Berita baik buat remaja-remaja di luar sana yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada pelumba-pelumba di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang bakal membuka tirai Mac ini.
Promoter Kejuaraan, Safe Aim Mutual Sdn Bhd (SAM) bersama-sama tiga pengeluar motosikal di Malaysia, Boon Siew Honda Sdn Bhd, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd dan Suzuki Assemblers (Malaysia) akan membuka pendaftaran permohonan bagi menyertai siri perlumbaan satu pengeluar musim 2013 bermula 16 Januari sehingga 11 Februari ini.
Syarat utama, pemohon mestilah warganegara Malaysia, berumur antara 13 hingga 18 tahun dan tidak pernah beraksi dalam mana-mana perlumbaan kelas lain Cub Prix. Pihak pengeluar turut menetapkan syarat fizikal di mana setiap pemohon mempunyai berat tidak melebihi 50 kilogram dan tinggi tidak melebihi 160 sentimeter.
Perlumbaan satu pengeluar menjadi tunjang penting kepada usaha berterusan dalam melahir dan membentuk bakat-bakat baru arena perlumbaan negara sepertimana yang telah ditunjukkan pelumba remaja berbakat seperti Hafizh Syahrin Abdullah yang kini beraksi di Eropah dan juga Mohd Ramdan Mohd Rosli, pesaing utama dalam Kejuaraan Cub Prix dan Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC).
“Dengan hanya 20 slot yang ada bagi setiap kategori, kita galakkan remaja-remaja yang bercita-cita untuk menjadi seorang pelumba agar membuat pendaftaran dan permohonan segera. Perlumbaan ini merupakan satu peluang yang baik untuk memulakan karier memandangkan ia tidak begitu membebankan dari segi kos kerana kelengkapan seperti jentera, latihan dan juga peralatan perlumbaan disediakan pihak pengeluar,” kata Ron Hogg, Pengarah Promosi SAM.
“Dari segi saingan pula, ia perlumbaan yang adil untuk semua. Semua yang terpilih masih baru dengan dunia perlumbaan. Kesemuanya akan sama-sama belajar perkara asas perlumbaan, belajar memahami litar dan menyesuaikan diri dengan suasana di padok sebelum masing-masing beralih ke kategori terbuka pada masa akan datang yang lebih mencabar,” tambah Ron.
Pada masa sama, Ron Hogg turut memuji dan menghargai jasa pengeluar di atas perkongsian matlamat dan sokongan berterusan mereka terhadap Kejuaraan ini.
“Kerjasama pengeluar utama industri motosikal di Malaysia, Yamaha, Honda dan Suzuki dalam menganjurkan perlumbaan satu pengeluar bersama-sama Kejuaraan Cub Prix amat dialu-alukan kerana ia menepati objektif kami untuk melahirkan lebih ramai pelumba-pelumba muda berbakat."
“Kami harap program ini akan berterusan pada masa akan datang kerana bukan sahaja dapat meningkatkan tahap perlumbaan motosikal di Malaysia, malah ia juga dilihat sebagai salah satu strategi pemasaran yang berkesan untuk mempromosi produk mereka.”
Tiga kategori perlumbaan yang dipertandingkan ialah Siri Super Yamaha 135 PETRONAS, Cabaran Honda Future 2013 dan Cabaran Suzuki Belang 2013.
Mereka yang berminat untuk memohon boleh menghubungi Safe Aim Mutual Sdn Bhd di talian 03-8733 8787. Tarikh tutup pendaftaran pada 11 Februari 2013 (Isnin) dan pemohon yang layak ke sesi pemilihan akan dihubungi sendiri oleh pihak pengeluar.