Pasukan YY Pang ungguli sesi kelayakan CP150 Pontian

Sesi kelayakan kelas CP150 ternyata memihak kepada dua pelumba Selangor, Md Azhar Abd Jalil dan Md Izzat Zaidi Md Salehan yang mengungguli sesi ini di Pontian semalam.

Azhar tampil dengan catatan masa terpantas apabila merekodkan 52.130 saat (s) satu pusingan diikuti rakan sepasukannya dalam Motul Yamaha YY Pang Racing, Md Izzat yang menamatkan sesi kelayakan itu dengan catatan masa 52.328s.
Tempat ketiga terpantas menjadi milik Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) dengan catatan masa 52.446s.

Afif merupakan pendahulu keseluruhan kelas CP150 ketika ini dengan mengumpul 58 mata.

Bagi Azhar, apa yang mereka buktikan pada sesi kelayakan di Pontian ini membuktikan beberapa perubahan yang telah mereka lakukan sepanjang musim ini sudah mula memperlihatkan hasil.

“Kami sudah mula dapat merasai momentum ini sejak Pusingan 3 lagi di Tangkak sebelum ini dan berharap agar rentak cemerlang ini berterusan sehingga ke perlumbaan sebenar esok.
“Perubahan pada gear serta penggunaan spoket juga nampak stabil selepas kami melakukan ujian di Tangkak. Semaunya nampak lancar hari ini,” jelas Azhar yang kini berada di kedudukan ke-11 keseluruhan dengan 18 mata.

Dia kini bertekad untuk mengekalkan rentak cemerlang itu pada saingan sebenar esok dengan harapan keadaan jentera terus berada pada tahap terbaik.

Pusat Serangan Jantung IJN bersedia 24 jam


Institut Jantung Negara (IJN) telah memperkenalkan Pusat Serangan Jantung 24 jam IJN. Pesakit atau waris kini boleh menghubungi Pusat Jantung IJN untuk bantuan segera dan perkhidmatan ambulan melalui First Ambulance.
Sila kongsikan nombor dan maklumat ini kepada umum dan simpan ia dalam telefon anda serta catatkan di rumah. Serangan jantung boleh berlaku pada sesiapa sahaja tanpa mengira peringlat umur umur. Anda tidaklah boleh mengatskan bahawa ianys terlalu awal untuk memulakan hidup sihat. Pencegahan serangan jantung adalah amat penting dan kritikal, serta harus bermula pada peringkat awal kehidupan. Lakukan apa jua aktiviti yang boleh mengurangkan risiko anda terhadap penyakit jantung.
Pusat Serangan Jantung 24 jam IJN 1-300-88-5111
#ijn #seranganjantung #gayahidupsihat

Md Zaki tekad pertahan kedudukan pendahulu Wira

Pendahulu keseluruhan kategori Wira dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 ketika ini, Md Zaki Zamri yang menggalas cabaran pasukan MOS William #LLRKS CYT Racing, tentunya akan berusaha keras bagi mempertahankan kedudukannya selepas mengungguli perlumbaan pada Pusingan 1 (Jasin, Melaka) dan Pusingan 3 di Tangkak, Johor.

Dia sekadar menghuni tempat keenam pada perlumbaan Pusingan 2 di Batu Kawan, Pulau Pinang, namun kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 60 mata, meninggalkan pencabar terdekatnya, Md Sharul Ezwan M Sharil (AFB TECH Racing) di tempat kedua dengan perbezaan 24 mata.

Selain Sharul, Md Afizad Supaat (Selangor) mahupun Md Aliff Danial Asri dari Johor juga merupakan antara pencabar yang mampu menggugat kedudukannya.

Aliff dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing merupakan juara pada saingan Pusingan 2 di Batu Kawan namun gagal menamatkan perlumbaan pada Pusingan 3 di Tangkak.

Nasib Sharul juga serupa selepas gagal menamatkan perlumbaan di Tangkak dan keputusan tersebut telah menyukarkan misi mereka untuk terus memberi tekanan kepada Md Zaki.

Afizad pula yang mewakili pasukan Super KIP Motorsports telah memperlihatkan sengatnya pada Pusingan 1 apabila menduduki tempat kedua untuk mengumpul 20 mata.
Podium Pusingan 3 di TangkakMd Izham Hanafi Amran, Md Zaki A Zamri, dan Md Haziq Rosmaza
Namun, rentaknya agak terganggu selepas itu apabila berdepan masalah mekanikal, sekali gus gagal menamatkan perlumbaan pada Pusingan 2 dan 3.

Turut tampil konsisten adalah pelumba pasukan AFB TECH Racing, Daniel El Fahim Harris El Hadi dan juga Md Haziq Rosmaza (Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing) yang telah mempamerkan rentak cemerlang dalam tiga pusingan sebelum ini.

Bagi Md Zaki, perlumbaan di selatan tanah air nampaknya menjadi kegemarannya kerana telah menguasai dua saingan awal sebelum ini iaitu di Melaka dan Tangkak, Johor.

Minggu ini, dia bertekad untuk menakluk satu lagi litar di selatan tanah air iaitu Pontian.

Pontian merupakan venue baharu dan semua pelumba masih belum dapat meramalkan bentuk litar yang bakal menjadi pentas aksi pusingan 4 itu hujung minggu ini.

Perodua yakin atasi sasaran awal jualan 2019

Pada tahun 2018 yang lepas, Perodua menjual 227,243 kenderaan yang mana merupakan pencapaian jualan tahunan tertinggi dalam sejarahnya. Berbekalkan momentum ini dan prestasi semasa syarikat, Perodua telah meningkatkan sasaran jualannya untuk tahun ini kepada 235,000 unit, iaitu peningkatan sebanyak 4,000 unit daripada sasaran 231,000 unit yang diumumkan Januari lalu.
Separuh pertama 2019 telah menyaksikan Perodua mencapai peningkatan 4% dengan menjual kira-kira 121,800 kenderaan berbanding 117,100 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lepas. Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato' Zainal Abidin Ahmad berkata, prestasi ini dicapai hasil permintaan yang memberangsangkan untuk semua modelnya. 190,765 tempahan telah diterima sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2019, , iaitu peningkatan lebih 3% daripada 184,949 tempahan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

"Peningkatan permintaan bagi kenderaan kami dalam tempoh enam bulan pertama 2019 telah memberi kesan positif terhadap ekosistem automotif secara keseluruhan, dengan pembelian komponen berjumlah RM2.7 bilion dalam tempoh kata Zainal.

"Berdasarkan ramalan kami untuk separuh kedua tahun ini, kami menjangkakan perbelanjaan sebanyak RM5.4 bilion untuk membeli komponen untuk keseluruhan 2019.
"Kami telah mencapai satu tahap di mana kami berusaha keras untuk membina jenama kami di luar negara secara berperingkat dan berterusan. Walau bagaimanapun, usaha ini memerlukan masa yang panjang. Kami berharap agar kami dapat membanggakan rakyat Malaysia," katanya.

Zainal menambah bahawa Perodua turut bekerjasama dengan Daihatsu Motor Company Jepun bagi membangunkan lagi pembekal komponen tempatannya dan meneroka pasaran di luar Malaysia, dan ini merupakan sebahagian daripada komitmen syarikat untuk membina industri sokongan automotif Malaysia.
Mengenai ramalan untuk separuh kedua 2019, Data' Zainal berkata, "Bank Negara telah mengurangkan kadar overnight policy (OPR), yang mana membantu meningkatkan perbelanjaan pengguna."

"Perkembangan ini balk untuk industri, tetapi harus diingatkan bahawa tahun lepas terdapat insentif yang besar untuk membeli kenderaan, dengan adanya cuti cukai yang diumumkan selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14.
"Mengikut angka dalaman kami, industri telah mengatasi jangkaan pada separuh pertama tahun ini — jumlah jualan kenderaan (TIV) meningkat 2.4% kepada 296,800 unit," tambah Zainal.

Beliau menjelaskan bahawa insentif cuti cukai telah memberi kesan sementara kepada pasaran di mana syarikat automotif dan pengguna mengambil kesempatan daripadanya. "Dengan ini, kami percaya bahawa separuh kedua tahun ini tidak akan sehebat tahun lepas. Momentum pada separuh pertama mungkin menurun menjelang separuh kedua tahun ini," kata Zainal lagi.

Tertakluk kepada laporan rasmi Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Perodua menjangkakan Jumlah Keseluruhan Industri  TIV bagi 2019 akan kekal pada 600,000 unit.


Edisi ke-20 MotoGP Sepang siap siaga untuk pengalaman menakjubkan

Demam MotoGP melanda Malaysia sekali lagi. Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kini bersiap sedia untuk edisi ke-20 Grand Prix Motosikal Malaysia dari November 1-3 2019 ini.
Sempena ulang tahun ke-20 Grand Prix di Malaysia, Litar Antarabangsa Sepang sebagai penganjur telah berusaha keras untuk memastikan ia menjadi acara khas dan tidak dapat dilupakan bagi peminat dan pelumba.

Pertama kali menjadi tuan rumah pada tahun 1999, Litar Antarabangsa Sepang 5.543km yang merupakan wawasan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad , telah menjadi litar pilihan acara perlumbaan motosikal tersohor di rantau Asia Tenggara. MotoGP juga bertindak sebagai platform untuk membangunkan bakat anak Malaysia untuk bersaing dalam kejohanan kelas dunia, dengan penampilan nama nama terkenal seperti Shahrol Yuzy, Zulfahmi Khairuddin, Hafizh Syahrin, Adam Norrodin dan Azlan Shah Kamaruzaman. Acara ini telah berkembang pesat sejak tahun 2010 dan telah menjadi acara yang paling dinantikan buat para peminat dua roda tahun demi tahun. Pada tahun 2018, Grand Prix Motosikal Shell Malaysia telah mencatatkan rekod kehadiran 169,827 penonton sepanjang tiga hari ianya berlangsung.
Marc Marquez mencatat kemenangan peribadi ke-70 baginya di Shell Malaysian Motorcycle Grand Prix 2018
Acara tahun ini juga akan menjadi istimewa kerana ia bertepatan dengan ulang tahun ke-70 MotoGP, yang bermula pada Januari 1949 dengan perlumbaan Isle of Man TT, Grand Prix Swiss, Belanda TT, Grand Prix Belgium, Ulster Grand Prix dan Grand Prix Nations di Monza.

Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang, Tan Sri Azman Yahya berkata acara bersejarah pada bulan November kelak bakal menjadi satu peristiwa yang istimewa.
"Ia merupakan satu penghormatan besar untuk menyaksikan ulang tahun ke-20 Grand Prix Malaysia tahun ini - dan ulang tahun ke-70 MotoGP," kata Tan Sri Azman.

"Selama 20 tahun kami telah berusaha keras untuk memastikan kualiti Grand Prix Malaysia berada di tahap tertinggi dan kami telah membuktikannya dengan kejayaan kami muncul sebagai Grand Prix Terbaik pada tahun 2012 dan 2017 yang dianugerahkan oleh Suruhanjaya Grand Prix.
Grand Prix Terbaik 2017 
Tahun ini juga akan menandakan tahun ke-10 Shell menjadi penaja utama untuk Grand Prix Malaysia.

"Saya berterima kasih kerana mempunyai rakan setia seperti Shell, yang telah bersama kami sejak tahun 2009," tambah Tan Sri Azman. "Kami telah melihat gelombang kejayaan selama 10 tahun bersama-sama dan saya berterima kasih kepada mereka."

Bagi memulakan sambutan bersejarah ini, SIC dan Shell Malaysia telah mengadakan Pelancaran Rasmi Grand Prix Motosikal Shell Malaysia di The Square Publika hari ini, dengan beberapa aktiviti luar khas untuk peminat. Kempen ini bermula dengan pengumuman Peraduan Malaysian GP Superfan bila mana dua pemenang bertuah akan memenangi pakej pembiayaan penuh untuk menyaksikan Grand Prix Motosikal Shell Malaysia dengan pengalaman eksklusif di belakang tabir.

"Ini adalah tahun ke-10 kami menjadi penaja utama untuk Grand Prix Motosikal Malaysia dan kami teruja untuk meraikan penglibatan Shell dalam perlumbaan motosikal dunia dengan semua peminat motorsports melalui kerjasama kami dengan SIC," kata Datuk Iain Lo, Pengerusi Shell Malaysia.
Tan Sri Azman, DatukIain Lo dan Hafizh Syahrin menyempurnakan gimik pelancarkan Grand Prix Motosikal Shell Malaysia
"MotoGP adalah lebih dari sekadar satu perlumbaan, ia adalah satu platform untuk orang ramai dari semua lapisan masyarakat untuk bersatu dan menzahirkan minat mereka untuk sukan motorsport. Untuk memupuk semangat ini dan memperingati satu dekad komitmen kami ke arah pembangunan sukan motorsport di Malaysia, kami akan mengadakan beberapa aktiviti untuk memberi ganjaran kepada para pelanggan kami yang terus menyokong kami sepanjang tahun ini," tambah Datuk Iain.

Promosi Shell Biker Chop Chop yang dimulakan pada bulan Jun akan dijalankan sehingga bulan Ogos dan ia menawarkan peluang untuk membeli tiket berdiskaun Shell Hillstand MotoGP dan peluang untuk memenangi barangan Ducati eksklusif dan barangan edisi terhad yang lain. Untuk menyertai promosi ini, pelanggan perlu mengumpul setem digital melalui WeChat dengan mengumpul: dua (2) setem pelincir dengan pembelian Shell Advance AX5, AX7 atau Ultra dan tiga (3) setem Fuel dengan isian bahan api Shell bernilai RM6 dalam satu resit.

Satu lagi acara sambutan tahun ini merupakan tontonan secara langsung acara perlumbaan MotoGP yang akan datang, di mana peminat boleh berkumpul dan menyaksikan perlumbaan sebelum pusingan Malaysia ini. Buat pertama kalinya, Shell akan menganjurkan sesi tontonan secara langsung di luar Lembah Klang, iaitu ke Kuantan, Pahang, dengan tujuan untuk memperluaskan keseronokan MotoGP kepada kumpulan peminat yang lebih besar. Peminat boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai paparan ini di halaman media sosial Shell.

Pada tahun ini, Shell kembali dengan Shell Hillstand, kawasan tontonan eksklusif di litar yang menyediakan peminat motorsports peluang untuk menikmati pengalaman yang berbeza semasa menonton perlumbaan. Di masa lalu, puncak bukit itu menawarkan satu siri aktiviti yang merangkumi pameran motosikal Ducati, pelbagai aktiviti mesra keluarga dan pelbagai jenis makanan dan minuman, termasuk pastri segar deli2go yang popular di  Shell dan Costa Coffee. Syarikat ini sedang berusaha untuk melakukan semua ini dan lebih baik tahun ini, untuk memberikan pengalaman Shell MotoGP yang lebih besar dan lebih baik untuk para pelanggannya.

Minggu perlumbaan akan bermula dengan beberapa pra-acara seperti perlawanan bola sepak persahabatan antara Team SIC All Stars yang mempamerkan pelumba MotoGP yang berbakat melawan Team Media FC di Stadium Nasional di Bukit Jalil. Perlawanan akan dibuka untuk tontonan peminat yang datang dan menyokong pelumba MotoGP.

Sesi autograf penunggang yang sentiasa popular dan forum peminat akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 1 November (Jumaat) dan 2 (Sabtu) di mana para peminat boleh berada secara lebih dekat dan peribadi dengan pelumba kegemaran mereka seperti Marc Marquez, Valentino Rossi, Jorge Lorenzo dan pelumba Malaysia, Hafizh Syahrin Abdullah dan banyak lagi.

Karnival Mega MotoGP yang dinanti-nantikan juga menyediakan pelbagai produk dan promosi dengan lebih daripada 90 jenama yang menyertai tahun ini. Karnival ini telah menjadi satu peristiwa yang tersendiri di mana peminat dua roda boleh mendapatkan  barang-barang khusus termasuk motosikal baru untuk dibawa pulang.

Kempen #KamiGearKe7 yang popular akan kembali tahun ini sebagai cara bagi peminat untuk menunjukkan sokongan mereka kepada pelumba dan pasukan Malaysia di perlumbaan litar halaman mereka. Ianya berasaskan konsep peminat sebagai pemain ke-12 di padang perlawanan bola sepak untuk menyokong pasukan mereka, #KamiGearKe7 akan memberi peluang kepada peminat untuk menunjukkan sokongan untuk pasulan Malaysia yang bersaing di Grand Prix Malaysia.

"Semangat ini akan menjadi lebih besar tahun ini kerana kita mempunyai pasukan lumba Malaysia dalam tiga kategori kejohanan yang berbeza," tambah Tan Sri Azman.

"Pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing baru saja menunjukkan taring mereka apabila Fabio Quartararo berjaya menduduki tempat kedua di Catalunya Grand Prix dan dengan Hafizh Syahrin dan Khairul di grid, rakyat Malaysia akan lebih teruka.

"Ia juga akan menjadi tontonan bagi peminat Indonesia di luar sana kerana mereka akan dapat melihat bintang mereka Dimas Ekky Pratama dalam pusingan Malaysia di dalam musim sulungnya sebagai pelumba Moto2. Saya yakin ramai dari mereka tidak sabar-sabar untuk melihat apa yang Dimas boleh lakukan selepas tamat pada tahun 2017 dan 2018. "

Tiket Grand Prix Motosikal Shell Malaysia telah dilancarkan pada bulan Oktober 2018 dan kini terjual begitu laris. "Tahun ini, walaupun tiket kekal pada harga yang sama, terdapat tambahan 25% cukai hiburan yang dikenakan oleh kerajaan negeri. Walau bagaimanapun, acara itu tetap menjadi yang paling dinanti-nantikan dan tiket kini laris terjual. Saya menggalakkan semua peminat mula mendapatkan mereka sekarang sebelum ianya habis terjual".

"Untuk memastikan pengalaman yang selesa dan selesa bagi para peminat, kerja-kerja juga telah mula membaiki bumbung Grandstand Utama dan kelengkapan yang lebih baik untuk tandas awam. Kami sangat gembira melihat bumbung baru dan bertambah baik semasa perlumbaan tahun ini "tambah Tan Sri Azman.

Tiket boleh dibeli di www.sepangcircuit.com manakala peminat antarabangsa boleh membeli dalam talian atau melawat agen perjalanan berdaftar terdekat untuk percutian Pelancongan Motorsport terbaik di Malaysia pada bulan November ini.
........................................................


Model baharu MINI sempena Ulang Tahun ke-60

Sempena perayaan Ulang Tahun MINI ke-60, MINI Malaysia telah menghimpunkan warga MINIacs dan Rakan-Rakan MINI untuk membentuk formasi nombor 60 dengan kenderaan MINI masing-masing. Bandar Kuala Lumpur menjadi latar belakang sempurna bagi formasi tersebut.


 
Pada hari Jumaat 19 Julai 2019 kelak, MINI Malaysia akan menampilkan model baharu sempena perayaan Ulang Tahun MINI yang ke-60. Ia merupakan model pertama antara dua model yang akan diperkenalkan sepanjang perayaan tersebut. 



MobilityPlus sedia kereta gantian sewaktu Mercedes Benz anda diservis

Mercedes-Benz Financial kini memperkenalkan MobilityPlus, satu
program kereta gantian bagi pelanggan yang telah memilih untuk membiayai atau menyewa dengan Mercedes-Benz Financial.
Ciri MobilityPlus ini merupakan yang pertama seumpamanya dalam industri pembiayaan auto dan bertujuan untuk memberikan pengalaman baru untuk pelanggan, dengan tumpuan kepada kemudahan dan ketenangan hati pelanggan dengan penyelesaian pembiayaan yang komprehensif dan inovatif.

MobilityPlus membolehkan pemilik kereta penumpang Mercedes-Benz menggunakan
kereta gantian apabila kenderaan mereka dihantar untuk servis rutin (termasuk
tuntutan jaminan) selama 48 jam atau lebih.

Program MobilityPlus memudahkan pelanggan dengan menyediakan kereta Mercedes-Benz sebagai ganti sementara kenderaan mereka berada di Pusat Servis. Malah, pelanggan boleh memilih lokasi pengambilan pilihan dan hantaran kembali kereta gantian mereka. Kenderaan gantian akan disediakan kepada pelanggan yang layak dalam masa 24 jam oleh Pusat Servis Mercedes-Benz yang bertauliah. Kereta gantian ini boleh digunakan selama sejumlah 20 hari setiap tahun tanpa kos tambahan kepada pelanggan. MobilityPlus ini juga akan mempunyai liputan menyeluruh di seluruh negara, termasuk Langkawi dan Labuan.
Untuk maklumat lanjut mengenai MobilityPlus, lawati (www.mercedes-
benz.com.my/mobilityplus) atau hubungi talian Khidmat Pelanggan Mercedes-Benz di 1-800-88-1133 dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang, Isnin - Jumaat, tidak termasuk cuti umum atau bercakap dengan kakitangan Kewangan dan Insurans di Autohaus Mercedes-Benz berdekatan anda.

.

Michael Jopp Ketua Jualan & Pemasaran baharu bagi Mercedes Benz Malaysia

Mercedes-Benz Malaysia hari ini mengumumkan pelantikan Michael Jopp sebagai Ketua Jualan & Pemasaran yang baru, Mercedes-Benz Cars, Malaysia & SEA II bermula 1 Julai 2019. Jopp menggantikan Mark Raine yang kini merupakan Naib Presiden Produk & Pemasaran di Mercedes-Benz Korea, setelah berkhidmat selama empat tahun di Malaysia.

 Ketua Rantau Asia Tenggara II Dr. Claus Weidner berkata, "Kami sangat gembira dengan penyertaan Michael Jopp dalam keluarga Mercedes-Benz Malaysia. Kami yakin bahawa dia akan dapat memimpin pasaran dan mengekalkan kedudukan kami di No.1 dalam pasaran automotif premium Malaysia, dengan pengalaman industri yang kaya dan kepakaran dalam Jualan & Pemasaran. Jopp juga akan memainkan peranan utama dalam strategi pelanggan kami, mengambil pendekatan holistik terhadap kecemerlangan automotif dengan menyediakan satu pengalaman jenama dengan portfolio produk yang kukuh bagi  pelanggan kami".
Sebelum menyertai Mercedes-Benz Malaysia, Jopp berkhidmat sebagai Naib Presiden Jualan dan Pemasaran di India selama tempoh hampir 3 tahun. Semasa beliau di sana, Mercedes Benz India menduduki tangga teratas Kepuasan Jualan JD Power serta melihat pelbagai inisiatif digital baru diperkenalkan. Jopp telah memainkan peranan penting dalam mengekalkan kedudukan Mercedes Benz India sebagai pemimpin dalam segmen kenderaan mewah, yang berakhir pada tahun 2018 sebagai pembuat kereta mewah paling laris untuk tahun keempat berturut-turut di negara tersebut.
Beliau mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam industri automotif, terutamanya yang berkaitan dengan Daimler dan Mercedes-Benz di Jerman.
Berkelulusan MBA dari Goizueta Business School, Jopp gemar bermain golf dan mengembara dalam masa terluangnya.

Kami mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Mark Raine sepanjang khidmatnya di negara ini, dan mengalu alukan kehadiran Michael Jopp ke dalam industri automotif negara ini. Selamat datang!

PUSPAKOM tidak kompromi keselamatan kenderaan

Berikutan insiden seorang pelajar darjah enam yang maut akibat jatuh dari bas sekolah yang sedang bergerak, PUSPAKOM Sdn Bhd (PUSPAKOM) telah menghantar laporan pemeriksaan bas sekolah selepas kemalangan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada petang semalam (10 Julai 2019). Ini berikutan pemeriksaan kemalangan ke atas bas sekolah tersebut bersama dengan PDRM, JPJ dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang dilakukan pada 9 Julai 2019.

PUSPAKOM tidak boleh memberi komen mengenai laporan tersebut secara lebih lanjut kerana ia di bawah siasatan polis. Walau bagaimanapun, PUSPAKOM ingin menegaskan bahawa PUSPAKOM tidak sesekali berkompromi terhadap kenderaan yang tidak mengikut piawaian yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurut data pemeriksaan PUSPAKOM bagi bas-bas sekolah bagi tempoh 1 Julai 2018 hingga 30 Jun 2019, daripada lebih 26,000 pemeriksaan berkala bagi bas-bas sekolah, sebanyak lebih 7,300 bas sekolah atau 28% telah gagal pemeriksaan PUSPAKOM kerana tidak mengikut piawaian pemeriksaan. Ini merangkumi bahagian atas dan bawah kenderaan, brek, sistem gantungan kenderaan, gelincir sisi, asap dan lain-lain lagi yang tertakluk dalam skop pemeriksaan. Rekod ini jelas menunjukkan bahawa PUSPAKOM tidak sewenang-wenangnya meluluskan kenderan yang tidak menepati skop dan piawaian pemeriksaan.

Bas di dalam insiden di Kelantan tersebut telah melalui pemeriksaan berkala pada bulan Mei, dan berdasarkan rekod dan gambar-gambar pemeriksaan, PUSPAKOM telah memeriksa bas sekolah tersebut mengikut skop dan piawaian yang ditetapkan oleh pihak berkuasa. Kesemua item pemeriksaan pada bas sekolah tersebut adalah dalam keadaan baik.

Sehubungan itu, PUSPAKOM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan andaian yang tidak berasas yang boleh menambahkan lagi kesedihan keluarga mangsa dan serahkan kes ini kepada pihak polis untuk membuat siasatan yang menyeluruh.

Kenyataan Media
Jabatan Komunikasi dan Perkhidmatan Pelanggan

PUSPAKOM Sdn Bhd
12 Julai 2019

Rimba Raid terus ditaja GIVI tahun ini

Acara Rimba Raid merupakan salah satu kejayaan sukan permotoran lasak di negara ini. Syarikat pengeluar aksesori motorsikal terkemuka dunia GIVI, kekal sebagai
penaja utama bagi tahun ini.
GIVI menampilkan pelumba terhebat Jermias Israel dari Chile pada perlumbaan tahun ini. Beliau juga merupakan bekas Juara Kebangsaan dan pelumba acara Rali Dakar ini mengakui bukanlah mudah untuk
bertanding terutamanya bagi pertama kali dalam GIVI Rimba Raid. Beliau juga akan menyertai klinik satu hari klinik menunggang bersama-sama dengan Acoi Pangokolo, yang juga terkenal sebagai “stunt-rider” di Malaysia. Klinik tersebut akan berlangsung pada 20 Julai ini di pusat latihan berhampiran Kuala Lumpur.

GIVI Explorer bermula 20 Julai ini.


Program GIVI Explorer merupakan satu penerokaan dan penjelajahan seluruh pelusuk Malaysia. Ia akan bermula dari ibu kota Kuala Lumpur, sambil melawat ibu
pejabat dan unit pengeluaran GIVI Asia.
Dari sana mereka akan ke Ipoh,
untuk melawati Menara Condong Teluk
Intan dan Istana Kellie.
Mereka kemudian akan melawat Hutan
Hujan Belum dan Tasik Temenggor, yang dipenuhi ratusan pulau. Kumpulan kembara ini akan menyeberang ke pantai berpasir
dan air jernih Pantai Taras di Pulau
Redang.

Berikutnya mereka akan ke Melaka
untuk melihat Bandar Melaka dan
khazanahnya: A'Famosa Fort, Gereja
St. Paul, The Stadthuys dan Christ
Church.
Pada hari ke-7 Tour Explorer GIVI
Explorer 2019, peserta akan menyaksilan perlumbaan Rimba Raid.
Salah seorang daripada mereka akan
mendaftar untuk berlumba, sementara
yang lain akan menjadi sebahagian
daripada pasukan sokongan.
Selepas Rimba Raid di Janda Baik,
Explorers akan meneruskan
pengembaraan mereka ke Genting
Highlands, Pahang bagi mengakhiri jumlah perjalanan 2500 km, selama 10
hari.

Art Of Speed kembali hujung bulan ini

Acara tempatan Ol-Skool & Kustom Kulture Malaysia iaitu Art of Speed,  akan kembali buat kali kelapan tahun ini. Seperti lazimnya acara untuk semua peminat kereta dan motor ini akan memaparkan seni kustom tempatan yang terdiri daripada kereta dan motosikal yang diubahsuai dan direstorasi, galeri seni, aktiviti interaktif dan hadiah cabutan bertuah yang sangat menarik!

Tahun ini, acara Art of Speed 2019 (AOS 2019) mensasarkan lebih 40,000 pengunjung untuk dua hari. Acara ini akan diadakan sekali lagi di tempat yang sama di Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS), dibuka untuk lawatan pada 27 Julai  2019 (10:00 pagi hingga 11:00 malam) dan 28 Julai 2019 (10:00 pagi hingga 7:00 malam).
Saban tahun, penganjur kekal meneruskan misi yang sama iaitu untuk memberi inspirasi kepada komuniti tempatan dengan membawa masuk kenderaan vintaj dan ubah suai yang mengagumkan dari luar negara. Tahun ini, tradisi tersebut diteruskan dengan beberapa motosikal yang KQQL dan juga sebuah kereta daripada negara Jepun.
1. HEIWA MOTORCYCLE (JEPUN) dengan BMW R9T Custom, yang dikomisenkan oleh BMW Motorrad.
2. MOON OF JAPAN 1961 Ford Falcon Sedan Delivery “PANTASTIC”.
3. HOT DOCK CUSTOM CYCLES (JEPUN) dengan 1948 FL Harley-Davidson Custom “StG Nautilus”. Motosikal ini telah dianugerahkan  “Grand Champion” di acara S&S 50th Anniversary “World’s Largest Build-Off” pada 2008.

Art of Speed Invitational Car Build Off 2019 yang dikuasakan oleh PETRONAS, akan menyaksikan 7 pembina khas bersaing untuk hadiah wang tunai RM10,000 (pemilihan juri) & wang tunai RM5,000.00 (pilihan awam). Pembina khas yang bersaing ialah:
- The Classic Garage daripada Johor Bahru; pembina khas adalah Ravinder Singh
- Naza College Motorsports Team daripada Shah Alam dengan ketua projek; Jagjeet Singh dengan 5 orang pelajar
- Carazee Artwork daripada Klang, Selangor; pembina khas adalah Ajie
- WakSam Garage X RebanBlackbird daripada Subang; pembina khas adalah Odie & WakSam
- Kazuto Garage daripada Klang, Selangor; pembina khas adalah Kazuto Soon
- Faroib Autosport daripada Klang, Selangor; pembina khas adalah Ismail Ibrahim
- Garage 63 daripada Bukit Jalil, Selangor; pembina khas adalah Shawn Foo
Kereta yang memenangi “Sabah Old School Mega Gathering 2019” juga akan dihantar sebagai kenderaan tetamu khas dalam pameran Art of Speed Invitational Car Build Off 2019 

PETRONAS sebagai Penaja Utama tahun ke-3 berturut-turut akan mengeluarkan edisi terhad kolaborasi bersama Hot Wheels & Krome Bandits. Pastikan anda mendapatkanya di acara AOS 2019 nanti.

Lain-lain aktiviti di AOS 2019 termasuk:
Roda Rumble 2019 – Perhimpunan Dua Roda & Festival disokong oleh Retro Mania
Tapak Makanan yang akan menampilkan Lori Makanan, Bazar Jualan dan Pasar Lambak Vintaj
Perlumbaan Strider untuk kanak-kanak yang akan dianjurkan oleh Strider Kids Malaysia
Meraikan acara perhimpunan “MINI 60th Anniversary Malaysia”
Perhimpunan “Scale Dicast Culture” (Dewan C)
Pertandingan Hot Wheels Club Malaysia Custom & Zon Permainan  (Dewan C)
Pusingan ke-2 MSF Solo Masters (Tapak parkir Dewan D)
Pameran motosikal vintaj “Best Of British” daripada The Return of The CafĂ© Racer & Triumph Motorcycles Malaysia. (Dewan A)
Pameran Malaysia Automotive, Robotics & IoT Institute (Dewan A)
Forum perkongsian initiatif kerajaan negeri bersama YB Tuan Mohd Khairuddin Othman, Pengerusi Exco Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.
Acara akan dirasmikan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor, Tuan Amirudin Shari pada 2.00 petang, Sabtu 27 Julai 2019

Pada hari Ahad akan diadakan cabutan bertuah dimana seorang pemenang bertuah akan pulang dengan sebuak kereta Mini Cooper yang telah diubahsuai dengan tambahan enjin Suzuki Hayabusa oleh FNG Works. Para pemenang kategori motosikal dan kereta Best of Show akan memenangi pakej percutian dan hadir ke acara 28th Annual MOONEYES Yokohama Hot Rod and Custom Show pada Disember ini sebagai tetamu kehormat.

AOS 2019 akan memperkenalkan tiket Speed Lane, yang dibuka satu jam lebih awal pada pukul 10 pagi berharga RM50 sah untuk dua hari. Pengunjung boleh menikmati satu jam tambahan di dalam dewan utama dan juga dewan C. Pemegang tiket Speed Lane juga berhak untuk memasuki konsert Sound Circus di luar dewan. Tiket hujung minggu biasa (tanpa konsert Sound Circus) berharga hanya RM20 sahaja. Tiket dalam talian boleh didapati di  https://aos.qtic.my/

*Sound Circus pada hari Sabtu adalah untuk pengunjung berumur 18 tahun dan keatas SAHAJA. Kenapa? Mungkin ada bunyi yang perlu "tapisan", barangkali......?

“Setiap tahun ada sahaja cabaran yang mendorong kami untuk terus berusaha dan meningkatkan tahap pengisian acara tetapi pastinya ada ganjaran dan kepuasan ketika dapat melihat sendiri sejauh mana tahap komuniti kita dalam industri kustom kulture ini”, kata Asep Ahmad Iskandar, Pengasas Art of Speed Malaysia, 

“Seperti mana kita terus berkembang dengan industri komuniti, begitu juga Art of Speed yang akan memasuki tahun kelapan. Para pengunjung baru dan juga lama boleh terus menikmati acara tahun ini dengan dewan seluas 150,000 kaki persegi yang berhawa dingin yang akan dipenuhi dengan kenderaan kustom dan klasik didalam Dewan A, ditambah dengan NEAT Fest di Dewan C yang akan dikelolakan oleh NoEqual, persembahan langsung dari Sound Circus yang kini ditempatkan di luar dewan dengan barisan artis kelas A, galeri seni Moto Circus yang menampilkan seniman tempatan dan antarabangsa. Kami juga menyediakan aktiviti mesra keluarga seperti bengkel papan selaju oleh VANS dan banyak lagi aktiviti di Art of Speed 2019”

Maklumat lanjut mengenai acara ini boleh dilayari di www.artofspeedmy.com atau www.facebook.com/ArtOfSpeedMY/


Harley-Davidson® Fat Boy® kini datang dalam bentuk Lego


LEGO kini memaparkan model terbaharu  LEGO® Creator Expert mereka iaitu model Harley-Davidson® Fat Boy® yang akan memenuhi LEGO Stores secara global pada 1 Ogos 2019 ini.

Dibangunkan dengan kerjasama Harley-Davidson, tafsiran terperinci motosikal Milwaukee ikonik ini memaparkan keindahan jentera sebenar dengan kemasan, permukaan, dan reka bentuk
unsur-unsur Harley-Davidson Fat Boy sebenar. Model ini dibina dengan 1,023 keping LEGO dan dilengkapi lengkap dengan brek cakera, tangki bahan api berbentuk titikan air, speedometer bersepadu, dan ekzos dwi
paip.

Model ini berukuran lebih dari 7 inci (20 cm) tinggi, 7 inci (18 cm) lebar dan 12 inci (33 cm) panjang dan mempunyai beberapa bahagian bergerak untuk dimainkan pemiliknya. Putar tayar belakang untuk melihat enjin Milwaukee-Eight® dengan piston bergerak. Pusing hendal
gerakkan tuil gear dan tuas brek, dan lipat tongkat sisi motosikal untuk parkir dengan mudah. Model ini disudahkan dengan skema warna merah dan hitam asli dengan logo Harley-Davidson® pada setiap sisi yang didapati pada skema cat Wicked Red motosikal Fat Boy 2019, dan ia merupakan paparan keperibadian yang sempurna untuk hiasan rumah, pejabat, atau di mana sahaja untuk dijadikan inspirasi menunggang.

"Ia sangat menarik untuk Harley-Davidson bekerjasama dengan Kumpulan LEGO yang merupakan satu lagi jenama yang mengutamakan kreativiti, "kata Heather Malenshek, Ketua Pegawai Pemasaran Harley-Davidson. "Bukan sahaja kami mahukan pelanggan mendapat ilham oleh hasil akhir, kami mahu mereka menikmati proses pembinaannya. "
"Keaslian reka bentuk Harley-Davidson datang dengan peluh perincian dari awal hingga akhir," kata Brad Richards, Naib Presiden Styling & Design, Harley-Davidson.

Untuk meraikan pelancaran itu, LEGO Master Builders mencipta satu model saiz sebenar motosikal, lengkap dengan bahagian bersalut perak, kawalan animasi Wi-Fi, bunyi dan kesan cahaya untuk meniru Harley-Davidson® Fat Boy® dan melibatkan penggunaan 6,000 elemen LEGO khas. Ciptaan luar biasa itu mengambil masa 865 jam untuk dibina, dan diperbuat daripada 69,569 keping dan akan dipamerkan di kedai LEGO dan acara Harley-Davidson terpilih untuk tontonan peminat.

Model Harley-Davidson® Fat Boy® boleh didapati terus dari LEGO Stores dan
shop.LEGO.com secara eksklusif untuk ahli VIP LEGO bermula 17 Julai 2019, dengan
ketersediaan awam mulai 1 Ogos 2019.

Pontian bakal bergegar dengan aksi Cub Prix

Pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing, Md Adib Rosley, saingan Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2019 pada 20-21 Julai ini mungkin getir buat semua pelumba kerana sebahagian besar belum mengetahui bentuk litar yang akan digunakan.

Ini merupakan kali pertama Pontian dipilih menjadi tuan rumah kejuaraan Cub Prix yang kini sudah berusia 25 tahun sejak ia mula diperkenalkan pada 1994.

Ketika Pontian mahu menjadikan kejuaraan itu nanti sebagai antara yang terbaik, semangat semua pasukan yang akan beraksi juga semakin memuncak. Mereka sudah lama berehat selepas berakhirnya perlumbaan Pusingan 3 di Tangkak, Johor pada 3-4 Mei lalu bagi menghormati bulan Ramadan.

“Pontian adalah trek baharu dan memang agak sukar buat semua pelumba. Saya yakin semua pelumba akan bersaing secara sihat dan selamat.

“Bagi saya, sasaran utama adalah untuk memburu penyudah podium dan akan berusaha untuk terus mengutip mata maksimum,” jelas Adib yang bakal turun dengan jentera Yamaha Lagenda di Pontian nanti.

Selepas mengharungi tiga pusingan setakat ini, Adib berada di kedudukan kedua dalam carta keseluruhan kelas CP115 dengan 41 mata hasil muncul juara pada Pusingan 3 di Tangkak dan tempat ketiga pada pusingan 3 di Batu Kawan, Pulau Pinang.

Dia gagal menamatkan perlumbaan pada aksi pembuka tirai di Jasin, Melaka.

Kedudukan keseluruhan kini kekal dipegang pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Syukran Aizat Md Yusuf yang sudah mengumpul 60 mata.

Aizat dilihat konsisten dengan prestasinya setakat ini apabila muncul naib juara dalam tiga pusingan terdahulu.

KEDUDUKAN KESELURUHAN CP115
Pelumba (Lima teratas)
Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 60 mata
Md Adib Rosley (SEL) Motul Yamaha YY Pang Racing – 41
Md Fareez Afeez Abd Rahman (JOH) Motul Yamaha YY Pang Racing – 38
Md Khairil Asyraf Mahmood (JOH) Motul Yamaha YY Pang Racing – 35
Md Aiman Azman (KL) Idemitsu Honda Yuzy Racing – 34

Pasukan
Motul Yamaha YY Pang Racing – 79 mata
PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing – 78
Idemitsu Honda Yuzy Racing – 44
ELF Koyoko Honda KV Racing – 33
ONEXOX TKKR SAG Team – 33

Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. tawarkan program Waranti Lanjutan

Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd.
("HLYM") kini menawarkan program Waranti Lanjutan bahsru untuk pelanggan di
Malaysia. Program ini membolehkan pelanggan mereka menikmati nilai produk yang lebih baik dan perlindungan yang lebih lama untuk motosikal yang dimiliki mereka.
Pelanggan kini mendapat perlindungan tambahan untuk satu tahun tambahan, iaitu lanjutan dari waranti pengilang selama setahun yang sedia ada, dengan pembelian motosikal Yamaha baru. Program Waranti Lanjutan ini memberikan dua tahun
liputan atau sehingga 20,000km, yang mana terdahulu.

Perlindungan ini meliputi motosikal yang didaftarkan pada atau selepas 1 Julai 2019, dan termasuk semua model Yamaha yang dikeluarkan oleh HLYM Malaysia.

"Dengan ciri baru ini, HLYM berharap dapat meningkatkan keyakinan pengguna,
serta daya saing Yamaha dalam industri automotif Malaysia yang akan membantu membawa kesan positif kepada industri secara keseluruhan," kata Pengarah Urusan HLYM Dato' Jim Khor.

HLYM juga telah menyediakan senarai semak pra-penghantaran untuk faedah pelanggan selepas menerima motosikal baru mereka. Pengesahan dijalankan oleh pengedar sah Yamaha untuk memastikan semua motosikal disampaikan dalam keadaan terbaik, ke arah peningkatan kepuasan pelanggan.

Butiran lanjut boleh anda dapati di sini: http://www.yamaha-
motor.com.my/wp-content/uploads/2019/06/Extended%20Warranty-BM.pdf


Akhirnya Adib naik podium

 
Usaha Mohd. Adib Rosley sepanjang musim ini yang tidak pernah jemu untuk mengejar kedudukan podium akhirnya berjaya direalisasikan.
"Saya sudah mengotakan janji untuk berada di podium kemenangan. Hari ini saya sudah melakukannya walaupun hanya muncul naib juara. Terima kasih kepada pasukan.”

Itu kata-kata yang diungkap oleh pelumba pasukan RCB Accentwire Yamaha YYPang Racing Team itu sebaik tamat Perlumbaan 2 kelas Underbone 150 pada Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2019 di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun hari ini.

Pada perlumbaan yang berlangsung di litar yang agak basah itu gara-gara hujan, Adib muncul naib juara dengan catatan masa 14’15.759 saat (s).

Walaupun dilihat berpeluang untuk bergelar juara, namun kesilapan yang dilakukan Adib ketika perlumbaan berbaki dua pusingan telah memberi ruang kepada pelumba berusia 13 tahun dari Indonesia, Aldi Satya Mahendra (Yamaha Racing Indonesia) untuk memintasnya.

Aldi yang baharu menyambut harijadinya Jumaat lalu, memenangi lima pusingan perlumbaan itu dengan catatan masa 14’15.462s manakala tempat ketiga menjadi milik pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing Team, Mohd. Fazli Sham dengan masa 14’16.085s.

Pada Pusingan 3 di Buriram bulan lalu, Fazli muncul juara Perlumbaan 2.

“Saya tidak kisah kalau tak muncul juara, tetapi apa yang penting adalah untuk berada di podium kemenangan. Ia merupakan sasaran saya musim ini kerana sudah lama tidak merasai detik manis berada di podium ARRC,” jelas pelumba asal Selangor itu.

Ditanya mengenai perasaannya ketika mengharungi perlumbaan tersebut, Adib menjelaskan bahawa dia turun seperti biasa, namun tetap berhati-hati kerana keadaan litar yang agak basah.

Menurutnya, keadaan jenteranya juga berada dalam keadaan stabil berbanding ketika mengharungi Perlumbaan 1 semalam walaupun pelarasannya sama.
“Mungkin Perlumbaan 2 hari ini yang berlangsung dalam keadaan litar basah, telah memaksa pelumba lain untuk lebih berhati-hati, tetapi bagi saya ia bukan satu masalah asalkan kekal fokus dan cuba mengelak sebarang kesilapan,” jelasnya.

Pada penampilannya di Pusingan 1 dan 2 sebelum ini, nasib tidak begitu menyebelahi Adib kerana dia sering berdepan masalah teknikal sehingga menyaksikannya gagal menamatkan perlumbaan.

Pencapaian terbaiknya musim ini adalah menduduki tempat ketujuh Perlumbaan 1 di Buriram bagi membolehkannya mengutip tujuh mata manakala di Sepang dia menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-13 untuk meraih tiga mata.

Selepas selesai perlumbaan hari ini kedudukan keseluruhan masih diungguli Wawan Wello yang sudah mengumpul 71 mata manakala McKinley Kyle Paz dan Mohd. Akid Aziz terikat dengan 59 mata.

Sementara itu, Perlumbaan 2 kelas AP250 hari ini terus menyaksikan penguasaan pelumba Indonesia dengan Ahwin Sanjaya dari pasukan Astra Honda Racing Team muncul juara dengan masa 21’52.015s.

Tempat kedua menjadi milik rakan sepasukannya, Irfan Ardiansyah yang melakukan catatan masa 21’56.116s manakala pelumba pasukan Manual Tech KYT Kawasaki Racing yang juga juara Perlumbaan 1 semalam, Andy Muhammad Fadly berada di tempat ketiga dengan 21’57.084s.

Pelumba terbaik Malaysia dalam kelas AP250 hari ini adalah Muhammad Izam Ikmal (SIC Junior ZK Racing) yang menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh dengan masa 22’12.748s.

KEPUTUSAN
Perlumbaan 2 Underbone 150 (Lima teratas)
Aldi Satya Mahendra (INA) Yamaha Racing Indonesia – 14’15.462s
Mohd. Adib Rosley (MAS) RCB Accentwire Yamaha YYPang Racing Team – 14’15.759s
Ahmad Fazli Sham (MAS) ONEXOX TKKR SAG Racing Team – 14’16.085s
Mohd. Akid Aziz (MAS) UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team – 14’16.277s
Mohd. Affendi Rosli (MAS) Team One For All – 14’21.682s

Kedudukan keseluruhan
 Wawan Wello (INA) SND Factory Racing Rapido - 71 mata
 McKinley Kyle Paz (PHI) UMA Racing Yamaha Philippine Team - 59
 Mohd. Akid Aziz (MAS) UMA Racing Yamaha Motor Maju Asia - 59
 Mohd. Affendi Rosli (MAS) Team One For All - 55
Peerapong Luiboonpeng (THA) Team One For All - 54


Keputusan Perlumbaan 2 AP250 (Lima teratas)
Ahwin Sanjaya (INA) Astra Honda Racing Team – 21’52.015s
Irfan Ardiansyah (INA) Astra Honda Racing Team – 21’56.116s
Andy Muhammad Fadly (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing -21’57.084s
Piyawat Patoomyos (THA) A.P Honda Racing Thailand – 21’57.199s
Sawapol Nillapong (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 21’59.274s

Kedudukan keseluruhan
Andy Muhammad Fadly (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing -127 mata
Irfan Ardiansyah (INA) Astra Honda Racing Team – 104
Ahwin Sanjaya (INA) Astra Honda Racing Team – 104
Muklada Sarapueh (THA) A.P Honda Racing Thailand – 97
Aiki Iyoshi (JPN) Manual Tech KYT Kawasaki Racing – 88

Peerapong kukuhkan genggaman kejuaraan SS600 ARRC

Pelumba Thailand, Peerapong Boonlert terus mengukuhkan cengkamannya di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM musim ini.

Sekadar menduduki tempat ketiga pada perlumbaan 1 pada Sabtu lepas, pelumba pasukan Yamaha Thailand Racing Team itu  yang menguasai tiga pusingan awal sebelum ini, kembali menyengat untuk muncul sebagai juara Perlumbaan 2 kelas SS600 di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun semalam .

Walaupun Perlumbaan 2 itu ditangguhkan hampir setengah jam gara-gara hujan lebat di Litar Suzuka, ia ternyata tidak menjejaskan rentak cemerlang pelumba Thailand itu yang kini semakin menjarakkan dirinya dalam perebutan memburu gelaran juara keseluruhan.

Peerapong manamatkan perlumbaan tersebut dengan catatan masa 12’15.719 saat (s) meninggalkan pencabar terdekatnya yang juga pelumba wildcard, Kyosuke Okuda dari Jepun dengan perbezaan masa 0.115s.

Tempat ketiga menjadi milik seorang lagi pelumba wildcard, Soichiro Minamimoto dari Jepun yang melakukan catatan masa 12’21.000s. Semalam, Minamimoto mencipta kejutan selepas muncul juara Perlumbaan 1.

Ketika ditemui selepas perlumbaan tersebut, Peerapong menjelaskan bahawa dia puas hati dengan pencapaiannya di Suzuka walaupun tidak memenuhi sasaran awalnya untuk terus menguasai Perlumbaan 1 dan 2 seperti yang dilakukannya dalam tiga pusingan sebelum ini.

“Saya tetap bangga dan kemenangan ini juga terus mengukuhkan kedudukan saya dalam carta keseluruhan.

“Saya juga sudah biasa beraksi dalam keadaan hujan di Litar Suzuka dan pengalaman berlumba pada kejuaraaan Suzuka 4 Hour Endurance Race juga antara faktor yang membantu kemenangan ini.

“Pembabitan saya di Suzuka 4 Hour Race membolehkan saya mengawal keadaan dengan baik terutama apabila berdepan dengan beberapa selekoh sukar di litar ini,” jelas Peerapong.

Sasarannya selepas ini adalah untuk terus tampil konsisten pada Pusingan 5 di Zhuhai, China nanti.

Pelumba Malaysia, Kasma Daniel Kasmayudin (Hong Leong Yamaha Malaysia) yang muncul naib juara Perlumbaan 1 semalam, gagal menjejak kaki di podium kemenangan pada Perlumbaan 2 hari ini apabila berada di tempat keempat dengan masa 12’25.318s.
Menurut Kasma, keadaan litar yang licin dan basah antara punca menjejaskan rentak tunggangannya hari ini.

“Litar agak licin dan saya memilih untuk ‘play safe’ dan mengekalkan momentum dengan pelumba di barisan hadapan agar tidak keciciran mata.

“Saya juga berusaha untuk memberi tentangan tetapi situasi tidak mengizinkan walaupun prestasi jentera sangat stabil. Apa yang penting adalah saya tidak kehilangan mata,” tegas Kasma.

Selepas perlumbaan hari ini, Peerapong terus mengukuhkan posisinya dalam kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 191 mata diikuti Kasma (98 mata) manakala pelumba Indonesia, Andi Farid di tempat ketiga dengan 83 mata.


Keputusan Perlumbaan 2 SS600 (Lima teratas)
Peerapong Boonlert (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 12’15.719s
Kyusuke Okuda (JPN) Team MF & Kawasaki – 12’15.834s
Soichiro Minamimoto (JPN) Akenospeed-Yamaha – 12’21.000s
Kasma Daniel Kasmayudin (MAS) Hong Leong Yamaha Malaysia – 12’25.318s
Andi Farid Izdihar (INA) Astra Honda Racing Team – 12’31.687s

Kedudukan keseluruhan
Peerapong Boonlert (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 191 mata
Kasma Daniel Kasmayudin (MAS) Hong Leong Yamaha Malaysia – 98
Andi Farid Izdihar (INA) Astra Honda Racing Team – 83
Muhamad Adam Norrodin (MAS) SIC Junior ZK Racing – 80
Azroy Hakeem Anuar (MAS) Musashi Boon Siew Honda Racing Team – 69

Litar licin rencatkan misi Zaqhwan pada Perlumbaan 2 ASB1000

Keadaan jentera yang kurang stabil telah merencatkan misi pelumba Malaysia, Md Zaqhwan Zaidi untuk melakukan penyudah podium kelas ASB1000 pada Perlumbaan 2 Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) FIM 2019 yang berakhir di Litar Antarabangsa Suzuka, Jepun hari ini.

Pada perlumbaan 11 pusingan itu, Zaqhwan sekadar menduduki tempat kelima dengan masa 27’04.355 saat (s) untuk mengutip 11 mata.

Perlumbaan yang berlangsung dalam keadaan litar licin dan basah itu ternyata menyukarkan rentak pelumba pasukan Honda Asia Dream Racing with Showa itu untuk melancarkan strategi meskipun telah beberapa kali berusaha untuk menempatkan diri di hadapan.

Namun, bagi Zaqhwan, dia tidak kehilangan mata daripada perlumbaan tersebut selepas kejayaannya muncul naib juara pada Perlumbaan 1 semalam.

“Saya buka tidak berusaha untuk mengejar kedudukan podium, tetapi keadaan tidak mengizinkan saya untuk melakukan ke tahap maksimum.

“Saya akui perlumbaan tersebut memang sukar tetapi saya telah melakukan yang terbaik. Keadaan cuaca yang tidak menentu antara faktor yang menjejaskan usaha saya. Selepas hujan, litar licin dan tidak lama kemudian, keadaan agak kering pada hal kami telah memilih untuk menggunakan tayar basah.

“Situasi tersebut menyebabkan jentera kurang stabil dan ‘setting’ juga agak lari gara-gara perubahan cuaca yang begitu mendadak,” jelas Zaqhwan.

Menurutnya, ekoran masalah tersebut dia memilih jalan selamat dan mengekalkan momentum agar tidak kehilangan mata.

Perlumbaan 2 itu dimenangi pelumba Jepun, Shinichi Nakatomi yang mewakili pasukan HiTMAN RC-Koushien Yamaha dengan masa 26’48.314s.

Broc Parkes (Yamaha Racing Team ASEAN) yang muncul juara Perlumbaan 1 semalam, berada di kedudukan kedua dengan catatan masa 26’50.448s manakala Yuki Ito (Yamaha Racing Team ASEAN) di tempat ketiga dengan masa 26’50.898s.

Pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Racing Team, Azlan Shah Kamaruzaman menamatkan perlumbaan itu di kedudukan keenam dengan masa 27’10.335s.

Rentak Azlan pada perlumbaan itu juga kurang lancar gara keadaan cuaca yang tidak begitu baik.

Selepas berakhirnya perlumbaan hari ini, kedudukan keseluruhan kelak dipimpin oleh Broc dengan 150 mata diikuti Azlan (123 mata) dan Zaqhwan di tempat ketiga dengan 115 mata.

Keputusan Perlumbaan 2 ASB1000 (Lima teratas)
Shinichi Nakatomi (JPN) HiTMAN RC-Koushien Yamaha – 26’48.314s
Broc Parkes (AUS) Yamaha Racing Team ASEAN – 26’50.448s
Yuki Ito (JPN) Yamaha Racing Team ASEAN – 26’50.898s
Ratthapong Wilairot (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 26’56.597s
Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda Asia Dream Racing with Showa – 27’04.355s

Kedudukan keseluruhan
Broc Parkes (AUS) Yamaha Racing Team ASEAN – 150 mata
Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) ONEXOX TKKR SAG Racing Team – 123
Md Zaqhwan Zaidi (MAS) Honda Asia Dream Racing with Showa – 115
Apiwat Wongthananon (THA) Yamaha Thailand Racing Team – 97
Yuki Ito (JPN) Yamaha Racing Team ASEAN – 95