Yuzy Racing damba satu podium lagi


Azroy Hakeem Anuar tempoh hari telah menceriakan  kem Yuzy Racing apabila berjaya meraih podium di tempat ketiga dalam kategori CP150 sewaktu perlumbaan lepas di Jempol, Negeri Sembilan.  Ianya menjadi begitu manis memandangkan kali terakhir mereka meraih podium ialah melalui Mohd Zaqhwan Zaidi pada pusingan pembukaan musim 2017 di Temerloh, Pahang.
Maka tidak hairanlah jika Pengurus Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini mahu anak buahya sekali lagi meraih podium pada pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Bandar Penawar, Johor pada 15 dan 16 Disember ini.
Azroy Hakeem menamatkan perlumbaan Pusinga 9 Jempol di belakang juara, Kasma Daniel Kasmayuddin dan juga juara keseluruhan Ahmad Afif Amran yang berada di kedudukan kedua.
Sebelum itu Mohd Aiman Azman hampir menghadiahkan podium buat pasukan kendalian bekas pelumba MotoGP negara itu namun sedikit kesilapan menyaksikan Aiman terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di kedudukan keempat.
“Untuk perlumbaan terakhir musim ini, kami telah melakukan persediaan rapi sama seperti seperti sebelum ini dan saya berharap seluruh ahli pasukan dapat sekali lagi menyediakan jentera terbaik kepada pelumba-pelumba.
“Pada masa sama, saya juga harap pelumba dapat memberikan aksi terbaik mereka dan saya berharap gandingan dua pelumba CP115 dapat menghadiahkan satu podium sebelum saingan musim ini berakhir,” jelas Yuzy.

Kejuaraan Mini Cub Prix KBS menuju kemuncaknya

Saingan musim pertama Kejuaraan Mini Cub Prix KBS semakin menuju kemuncak dan siapa juara keseluruhan pertama siri program pembangunan sukan permotoran negara anjuran bersama Kementerian Belia dan Sukan dan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS itu akan diketahui pada pusingan terakhir di Bandar Penawar, Johor, minggu ini.
Jika pada awal saingan musim ini kelihatan Mohd Aidil Mohamad Ayub begitu mendominasi perlumbaan dengan memenangi lima perlumbaan berturut-turut bermula dari pusingan pertama sehingga ke pusingan ketiga, namun insiden demi insiden yang dialami ketika perlumbaan menyaksikan kedudukan kini berubah.
Kegagalan menaiki podium pada Perlumbaan 2 pusingan ketiga dan Perlumbaan 1 pada pusingan lepas di Jempol ditambah dengan kegagalan untuk menamatkan Perlumbaan 2 menyebabkan pelumba berusia 12 tahun dari Selangor itu terpaksa menyerahkan takhta pendahulu kepada Nabil Abdul Rahman.
Nabil yang muncul juara Perlumbaan 2 di Batu Kawan dan Perlumbaan 1 di Jempol serta muncul naib juara kini menghuni tangga teratas dengan 153 mata, hanya enam mata mendahului Aidil. Sementara itu, Muhammad Farish Iqmal Khayrul Elyas yang konsisten menamatkan saingan di kelompok lima pelumba terbaik pada setiap perlumbaan turut memberikan cabaran apabila menghuni tangga ketiga dengan 134 mata.
Dengan baki 50 mata maksimum pada dua perlumbaan terakhir, persaingan lebih terarah diantara Nabil dan Mohamad Aidil sambil Muhammad Farish berupaya untuk memberikan kejutan. Dengan 101 mata yang dikumpul setakat ini, secara matematik, Putera Alif Irfan yang berada di kedudukan keempat dilihat masih berpeluang untuk mencipta kejutan bagi merebut slot automatik dan biasiswa bagi menyertai siri perlumbaan satu pengeluar Kejuaraan Cub Prix musim 2019.
Persaingan kategori terbuka lebih menarik dan cukup sengit paabila hanya lima mata dibezakan antara tiga pelumba teratas. Juara pusingan ketiga, Adib Hareez Hazwat kiini di tangga teratas dengan 62 mata manakala kegagalan juara pusingan pertama dan kedua, Muhammad Hakim Danish Ramly menamatkan perlumbaan di Jempol menyaksikan pelumba itu jatuh ke kedudukan kedua dengan 58 mata sambil Qabil Irfan Azlan yang memenangi perlumbaan lepas di kedudukan ketiga dengan 57 mata
Muhammad Hakim Danish bagaimanapun sukar untuk dicabar dalam kategori Kadet apabila berjaya memenangi keempat-empat perlumbaan lepas untuk mengumpul 100 mata maksimum dan gagal untuk dipintas lagi dalam senarai keseluruhan pelumba.
Daam kategori Kidz, Muhammad Iqmal Firdaus Kamalruzzaman yang berjaya menaiki podium dalam kesemua perlumbaan berada di tangga teratas dengan 81 mata.

KEDUDUKAN KESELURUHAN PUSINGAN 4 KEJUARAAN MINI CUB PRIX KBS
JUNIOR
1 19 Nabil Abdul Rahman (JHR) 153 mata
2 13 Mohamad Aidil Mohamad Ayub (SGR) 147 mata
3 99 Muhammad Farish Iqmal Khayrul Elyas (JHR) 134 mata
4 46 Putera Alif Irfan Abdullah (SGR) 101 mata
5 18 Muhammad Alif Izwan Samsul Fakry (KUL) 87 mata

OPEN
1 14 Adib Hareez Hazwat 62 mata
2 18 Muhammad Hakim Danish Ramly 58 mata
3 4 Qabil Irfan Azlan 57 mata
4 9 Muhammad Adib Arsyad Hisyam 46 mata
5 24 Muhammad Haziq Hakimy Kamaruddin 42 mata

KADET
1 18 Muhammad Hakim Danish Ramly 100 mata
2 24 Muhammad Haziq Hakimy Kamaruddin 72 mata
3 11 Muhammad Farish Hafiy Farid Sezli 52 mata
4 2 Haidar Nur Akmal Mohd Zaki 36 mata
5 36 Muhammad Adie Putra Sukarno 27 mata
KIDZ
1 81 Muhammad Iqmal Firdaus Kamalruzzaman 81 mata
2 9 Muhammad Adib Arsyad Hisyam 65 mata
3 4 Qabil Irfan Azlan 60 mata
4 53 Muhammad Syahmi Aiman Mohd Shafie 52 mata
5 10 Muhammad Shah Putra Norshahrizan 36 mata

Proton X70 dilancarkan bermula RM99,800

Setelah sekian lama dinanti, akhirnya SUV premium pertama dihasilkan oleh jenama automotif Malaysia iaitu. Proton X70 selamat dilancarkan. X70 adalah model pertama yang dihasilkan bersama oleh PROTON dan Geely ini juga telah membawa PROTON ke segmen pasaran baharu dan bertindak sebagai pemangkin untuk memberi nafas baharu kepada jenama tersebut.

PROTON X70 ini telah  dilancarkan dalam satu majlis gilang-gemilang oleh Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamad di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Butiran penuh SUV tersebut telah dikongsikan pada majlis itu termasuk harga jualan, pakej servis, pembiayaan
dan waranti.
"Proton X70 adalah hasil kerja keras lebih setahun oleh jurutera, pereka bentuk dan beratus-ratus pekerja PROTON dan Geely yang lain yang bekerjasama untuk membangunkan SUV premium pertama oleh pengeluar kereta Malaysia. PROTON 
berbangga dengan pencapaian ini dan kami percaya bahawa pembeli kereta Malaysia akan turut sama berbangga memiliki 
SUV ini yang akan membantu mengubah jenama Proton. Dengan lebih 10,000 tempahan yang diterima, ia menunjukkan satu permulaan yang baik, justeru, kami akan berusaha dengan lebih lagi untuk menghasilkan produk dan jenama seperti yang dijanjikan," kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.

"Penyerahan Proton X70 akan bermula pada minggu-minggu akan datang kerana Syarikat mahu pelanggan mendapatkan 
kereta mereka secepat mungkin. Ada di antara mereka yang telah menunggu lebih dari enam bulan, dengan memberikan 
nama kepada pengedar sebelum tempahan dibuka secara rasmi, jadi, PROTON berterima kasih atas kesabaran dan 
kesetiaan mereka terhadap Syarikat,” tambahnya.
Untuk meningkatkan pengalaman pemilikan Proton X70, pakej nilai tambahan istimewa telah diumumkan pada majlis 
pelancaran ini. Dinamakan sebagai pakej Xtra, pakej ini melibatkan empat perkara yang berbeza. Pakej Servis Xtra menawarkan alat ganti dan kos pekerja secara percuma untuk servis yang pertama serta kos pekerja percuma untuk lima kali servis berjadual bagi 100,000km atau lima tahun. Selain itu, terdapat juga Pakej Pembiayaan Rendah Xtra, yang menawarkan kadar faedah rendah bermula dari 2.34% p.a. untuk pembeli yang berkelayakan.
PROTON akan menjadi jenama automotif kebangsaan pertama menawarkan jaminan perbatuan tanpa had di mana Pakej 
Perlindungan Waranti Xtra akan melindungi Proton X70 selama lima tahun tanpa mengira jarak perbatuan. Akhir sekali, untuk memastikan pemilik menikmati pengalaman sambungan premium, Pakej Data Xtra menawarkan data internet percuma selama lima tahun (dihadkan pada 1GB sebulan).
"Pakej Xtra yang diberi akan meningkatkan pengalaman para pemilik dengan menawarkan kemudahan, penjimatan untuk servis, pembiayaan serta data percuma. PROTON juga akan mencipta sejarah dengan menawarkan Proton X70 pada satu harga bagi satu negara. Ini bermakna, pembeli kereta di Timur dan Barat Malaysia akan membayar harga yang sama untuk model yang sama, menjadikan PROTON jenama automotif pertama menawarkan tawaran sedemikian. Harapan kami dengan langkah ini, PROTON membuktikan bahawa produk Malaysia boleh ditawarkan pada harga yang sama untuk semua rakyat Malaysia tanpa 
mengira lokasi tempat tinggal mereka,” tambah Dr Li Chunrong.



Goh Brothers Motorcycles kini servis jentera MV Agusta

Pemilik MV Agusta kini mampu menarik nafas lega dengan wujudnya kerjasama di antara MV Agusta (MV) Motor SpA dan Goh Brothers Motorcycles Sdn Bhd (GBMC) untuk menyediakan sokongan selepas jualan bagi penyelenggaraan perkhidmatan, pembaikan dan jaminan untuk semua motosikal MV di Malaysia.

Cawangan pertama yang bersedia menerima pemilik MV adalah di Bengkel GBMC di hab motosikal The Gasket Alley di Petaling Jaya.

"Kami berbesar hati kerana dipilih sebagai rakan kongsi bagi jenama motosikal premium premium terkenal ini di Malaysia dan untuk memulakan proses pembangunan jenama dan peningkatan pengalaman pemilikan selepas jualan. Kami telah menghantar pasukan kami untuk menjalani latihan di kilang Itali dan memastikan peralatan dan kelengkapan yang betul siap di pusat servis kami," ujar Pengerusi Goh Brothers Motorcycles, Goh Kian Sin.
 Pengurus Negara Timur Jauh MV Agusta Motor SpA, Judah Sangaran berkata "Kami bekerjasama rapat dengan GBMC untuk mengekalkan dan membina keyakinan para pemilik semasa kepada jenama kami di Malaysia dan salah satu usaha sekarang adalah untuk memastikan ketersediaan alatganti secara lebih cepat dan perkhidmatan yang boleh dipercayai bagi semua pemilik MV Agusta sedia ada di Malaysia.
Model MV Agusta yang dijual di Malaysia termasuk F3 800, F4, F4RR, Brutale 1090, Brutale 1090RR, Brutale 1090 Corse, Brutale 800, Brutale 800RR, Brutale Dragster, Brutale Dragster 800RR, Rivale, Turismo Veloce, Stradale, dan MV Agusta hingga 2015.