinang, hujung minggu lepas.
Kemenangan itu juga merupakan kemenangan ketujuh dari lapan perlumbaan buat pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing itu untuk mengumpul 188 mata keseluruhan, 72 mata melebihi rakan sepasukannya Md Fareez Afeez yang berbekal 116 mata dengan perlumbaan hanya berbaki dua pusingan sahaja lagi.
Tengku Amirul yang bermula dari petak ketujuh telah menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 13’58.786s mengatasi Md Fareez dengan kelebihan 0.326s manakala Md Haziq Nd Fairues (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) ketiga dengan masa 13’59.363s.
Kemenangan ini turut mengesahkan pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang sebagai juara keseluruhan berpasukan kategori CP115 dengan mengumpul 304 mata.

“Tahun ini sangat istimewa kepada saya kerana akhirnya berjaya memegang gelaran CP115 selepas beberapa tahun mencuba. Selepas ini saya berhasrat untuk bersaing dalam kelas CP150 jika diberikan peluang oleh pasukan pada musim depan,” tambah Amirul.
CP115

1 Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 13:58.786s

2 Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 13:59.112s

3 Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 13:59.363s

4 Md Syafiq Rosli (PRK) ELF Koyoko Honda KC Racing 13:59.928s

5 Ahmad Syukran Aizat (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 14:10.597s



Kedudukan Keseluruhan

1 Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 188

2 Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 116

3 Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 108

4 Nazirul Izzat Md Bahauddin (MLK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 93

5 Ahmad Syukran Aizat (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 92

Afif Amran simpan bekal untuk aksi terbaik hari ini

 Ahmad Afif Amran kekal fokus untuk memberikan aksi terbaik dalam sesi kelayakan kelas CP150 pada pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Batu Kawan, Pulau Pinang, semalam.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing itu mencatat masa ketiga terpantas dengan masa 52.111s di belakang Md Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) yang mencatat masa terpantas buat kali ketujuh pada musim ini dengan masa 51.903s diikuti Md Azhar Abdul Jalil (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) dengan masa 52.010s.

“Hujan lebat yang turun di sebelah petang mengganggu aksi sebenar pelumba-pelumba. Saya keluar ke litar dengan sasaran hanya untuk memastikan dapat layak ke sesi Superpole esok dan tidak mahu mengambil sebarang risiko memandangkan permukaan litar yang licin,” jelas Afif.
Akid masih terpantas
Pencabar utama Afif, Kasma Daniel Kasmayuddin (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) mencatat masa keempat terpantas dengan masa 52.194s diikuti Azroy Hakeem Anuar  (Idemitsu Honda GiVi Yuzy Racing) kelima, 52.372s.

Afif yang kini berkelebihan 49 mata ke atas Kasma hanya perlu menamatkan saingan di hadapan juara bertahan itu dan juga rakan sepasukan, Md Hafiz Nor Azman untuk mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan bagi musim 2018.

Sementara itu, dua pelumba Elf Koyoko Honda KC Racing, Md Syafiq Rosli dan Md Hafizuddin Azahar menduduki kelompok terpantas kelas CP115. Md Syafik mencatat masa terpantas dengan masa 57.984s manakala Hafizuddin ketiga dengan masa 58.075s. Md Fareez Afeez (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) mencatat masa kedua terpantas dengan catatan 58.010s3.

Dalam saingan WIRA KBS, Md Syarifuddin Azman (Idemitsu Kozi Yam Honda Racing) muncul pelumba terpantas dengan catatan 57.111s diikuti Md Faiz Zekri Sabri (ONEXOX Racing Team), 57.613s dan Md Danial Syahmi (SIC Junior Team AFB TECH Racing) ketiga dengan masa 57.684s.

KEPUTUSAN SESI KELAYAKAN

CP150
1 Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 51.903s
2 Md Azhar Abd Jalil (SGR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 52.010s
3 Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 52.111s
4 Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 52.194s
5 Azroy Hakeem Anuar  (KUL) Idemitsu Honda GiVi Yuzy Racing 52.372s

CP115
1 Md Syafiq Rosli (PRK) ELF Koyoko Honda KC Racing 57.984s
2 Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 58.010s3
3 Md Hafizuddin Azahar (MLK) ELF Koyoko Honda KC Racing 58.075s
4 Md Shafiq Ezzariq (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 58.377s
5 Md Aliff Aiman Tumiran (JHR) Arata Fatt Fatt ASP JDT GL Team 58.879s

SHOOTOUT

WIRA KBS
1 Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 57.111s
2 Md Faiz Zekri Sabri (PNG) ONEXOX Racing Team 57.613s
3 Md Danial Syahmi (PRK) SIC Junior Team AFB TECH Racing 57.684s
4 Md Afizad Supaat (SGR) Super KIP Honda Racing Academy 58.333s
5 Md Muazim Shah S Anuar (SGR) Persendirian 58.545s

Kasma wajib menang jika mahu pertahan kejuaraan

Kasma Daniel Kasmayuddin perlu muncul juara seandainya mahu menyekat kemaraan  Ahmad Afif Amran daripada bergelar juara keseluruhan CP150 pada perlumbaan pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang,  28 Oktober ini.

Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu kini ketinggalan 49 mata di belakang Afif yang mendahului kedudukan keseluruhan dengan 160 mata dengan hanya 75 mata maksimum menanti pelumba-pelumba pada baki tiga pusingan perlumbaan sahaja lagi.
Rakan sepasukan Afif, Md Hafiz Nor Azman di kedudukan ketiga dengan 103 mata manakala Md Akid Aziz yang berada di kedudukan keempat tidak mampu lagi memberi cabaran untuk mengejar kedudukan pendahulu setelah mengumpul 73 mata ketika ini.
Seandainya Kasma menamatkan saingan di belakang Afif, ini bermakna dia terpaksa menyerahkan gelaran keseluruhan CP150 miliknya pada musim lepas kepada pelumba PETRONAS SPrinta Yamaha – CKJ Racing itu.
“Saya hanya ada satu misi penting pada minggu ini iaitu memenangi perlumbaan. Hanya dengan memenangi perlumbaan sahaja saya mampu menyekat Afif daripada mengesahkan gelaran lebih awal, jika tidak, saya terpaksa menyerahkan gelaran tersebut kepada Afif,” jelas Kasma.
Tambahnya, “Namun misi tersebut bukan mudah kerana Afif begitu konsisten pada musim ini. Saya perlu merancang strategi terbaik untuk mengalahkannya sama ada mengekori dibelakang dan mencari ruang untuk memintas di penghujung saingan ataupun cuba menjarakkan diri dari awal saingan lagi.
“Pada masa sama bantuan rakan sepasukan sangant penting. Selain perlu menyediakan jentera yang pantas, mereka juga perlu membantu menyekat Afif seandainya saya berada di depan. Selain psikologi dan strategi, mental saya juga perlu kuat untuk kekal bertenang sepanjang perlumbaan di Batu Kawan ini.”

Rozaiman idam hasil terbaik di laman sendiri

Mohd Rozaiman Mohd Said mengharapkan tuah beraksi di halaman sendiri dapat membantu untuk meraih keputusan terbaik dalam saingan CP150 pada pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Batu Kawan, Pualu Pinang pada 27 dan 28 Oktober ini.

Pelumba AHM Motorsports Yamaha Racing itu ketika ini menduduki tangga ke-14 keseluruhan setelah mengumpul 30 mata dengan pencapaian terbaik menamatkan saingan di tempat keempat pada pusingan kelima yang berlangsung di Teluk Intan, Perak pada 1 September lepas.
“Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan baik minggu ini termasuklah keadaan cuaca. Dari segi jentera, sudah pasti pasukan kami akan terus mencari formula terbaik menjelang aksi di Batu Kawan ini,” jelas pelumba kelahiran Pulau Piang itu.
Tambahnya, “Walaupun akui saingan kelompok depan selalunya sengit melibatkan kumpulan pendahulu ketika ini, namun saya yakin pelumba-pelumba lain termasuk dari pasukan kami mampu memberikan saingan.
“Saya menetapkan sasaran untuk layak ke Superpole dan dapat menamatkan perlumbaan di kelompok lima terbaik, dan bonus seandainya dapat menamatkan perlumbaan di podium.”