Md Zaki tekad pertahan kedudukan pendahulu Wira

Pendahulu keseluruhan kategori Wira dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas 2019 ketika ini, Md Zaki Zamri yang menggalas cabaran pasukan MOS William #LLRKS CYT Racing, tentunya akan berusaha keras bagi mempertahankan kedudukannya selepas mengungguli perlumbaan pada Pusingan 1 (Jasin, Melaka) dan Pusingan 3 di Tangkak, Johor.

Dia sekadar menghuni tempat keenam pada perlumbaan Pusingan 2 di Batu Kawan, Pulau Pinang, namun kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 60 mata, meninggalkan pencabar terdekatnya, Md Sharul Ezwan M Sharil (AFB TECH Racing) di tempat kedua dengan perbezaan 24 mata.

Selain Sharul, Md Afizad Supaat (Selangor) mahupun Md Aliff Danial Asri dari Johor juga merupakan antara pencabar yang mampu menggugat kedudukannya.

Aliff dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing merupakan juara pada saingan Pusingan 2 di Batu Kawan namun gagal menamatkan perlumbaan pada Pusingan 3 di Tangkak.

Nasib Sharul juga serupa selepas gagal menamatkan perlumbaan di Tangkak dan keputusan tersebut telah menyukarkan misi mereka untuk terus memberi tekanan kepada Md Zaki.

Afizad pula yang mewakili pasukan Super KIP Motorsports telah memperlihatkan sengatnya pada Pusingan 1 apabila menduduki tempat kedua untuk mengumpul 20 mata.
Podium Pusingan 3 di TangkakMd Izham Hanafi Amran, Md Zaki A Zamri, dan Md Haziq Rosmaza
Namun, rentaknya agak terganggu selepas itu apabila berdepan masalah mekanikal, sekali gus gagal menamatkan perlumbaan pada Pusingan 2 dan 3.

Turut tampil konsisten adalah pelumba pasukan AFB TECH Racing, Daniel El Fahim Harris El Hadi dan juga Md Haziq Rosmaza (Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing) yang telah mempamerkan rentak cemerlang dalam tiga pusingan sebelum ini.

Bagi Md Zaki, perlumbaan di selatan tanah air nampaknya menjadi kegemarannya kerana telah menguasai dua saingan awal sebelum ini iaitu di Melaka dan Tangkak, Johor.

Minggu ini, dia bertekad untuk menakluk satu lagi litar di selatan tanah air iaitu Pontian.

Pontian merupakan venue baharu dan semua pelumba masih belum dapat meramalkan bentuk litar yang bakal menjadi pentas aksi pusingan 4 itu hujung minggu ini.