Syarikat diarah bayar lebih RM600 ribu bahana elak bayar tol

Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa sebuah syarikat logistik telah dipertanggungjawabkan dengan liabiliti vikarius (vicarious liability) bilamana pemandu dan/atau pekerja syarikat terbabit gagal untuk menjelaskan jumlah tol yang telah ditetapkan. 

Penghakiman tersebut dibuat sebagai keputusan tuntutan Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS) terhadap sebuah syarikat logistik, Berjasa Logistics Sdn Bhd (sebelum ini dikenali sebagai Sin Kung Logistics (KL) Sdn Bhd). 19 buah kenderaan milik syarikat berkenaan yang dipandu oleh pemandu-pemandu syarikat tersebut telah dengan sengaja mengelak daripada membayar tol di lebuh raya PLUS sejak beberapa tahun lalu. 

Keputusan Mahkamah Persekutuan tersebut adalah berikutan rayuan syarikat Berjaya Logistics Sdn Bhd terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 20 Julai 2017 yang membenarkan tuntutan PLUS sebanyak RM518,369.27 dengan kos sebanyak RM100,000.00 susulan kegagalan pemandu syarikat tersebut membayar tol di lebuh raya PLUS.

PLUS memandang serius tindakan segelintir pemandu kenderaan yang dengan sengaja mengelak untuk membayar tol. PLUS juga memohon kerjasama semua syarikat logistik dan pemilik kenderaan berat supaya memandang serius perkara ini dan seterusnya memantau tindakan pemandu dan/atau pekerja mereka. 

PLUS telah mengenalpasti beberapa taktik penipuan tol yang digunakan oleh pemandu-pemandu kenderaan berat dan sedang mengambil langkah-langkah pencegahan yang perlu termasuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat.

Pada masa yang sama, PLUS juga berkolaborasi bersama-sama pihak berkuasa yang berkenaan bagi membendung kejadian penipuan pembayaran tol di lebuh raya.