Pelumba Malaysia menyerlah di Le Mans Asia, Burriram

Pasukan pelumba Malaysia yang terdiri dari Jazeman Jaafar, Weiron Tan dan Afiq Ikhwan telah mencatatkan kemenangan sensasi dalam penampilan sulung mereka di Siri Le Mans Asia.

Dalam penampilan sulungnya di Siri Le Mans Asia, barisan pelumba Malaysia meraih kemenangan cemerlang dalam perlumbaan 6 jam di Litar Chang,  Buriram dengan memandu kereta nissan nombor 7 bagi pasukan Jackie Chan DC Racing x JOTA Sport Oreca 05.

Berlumba di bawah inisiatif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan wawasan untuk meletakkan pasukan Malaysia di perlumbaan berprestij Le Mans 24-Hour Endurance tahun depan, trio ini jelas tidak mengambil masa yang panjang untuk berkerjasama sebagai satu pasukan bagi menggabungkan kemahiran dan kecemerlangan lumba mereka dan membuat impak segera untuk memenangi kelas LMP2.

Bagaimanapun, mereka dicabar sepanjang perlumbaan yang melelahkan oleh rakan sepasukan mereka iaitu kereta nombor 8 Oreca, yang dikendara Stephane Richelme, Harrison Newey dan Thomas Laurent yang telah menduduki tempat kedua. Ia adalah kemenangan pertama pasukan pemandu Malaysia dalam Siri Le Mans Asia. Tempat ketiga diraih kereta nombor 37 dari Team BBT (Anthony Xu Liu-Davide Rizzo-Pipo Derani).

Sementara itu seorang lagi pelumba muda Malaysia, Nazim Azman pula telah berjaya mencatatkan kemenangan dalam Pusingan 4 Kejohanan FIA Formula 4 Asia Tenggara (F4SEA) yang telah berlangsung pada hujung minggu yang sama di tempat yang sama.

No comments: