Showing posts with label Tengku Amirul Haffirudin. Show all posts
Showing posts with label Tengku Amirul Haffirudin. Show all posts

Adib Rosley terpaksa lupakan aksi ARRC

Pelumba RCB Accentwire Yamaha YY Pang Racing Team, Md Adib Rosley yang terpaksa melupakan aksi pada ARRC minggu ini gara-gara masih belum pulih daripada kecederaan.

Adib yang pernah muncul naib juara pada Perlumbaan 2 kelas Underbone 150 di Suzuka sebelum ini mengalami patah kaki ketika terjatuh pada aksi Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas di Teluk Intan minggu lalu.

Kekosongan yang ditinggalkan Adib itu akan memberi ruang kepada Tengku Amirul Haffirudin untuk beraksi pada Pusingan 6 ARRC di Sepang pada 20-22 September ini. Saingan kali ini sudah pastinya menjadi medan buat pelumba Malaysia untuk menyekat penguasaan para pencabar mereka dari negara jiran.

Pada saingan Pusingan 1 dua pelumba Filipina yang menggalas cabaran pasukan UMA Racing Yamaha Philippine, McKinley Kyle Paz dan Fernando Masato masing-masingnya menjuarai Perlumbaan 1 dan 2. Ia ternyata memberi kesan yang mendalam terhadap barisan pelumba Malaysia yang gagal mempergunakan sepenuhnya kesempatan beraksi di gelanggang sendiri.

Taruhan terbaik adalah pelumba UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team, Mohd Akid Aziz yang dilihat mampu menyekat penguasaan dua pelumba Filipina itu. Juara sebanyak dua kali iaitu di Buriram dan Zhuhai, Akid kini ketinggalan 4 mata di belakang Kyle Paz yang mendahului carta keseluruhan dengan 95 mata.
Pelumba lain yang diramal mampu melakar kejutan adalah Ahmad Fazli Sham (ONEXOX TKKR SAG Team) dan juga adiknya, Ahmad Fazrul Sham yang akan beraksi atas tiket wildcard.

Sokongan daripada peminat tempatan, ia diharap mampu melonjakkan semangat barisan pelumba negara untuk mengharumkan nama Malaysia di pentas ARRC.

KEDUDUKAN KESELURUHAN PELUMBA
Underbone 150
1. McKinley Kyle Paz (PHI) (Yamaha)                   95 mata
2. Mohd Akid Aziz (MAS) (Yamaha)                     91
3. Ahmad Fazli Sham (MAS) (Yamaha)                81
4. Fernando Masato (PHI) (Yamaha)                   72
5. Wawan Wello (INA) (Honda)                            71
6. Aldi Satya Mahendra (INA) (Yamaha)             65
7. Mohd Haziq Mohd Fairues (MAS) (Yamaha) 60
8. Mohd Affendi Rosli (MAS) (Yamaha)              58
9. Peerapong Luiboonpeng (THA) (Yamaha)     58
10. Wahyu Aji Trilaksana (INA) (Yamaha)          54

KEDUDUKAN PASUKAN
1. UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team – 113 mata
2. ONEXOX TKKR SAG Team                                       109
3. UMA Racing Yamaha Philippine Team                 107
4. Yamaha Racing Indonesia                                        88
5. SND Factory Racing Rapido                                     83

Tengku Amirul jamin aksi terbaik di Jempol

 Tengku Amirul Haffirudin tidak memandang mudah saingan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan pada 17 dan 18 November ini, sekalipun sudah mengesahkan status sebagai juara keseluruhan kelas CP115.

Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang itu sebaliknya terus dahagakan kemenangan sekalipun telah bergelar juara lebih awal setelah mengumpul 188 mata hasil dari tujuh kemenangan dan satu di tempat keempat sepanjang lapan pusingan lepas jauh mengatasi rakan sepasukan, Md Fareez Afeez di kedudukan kedua dengan 116 mata. Selain gelaran keseluruhan individu, pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang turut mengesahkan status sebagai juara keseleluruhan berpasukan dengan mengumpul 304 mata ketika ini.
 “Misi saya adalah untuk terus meraih kemenangan pada baki dua perlumbaan terakhir musim ini, dan pada masa sama merancang strategi untuk membantu Fareez kekal di tangga kedua keseluruhan ketika ini,” jelas Tengku Amirul.
“Walaupun sudah bergelar juara keseluruhan, ini tidak bermakna saya memandang mudah saingan minggu ini, sebaliknya saya mempunyai misi untuk menamatkan musim ini dengan sembilan kemenangan.”
 Menurut pemilik pasukan, Pang Yoke You (YY Pang), Tengku Amirul akan kekal beraksi dalam saingan CP115 pada baki dua perlumbaan terakhir musim ini. “Kami mahu dia terus bersaing merebut kemenangan. Tentang saingan kelas CP150, semuanya akan diputuskan kemudian, bukannya ketika ini.” 


Batu Kawan litar penentu musim?

Saingan Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS bakal menyaksikan beberapa pelumba berpeluang untuk mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan di Batu Kawan, Pulau Pinang pada hujung minggu ini.

Dalam saingan CP150, pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing, Ahmad Afif Amran kini sedang mendahului senarai keseluruhan dengan mengumpul 160 mata, 49 mata mengatasi Kasma Daniel kasmayuddin yang berada di kedudukan kedua dengan 111 mata sementara rakan sepasukan Afif, Md Hafiz Nor Azman di kedudukan ketiga dengan 103 mata.
 Seandainya Afif berjaya menamatkan saingan di hadapan kedua-dua pelumba tersebut Afif bakal mengesahkan gelaran keseluruhan CP150 seawal pusingan kelapan memandangkan Md Akid Aziz yang kini berada di kedudukan keempat kini 87 mata ketinggalan di belakang dengan hanya baki 75 mata maksimum perlumbaan sahaja lagi.

“Sebenarnya peluang masih terbuka untuk Kasma dan Hafiz. Saya tidak menetapkan sasaran untuk memenangi gelaran di Batu Kawan sebaliknya hanya fokus untuk memberi aksi terbaik dan menamatkan perlumbaan di kedudukan terbaik. Paling penting, saya tidak boleh melakukan sebarang kesilapan yang merugikan,” jelas Afif.
 Sementara itu, dalam saingan CP115, Tengku Amirul Haffirudin juga bakal dinobatkan selaku juara keseluruhan selepas selesa mendahului kedudukan keseluruhan ketika ini dengan 163 mata.
Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang itu kini 67 mata mendahului rakan sepasukan, Md Fareez Afeez manakala tempat ketiga milik pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan 92 mata.

Tengku Amirul hanya perlu menamatkan saingan di kedudukan kelapan bagi mengesahkan gelaran seandainya Md Fareez memenangi perlumbaan. Namun, berdasarkan keputusan semasa, pelumba kelahiran Terengganu itu pasti mahu menambah koleksi untuk meraih kemenangan ketujuh setelah berjaya memenangi enam perlumbaan dari tujuh pusingan yang telah berlangsung.
Dalam pada itu, Md Aqid Jumali turut berpeluang untuk mengesahkan gelaran keseluruhan kategori PETRONAS Sprinta Pro Am Cup seandainya berjaya menjaurai perlumbaan ataupun tamat di hadapan seteru utama, Md Shahzul Naim Razali. 

Aqid mendahului kedudukan dengan 134 mata, 52 mata dihadapan Shahzol yang mengumpul 82 mata.

Boleh ke Tengku Amirul menang kali keenam...?

Tengku Amirul Hafiruddin kan turun beraksi di halaman sendiri pada pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kuala Terengganu, Terengganu, 5 dan 6 Oktober ini.

Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang itu mensasarkan kemenangan keenam sekaligus terus melebarkan jurang selaku pendahulu keseluruhan CP115. Beliau telah meraih lima gelaran juara daripada enam perlumbaan musim ini dan hanya sekali tamat di kedudukan keempat sewaktu pusingan keempat di Temerloh, Pahang.
 Pelumba berasal dari Dungun, Terengganu itu kini selesa mendahului kedudukan keseluruhan dengan 138 mata, 52 mata mengatasi rakan sepasukan, Md Fareez Afeez yang berada di kedudukan kedua dengan 86 mata manakala Md Haziq Md Fairues ketiga dengan 79 mata.

“Saya gembira kerana selepas dua tahun, perlumbaan Cub Prix kembali ke Kuala Terengganu dan saya dapat beraksi di hadapan keluarga dan penyokong saya di sini dan berharap dapat mengulangi pencapaian menaiki podium di sini pada tahun 2015,” jelas Tengku Amirul.
 Tambahnya, “Namun, walaupun saya telah memenangi lima perlumbaan setakat ini, saya tidak mahu terlalu yakin kerana perlumbaan CP115 ini sentiasa sengit dan tidak diduga. Apa yang pasti, saya akan memberikan yang terbaik dan yakin pasukan juga akan menyediakan jentera terbaik untuk saya minggu ini.”

Tengku Amirul luaskan penguasaan CP115

Tengku Amirul Haffirudin  terus melebarkan penguasaan dalam kelas CP115 apabila meraih kemenangan kelima daripada enam pusingan perlumbaan yang telah berlangsung setakat ini.


Bermula dari petak ketiga, pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing itu berjaya menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 10’58.271s diikuti Nazirul Izzat Md Bahauddin PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing kedua, 11:00.683s dan Md Syafiq Rosli (ELF Koyoko Honda KC Racing) meraih podium pertamanya pada musim ini setelah menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan masa 11’01.526s.

Dengan kemenangan di Kangar, Tengku Amirul kini jauh mendahului senarai keseluruhan dengan mengumpul 138 mata diikuti rakan sepasukan, Md Fareez Afeez di tempat kedua dengan 86 mata dan Md Haziq Md Fairues (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) ketiga, 79 mata.

Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 akan diteruskan di Kuala Terengganu, Terengganu pada 5 dan 6 Oktober depan.

CP115

1 Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 10:58.271s

2 Nazirul Izzat Md Bahauddin (MLK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 11:00.683s

3 Md Syafiq Rosli (PRK) ELF Koyoko Honda KC Racing 11:01.526s

4 Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 11:06.336s

5 Md Shafiq Ezzariq (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 11:07.599s



Kedudukan Keseluruhan

1 Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 138 mata

2 Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 86 mata

3 Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 79 mata

4 Ahmad Syukran Aizat (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 70 mata

5 Nazirul Izzat Md Bahauddin (MLK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 67 mata