Boleh ke Tengku Amirul menang kali keenam...?

Tengku Amirul Hafiruddin kan turun beraksi di halaman sendiri pada pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kuala Terengganu, Terengganu, 5 dan 6 Oktober ini.

Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang itu mensasarkan kemenangan keenam sekaligus terus melebarkan jurang selaku pendahulu keseluruhan CP115. Beliau telah meraih lima gelaran juara daripada enam perlumbaan musim ini dan hanya sekali tamat di kedudukan keempat sewaktu pusingan keempat di Temerloh, Pahang.
 Pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu kini selesa mendahului kedudukan keseluruhan dengan 138 mata, 52 mata mengatasi rakan sepasukan, Md Fareez Afeez yang berada di kedudukan kedua dengan 86 mata manakala Md Haziq Md Fairues ketiga dengan 79 mata.

“Saya gembira kerana selepas dua tahun, perlumbaan Cub Prix kembali ke Kuala Terengganu dan saya dapat beraksi di hadapan keluarga dan penyokong saya di sini dan berharap dapat mengulangi pencapaian menaiki podium di sini pada tahun 2015,” jelas Tengku Amirul.
 Tambahnya, “Namun, walaupun saya telah memenangi lima perlumbaan setakat ini, saya tidak mahu terlalu yakin kerana perlumbaan CP115 ini sentiasa sengit dan tidak diduga. Apa yang pasti, saya akan memberikan yang terbaik dan yakin pasukan juga akan menyediakan jentera terbaik untuk saya minggu ini.”

MyPUSPAKOM mudahkan urusan pemeriksaan kenderaan

PUSPAKOM Sdn Bhd kini telah menuju ke era digital dengan memperkenalkan tempahan dan pembayaran dalam talian yang dikenali sebagai MyPUSPAKOM sejak akhir tahun lepas. Pelanggan kini boleh membuat tempahan dan pembayaran dalam talian untuk semua pusat pemeriksaan di Semenanjung Malaysia, Kuching dan Kota Kinabalu menerusi laman web www.mypuspakom.com.my atau aplikasi mudah alih MyPUSPAKOM.




Melalui MyPUSPAKOM, seseorang pelanggan bukan sahaja dapat melihat maklumat temujanjinya, malah menyemak semua maklumat kenderaannya dan juga rekod tempahan/temujanji kenderaannya dari akaun MyPUSPAKOM. Oleh itu, ia amat berguna kepada operator dan pemilik kenderaan atau organisasi yang mempunyai sejumlah kenderaan komersial yang perlu menjalani pemeriksaan di PUSPAKOM.

MyPUSPAKOM kini mempunyai lebih daripada 86,000 pengguna berdaftar sejak diperkenalkan pada Ogos 2017. Sebelum wujudnya MyPUSPAKOM, pelanggan hanya boleh membuat temujanji melalui e-mel dan menerusi panggilan telefon ke pusat panggilan PUSPAKOM sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mohammed Shukor Ismail berkata, "MyPUSPAKOM” telah dirangka dengan tujuan untuk membantu para pelanggan menguruskan masa dengan lebih baik. Ini bukan sahaja menjadikan proses temujanji serta pemeriksaan lebih mudah dan pantas, malah lebih cekap dan telus."

"Ia juga membantu mengurangkan kesesakan di pusat pemeriksaan tertentu terutamanya ketika waktu puncak dan menjelang atau selepas musim perayaan. Secara umumnya, para pelanggan perlu hadir pada waktu slot yang ditempah, 20 minit sebelum waktu temujanji. Kami komited untuk menyelesaikan pemeriksaan
dalam masa 60 minit atau sejam. Ini dapat membantu meningkatkan pengalaman pelanggan di pusat pemeriksaan kami” , tambah Mohammed Shukor.

Status setiap aktiviti pemeriksaan dari mula membuat temujanji hingga selesai pemeriksaan akan dihantar terus melalui e-mel kepada pemilik akaun MyPUSPAKOM dalam waktu sebenar. Dalam konteks ini, pemilik akaun akan dapat memantau pergerakan kenderaannya.
PUSPAKOM komited dalam membuat proses pemeriksaan kenderaan lebih mudah dan selesa untuk pelanggannya. Untuk maklumat lanjut mengenai MyPUSPAKOM, sila log masuk ke www.mypuspakom.com.my atau hubungi 1-800-22-2210.

Afif Amran tak pernah menang di Terengganu

 Keinginan  Ahmad Afif Amran yang merupakan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing untuk menjuarai perlumbaan pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Pri AAM Malaysia PETRONAS adalah untuk melebarkan jurang pungutan mata pendahulu keseluruhan CP150 itu,di litar Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu pada Jumaat dan Sabtu ini.

Rekod terdahulunya hanya sebagai naib juara dalam kelas CP115 pada tahun 2013 dan ketiga dalam kategori CP130 pada tahun 2014.
 “Memang saya memasang impian untuk menang di sini kerana sepanjang beraksi di dalam Kejuaraan Cub Prix, saya tidak pernah muncul juara di Terengganu,” jelas pelumba kelahiran Dungun itu. Tambahnya, “Namun saya rasakan perlumbaan minggu ini lebih mencabar dan peluang juga lebih terbuka kerana kali terakhir kami berlumba di sini ialah pada tahun 2015 dan masih menggunakan jentera CP130. Semua pasukan tidak mempunyai data baharu untuk perlumbaan kali ini selain faktor keadaan permukaan litar juga mungkin sudah berubah.
 “Walaupun inginkan gelaran juara, pada masa sama saya juga tidak boleh terlalu mengambil risiko. Saya juga perlu memikirkan strategi terbaik dan memberi keutamaan untuk memungut mata sebanyak mungkin bagi mempertahankan kedudukan ketika ini. Perlumbaan sudah semakin ke penghujung musim, saya tidak boleh melakukan sebarang kesilapan mudah ketika ini.”
 Selepas enam pusingan, Afif kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 135 mata, 40 mata mengatasi juara bertahan, Kasma Daniel Kasmayuddin (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) di kedudukan kedua dengan 95 mata manakala rakan sepasukan Afif, Md Hafiz Nor Azman ketiga dengan 90 mata.

Pertandingan Servis Selepas Jualan PROTON 2018 berakhir dengan jaya

Pusingan akhir Pertandingan Servis Selepas Jualan PROTON 2018 telah disempurnakan
dengan jayanya hari ini. Pertandingan ini telah menarik seramai 189 peserta di seluruh negara dan tiga peserta terbaik dari setiap wilayah telah bersaing di peringat akhir yang diadakan di Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) Shah Alam dari 29 September sehingga 2 Oktober 2018.
PROTON memulakan inisiatif peningkatan kualiti pada awal tahun ini untuk memastikan semua cawangannya bersedia demi pelancaran Proton X70 baharu akan datang. Inisiatif ini akan menggariskan kepentingan servis selepas jualan untuk memberikan sokongan terhadap sebuah produk yang akan mencatatkan sejarah untuk Syarikat.
"Pertandingan ini merupakan sebahagian dari usaha berterusan Syarikat untuk meningkatkan kemahiran juruteknik bagi memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggan dan juga memberi ganjaran kepada mereka yang menunjukkan prestasi yang cemerlang. Pemenang akan diberikan peluang untuk melawat ke Ibu Pejabat Geely Holdings dan Institut Penyelidikan Geely di China. Lawatan tersebut akan membuka mata juruteknik tempatan kami kerana mereka dapat
melihat keupayaan keseluruhan Geely dari segi reka bentuk sehinggalah ke pembinaan sebuah kereta yang lengkap," kata Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.
PROTON telah melibatkan diri secara proaktif dalam pertandingan kemahiran sejak 2003 dan Syarikat memainkan peranan penting dalam membangunkan bakat muda tempatan dalam industri automotif Malaysia. Selain Pertandingan Servis Selepas Jualan PROTON, acara yang berlangsung di CIAST termasuk tiga lagi pertandingan lain iaitu World Skill Malaysia Belia, Pertandingan Kemahiran PROTON dan Pertandingan Kemahiran Kategori Terbuka. PROTON merupakan salah satu rakan strategik yang bekerjasama dengan Kemahiran Malaysia dan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk melahirkan tenaga kerja yang mahir. Pertandingan-pertandingan ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Sumber Manusia.
Pertandingan Kemahiran PROTON terbuka hanya kepada juruteknik dan mekanik dari Pusat Servis PROTON Edar dan pengedar PROTON di luar negara. Bagi Pertandingan Kemahiran Kategori Terbuka, penyertaan terbuka kepada jurulatih dari institusi vokasional dan teknikal, serta juruteknik dan mekanik dari bengkel di seluruh negara, tanpa had umur.
Encik Suimi Abdul Majid (Deputy Director of Department of Skills Development), Putera Iskandar Zakariya (PROTON Edar KK Inanam), Dato’ Haji Mahfuz Haji Omar (Deputy Minister of Human Resources), Dr Li Chunrong (CEO of PROTON).
Encik Suimi Abdul Majid (Deputy Director of Department of Skills Development), Mohd Az-Zhori Zainol (PROTON CoSE), Dato’ Haji Mahfuz Haji Omar (Deputy Minister of Human Resources), Dr Li Chunrong (CEO of PROTON).  
Encik Suimi Abdul Majid (Deputy Director of Department of Skills Development), Fairinjitip Rasmin (PROTON Edar KK Kolombong), Dato’ Haji Mahfuz Haji Omar (Deputy Minister of Human Resources), Dr Li Chunrong (CEO of PROTON).

Sembang dengan Shelly di aplikasi sembang Shell

 Shell Malaysia Trading Sdn Bhd telah memperkenalkan aplikasi sembang atau chatbot yang berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dihasilkan untuk memberikan capaian masa nyata yang mudah bagi sokongan produk, perkhidmatan teknikal dan data pelincir bagi pengguna minyak pelincir di Malaysia.

Shell LubeChat, aplikasi perkhidmatan pelanggan AI yang pertama bagi syarikat ini, mula digunakan di pasaran-pasaran utama di seluruh dunia untuk membantu pengguna dan pelanggan pelincir. Ia tersedia dalam versi komputer meja dan mudah alih, dan boleh diakses 24 jam sehari, tujuh hari seminggu.

Shell LubeChat yang menggunakan nama Shelly, sentiasa bersedia untuk menjawab pertanyaan berkaitan pelincir serta memberikan cadangan yang berguna berkenaan jenis pelincir yang sesuai untuk penggunaan yang berbeza.

 “Di Shell, kami sentiasa mengutamakan pelanggan dan pengedar dalam perniagaan kami. Kami sentiasa berusaha untuk membangunkan penyelesaian dan perkhidmatan baru yang menjadikan kehidupan lebih mudah dan menyenangkan, dan kami menjangkakan platform digital akan memainkan peranan yang penting pada masa akan datang,” kata May Tan, Pengurus Besar Pemasaran – Malaysia dan Singapura, Shell Lubricants.

Shell LubeChat yang direka untuk membantu mengoptimakan kecekapan bagi pelanggan dan pengedar Shell, mempunyai kebolehan untuk membantu pengguna dalam pelbagai cara.

Ini termasuklah mencari pelincir yang tepat untuk perkakas anda, memberikan akses kepada lembaran teknikal dan keselamatan bagi produk-produk Shell dan kajian kes berkenaan pengalaman pelanggan dengan produk-produk Shell, mengesyorkan alternatif Shell sekiranya anda mempunyai masalah dengan produk yang digunakan sekarang dan mencari pengedar berdaftar yang berhampiran.

Shell LubeChat adalah contoh terkini perkhidmatan yang disediakan oleh Shell Lubricants yang melangkaui penjualan atau pembekalan produk semata-mata. Ia membawakan kepakaran Shell kepada pelanggan dengan serta-merta, untuk membantu mereka membuat keputusan yang lebih baik dengan lebih cepat pada bila-bila masa.

Ketahui dengan lebih lanjut mengenai Shell LubeChat di www.shell.com.my/lubechat.