RFID secara menyeluruh di lebuhraya PLUS mulai malam ini


 Transaksi tol menggunakan teknologi RFID diperluaskan ke laluan Juru hingga Skudai di lebuhraya tersebut mulai jam 10 malam ini, 15 Januari 2022 ini. Dengan pelaksanaan tersebut, semua 83 plaza tol di Lebuhraya Utara-Selatan menyediakan sekurang-kurangnya 1 lorong RFID untuk membolehkan pelanggan lebuhraya melengkapkan transaksi tol mereka. 

Ini bermakna, pelanggan kenderaan penumpang persendirian (Kelas 1) mempunyai lebih pilihan sama ada menggunakan kad Touch ‘n Go, SmartTAG atau RFID untuk membayar tol.

“Bermula jam 10 malam pada 15 Januari ini, pelanggan RFID Touch ‘n Go yang telahpun menggunakan kaedah tersebut untuk membayar tol di lebuhraya-lebuhraya lain sebelum ini boleh menggunakan teknologi tersebut secara menyeluruh di lebuhraya PLUS. Dengan pelaksanaan ini juga, pelanggan kenderaan penumpang persendirian (Kelas 1) lebuh raya PLUS kini boleh beralih kepada RFID untuk menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar, tanpa sentuh dan menggunakan transaksi e-Dompet,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

Pada ketika ini, terdapat kira-kira 1.5 juta pelanggan lebuhraya yang telahpun menggunakan RFID Touch ‘n Go untuk membayar tol di kebanyakan lebuhraya lain khususnya di Lembah Klang. 

Pelekat RFID Touch ‘n Go dijual dengan harga RM35 di pusat pemasangan RFID yang sahdi seluruh negara (rujuk laman web Touch ‘n Go https://rfidregister.touchngo.com.my/fitment-centres ) dan juga secara atas talian. Pelanggan juga boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung RFID dan bagaimana ia boleh membantu mereka menikmati perjalanan lebuh raya dengan lancar di http://rfid.plus.com.my