Kumpulan Yamaha MT turut serta berhimpun di MotoGP Sepang

 Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd ("HLYM") telah menganjurkan Yamaha Bikerz Moto GP 2017 bersempena Moto GP Sepang tempohari.  Pengarah Urusan HLYM Dato Jim Khor bersama Pengurus Besar Jualannya Encik Koh Eng Chan telah turut bersama meraikan perarakan terbesar motosikal Yamaha di Malaysia yang menyaksikan 1,150 buah motosikal dari seluruh Semenanjung Malaysia berkumpul di Litar Antarabangsa Sepang bagi menyaksikan acara perlumbaan motosikal tersohor dunia tersebut.


Perhimpunan ini merupakan campuran terbesar model model Yamaha dalam sejarah HLYM, yang terdiri daripada model automatik, moped dan motosikal jalanan. Kumpulan terbesar mrupakan dari Lembah Klang dengan jumlah 368 penunggang, diikuti oleh 211 dari Utara dan sejumlah 307 dari Selatan dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Selama dua dekad yang lalu, HLYM telah menganjurkan konvoi untuk menyaksikan perlumbaan Grand Prix Motosikal Shell Malaysia.
Kumpulan besar ini juga disertai kumpulan penunggang pemilik Yamaha siri MT juga telah turut sama berhimpun di Litar Sepang. Kumpulan yang berlepas dari ibupjabat HLYM di Sg Buloh ini telah menyaksikan kehadiran 52 motosikal dari Johor, 16 buah motosikal dari Pulau Pinang dan juga  107 buah motosikal Wilayah Persekutuan dan Selangor, yang terdiri dari campuran model model MT07, MT09 dan MT09 TRACER. Saksikan gambar gambar acara tersebut tempohari.




































































Proton raih Anugerah Perak Putra Brand

 Anugerah Perak bagi Kategori Automotif 2017 telah berjaya diraih PROTON, sekaligus merupakan julung julung kalinya PROTON memenangi anugerah sejak Anugerah Putra Brand dilancarkan pada tahun 2010.  Anugerah itu telah disampaikan dalam satu acara diadakan di Hotel Majestic, Kuala Lumpur, semalam. Ini merupakan kemenangan pertama bagi PROTONdi majlis Anugerah Putra Brand.

Anugerah Putra Brand adalah satu inisiatif oleh Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4A’s) untuk memberi pengiktirafan kepada jenama tempatan dan antarabangsa yang telah mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Anugerah-anugerah pada Putra Brand ini dikenalpasti mengikut pilihan pengguna dan acara ini mendapat pengesahan daripada MATRADE. Ia adalah satu-satunya anugerah dari pilihan orang ramai.

"Ini adalah kemenangan yang penting bagi kami selepas berlakunya pembaharuan di PROTON. Dengan membawa pulang Anugerah Perak dalam Kategori Automotif, ini merupakan pencapaian yang mengagumkan bagi PROTON memandangkan ia adalah kali pertama kami disenarai pendek dan muncul sebagai pemenang untuk anugerah berprestij ini. Dengan kemenangan yang diterima baru-baru ini bagi Iriz yang diperbaharui di Anugerah Pilihan Pengarang Carsifu 2017 dan kenaikan prestasi jualan PROTON pada Januari hingga September 2017, pengiktirafan ini menandakan bahawa Syarikat sedang menuju ke arah yang betul dan anugerah ini datang pada masa yang sesuai," kata Abdul Rashid Musa, Naib Presiden, Jualan dan Pemasaran, PROTON.
 "PROTON kini meneruskan tawaran kepada pelanggan baharu iaitu perkhidmatan 5 tahun percuma* dan waranti selama 5 tahun* dalam promosi 5 Nilai Hebat. Oleh itu, ambillah peluang ini untuk pandu uji kereta Proton dan alamilah nilai yang berbaloi dalam pemilikan kereta PROTON," tambah Rashid lagi.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh menghubungi talian khidmat pelanggan PROTON di 1800 888 398 atau e-mel kepada kami di customercare@proton.com.
Pelanggan juga boleh layari www.proton.com atau Facebook rasmi PROTON www.facebook.com/ProtonCarsOfficial. Untuk kemudahan tambahan, pelanggan boleh memuat turun aplikasi rasmi mudah alih MyProton, yang boleh didapati melalui Google Play dan Apple App Store.
*Perkhidmatan percuma tamat selepas 5 tahun atau 100,000km (mana-mana terdahulu) termasuk alat ganti, minyak enjin dan caj pekerja. Waranti tamat selepas 5 tahun atau 150,000km, mana-mana terdahulu. Tawaran bermula 1 Nov hingga 30 Nov 2017.
-

Apa itu ujian obliks FIM bagi helmet perlumbaan?

Program Homologasi Perlumbaan FIM untuk helmet kini mempunyai kaedah ujian ciri-ciri terbaru dan menetapkan lebih banyak keperluan inovatif yang harus dipenuhi, selain pematuhan dengan piawaian antarabangsa. Homologasi ini akan menjadi prasyarat mandatori untuk bertanding dalam acara FIM, bermula dengan perlumbaan di litar pada tahun 2019.


FIM juga berharap bahawa protokol ujian baharu ini akan menjadi inspirasi untuk disiplin selain daripada kegunaan dalam litar, dan menyusun piawaian antarabangsa untuk ujian helmet di jalan raya.

Ini termasuklah ujian kesan obliks atau serong dilakukan untuk menilai sifat geseran permukaan topi keledar yang boleh mengakibatkan kecederaan pecutan putaran. Ujian impak obliks untuk topi keledar motosikal meniru impak ketika jatuh dari motosikal ke permukaan jalan atau pun cermin hadapan kereta.

Sudut kepala yang disasarkan jatuh secara menegak untuk memberi kesan kepada permukaan keras atau permukaan yang boleh berubah bentuk. Titik sentuhan impak pada topi keledar, dan halaju menegak dan mendatar, boleh diubah, manakala pecutan linear dan kesan putaran pada kepala diukur.

Untuk pemahaman lanjut, saksikan video di atas yang dikeluarkan oleh Program Penilaian dan Penarafan Topi Keledar atau SHARP yang mengawal selia pengeluaran helmet di UK.

Afif pantang mengalah


Meskipun mengakui ia nya satu tugas getir untuk menghalang Kasma Daniel Kasmayudin daripada memegang gelaran keseluruhan kategori CP150 pada saingan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Batu Kawan, Pulau Pinang, 4 dan 5 November ini, Ahmad Afif Amran belum mahu mengalah.

Dengan berbaki 50 mata untuk dikutip dalam dua lagi pusingan mendatang, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ itu kini di tangga kedua keseluruhan dengan jumlah 100 mata, iaitu 25 mata di belakang Kasma dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor. Kasma bakal dinobatkan selaku juara keseluruhan seandainya berjaya menamatkan perlumbaan di hadapan Afif hujung minggu ini.

“Namun apa sahaja boleh berlaku di dalam litar, contohnya seperti pusingan lepas apabila Kasma mengalami kemalangan, begitu juga dengan saya dan kami sama-sama kehilangan banyak mata di Jempol,” jelas Afif. Seandainya ini berlaku atau Afif melintasi garisan penamat di hadapan Kasma, persaingan juara keseluruhan ini akan berlanjutan di Johor kelak dalam pusingan akhir.

“Ini membuktikan yang saingan masih belum tamat selagi kami belum melintasi garisan penamat. Apa yang penting, saya perlu fokus untuk memberi aksi terbaik dan cuba untuk menewaskan Kasma. Jika gagal, sekurang-kurangnya saya sudah memberikan yang terbaik di atas litar dan sasaran saya untuk tamat di kelompok lima pelumba terbaik di Batu kawan untuk mengekalkan kedudukan sebagai naib juara keseluruhan.”
Pada masa sama pelumba berusia 22 tahun itu perlu berhati-hati dengan cabaran dua lagi rakan sepasukan Kasma iaitu Ahmad Fazli Sham dan Mohd Ramdan Rosli yang mengekori di kedudukan ketiga dan keempat, masing-masing dengan 75 mata dan 70 mata.

“Tugas saya pada minggu ini agak berat. Saya perlu merancang strategi terbaik. Selain berusaha untuk mengekang Kasma, saya juga perlu berwaspada dengan Fazli dan Ramdan kerana mereka boleh mengancam kedudukan saya ketika ini.

“Saya tidak boleh melakukan kesilapan seperti di Jempol tempohari apabila hanya memungut satu mata sahaja. Pada masa sama saya juga memerlukan rakan sepasukan untuk membantu saya menamatkan saingan di podium. Dari segi jentera, saya yakin jurutera pasukan telah bekerja keras untuk menyediakan jentera terbaik.”

Kedudukan Keseluruhan CP150


1 Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 125 mata
2 Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 100 mata
3 Ahmad Fazli Sham (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 75 mata
4 Md Ramdan Rosli (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 70 mata
5 Md Adib Rosley (SGR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 67 mata
6 Md Azhar Abd Jalil (SGR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 57 mata
7 Md Iqbal Amri Abd Malek (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 55 mata
8 Fakhrusy Syakirin Rostam (JHR) SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing 52 mata
9 Md Fitri Ashraff Razali (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 51 mata
10 Md Zaqhwan Zaidi (SGR) GiVi Honda Yuzy Racing Team 44 mata

Anugerah Berpasukan

1. PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 272 mata
2. PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ 172 mata
3. Motul Zeneos Yamaha YY Pang 149 mata
4. SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing 80 mata
5. Onexox TKKR Racing 66 mata                   
6. Givi Honda Yuzy Racing 54 mata