Akhirnya Smart Tag digunapakai semula.

 

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berpendapat bahawa solusi RFID adalah pilihan kepada rakyat dalam pilihan pembayaran tol mereka. 

Transaksi pembayaran tol dengan RFID telah wujud bersama dengan pilihan pembayaran SmartTAG dan Touch 'n Go di kebanyakan rangkaian lebuh raya bertol sistem terbuka sejak 2018 dengan lebih 1.5 juta pelanggan RFID sedia ada. Pada 15 Januari 2022, PLUS memperkenalkannya di sepanjang lebuh raya kendaliannya sebagai pilihan pembayaran tambahan kepada pelanggan.

Namun pelbagai kesulitan telah dihadapi oleh pelanggan lebuhraya ketika pelaksanaan RFID laluan Juru-Skudai baru-baru ini.

PLUS telah menyatakan komitmen mereka untuk menambahbaik tahap pengalaman pelanggan di lebuhrayanya menerusi langkah-langkah berikut:-

1) Mengaktifkan Semula Lorong SmartTAG

PLUS telah mengenalpasti beberapa plaza tol di mana lorong SmartTAG yang sebelum ini ditutup akan diaktifkan semula ekoran rungutan dari pelanggan SmartTAG dan pengurusan trafik. PLUS komited untuk mengembalikan semula 19 lorong SmartTAG di 16 plaza tol sebelum 25 Januari 2022 untuk kelancaran trafik sempena Perayaan Tahun Baharu Cina dan selepas perayaan iaitu pada pada 19 Februari, 24 lorong SmartTAG akan diaktifkan di 18 plaza tol.

2) Meningkatkan Prestasi Sistem 

PLUS juga komited untuk mengambil segala pendekatan perlu dalam mengoptimumkan prestasi sistem RFID dan meningkatkan kadar pengesanan tag RFID di plaza tol. Palang tol berganda yang lebih pantas akan dipasang di plaza-plaza tol dengan jumlah trafik yang tinggi bagi memastikan kenderaan dapat melalui lorong RFID dengan lebih pantas. 

Sebagai tambahan, lokasi zon pengesanan RFID akan ditandakan pada permukaan jalan bagi membolehkan pengguna memastikan kedudukan kenderaan mereka dengan lebih baik dalam meningkatkan kadar pengesanan yang lebih tinggi ketika melalui lorong RFID.

3) Menempatkan Petugas di Lorong

PLUS juga telah menempatkan Pembantu Khidmat Pelanggan di semua 158 lorong RFID di semua 74 plaza tol untuk memberi bantuan kepada pelanggan RFID yang menghadapi masalah dengan menggunakan Peranti Pengesan Mudah Alih.

4) Lokasi Strategik untuk Pusat Pemasangan Tag RFID dan Penggantian

Terdapat 24 Pusat Pemasangan Tag RFID di lebuhraya PLUS dan 35 lagi lokasi berada di luar lebuh raya. Senarai penuh Pusat Pemasangan boleh didapati di laman sesawang https://rfidregister.touchngo.com.my/fitment-centres yang dikemas kini dari semasa ke semasa. 

Pelanggan yang mengalami masalah pengesanan RFID di lebuhraya PLUS akan menerima kupon Touch N Go dari pembantu Khidmat Pelanggan kami dan pelanggan boleh terus ke pusat Pusat Pemasangan Tag RFID yang terdekat untuk pemeriksaan. 

Jika tag didapati rosak, pihak Touch N Go akan menggantikan tag tersebut secara PERCUMA. PLUS akan terus bekerjasama dengan Touch N Go untuk meningkatkan bilangan pusat pemasangan RFID bagi memastikan pemasangan tag yang betul oleh ejen pemasangan yang terlatih.

Untuk informasi tentang PLUS Malaysia Berhad sila lawati laman web rasmi PLUS www.plus.com.my dan platfom media sosial PLUS Malaysia termasuk @PLUSTrafik Twitter, Facebook serta Aplikasi PLUS. Bagi maklumat terperinci mengenai lokasi pemasangan tag Touch 'n Go RFID, pelanggan lebuh raya boleh melayari portal Touch 'n Go di http://www.touchngo.com.my