Showing posts with label MIROS. Show all posts
Showing posts with label MIROS. Show all posts

MCAS menang Anugerah International Road Federation (IRF)


 Projek kerjasama antara Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) untuk memasang dan mengujikeberkesanan Sistem Amaran Perlanggaran Motosikal MIROS atau MIROS Motorcycle Collision Alert System (MCAS) telah mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai pemenang bagi kategori Teknologi, Peralatan & Pembuatan untuk Anugerah Pencapaian Keselamatan Jalan Raya Global 2023 (GRAA 2023) anjuran International Road Federation (IRF). 

Projek pemasangan rintis ini berjaya membuktikan keberkesanan dan kebolehupayaan sistem MCAS dalam persekitaran sebenar, sekaligus menunjukkan potensi sebagai satu penyelesaian berimpak tinggi untuk keselamatan penunggang motosikal.

Menurut Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS),
Profesor Madya Ts. Dr. Siti Zaharah Binti Ishak, “Pembangunan sistem MCAS merupakan
satu pencapaian signifikan bagi MIROS dalam usaha kami untuk meningkatkan keselamatan
jalan raya di negara kita. Kerjasama antara MIROS dan PLUS melalui projek pemasangan
rintis MCAS ini merupakan satu penanda aras penting keberhasilan yang mampu dicapai
melalui kerjasama strategik dan penglibatan semua pemegang taruh. Berdasarkan penemuan
dan pembuktian impak MCAS terhadap keselamatan penunggang motosikal, kami berharap
sistem MCAS ini dapat diperkembangkan ke peringkat industri dan pasaran dengan
ketersediaan dan akses yang meluas kepada semua penunggang motosikal.”
Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Nik Airina Binti Nik Jaffar berkata,
“Sebagai pengendali lebuh raya utama di Malaysia, PLUS sentiasa memberi penekanan yang
penting dalam meningkatkan tahap keselamatan lebuh raya selaras dengan aspirasi PLUS
ke arah lebuh raya pintar, lestari dan selamat. Berdasarkan statistik kemalangan PLUS pada
tahun 2023, penunggang motosikal menyumbang sebanyak 72% daripada jumlah
keseluruhan kemalangan maut di lebuh raya. Jalinan strategik antara PLUS dan MIROS
dalam membangunkan Projek MCAS merupakan kolaborasi inovatif dan berimpak tinggi yang
bertujuan membantu meningkatkan tahap keselamatan penunggang motosikal di lebuh raya.
PLUS terus komited memperkukuhkan kerjasama dengan MIROS serta agensi-agensi lain
dengan memberi fokus terhadap teknologi dan inovasi keselamatan lebuh raya.”
Dibangunkan oleh MIROS pada tahun 2021 dan pelaksanaan kajian seterusnya dengan
kerjasama PLUS pada tahun 2022, sistem MCAS menggunakan teknologi Light Detection &
Ranging (LiDAR) untuk mengesan kenderaan atau halangan di arah hadapan dan memberi
amaran visual dan audio kepada penunggang motosikal untuk mengelak perlanggaran
dengan selamat. Sejumlah 35 unit sistem MCAS telah dipasang secara ubah suai (retrofit)
pada motosikal peserta, melibatkan 18 model motosikal pelbagai jenama dan kapasiti enjin
(100 – 600 cc) yang didaftarkan dari tahun 2007 hingga 2021.

 Sepanjang tempoh kutipan data, sistem MCAS telah diaktifkan sekurang-kurangnya sejauh
125,960 km dan selama 2,850 jam di jalan raya sebenar, dengan 75% kadar fungsian purata
telah direkodkan. Berdasarkan data sejarah perlanggaran yang melibatkan peserta kajian,
MCAS telah membantu mengurangkan sehingga 89% dari jumlah perlanggaran di jalan raya
sepanjang tempoh kajian. Selain itu, peserta kajian melaporkan sekurang-kurangnya 1,013
kejadian hampir berlanggar (near-crash) di mana MCAS telah membantu mereka mengelak
perlanggaran dengan kenderaan lain.
Kejayaan usahasama antara MIROS dan PLUS ini diharap akan menginspirasikan lebih
banyak inisiatif keselamatan jalan raya yang berimpak tinggi pada masa hadapan. Komitmen
berterusan daripada semua pemegang taruh terhadap kecemerlangan dan kolaborasi
strategik akan terus menjadi asas kepada usaha mengurangkan kadar kemalangan dan
meningkatkan keselamatan jalan raya di Malaysia.

Sudah tebus subsidi kerusi keselamatan anak anda?

 

Kerajaan telah memperuntukkan kira-kira RM30 juta kepada 188,000 penerima daripada golongan B40 untuk menikmati 50% rebat atau sehingga RM150 insentif bagi pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak (Child Restraint Systems – CRS).

Penerima yang layak boleh menikmati 50% rebat atau sehingga maksimum RM150.

Anda boleh membuat seemakan kelayakan secara online melalui Portal MyCRS di bahagian Semakan Kelayakan.




Ujian jalanan sistem amaran perlanggaran untuk motosikal dimulakan

 

 Satu kerjasama penyelidikan telah dibentuk antara MIROS dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bagi menguji keberkesanan sistem MCAS dan seterusnya mempertingkatkan keupayaan dan kebolehsediaan sistem ini menerusi satu kajian rintis yang akan melibatkan penunggang motosikal sebenar. Melalui kajian ini, sebanyak 45 unit sistem MCAS akan dibangunkan dan dipasangkan pada motosikal milik penunggang motosikal persendirian dalam kalangan mereka yang berulang alik ke tempat kerja menggunakan motosikal. 

MIROS telah berjaya membangunkan prototaip Sistem Amaran Perlanggaran Motosikal MIROS atau MIROS Motorcycle Collision Alert System (MCAS) tersebut pqda tahun 2021. Sistem amaran perlanggaran MCAS ini berupaya untuk mengesan kenderaan yang bergerak perlahan atau berhenti di hadapan dengan tepat dan memberi amaran kepada penunggang motosikal dalam masa yang mencukupi seterusnya memberi ruang kepada penunggang motosikal untuk mengelak perlanggaran secara selamat. Kemajuan penyelidikan MIROS dalam teknologi Sistem Bantuan Pemandu Termaju atau Advanced Driver Assistance System (ADAS) untuk penunggang motosikal ini adalah sesuatu yang memberangsangkan kerana pengaplikasian teknologi ADAS adalah sangat terhad dan tidak begitu meluas dalam rekabentuk dan pembuatan motosikal, terutamanya melibatkan motosikal berkapasiti enjin yang rendah. Permohonan paten untuk sistem amaran perlanggaran MCAS yang dibangunkan menggunakan kepakaran dalaman MIROS ini telah dimajukan kepada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) pada tahun 2021.


Proses pencarian 45 orang peserta kajian dijadualkan bermula pada bulan Jun 2022 dan akan diumumkan secara rasmi melalui platform media sosial dan melalui kenyataan media. Untuk kajian rintis ini, pemilihan peserta akan melibatkan kawasan Lembah Klang, Kedah dan Pulau Pinang. Sistem MCAS akan dipasangkan pada motosikal peserta selama tiga bulan untuk menguji keberkesanan sistem amaran perlanggaran tersebut. Hasil kajian ini dijangka akan dikeluarkan pada suku pertama tahun 2023.

 
Kajian ini akan dibiayai secara bersama oleh PLUS yang akan menyumbangkan dana bagi membiayai kos pengumpulan dan analisa data kajian, sementara kos pembangunan 45 unit sistem MCAS akan dibiayai menggunakan dana penyelidikan MIROS. PLUS juga akan terlibat secara langsung dalam proses pengumpulan data kajian. MIROS sangat berbesar hati atas sokongan dan penglibatan PLUS dalam kajian rintis ini yang juga merupakan satu bukti jelas komitmen PLUS dalam meningkatkan keselamatan jalan raya di Malaysia.

“Kerjasama strategik antara MIROS dan PLUS dalam kajian rintis pemasangan sistem amaran
perlanggaran motosikal ini merupakan satu tanda aras dan pencapaian yang penting dalam kemajuan dan kapasiti penyelidikan MIROS. Kerjasama ini diharap dapat menjadi satu titik permulaan kepada lebih banyak kerjasama dan sokongan pihak yang terlibat dalam rekabentuk dan pengeluaran motosikal serta
semua pemegang taruh untuk bersama-sama meningkatkan tahap keselamatan penunggang motosikal melalui pengaplikasian hasil kajian dan penggunaan teknologi termaju dalam reka bentuk motosikal yang lebih selamat,” ujar Ketua Pengarah MIROS, Dato’ Dr. Khairil Anwar Abu Kassim.

Menurut Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, “Sebagai rakan strategik untuk keselamatan, PLUS berasa gembira diberi peluang berkolaborasi bersama MIROS dalam kajian rintis ini. Kami berharap, hasil
daripada penyelidikan ini mampu meningkatkan tahap keselamatan dalam kalangan penunggang motosikal. Ia seiring dengan pendekatan 3E (Engineering, Enforcement & Education) yang diadaptasikan
oleh PLUS dalam usaha kami untuk meningkatkan keselamatan sepanjang rangkaian lebuh raya kami. Ia juga bertepatan dengan matlamat kami untuk menjaga pelanggan lebuh raya dengan baik sepanjang
perjalanan mereka”.
Hasil kajian ini dijangka dapat memberi impak yang signifikan dalam meningkatkan tahap keselamatan penunggang motosikal di Malaysia. Inisiatif ini juga merupakan salah satu strategi untuk menyokong Pelan Keselamatan Jalan Raya Nasional 2022-2030 untuk menurunkan kadar kematian akibat nahas jalan raya terutama yang melibatkan penunggang motosikal.


Yamaha Balik Kampung Kali Ke-20 dianjurkan

Hong Leong Yamaha Motor telah menganjurkan acara tahunan mereka iaitu Kempen keselamatan jalanraya "Yamaha Balik Kampung" selama 20 tahun. Acara tahun ini telah diadakan di  di Plaza Tol Sungai Besi Arah Selatan dengan tema  yang membawa tema "20 Tahun Bersama Menjana Keselamatan Jalan Raya". Ia merupakan kerjasama di antara Hong Leong Yamaha Motor, Malaysia Motorcycle & Scooter Dealer Association (MMSDA), serta JPJ, JKJR, MIROS, PLUS, PDRM, P&O Insurance, AEON Credit, KHI Helmet dan FKR.
Menteri Pengangkutan Malaysia YB Anthony Loke Siew Fook,
Majlis ini turut dihadiri oleh Menteri Pengangkutan Malaysia yang baharu iaitu YB Anthony Loke Siew Fook, yang telah merasmikan acara tersebut. Dalam teks ucapannya, Menteri Pengangkutan turut menekankan aspek pembudayaan keselamatan jalanraya di kalangan semua pengguna jalanraya Malaysia dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan. Pendidikan awal tentang keselamatan jalan raya iaitu di sekolah turut akan diberikan perhatian khusus.
Pengarah Urusan Yamaha Motor Dato Jim Khor
Seperti lazimnya pihak Hong Leong Yamaha Motor telah menyediakan aktiviti pemeriksaan 7-perkara pada motosikal tidak mengira jenama, dan juga disokong oleh program penukaran topi keledar secara percuma oleh KHI Helmets, pemeriksaan palam pencucuh oleh NGK dan juga pemeriksaan tayar oleh FKR, di samping gerai gerai pameran yang lain.

 


Teks ucapan Menteri Pengangkutan dilampirkan di bawah ini untuk bacaan anda:

Yang Dihormati Encik Wee Hong, Chairman of Malaysia Motorcycle & Scooter Dealers Association (MMSDA)
Yang Berbahagia Dato Jim Khor, Managing Director, Hong Leong Yamaha Motor
Yang Berbahagia Dato’ Rosli bin Isa, KP JKJR.

Dato’-Dato’, penganjur majlis, rakan-rakan strategik keselamatan jalan raya daripada pihak swasta dan badan-badan bukan kerajaan, para media dan hadirin yang dihormati sekalian.

Terima kasih Pengacara Majlis
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

Terlebih dahulu, saya ingin ucapkan terima kasih kepada hadirin sekelian kerana pada pagi ini, kita dapat  bersama bagi menjayakan program “ 20 th YAMAHA BALIK KAMPUNG ROAD SAFETY CAMPAIGN ”.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd selaku penganjur dan lain-lain agensi yang turut sama membantu menjayakan program kali ini. Saya yakin tanpa kerjasama erat semua pihak, program ini mungkin tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Tuan-tuan, puan-puan,
Negara kita kini semakin megah berdiri untuk menjadi ke arah negara maju, dengan ekonomi semakin berkembang pesat dan pelbagai bentuk pembangunan diusahakan seluruh pelusuk negara. Selaras dengan ini, tidak dapat kita nafikan, populasi juga kian bertambah, begitu juga bilangan kenderaan berdaftar yang berada di atas jalan raya.

Apabila situasi ini berlaku, kita seharusnya lebih memikirkan konsep keselamatan di mana-mana sahaja, dan yang paling utama yang ingin kita tujui kali ini adalah pembudayaan keselamatan jalan raya. Ia merupakan satu aspek penting bagi memastikan keamanan dan keharmonian negara berada pada tahap yang selesa. Jika dilihat hari ini, pelbagai berita kemalangan dipaparkan di dada-dada akhbar, di kaca televisyen, selain di radio. Terlalu ramai yang cedera parah, hilang anggota badan, dan ramai juga yang kehilangan nyawa. Mungkin mereka ini orang yang kita kenal, saudara mara, rakan taulan dan ada yang berlaku dalam keluarga sendiri.

Pelbagai Kempen Keselamatan Jalan Raya telah dilaksanakan oleh kerajaan secara berterusan tetapi sikap dan mentaliti pengguna jalan raya masih berada di tahap yang rendah. Kerjasama orang ramai atau pun pengguna jalan raya perlu bermula dengan mendidik dan mendisiplinkan ahli keluarga terdekat supaya memberi perhatian dan mematuhi peraturan jalan raya.

Tuan-tuan, puan-puan,
Nyawa itu sungguh berharga dan tidak dapat digantikan dengan wang ringgit. Kita tidak mahu nyawa kita ini hilang dengan sia-sia di dalam kemalangan jalan raya. Kita hendaklah mensasarkan jumlah kematian sifar di jalan raya. Kedengaran agak mustahil untuk dilaksanakan namun kita hendaklah sentiasa percaya yang suatu hari nanti kita akan dapat mencapai sasaran tersebut.

Majoriti yang maut di jalan raya adalah dari kalangan penunggang dan pembonceng motosikal. Berdasarkan perangkaan kes kematian yang dikeluarkan oleh PDRM, pada 2017 ialah sebanyak 6740 kes kematian dicatatkan yang mana melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal ialah 4348 kes kematian.


Ada juga sesetengah pihak yang mengatakan bahawa pelaburan terhadap tahap keselamatan jalan raya hanya menelan lebih banyak kos atau keuntungan. Tetapi hakikatnya, pelaburan terhadap keselamatan jalan raya ini lebih membawa kepada keuntungan daripada kerugian. Bayangkan jika tidak ramai orang yang terlibat dengan kemalangan jalan raya, sudah tentu tiada banyak kenderaan untuk dibaiki, tiada tuntutan kemalangan dan sudah tentu perkara-perkara tersebut akan mengurangkan penggunaan wang untuk menanggung kos-kos kemalangan tersebut.


Bagi pemandu yang memandu dalam tempoh masa yang lama serta berjarak jauh, risiko untuk mengantuk dan kepenatan amat tinggi, mengakibatkan hilang tumpuan ketika memandu. Kebanyakan kemalangan juga berlaku pada lewat tengah malam dan awal pagi, ketika badan kita sepatutnya dalam keadaan rehat sepenuhnya. Atas inisiatif pihak Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd ini, kita amat menyokong penuh usaha memberikan kesedaran berterusan kepada pengguna jalan raya yang menggunakan jalan raya atau lebuh raya ini, terutamanya mereka yang ingin balik ke kampung masing-masing.

Tuan-tuan, puan-puan,
Sehubungan ini, marilah kita semua pastikan tahap keselamatan adalah paling diutamakan. Baik dari segi fizikal tubuh badan kita, perlu cergas dan kuat untuk berada di jalan raya. Periksa tali pinggang keledar dan pakai bagi yang berkenderaan besar. Begitu juga dengan penunggang dan pembonceng motosikal, pastikan pakai topi keledar yang ada piawaian keselamatan seperti SIRIM, pakai dan klik dengan betul. Periksa juga keadaan kenderaan anda, terutamanya motosikal agar dapat berfungsi sempurna selain boleh mengurangkan risiko kemalangan jalan raya.

Gaya memandu dan menunggang juga perlu diberi tumpuan utama. Elakkan memotong dengan melulu, kepada yang bermotosikal, jangan mencelah-celah kenderaan, jangan menunggang secara berbahaya serta melebihi had laju, dan jangan mengekori kenderaan lain terlalu rapat. Akibat kecuaian sesaat, hari raya mungkin bertukar menjadi tragedi hitam yang sukar dilupakan sepanjang hayat.

Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan sekalung tahniah kepada semua yang terlibat pada hari ini serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak di dalam menjayakan program pada hari ini.

Sekian, terima kasih.

YB LOKE SIEW FOOK

Apa itu ujian obliks FIM bagi helmet perlumbaan?

Program Homologasi Perlumbaan FIM untuk helmet kini mempunyai kaedah ujian ciri-ciri terbaru dan menetapkan lebih banyak keperluan inovatif yang harus dipenuhi, selain pematuhan dengan piawaian antarabangsa. Homologasi ini akan menjadi prasyarat mandatori untuk bertanding dalam acara FIM, bermula dengan perlumbaan di litar pada tahun 2019.


FIM juga berharap bahawa protokol ujian baharu ini akan menjadi inspirasi untuk disiplin selain daripada kegunaan dalam litar, dan menyusun piawaian antarabangsa untuk ujian helmet di jalan raya.

Ini termasuklah ujian kesan obliks atau serong dilakukan untuk menilai sifat geseran permukaan topi keledar yang boleh mengakibatkan kecederaan pecutan putaran. Ujian impak obliks untuk topi keledar motosikal meniru impak ketika jatuh dari motosikal ke permukaan jalan atau pun cermin hadapan kereta.

Sudut kepala yang disasarkan jatuh secara menegak untuk memberi kesan kepada permukaan keras atau permukaan yang boleh berubah bentuk. Titik sentuhan impak pada topi keledar, dan halaju menegak dan mendatar, boleh diubah, manakala pecutan linear dan kesan putaran pada kepala diukur.

Untuk pemahaman lanjut, saksikan video di atas yang dikeluarkan oleh Program Penilaian dan Penarafan Topi Keledar atau SHARP yang mengawal selia pengeluaran helmet di UK.

Perodua lancar kempen keselamatan 5-tahun

Perodua telah melancarkan satu kempen keselamatan jalan raya yang bertujuan menggalakkan tingkah laku pemandu untuk mematuhi undang-undang lalu lintas asas serta mengamalkan tabiat pemanduan yang baik. Kempen ini akan berlangsung selama lima tahun di seluruh negara.

Tumpuan awal program ini adalah pada empat tabiat pemanduan yang baik, iaitu memakai tali pinggang keledar, tidak menggunakan peranti mudah alih semasa memandu, penggunaan lampu isyarat tunjuk arah dan penggunaan kerusi kanak-kanak.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Dr Aminar Rashid Salleh berkata kempen keselamatan itu termasuk mempamerkan bahan promosi di kedai-kedai jualan dan servis Perodua di seluruh negara. Mesej keselamatan disasarkan untuk menjangkau 1 juta pelanggan dalam tempoh setahun dari program ini.

"Kami percaya bahawa sasaran 1 juta ini dapat dicapai dengan jumlah 1.2 juta pelanggan yang menjunjungi pusat jualan dan perkhidmatan kami setiap tahun, dan kami akan mengambil kesempatan ini untuk mendidik kebiasaan memandu positif menerusi sentuhan ini," kata Aminar .

Kempen Keselamatan Jalan Raya Perodua dan Tempat Duduk Kanak Kanak Perodua telah dilancarkan secara rasminya oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, YB Dato 'Ab Aziz Kaprawi pada satu majlis di Perodua Sentral, Petaling Jaya di sini pada 30 Oktober lepas.

Mulai sekarang hingga Tahun Baru Cina 2018, tempat duduk kanak kanak ditawarkan pada harga pengenalan RM660 untuk Bayi dan RM780 untuk Kanak Kanak. Selepas tempoh promosi, Tempat Duduk Bayi akan berharga RM790 dan yang Kanak Kanak pada RM980.

"Kami percaya bahawa produk yang kami tawarkan bersaing dengan jenama lain, apatah lagi ia nya datang dengan pengiktirafan kami," kata Datuk (Dr) Aminar.

Tempat duduk bayi itu direka untuk bayi yang seberat sehingga 13 kg dan boleh didapati dalam warna merah atau kelabu. Sementara itu, kerusi kanak kanak adalah untuk kanak-kanak seberat 9-36 kg dan ditawarkan dalam warna merah atau hitam.

Satu lagi inisiatif keselamatan Perodua ialah pemeriksaan kenderaan Tweckbot. Perodua menjadi salah satu pembuat kereta pertama di Malaysia untuk memiliki kempen keselamatan berasaskan media sosial apabila Tweckbot dilancarkan pada tahun 2011.


Menawarkan pemeriksaan kenderaan 50-perkara percuma untuk semua kenderaan Perodua setiap tempoh perayaan, Tweckbot telah memeriksa kira-kira 5,000 kenderaan sejak penubuhannya, mewakili usaha Perodua untuk memastikan keselamatan dan kesesuaian kenderaannya.

"Sebagai sebahagian daripada Program Keselamatan Jalan Raya selama lima tahun, Perodua berharap dapat bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) untuk membuat jalan raya lebih selamat. "

"Kami adalah penyokong kuat usaha kerajaan dalam meningkatkan keselamatan jalan raya dan mahu memainkan peranan kami," kata Aminar.