Teknologi Pengangkutan Berkuasa Hidrogen Linde Sokong Kenderaan Emisi Sifar Di Malaysia

Kini, kenderaan di Malaysia boleh dipacu oleh bahan api alternatif yang lebih bersih; iaitu hidrogen, sejenis unsur yang boleh ditemui dalam air. Untuk mencapai matlamat ini, Linde Malaysia (Linde), ahli The Linde Group, sedang bersiap sedia untuk berkongsi kepakarannya dalam penyelesaian bahan api bagi usaha memperkasakan industri autmotif Malaysia dengan teknologi hidrogen emisi sifar.

“Cabaran yang dihadapi dunia yang berkaitan dengan pemanasan global (disebabkan emisi CO2) merupakan ancaman besar kepada masa depan bumi kita. Linde menganggap hidrogen sebagai sebahagian penting daripada masa depan tenaga boleh diperbaharui untuk menangani cabaran ini. Dengan pengalaman lebih dari 25 tahun dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi bahan api
hidrogen, Linde telah membuat pelaburan besar di peringkat global dalam pasaran hidrogen masa depan. Adanya indikasi bahawa pasaran amat mengalu-alukan bahan api dan tenaga alternatif untuk pengangkutan dan semakin meluas, terutamanya di Asia,” ujar Pengarah Urusan Serantau Linde Asia Selatan dan ASEAN, Rob Hughes.
Malaysia sebuah negara yang menarik untuk Linde membuat pelaburan lanjut, memanfaatkan kekayaan sumber airnya bagi pengeluaran, simpanan dan bekalan hidrogen dan gas perindustrian lain. Malaysia mempunyai sumber air yang besar, dengan purata 2,500 hingga 5,080 milimeter hujan setahun.

“Teknologi, inovasi dan semangat reka cipta membentuk teras operasi Linde sejak dari mula lagi, menjadikan kami pemimpin teknologi bagi penyelesaian hidrogen lestari dari awal hingga akhir. Linde tidak asing dalam industri automotif memandangkan kami membekalkan penyelesaian bahan api hidrogen untuk kereta, bas dan juga trak angkat susun. Kami berhasrat untuk terus meluaskan
pengkomersialan sel bahan api berkuasa hidrogen dan menggiatkan usaha kami bersama rakan-rakan niaga untuk mencipta infrastruktur yang membolehkan penggunaan pengangkutan hidrogen-elektrik secara lebih meluas. Linde telah mencapai kejayaan berasaskan model ini di seluruh Eropah dan kini meluaskan tumpuannya di Asia Tenggara,” kata Hughes.



Hidrogen dikategorikan sebagai bahan api bersih, yang membebaskan wap air apabila ditukarkan kepada bahan api. Hidrogen dihasilkan menerusi stim gas asli yang dibentuk semula atau elektrolisis air. Cirinya yang neutral karbon bermakna kenderaan berkuasa hidrogen mempunyai tahap emisi sifar, menghasilkan penyelesaian yang membantu mengurangkan perubahan iklim secara langsung.
Berbeza daripada bahan api fosil, hidrogen ialah unsur yang paling banyak wujud dalam alam semula jadi, dan ia boleh diperbaharui.

Kereta berkuasa hidrogen dilengkapi sel bahan api hidrogen dan motor elektrik. Di dalam sel bahan api kereta, hidrogen bertindak balas dengan oksigen yang ditarik masuk daripada udara sekeliling. Molekul hidrogen terpisah dan menghasilkan kuasa elektrik bagi memacu motor elektrik, dan air. Industri automotif bakal memanfaatkan Kenderaan Elektrik Sel Bahan Api (FCEV) kerana hakikatnya ia membantu mengurangkan emisi Gas Rumah Hijau (GHG) yang menangani perubahan iklim dengan ketara. Usaha ini menyokong aspirasi negara untuk mengurangkan emisi karbon berasaskan pengumuman baru-baru ini oleh Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar untuk memperkenalkan Rang Undang-Undang Kecekapan Tenaga pada 2019 bagi
membantu rakyat Malaysia mengurangkan emisi karbon sebanyak 45 peratus menjelang 2030 selaras dengan perjanjian iklim Paris. Kenderaan sel bahan api berkuasa hidrogen mempunyai masa isi semula singkat iaitu hanya tiga minit dan keupayaan untuk meliputi jarak antara 500 hingga 600
km. Ini menjadikan kenderaan berkuasa hidrogen setanding dengan kenderaan biasa. Wap air dalam ekzos kenderaan berkuasa hidrogen adalah bersih sehingga ia boleh diminum, membuktikan ciri emisi sifar kenderaan ini. Menekankan komitmennya terhadap pasaran Malaysia, Linde akan berkongsi kepakaran teknologi yang merangkumi keseluruhan rantaian bekalan bersama Sarawak Energy Berhad (SEB) berikutan pembinaan loji pengeluran dan pengisian hidrogen untuk pengangkutan yang pertama di negeri Sarawak dan Asia Tenggara. Linde juga menandatangani Memorandum Persefahaman untuk meneroka potensi hidrogen dan cara ia boleh digunakan dalam aspek lain bersama SEB. Langkah ini menunjukkan minatnya dalam bahan api alternatif bersih demi industri automotif yang lebih lestari di Malaysia.

Setakat ini, Linde telah melengkapkan kira-kira 150 stesen pengisian semula di peringkat global dengan teknologi pengisian semula hidrogen yang lebih inovatif. Linde terlibat secara aktif dalam pakatan untuk bersama-sama membangunkan penyelesaian baharu bagi hidrogen sebagai satu bentuk bahan api. Linde adalah sebahagian daripada ‘Majlis Hidrogen,’ sebuah inisiatif global pertama, yang
dilancarkan pada Januari 2017, dengan matlamat menjadikan hidrogen sebagai salah satu penyelesaian utama peralihan tenaga untuk membantu mencapai matlamat iklim. Majlis ini dianggotai oleh 13 CEO dan Pengerusi dari pelbagai industri dan syarikat tenaga antara lain termasuk Daimler, Royal Dutch Shell, The Linde Group, Alstom, Honda, Hyundai, Kawasaki dan Toyota.

Linde Malaysia ialah ahli The Linde Group yang telah bertapak di Malaysia sejak 1960. Sebagai pembekal gas perindustrian dan perubatan terulung di Malaysia dengan pengalaman lebih 50 tahun dalam industri, ia menggabungkan ilmu tempatan dengan kepakaran dan sumber global dalam bidang teknologi, penyelidikan dan pembangunan, aplikasi gas, kejuruteraan dan amalan operasi terbaik.
Linde Malaysia ialah pakar dalam penyediaan penyelesaian gas lengkap kepada pelbagai industri. Syarikat mengilang dan mengedarkan gas peindustrian, khas dan perubatan dan membekalkan rangkaian perkhidmatan yang berkaitan, termasuk pemasangan kelengkapan gas, talian paip dan perkhidmatan kejuruteraan yang berkenaan. Di samping itu, ia membekalkan pakej produk bahan kimia, kimpalan dan gunaan. Untuk maklumat lanjut, layari www.linde.com.my.

Anuar Ibrahim Pawi harapan Super Kip Honda Racing

Mohd Anuar Ibrahim Pawi menjadi sandaran utama pasukan Super KIP Honda Racing Academy untuk meraih podium pertama mereka pada perlumbaan pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan, 1 dan 2 September hujung minggu ini. Pelumba kelahiran Kampung Gajah berusia 18 tahun itu merupakan pelumba terbaik pasukan yang baharu ditubuhkan pada tahun ini.

Pengurus pasukan, Azlan Shah Saidun Hardi menjelaskan bahawa selepas empat pusingan, Anuar menduduki tangga kesembilan keseluruhan dalam kategori CP115 dengan 27 mata dan meraih penamat terbaiknya di tempat kelima.

“Anuar juga sentiasa menunjukkan prestasi konsisten dalam setiap perlumbaan. Memang dia merupakan antara prospek terbaik kami untuk meraih podium manakala dalam kategori WIRA KBS, dan saya harap semuanya berjalan dengan baik minggu ini,” jelas Azlan.

“Selepas empat pusingan, aksi pelumba kami semakin baik dan pasukan juga semakin dapat menyesuaikan diri dalam musim pertama kami di saingan Cub Prix. Mungkin perlumbaan di hadapan penyokong sendiri akan membawa tuah kepada kami.”