MINI Elektrik – Yang Pertama Seumpamanya Sempena Ulangtahun yang ke-61.

 

Pengeluar kenderaan premium meraikan hari lahirnya yang ke-61 dengan mendefinisikan semula sensasi pemanduan ala go-kart MINI menerusi pengalaman elektrik yang tulen buat warga MINIacs di Malaysia.


 MINI, jenama automotif premium kompak yang tercanggih di Malaysia telah memperkenalkan kereta MINI Elektrik Baharu buat pertama kali di Malaysia pada hari ini – sekaligus meluaskan lagi segmen elektrik premium dalam portfolio MINI. 

 

“Sebagai jenama yang berpegang kepada jiwa automotifnya yang unik, MINI terus mencetus keterujaan dan menggiatkan inovasi untuk membekalkan sensasi pemanduan ala go-kart yang bersifat lestari dalam generasi ini. Buat julung kali, dan sempena hari lahir MINI ke-61, kami berasa teruja untuk merealisasikan inovasi ini menerusi MINI Elektrik Baharu. Jentera elektrik ini terus meluaskan barisan model MINI elektrik di Malaysia,” ujar Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.

Sejak kami rungkaikan model MINI elektrik yang pertama pada tahun 2017 menerusi MINI Countryman Plug-In Hybrid, kenderaan MINI elektrik telah menjadi dambaan warga MINIacs di seluruh negara. Pada tahun 2019 sahaja, MINI berjaya menyerahkan hampir 17,000 unit kereta MINI Countryman PHEV di seluruh dunia. Kejayaan ini terus mendorong komitmen kami ke arah mobiliti elektro, kerana ia membuktikan trend pemupukan kenderaan elektrik yang sedang meningkat dalam kalangan warga MINIacs secara global,” jelas Hoelzl.

Jentera tiga pintu yang penuh gaya dan serba minimalis ini hadir dengan bahasa reka bentuk yang menawan, ia kelihatan berbeza daripada model-model MINI yang lain, namun masih memberi penghormatan kepada sejarah jenama MINI yang berusia 60 tahun. Kenderaan alaf baharu ini dikuasakan oleh motor elektrik berkuasa tinggi yang dibangunkan oleh BMW Group, ia mampu menjana 184 kk dan nilai tork berjumlah 270 Nm – sekali gus menawarkan kepuasan yang maksimum di atas jalan raya tanpa jejak karbon.

MINI Elektrik Baharu boleh dicas semula sehingga kapasitinya mencecah 80% hanya dalam masa dua jam setengah dengan MINI Wallbox Plus. Ketika memandu, penjanaan tenaga brek yang dibuahkan dengan memperlahankan kenderaan bukan sahaja disalurkan kepada bateri voltan tingginya, malah membolehkan kenderaan tersebut dipandu menggunakan satu pedal sahaja. Jentera baharu ini turut merupakan model MINI pertama yang menampilkan Kluster Instrumen 5.5 inci, ia membekalkan aksesibiliti yang lebih lancar ke atas butiran pemanduan yang utama.


Elektrifikasi sensasi pemanduan yang luar biasa.

Hadir dengan saiz yang sama seperti MINI Cooper S, MINI Elektrik Baharu membawakan iras yang mempesonakan, ia diserlahkan dengan elemen dalam warna Energetic Yellow yang berjiwa muda. Jentera ini hadir dengan bampar dan gril radiator yang khusus untuk model tersebut dalam warna Vigorous Grey, berserta Lencana E berwarna kuning. Komponen bilah gril hadapan akan ditawarkan dalam dua warna: Vigorous Grey atau Energetic Yellow.


Dengan pakej ‘Lights’, MINI Elektrik Baharu dilengkapi dengan lampu hadapan Matrix LED, serta lampu belakang LED dengan gubahan Union Jack yang ikonik. Di bahagian sisi, MINI Elektrik Baharu menampilkan geometri pelitup khas, Lencana E pada ketutup sisi, serta pelitup cermin sisi dengan struktur aerodinamik yang optimum dalam warna Hitam atau Energetic Yellow. Cermin interior dan eksterior dengan ciri anti silau juga disediakan sebagai standard. MINI Elektrik Baharu didatangkan dengan set roda MINI Electric Power Spoke bersaiz 17 inci dalam dwitona dengan tayar ‘run flat’.

Di seksyen belakang, jentera baharu ini memperlihatkan komponen penutup titik pengecasan dengan Lencana E yang diembos mengikut warna tubuh kenderaan yang dipilih. Hendal pintu but dalam warna Vigorous Grey turut mewujudkan kontras yang menawan. Lencana model dan Lencana E dengan penggayaan rona kuning juga hadir sebagai standard, berserta bampar belakang yang khusus dengan komponen peresapnya.


Keterujaan pemanduan maksimum, jejak karbon minimum.

MINI Elektrik Baharu dikuasakan oleh motor elektrik segerak versi terbaharu dan dengan kuasa yang tinggi dibangunkan oleh BMW Group – enjin elektrik gandar hadapan mampu menjana 135 kw/184 kk, serta unit bateri 12 modul berbentuk T hadir dengan kapasiti bersih berjumlah 28.9 kWj. MINI Elektrik Baharu mempunyai puncak tork berjumlah 270 Nm, emisi karbon sifar, dan mengguna pakai 16.8 – 14.8 kWj bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 km. 


Prinsip reka bentuk sistem pacuan yang spesifik menawarkan pembinaan kuasa bertahap tinggi, yang turut berlanjutan hingga ke aras kelajuan yang tinggi. Tahap efisiensi yang cemerlang, digandingkan dengan penggunaan kuasa yang lancar dan getaran yang minimum dapat dirasai seawal kereta ini dihidupkan – yang sinonim dengan motor elektrik.

Mampu mencatat kelajuan tertinggi mencecah 150 km/j dan jarak operasi sejauh 234 km (WLTP) atau 270 km (NEDC), jentera ini juga mampu membuat pecutan abad dalam masa 7.3 saat. MINI Elektrik Baharu menggunakan transmisi kelajuan tunggal dan diferensial terintegrasi yang memaksimumkan sensasi pemanduan ala go-kart yang sinonim dengan MINI. 


Ciri-ciri kefungsian yang cemerlang buat MINI baharu.

Sebahagian daripada pengalaman pemanduan yang dibekalkan oleh MINI Elektrik Baharu ialah pacuan pedal tunggal yang turut menyumbang kepada pemulihan tenaga brek. Motor elektrik berkenaan berfungsi sebagai generator dalam mod pacuan neutral (coasting), yang menukar tenaga kinetik kepada kuasa elektrik – lalu disalurkan semula kepada bateri voltan tinggi di dalam kenderaan berkenaan. MINI Elektrik Baharu hadir dengan empat mod pemanduan: Sport, Mid, Green dan mod Green+ baharu – yang meningkatkan jarak operasi elektrik dengan menghadkan fungsi-fungsi kemudahan yang tertentu.


Jentera baharu ini turut menampilkan fungsi pengehad gelincir roda (ARB) yang menambah baik tahap cengkaman secara signifikan dengan membekalkan kawalan yang lebih pantas. Fungsi tersebut juga mengurangkan ‘power understeering’ yang biasanya berlaku pada kenderaan pacuan roda hadapan. Gandar belakang dikonfigurasikan mengikut gandar hadapan, yang menampilkan sendi buku stering berasaskan elektrik; ia membolehkan tetapan suspensi berasaskan elektrik dimanfaatkan bersama pengalas anjung roda yang dipasang pada tubuh kenderaan ini.


MINI Elektrik – keselesaan dan gaya.

MINI Elektrik Baharu mempersembahkan bahasa reka bentuk interior yang menawan, dirumus secara eksklusif untuk kenderaan ini. Rekaan spesifik bagi model ini merangkumi MINI Electric Cockpit Fascia, butang Mula/Henti MINI Electric dalam warna Kuning, hamparan lantai velor MINI Electric, tuil pemilih elektronik dengan gubahan ‘Electric’, serta suis togol pemulihan tenaga brek. Cermin pandang belakang dengan ciri anti silau juga dilengkapi sebagai standard.


Pemandu serta penumpang MINI Elektrik Baharu ini boleh menikmati ciri-ciri keselesaan dan penggayaan yang ditawarkan menerusi penyaman udara automatik dua zon, kerusi Leather Cross Punch dalam warna Carbon Black serta pencahayaan ambien 12 warna iluminasi MINI. Stereng sport berkulit dengan multifungsi, konsol tengah yang kini berkedudukan lebih tinggi, termasuk brek parkir elektrik terintegrasi juga ditawarkan sebagai standard dalam kenderaan ini. Memelihara dimensi yang sama seperti MINI Cooper S, ruang muatan MINI Elektrik Baharu juga berkapasiti 211 liter dan boleh dinaikkan kepada 731 liter. 


Pelbagai maklumat navigasi dipersembahkan melalui Sistem Navigasi MINI 8.8 inci yang hadir dengan aplikasi MINI Connected yang lengkap, ia merangkumi Teleservices, Servis Jarak Jauh (Remote Services), Panggilan Kecemasan Pintar (Intelligent Emergency Call), MINI Dalam Talian (MINI Online) dan Apple CarPlay. Kenderaan ini turut dilengkapi dengan Papar Pandu (Head Up Display) dan menawarkan hiburan muzik bertaraf premium dalam bentuk Sistem 12 Pembesar Suara Harman Kardon. Hiburan tanpa henti dalam kenderaan ini disumbang oleh fungsi pengecasan telefon bimbit tanpa wayar.


Diperkenalkan buat julung kali dalam kenderaan MINI, jentera elektrik tulen ini hadir dengan Kluster Instrumen Digital – yang mampu memaparkan maklumat penting melibatkan status pengecasan kenderaan seperti tempoh pengecasan yang berbaki, peratusan pengecasan, jarak operasi yang berbaki serta suhu di luar kenderaan. Ia juga boleh memaparkan Mod Pemanduan MINI (MINI Driving Mode) semasa, yang kemudiannya mengkalibrasi warna yang dipaparkan pada bulatan cahaya yang terletak di instrumen sentral – merah (mod SPORT), putih (MID) atau hijau (GREEN dan GREEN+).


Di samping itu, kluster instrumen digital juga memaparkan maklumat mengenai laporan pengesanan isyarat trafik dan penunjuk arah daripada sistem navigasi. Senarai nombor telefon dan program audio juga boleh diakses melalui sistem berkenaan.


100% elektrik, emisi sifar.

MINI Elektrik Baharu menawarkan pelbagai alternatif pengecasan, sama ada di rumah mahupun fasiliti pengecasan awam. Ketika mengecas di stesen pengecasan DC, MINI Elektrik Baharu hanya memerlukan kira-kira 36 minit untuk dicas daripada kapasiti bateri sifar sehingga 80%. MINI Wallbox Plus menawarkan pengecasan sehingga 80% dalam tempoh dua jam setengah, sama seperti di stesen pengecasan awam. Di rumah, jentera elektrik ini boleh dicas sehingga 80% dalam masa 12 jam menggunakan kabel pengecasan kontingensi berwarna kuning yang ditawarkan bersama kenderaan tersebut. Progres pengecasan MINI Elektrik Baharu boleh dilihat di bahagian dalam komponen penutup titik pengecasan. 


MINI eDrive juga merupakan rangkuman teknologi yang tercanggih dalam MINI Elektrik Baharu – lantas membolehkan kereta ini dipandu dengan lancar menerusi servis dan fungsi digital pintar. Green Driving Assistant (GDA) membekalkan fungsi yang bermanfaat seperti Pembantu Jarak Operasi (Range Assistant) yang memberikan pelbagai solusi kepada pemandu ketika ketandusan bateri. Ia juga boleh mencadangkan laluan yang lebih efisien (Green Route), mod pemanduan atau stesen pengecasan yang terdekat, agar para pemandu dapat sampai ke destinasi masing-masing. Lingkungan jarak operasi juga akan memaparkan jarak dalam mod pemanduan yang dipilih pada peta navigasi.


Melangkah ke hadapan dengan fungsi bantuan pintar.

MINI Connected App membekalkan status MINI Elektrik Baharu dengan jelas, dan pemasa boleh ditetapkan untuk memastikan kenderaan ini dicas penuh sebelum memulakan perjalanan, serta disediakan mengikut suhu yang dipilih oleh pengguna sementara ia dicas. Aplikasi tersebut memaparkan statistik pemanduan peribadi serta tutorial untuk membantu pemandu mempelajari kemahiran memandu yang efisien.


MINI Elektrik Baharu merupakan model MINI yang pertama di Malaysia dilengkapi dengan sistem Bantuan Memandu. Pakej sistem bantuan memandu berasaskan kamera meliputi info Had Kelajuan, serta bantuan lampu puncak yang diaktifkan secara automatik pada kelajuan 50 km/j dan ke atas, atau dalam keadaan pencahayaan eksterior yang kurang baik. 


Sistem Bantuan Memandu juga dilengkapi dengan amaran pejalan kaki dengan fungsi pembrekan ringan (light city braking) serta amaran kawalan penghampiran objek (approach control warning) dengan fungsi pembrekan ringan – kedua-duanya membekalkan keselamatan maksimum jika wujud potensi berlakunya perlanggaran dengan mempersiapkan brek untuk memberi tindak balas yang lebih pantas serta jarak pembrekan yang lebih singkat. Jika impak tidak dapat dielakkan, fungsi pembrekan akan membantu mengurangkan kelajuan perlanggaran.


MINI Elektrik Baharu juga dilengkapi dengan Bantuan Parkir, Kawalan Jarak Parkir hadapan dan belakang, Kawalan Luncur (Cruise Control) dengan fungsi pembrekan, serta pakej-pakej ‘Wired’ sebagai standard.


Penawaran warna eksterior bagi MINI Elektrik Baharu meliputi White Silver yang eksklusif digandingkan dengan Energetic Yellow, serta British Racing Green, dan Chili Red. Jentera MINI Elektrik Baharu bakal disediakan di semua pusat pengedaran MINI yang bertauliah di seluruh negara mulai 26 Ogos 2020.


MINI Elektrik Baharu boleh ditempah atas talian melalui laman web https://shop.mini.my/booking/mini-electric, dengan bayaran tempahan berjumlah RM1,000.


Bantuan Tepi Jalan MINI (MINI Roadside Assistance).

MINI Elektrik Baharu diliputi oleh program Bantuan Tepi Jalan Bertempoh 5 Tahun oleh MINI Malaysia, ditawarkan untuk semua kenderaan MINI bersama pelbagai perkhidmatan komprehensif yang merangkumi Bantuan Kemalangan 24-jam, 365 hari setahun; Talian Bantuan dan Kecemasan; Servis Penundaan Percuma dan sekiranya perlu (lebih daripada 200 KM dari tempat kediaman); Kenderaan Ganti; Mobiliti Lancar (Seamless Mobility); Akomodasi; Solusi Servis Mobiliti serta servis Repatriasi.

Program Bantuan Tepi Jalan MINI (MINI Roadside Assistance) boleh diakses dengan menghubungi talian 1800-88-8808. 

Servis Dalam Talian MINI.

Kini lebih mudah untuk membuat janji temu. Program servis dalam talian baharu ini membolehkan para pelanggan menjadualkan servis keperluan mereka secara terus dengan wakil pengedar MINI bertauliah pilihan masing-masing melalui www.service.mini.my.

Maklumat lanjut mengenai MINI Elektrik Baharu boleh didapati di www.mini.my.