Showing posts with label PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing. Show all posts
Showing posts with label PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing. Show all posts

Afif mampu sahkan Juara CP150 esok

 Ahmad Afif Amran bakal dinobatkan selaku juara keseluruhan kategori CP150 seandainya berjaya menamatkan perlumbaan di kelompok 10 pelumba terbaik pada saingan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jempol, Negeri Sembilan pada Sabtu dan Ahad ini. 

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing itu kini berkelebihan 44 mata ke atas pencabar terdekat, Kasma Daniel Kasmayuddin yang berjaya menyekat Afif daripada memenangi gelaran lebih awal selepas berjaya menjuarai perlumbaan pusingan lepas di Batu Kawan, Pulau Pinang. 
 Meskipun hanya perlu tamat di kedudukan ke-10, namun Afif perlu bijak mengatur strategi memandangkan gandingannya bersama Md Hafiz Nor Azman dan Md Aiman Tahiruddin turut bersaing untuk memastikan gelaran Juara Keseluruhan Berpasukan turut menjadi milik mereka. 

"Secara matematik, enam mata sudah cukup untuk membantu saya mengekalkan kedudukan pendahulu keseluruhan tetapi pada masa sama saya juga perlu mengumpul banyak mata untuk pasukan kerana kedudukan dengan pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor masih belum begitu selamat. 
 "Jika pelumba mereka menamatkan perlumbaan di podium, jurang mata kami akan semakin mengecil. Jadi saya dan Hafiz serta Aiman perlu menamatkan perlumbaan di podium atau tidak boleh ketinggalan jauh dengan mereka," jelas Afif. 

Tambahnya, "Jadi saya dan rakan sepasukan perlu merencana strategi terbaik untuk memastikan kedua-dua gelaran akan menjadi milik pasukan kami pada musim ini. Pada masa sama Hafiz juga sedang bersaing untuk menamatkan musim ini di kelompok tiga pelumba terbaik, jadi dia juga perlu menamatkan saingan di atas podium. Mudah-mudahan semuanya akan berjalan lancar minggu ini."
 

Selepas lapan pusingan, pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ Racing sedang mendahului kedudukan keseluruhan berpasukan dengan 298 mata manakala PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor di kedudukan kedua dengan248 mata. 

Pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang ketiga dengan 118 mata.


Afif Amran tak pernah menang di Terengganu

 Keinginan  Ahmad Afif Amran yang merupakan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing untuk menjuarai perlumbaan pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Pri AAM Malaysia PETRONAS adalah untuk melebarkan jurang pungutan mata pendahulu keseluruhan CP150 itu,di litar Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu pada Jumaat dan Sabtu ini.

Rekod terdahulunya hanya sebagai naib juara dalam kelas CP115 pada tahun 2013 dan ketiga dalam kategori CP130 pada tahun 2014.
 “Memang saya memasang impian untuk menang di sini kerana sepanjang beraksi di dalam Kejuaraan Cub Prix, saya tidak pernah muncul juara di Terengganu,” jelas pelumba kelahiran Dungun itu. Tambahnya, “Namun saya rasakan perlumbaan minggu ini lebih mencabar dan peluang juga lebih terbuka kerana kali terakhir kami berlumba di sini ialah pada tahun 2015 dan masih menggunakan jentera CP130. Semua pasukan tidak mempunyai data baharu untuk perlumbaan kali ini selain faktor keadaan permukaan litar juga mungkin sudah berubah.
 “Walaupun inginkan gelaran juara, pada masa sama saya juga tidak boleh terlalu mengambil risiko. Saya juga perlu memikirkan strategi terbaik dan memberi keutamaan untuk memungut mata sebanyak mungkin bagi mempertahankan kedudukan ketika ini. Perlumbaan sudah semakin ke penghujung musim, saya tidak boleh melakukan sebarang kesilapan mudah ketika ini.”
 Selepas enam pusingan, Afif kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 135 mata, 40 mata mengatasi juara bertahan, Kasma Daniel Kasmayuddin (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) di kedudukan kedua dengan 95 mata manakala rakan sepasukan Afif, Md Hafiz Nor Azman ketiga dengan 90 mata.

Nazirul Izzat dibakar semangat Rossi

 Selepas pulang menimba ilmu permotoran di kem Akademi VR46 milik bintang MotoGP, Valentino Rossi, Nazirul Izzat Bahauddin semakin bersemangat untuk menghadapi perlumbaan Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM PETRONAS 2018 di Kangar, Perlis, minggu in.

Pelumba CP115 pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - CKJ Racing itu telah terpilih ke Itali bersama seorang lagi pelumba muda Yamaha, Md Aiman Tahiruddin dan turut disertai dua pelumba dari Jepun dan Indonesia.
 "Banyak ilmu dan perkara baru yang dipelajari sepanjang berada di Itali dan saya harap ia dapat meningkatkan lagi prestasi saya di Perlis minggu ini," jelas Nazirul yang kini berada di kedudukan keenam keseluruhan kategori CP115 dengan 51 mata termasuk satu podium di tempat ketiga di Temerloh. 

"Peluang bertemu Rossi sendiri yang sempat berkunjung ke kem ini juga sangat bermakna. Selain tunjuk ajar jurulatih di akademi VR46, Rossi juga sempat berkongsi pengalaman dan memberi tunjuk ajar kepada kami."
 Tambahnya, "Walaupun masih penat dengan jadual latihan dan penerbangan yang jauh, saya yakin ia tidak akan menjejaskan prestasi saya nanti. Tempoh rehat sejak tiba di Malaysia semalam cukup untuk membantu fizikal saya berada pada tahap terbaik. Tentang jentera, saya tidak bimbang kerana jurutera dan kru pasukan sentiasa menyediakan yang terbaik.
 Selepas lima pusingan, Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang) kini mengungguli kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 113 mata diikuti rakan sepasukan, Md Fareez Afeez dengan 73 mata sambil diekori rapat Md Haziq Md Fairues (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) dengan 71 mata.