Toyota Gazoo Racing kan beraksi di Johor hujung minggu ini

Vios Challenge akan bertandang ke Johor bagi separuh kedua musim perlumbaannya dengan lebih banyak pertembungan menarik antara pelumba bagi merebut kejuaraan. Masih banyak untuk dikumpul, oleh itu saingan dijangka lebih sengit pada 19 dan 20 Januari ini di litar dalam bandar yang disediakan di Medini City, Iskandar Puteri.

Ia bakal menjadi perlumbaan jalanan dengan litar yang sama sekali asing bagi semua pelumba. Dengan jentera Vios yang dibangunkan mempunyai kemampuan yang sama, hanya kemahiran setiap individu mengendaikan kenderaan yang akan memisahkan kedudukan di antara mereka. Formula perlumbaan seperti ini terbukti berjaya dengan aksi-aksi yang mendebarkan, seperti yang dapat dilihat pada dua perlumbaan sebelum ini, di Batu Kawan, Pulau Pinang dan MAEPS Serdang.

"Apabila kami memperkenalkan perlumbaan Vios Challenge ini, kami jangka akan dapat melihat peningkatan tahap persaingan antara pelumba dari semasa ke semasa. Tetapi, melihat sejak perlumbaan pertama sahaja sudah cukup untuk merasakan kehangatan acara ini, baik bagi pengunjung, mahupun untuk semua pelumba dalam ketiga-tiga kelas yang mempamerkan aksi pemanduan yang berkualiti. Ia sebuah pengalaman yang menakjubkan, dan menjadi acara yang wajib dialami sendiri oleh semua peminat sukan perlumbaan," ujar Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran.

Walaupun pada awalnya, perlumbaan bagi kategori Promotional diungguli oleh Shawn Lee, sedikit kesilapan yang dilakukan dalam perlumbaan terakhir di MAEPS Serdang menyaksikan kereta dipandunya berpusing pada pusingan pembukaan. Shukri Yahaya tidak melepaskan peluang keemasan untuk memanfaatkan kesilapan itu untuk muncul juara. Kemenangan berkenaan meletakkan Shukri hanya lima mata di belakang Shawn, sementara tempat ketika diduduki oleh Danny Koo yang ketinggalan 14 mata.  Semua pemandu ini berpeluang untuk muncul juara, begitu juga dengan satu-satunya pemandu wanita yang berjaya naik podium yang kini berada dikedudukan keempat.
Bagi kategori Sporting pula, aksinya tidak kurang mendebarkan, selepas perlumbaan di Kuala Lumpur menyaksikan muka baru muncul di podium bagi kedua-dua pusingan yang berlangsung. Pendatang baru, Brendan Anthony berjaya menjadikan impiannya untuk membantu jentera pasukan Dream Team mencapai kemenangan sulung menjadi kenyataan. Dalam pusingan kedua pula, Patrick Tam dari Team Nanoplus berjaya merampas kedudukan pertama, memberikan kemenangan pertama kepadanya dalam siri perlumbaan ini.
Brandon Lim 86
Dengan pencapaian menamatkan perlumbaan yang berterusan bagi Brandon Lim dari pasukan Tedco Racing di Batu Kawan dan MAEPS Serdang, beliau kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan 57 mata dan mempunyai kelebihan 10 mata mengatasi Ken Foo. Patrick berada dibelakang dengan perbezaan mata yang tipis. Namun, Kenneth Koh, Brendan Anthony dan Jackson Tan mengikuti rapat di belakang dan akan berhasil untuk merampas kedudukan di atas sekiranya pendahulu-pendahulu melakukan walau hanya sedikit kesilapan.
Bagi kategori Super Sporting pula, saingannya lebih sengit antara tujuh pemandu profesional yang terpisah hanya dengan perbezaan 20 mata. Tengku Djan masih kekal mengungguli persaingan dalam kejuaraan ini, walaupun hanya mengumpul sembilan mata ketika perlumbaan di MAEPS Serdang. Tetapi, kelompok ini yang terdiri daripada Mitchell Cheah, William Ho, Mark Darwin, Shafiq Ali, Boy Wong dan Ser Ming Hui tetap mempunyai peluang yang masih terbuka untuk mengatasi Raja Drift Malaysia itu pada litar yang lebih lebar dan pantas di Medini nanti.

Hujan yang dijangka akan membuatkan permukaan litar lebih sukar, sekaligus menjadikan perlumbaan di Johor nanti dipenuhi lebih banyak aksi mencabar. Sama seperti sebelumnya, kemasukan ke acara Toyota GAZOO Racing (TGR) Racing Festival adalah percuma dan aktiviti akan bermula pada 9 pagi hingga 6.30 petang, pada 19 dan 20 Jan ini.

Untuk mendapatkan jadual terkini, maklumat lokasi serta apa saja perincian berkaitan Vios Challenge, layari laman rasmi Toyota GAZOO Racing Malaysia, akaun Instagram dan juga Facebook.

Honda susun perancangan sukan bermotor motosikal 2018 mereka

Tahun 2018 akan menyaksikan penglibatan berterusan Honda dalam sukan bermotor motosikal. Antaranya, di persada MotoGP, kelas perdana perlumbaan Grand Prix Dunia, Juara Dunia empat kali Marc Márquez, yang memenangi kejohanan 2017 untuk tahun kedua berturut-turut, dan Dani Pedrosa, veteran yang telah berkecimpung selama 13 tahun di kelas ini, akan terus berlumba untuk Team Repsol Honda, menunggang mesin kilang RC213V model 2018.

Selain itu, empat pelumba lain akan bertanding di MotoGP, iaitu Cal Crutchlow (LCR Honda CASTROL), Takaaki Nakagami (LCR Honda IDEMITSU) yang naik-taraf ke kelas MotoGP musim ini, Franco Morbidelli dan Thomas Lüthi (Estrella Galicia 0,0 Marc VDS).

Dengan sejumlah tiga pasukan dengan enam pelumba, Honda akan berusaha untuk memenangi MotoGP "Triple Crown" - pelumba, pembina dan kejohanan pasukan.

Dalam kelas Moto3, yang mana kejohanan tahun lalu dimenangi Honda, mereka akan membekalkan jentera NSF250RW model 2018 untuk 7 pasukan / 13 pelumba dan berusaha untuk memenangi kejuaraan tersebut untuk tahun kedua berturut-turut.

Dalam perlumbaan ketahanan Suzuka 8 Hour Race Endurance Road, yang merupakan pusingan akhir Kejohanan Dunia FIM Endurance (EWC), Takumi Takahashi akan berlumba untuk Team HRC bermula perlumbaan tahun ini untuk pasukan kilang Honda. Honda akan memilih pelumba lain untuk pasukan ini dari kalangan pelumba Honda yang bersaing dalam kejohanan dunia dan serantau.

Dalam kelas SS600 FIM Asia Road Racing Championship (ARRC), Md Zaqhwan Zaidi yang menamatkan musim 2017 di tempat kedua, dan Azroy Anuar yang baru bergabung dari IATC dan Tomoyoshi Koyama, juga tambahan baru, akan berlumba untuk MuSASHi Boon Siew Honda Racing, sebuah pasukan yang berusaha untuk mendapatkan semula kedua-dua gelaran kejuaraan pasukan dan pelumba. Selain itu, dalam kelas AP250, Pasukan Astra Honda Racing akan berlumba untuk kejuaraan berturut-turut mereka bagi musim 2018 ini.

Pasukan Ducati mulakan 2018 dengan gaya

Projek MotoGP 2018 kilang Borgo Panigale telah bermula semalam di Bologna, dan matlamat mereka amat mudah: kemenangan!

Ducati merupakan pasukan MotoGP pertama yang turun ke grid untuk mendedahkan projek 2018 mereka. Selepas musim 2017 hebat yang telah menyaksikan 'DesmoDovi' meraih enam kemenangan dan mengejar kejuaraan ke pusingan akhir, perhatian pemnat MotGP tetap tidak beralih dari pasukan Ducati bermulanya musim 2018. Rakan sepasukan Dovi iaitu Lorenzo juga menambah jumlah markah pada musim pertamanya di bawah jenama merah tersebut, dan pelumba Mallorca tersebut semakin menghampiri kemenangan pada akhir musim lepas setelah penyesuaiannya dengan jentera tersebut semakin serasi.
"Ia nya menakjubkan," kata Andrea Dovizioso mengenai Desmosedici dan liveri barunya. Pencabar Kejohanan tersebut telah memberikan persembahan yang luar biasa pada musim 2017, dan matlamat Dovi untuk musim yang akan datang adalah amat positif. Mengenai jentera baharunya, Dovi mengulas "Ia begitu cantik. Setiap motosikal yang saya naik memang cantik, tetapi yang ini mempunyai sesuatu yang berbeza. Kami telah menambah beberapa jalur kelabu, dan ia tampak lebih agresif dan lebih menakjubkan lagi. "
"2017 tidak mudah bagiku, kerana saya tidak memenangi sebarang perlumbaan," kata Jorge Lorenzo mengenai peralihannya ke jentera Desmosedici, "dan pada permulaan musim saya tidak dapat bertarung untuk podium. Tetapi saya bersabar dan saya tidak pernah berputus asa. Saya menikmati kemajuan yang berterusan, dan kini kami bersedia untuk musim 2018. Kami mempunyai hasil yang semakin baik sepanjang tahun. Kerja berpasukan sangat penting dan Ducati banyak membantu saya untuk menyesuaikan motosikal dengan gaya menunggang saya." Sekarang, sudah tiba masanya untuk melihat ke hadapan sekali lagi. "Saya fikir kedua-dua pasukan dan motosikal sudah sedia untuk menang," tegas pemain Sepanyol tersebut.



Pelumba Malaysia menyerlah di Le Mans Asia, Burriram

Pasukan pelumba Malaysia yang terdiri dari Jazeman Jaafar, Weiron Tan dan Afiq Ikhwan telah mencatatkan kemenangan sensasi dalam penampilan sulung mereka di Siri Le Mans Asia.

Dalam penampilan sulungnya di Siri Le Mans Asia, barisan pelumba Malaysia meraih kemenangan cemerlang dalam perlumbaan 6 jam di Litar Chang,  Buriram dengan memandu kereta nissan nombor 7 bagi pasukan Jackie Chan DC Racing x JOTA Sport Oreca 05.

Berlumba di bawah inisiatif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan wawasan untuk meletakkan pasukan Malaysia di perlumbaan berprestij Le Mans 24-Hour Endurance tahun depan, trio ini jelas tidak mengambil masa yang panjang untuk berkerjasama sebagai satu pasukan bagi menggabungkan kemahiran dan kecemerlangan lumba mereka dan membuat impak segera untuk memenangi kelas LMP2.

Bagaimanapun, mereka dicabar sepanjang perlumbaan yang melelahkan oleh rakan sepasukan mereka iaitu kereta nombor 8 Oreca, yang dikendara Stephane Richelme, Harrison Newey dan Thomas Laurent yang telah menduduki tempat kedua. Ia adalah kemenangan pertama pasukan pemandu Malaysia dalam Siri Le Mans Asia. Tempat ketiga diraih kereta nombor 37 dari Team BBT (Anthony Xu Liu-Davide Rizzo-Pipo Derani).

Sementara itu seorang lagi pelumba muda Malaysia, Nazim Azman pula telah berjaya mencatatkan kemenangan dalam Pusingan 4 Kejohanan FIA Formula 4 Asia Tenggara (F4SEA) yang telah berlangsung pada hujung minggu yang sama di tempat yang sama.

Bagaimana Google Maps anggar masa perjalanan agak tepat?

Teknologi sistem kedudukan global atau GPS (global positioning system) masakini mampu membantu anda mencari laluan perjalanan dan menganggarkan berapa lama masa yang diperlukan untuk pulang ke rumah atau ke mana mana destinasi. Selain Waze yang membolehkan interaksi maklumat antara pengguna, ramai juga yang menggunakan Google Maps, yang turut menyediakan laluan dan anggaran masa perjalanan tak kita samada anda berjalan kaki, menaiki komuter, LRT atau MRT, dan juga memandu. Bagaimana ia melakukannya?

Google Maps kini telah menggantikan peranti navigasi tradisional seperti Garmin, kerana anda mampu menggunakannya pada telefon bimbit anda. Google Maps telah banyak berubah sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan anda tidak lagi perlu memuat turun Google Earth hanya untuk mendapatkan pandangan satelit kedudukan atau bandar kegemaran anda.

Sekarang anda boleh memilih destinasi anda dan Google akan memberitahu anda bagaimana untuk sampai ke sana dan berapa lama masa yang akan diambil, dengan agak tepat!

Bagaimana sebenarnya Google tahu berapa lamakah masa perjalanan anda?

Ia sebenarnya gabungan atau kombinasi beberapa perkara. Sejak tahun 2011, Google telah menggunakan algoritma penghalaannya yang mengetahui trafik semasa dan juga rekod sebelumnya, untuk membantunya memilih laluan terpantas dan mengarahkan laluan anda.

Kelajuan trafik semasa yang tepat dikira menggunakan data yang dikumpulkan oleh Google dari pengguna sistem navigasi Google Maps Navigation. Pengguna sistem ini di seluruh dunia melalui lebih dari 90 juta kilometer setiap hari.

Google dapat mengesan maklumat ini kerana semua pengguna iPhone yang mengaktifkan sistem Google Maps, dan pengguna telefon Android yang menghidupkan perkhidmatan lokasi menghantar maklumat tanpa nama kembali kepada Google.
Peta Google menggunakan data trafik langsung ataupun semasa dalam kata lain, untuk menganggarkan masa perjalanan yang ingin anda lalui.

Maklumat ini kemudiannya dikaji dan disusun semula sebelum dihantar kembali kepada telefon anda. Dan sudah tentulah anggaran masa ini akan menjadi lebih tepat jika semakin banyak pemandu memandu di laluan itu.

Ini bermakna ia dapat meramalkan pergerakan lalu lintas setiap hari dengan agak tepat, namun ia tidaklah benar benar sempurna untuk mengetahui dengan tepat kejadian luar jangka yang bakal berlaku pada laluan tersebut, selepas anda membuat pilihan laluan.

Maklumat lalu lintas Google Maps kini tersedia di lebih daripada 60 negara di seluruh dunia, dan Google sentiasa berusaha untuk meningkatkan ciri sistem ini dengan membawanya ke lebih banyak tempat di seluruh dunia.