Showing posts with label Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS. Show all posts
Showing posts with label Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS. Show all posts

Ahmad Fazli Sham undur diri setelah 20 tahun


 Akhirnya Ahmad Fazli Sham  mengundur diri dari Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS yang akan memulakan cabaran di Jasin, Melaka pada 23 dan 24 Mac ini. Walaupun begitu, Fazli  menggalas tugas baharu selaku jurulatih pelumba muda bersama jurulatih utama pasukan, Rosnizam Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai Obert selain turut membantu tugas-tugas kejuruteraan dan teknikal sewaktu perlumbaan.

“Saya rasa kini sudah tiba masanya untuk saya mengundurkan diri dari arena Kejuaraan Cub Prix setelah berbelas tahun beraksi. Kalau ikutkan, memang saya mahu lagi berlumba tetapi saya perlu akur kudrat saya tidak seperti dahulu, ditambah pula untuk bersaing dengan pelumba-pelumba muda yang lebih agresif dan bertenaga,” jelas pelumba berusia 37 tahun itu.
Tambahnya, “Namun saya gembira dengan tanggungjawab yang diberikan oleh pasukan kepada saya. Saya akan mencurahkan pengalaman saya bersama Obert untuk membimbing barisan pelumba muda dan berharap gandingan kami dapat melahirkan juara untuk pasukan ini.”
Juara Expert 2007 dan 2008 itu bagaimanapun masih tersenarai dalam barisan pelumba pasukan di pentas Kejuaraan Motosikal Asia FIM dalam kategori Underbone 150cc.
Fazli memulakan karier seawal tahun 2001 sebagai pelumba persendirian sebelum dilamar pasukan Maju Motor pada tahun 2003. Sepanjang kariernya, Fazli hanya pernah berpindah ke pasukan Fastrac Racing pada 2011 sebelum kembali ke pangkuan Maju Motor pada tahun berikutnya.
Pada tahun 2018, Fazli dilamar oleh pasukan TKKR dan menamatkan saingan di tangga ke-16 keseluruhan.
 Selain bergelar juara Expert pada tahun 2007 dan 2008, Fazli merupakan pemenang keseluruhan kategori Underbone 125cc (2 lejang) pada tahun 2004 dan 2005 dan pernah menyertai Program Wildcard Malaysia pada tahun 2009 serta memegang rekod pelumba yang paling banyak memenangi perlumbaan kelas perdana Kejuaraan Cub Prix (Expert, CP130 dan CP150) dengan 21 kemenangan.

Empat pelumba teratas CP150 uji jentera Yamaha R6

Empat pelumba teratas CP150 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS diberikan peluang untuk menguji jentera Yamaha R6 ketika sesi ujian tayar rasmi Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand yang berakhir semalam.
Kasma Danial Kasmayuddin bersama-sama juara CP150 2018, Ahmad Afif Amran, Mohd Hafiz Nor Azman dan Mohd Akid Aziz masing-masing turun ke litar dan bersaing untuk tampil dengan aksi terbaik bagi mengisi dua slot pasukan Hong Leong Yamaha Malaysia ke kategori SuperSports 600cc ARRC untuk musim 2019.
Kelebihan beraksi musim penuh kelas 600cc musim ini memberi kelebihan kepada Kasma apabila muncul pelumba terpantas diantara keempat-empat pelumba dengan catatan 1’40.011s namun ketinggalan kepada pelumba terpantas sepanjang dua hari sesi ujian, Peerapong Boonlert yang mencatat masa terpantas 1’38.834s.
Mohd Hafiz yang sebelum ini berpengalaman menunggang jentera Honda pula mempamerkan prestasi memberangsangkan meskipun pertama kali menguji jentera R6 apabila mencatat masa kedua terpantas di belakang Kasma dengan masa terbaik 1’40.614s.
“Ini merupakan aksi pertama saya menggunakan jentera R6, jadi tumpuan utama saya bukanlah untuk mendapatkan masa terbaik sebaliknya menggunakan peluang ini untuk mendapatkan lebih masa dan keserasian dengan jentera,” jelas Hafiz yang melakukan 92 pusingan sepanjang dua hari sesi ujian.
Ahmad Afif yang pernah beraksi dalam kelas 600cc pada tahun 2015 sebelum beraksi dalam kelas Asia Production 250cc ketiga terpantas dengan masa 1’41.453s manakala juara Underbone 150cc dan CP115 2017, Md Akid Aziz dilihat masih belum mendapatkan keserasian bersama jentera dengan catatan terbaik 1’42.986s.


Syarifuddin Azman menang kali kelima berturut-turut

Md Syarifuddin Azman berjaya meraih kemenangan kelima berturut-turut pada musim ini sekaligus berjaya muncul sebagai pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 133 mata.

Pelumba Idemitsu Kozi Yam Honda Racing itu berjaya menamatkan 12 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 11’14.467s menewaskan pencabar utama, Md Danial Syahmi (SIC Junior Team AFB TECH Racing) yang memberikan saingan sengit sepanjang perlumbaan sebelum akur di kedudukan kedua dengan masa 11’17.241s. Md Faiz Zekri Sabri (ONEXOX Racing Team) muncul pemenang tempat ketiga dengan masa 11:29.365s.

Md Danial yang tidak beraksi pada pusingan lepas turun ke tangga kedua dengan turut mengumpul 133 mata namun dibezakan dengan jumlah kemenangan milik Md Syarifuddin. Tempat ketiga ketika ini disandang oleh Md Alif Ashraf Tahiruddin (KUL) PETRONAS Sprinta YAMAHA yang gagal menamatkan perlumbaan dengan mengumpul 112 mata.

WIRA KBS

1 Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 11:14.467s
2 Md Danial Syahmi (PRK) SIC Junior Team AFB TECH Racing 11:17.241s
3 Md Faiz Zekri Sabri (PNG) ONEXOX Racing Team 11:29.365s
4 Daniel El Fahim (PNG) SIC Junior Team AFB TECH Racing 11:42.892s
5 Md Syahmi Md Anuar (NSN) 11:42.981s

Kedudukan Keseluruhan
1 Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 133
2 Md Danial Syahmi (PRK) SIC Junior Team AFB TECH Racing 133
3 Md Alif Ashraf Tahiruddin (KUL) PETRONAS Sprinta YAMAHA 112
4 Md Fadlyshah Redzuan (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 73
5 Md Faiz Zekri Sabri (PNG) ONEXOX Racing Team 62

Tengku Amirul Haffirudin Juara CP115 2018

 “Pada asalnya, saya hanya cuba untuk mengutip mata kerana hanya memerlukan lapan mata untuk mengesahkan gelaran. Namun selepas insiden melibatkan pelumba kelompok hadapan, saya berjaya merapatkan kedudukan dengan pelumba di hadapan. Menyedari ada peluang untuk menamatkan saingan di atas podium, saya mencari ruang untuk memintas dan memenangi perlumbaan.”

Itulah komen Tengku Amirul Haffirudin yang telah mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan CP115 musim 2018 setelah menjuarai perlumbaan akhir pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Batu Kawan, Pulau Pinang, hujung minggu lepas.
Kemenangan itu juga merupakan kemenangan ketujuh dari lapan perlumbaan buat pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing itu untuk mengumpul 188 mata keseluruhan, 72 mata melebihi rakan sepasukannya Md Fareez Afeez yang berbekal 116 mata dengan perlumbaan hanya berbaki dua pusingan sahaja lagi.
Tengku Amirul yang bermula dari petak ketujuh telah menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 13’58.786s mengatasi Md Fareez dengan kelebihan 0.326s manakala Md Haziq Nd Fairues (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) ketiga dengan masa 13’59.363s.
Kemenangan ini turut mengesahkan pasukan Motul Zeneos Yamaha YY Pang sebagai juara keseluruhan berpasukan kategori CP115 dengan mengumpul 304 mata.

“Tahun ini sangat istimewa kepada saya kerana akhirnya berjaya memegang gelaran CP115 selepas beberapa tahun mencuba. Selepas ini saya berhasrat untuk bersaing dalam kelas CP150 jika diberikan peluang oleh pasukan pada musim depan,” tambah Amirul.
CP115

1 Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 13:58.786s

2 Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 13:59.112s

3 Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 13:59.363s

4 Md Syafiq Rosli (PRK) ELF Koyoko Honda KC Racing 13:59.928s

5 Ahmad Syukran Aizat (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 14:10.597s



Kedudukan Keseluruhan

1 Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 188

2 Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 116

3 Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 108

4 Nazirul Izzat Md Bahauddin (MLK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 93

5 Ahmad Syukran Aizat (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 92

Rozaiman sasar Superpole CP150

 Mohd Rozaiman Mohd Said menetapkan sasaran untuk layak ke Superpole dan dapat menamatkan perlumbaan di kelompok lima terbaik pabila beraksi di halaman sendiri di pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Batu Kawan, Pualu Pinang pada 27 dan 28 Oktober ini.

Pelumba AHM Motorsports Yamaha Racing itu ketika ini menduduki tangga ke-14 keseluruhan setelah mengumpul 30 mata dengan pencapaian terbaik menamatkan saingan di tempat keempat pada pusingan kelima yang berlangsung di Teluk Intan, Perak pada 1 September lepas.

 “Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan baik minggu ini termasuklah keadaan cuaca. Dari segi jentera, sudah pasti pasukan kami akan terus mencari formula terbaik menjelang aksi di Batu Kawan ini,” jelas pelumba kelahiran Pulau Pinang itu.

Tambahnya, “Walaupun saingan kelompok depan selalunya sengit melibatkan kumpulan pendahulu ketika ini, namun saya yakin pelumba-pelumba lain termasuk dari pasukan kami mampu memberikan saingan.

Helmi Azman azam julang Honda di Teluk Intan

Mohd Helmi Azman berazam untuk menyekat menjulang Honda dan menyekat dominasi Yamaha daripada terus menguasai keseluruhan pentas podium saingan kelas CP150 pada perlumbaan pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan, Perak, hujung minggu ini.

Pelumba Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing yang juga merupakan pendahulu keseluruhan kelas Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) ini mencipta kejutan apabila berjaya mengungguli sesi Superpole pada pusingan lepas di Temerloh sekaligus muncul pelumba Honda pertama melakukannya selepas kali terakhir dicatat oleh Mohd Zaqhwan Zaidi sewaktu perlumbaan pertama kategori CP150 diperkenalkan pada Mac 2017.



Namun malangnya permulaan yang tidak begitu baik sekadar menyaksikan Helmi sedikit ketinggalan dan menamatkan perlumbaan akhir di tempat keempat yang juga merupakan pencapaian terbaiknya pada musim ini.

Helmi yang beralih ke jentera Honda pada musim ini terus mempamer aksi konsisten dengan berada di kelompok enam pelumba terbaik sepanjang tiga pusingan lepas dan kini menghuni tangga kelima keseluruhan dengan mengumpul 34 mata.

“Apa yang ditunjukkan sewaktu di Temerloh menunjukkan kami berada di landasan tepat ketika ini. Mungkin faktor litar juga banyak membantu jentera kami mencapai tahap optimum, namun saya harap prestasi tersebut dapat dikekalkan di Teluk Intan.

“Matlamat saya adalah untuk cuba mencari tempat di atas podium yang pertama buat pasukan dan Honda serta menyekat dominasi pelumba-pelumba dari pasukan yang menggunakan jentera Yamaha,” jelas Helmi yang juga merupakan pendahulu keseluruhan kelas Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).
 


Tengku Amirul catat hattrick dalam CP115


Dalam saingan CP115, Tengku Amirul Haffirudin mencatat kemenangan ketiga berturut-turut dengan masa keseluruhan 13’16.134s. Dengan itu juga beliau terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu keseluruhan dengan 75 mata maksimum.
Pelumba kelahiran Melaka, Hafizuddin Azahar menceriakan penyokong tuan rumah apabila muncul naib juara dengan masa 13’23.918s diikuti Shafiq Ezzariq (Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing) ketiga dengan masa 13’30.490s.

CP115

1 Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 13:16.134

2 Md Hafizuddin Azahar (MLK) Persendirian 13:23.918

3 Md Shafiq Ezzariq (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 13:30.490

4 Md Zikri Ahmad Zamri (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 13:31.497

5 Md Anuar Ibrahim Pawi (PRK) Super KIP Honda Racing Academy 13:31.957



Kedudukan Keseluruhan

1 Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 75 mata

2 Ahmad Syukran Aizat (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 42 mata

3 Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 37 mata

4 Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 35 mata

5 Md Shafiq Ezzariq (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 35 mata


Siapa favorit di Cub Prix Jasin?

Persaingan sengit diantara Afif (50) Kasma (27) dan Akid (13)
Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ Racing, Ahmad Afif Amran muncul juara pusingan kedua di MAEPS, Selangor melalui pertarungan sengit bersama Mohd Akid Aziz manakala juara bertahan, Kasma Daniel Kasmayuddin menduduki tempat ketiga seterlah menang perlumbaan pusingan pertama di Tangkak, Johor.

Walaupun diletakkan antara pelumba pilihan, pendahulu CP150, Afif mengakui persaingan kelas CP150 kini semakin terbuka dan tiada pelumba favorit yang boleh dinamakan untuk memenangi perlumbaan pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jasin, Melaka yang akan berlangsung mulai hari ini.
Kemenangan di MAEPS telah membantu Afif untuk naik ke kedudukan pertama keseluruhan dengan 45 mata namun diekori rapat oleh Kasma dengan 41 mata.

“Saya gembira kerana dapat memenangi perlumbaan lepas. Ia satu kemenangan yang sangat sukar. Pada masa sama, jika dilihat secara keseluruhan, persaingan tahun ini dijangkakan akan lebih sengit,” jelas Afif.

“Jika tahun lepas perhatian banyak tertumpu kepada Kasma, namun tahun ini sukar untuk membuat jangkaan. Rakan sepasukannya Akid juga perlu diberi perhatian walaupun tahun pertama dalam kelas ini. Begitu juga dengan pelumba-pelumba lain.


“Malah pelumba yang menggunakan jentera Honda juga sudah mula menunjukkan peningkatan ketara dan mempamerkan keupayaan sebenar mereka. Jadi tidak mustahil kita akan dapat melihat pemenang-pemenang yang berbeza dalam setiap pusingan,” jelas naib juara keseluruhan CP150 musim 2017 itu.

Tambahnya, “Dengan persaingan sengit seperti ini, ia memaksa kami sepasukan untuk terus bekerja keras. Saya gembira kerana rakan sepasukan, Hafiz Nor Azman dan Aiman Tahiruddin juga sama-sama berada di kelompok hadapan dan ia baik untuk kami sepasukan. Mudah-mudahan sesiapa sahaja diantara kami bertiga dapat menaiki podium pada minggu ini.”

Amirul kini beraksi di kelas perdana CP150

Pengurus Pasukan Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini berkata pengalaman Amirul diperlukan untuk membantu dua lagi pelumbanya, Azroy Hakeem Anuar dan Mohd Harith Farhan Baharin untuk berhadapan barisan pelumba senior di dalam saingan kelas perdana.

Yuzy membuat percaturan baharu apabila dengan meletakkan Amirul ke dalam barisan pelumba CP150 bermula pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Jasin, Melaka pada hari ini. Amirul menggantikan pelumba muda, Mohd Aiman Azman manakala Aiman akan beraksi dalam kelas CP115.
“Pasukan kami membariskan kesemua pelumba berusia belasan tahun di dalam kelas CP150. Walaupun mereka menunjukkan prestasi yang agak baik terutamanya Azroy, namun jelas perbezaan pengalaman menjadi penghalang utama mereka. Sebab itulah saya meletakkan Amirul di dalam kelas ini,” jelas Yuzy.

“Tentang Aiman pula, saya yakin selepas berhadapan dengan pelumba-pelumba handalan CP150 sepanjang dua pusingan lepas, tidak ada masalah baginya untuk beraksi dalam kelas CP115.”

Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor tampilkan barisan menyengat

Juara berganda CP115 musim 2016 dan 2017 Md Akid Aziz akan beralih ke kategori CP150 untuk bergandingan bersama juara CP130 2017 dan juara CP150 2017, Kasma Daniel Kasmayuddin serta Mohd Ramdan Rosli, juara CP115 2010 dalam pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor.

Penampilan kesemua para juara sebagai satu pasukan sebegini walaubagaimana pun tidak menggusarkan Akid sebagai pendatang baharu CP150, dalam menghadapi pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 yang akan berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Johor, hujung minggu 31 Mac dan 1 April ini.

“Situasi ini agak mencabar namun pada masa sama sangat menarik. Selain bersaing sengit bersama pelumba berpengalaman yang lain, kami saling cabar-mencabar di dalam satu pasukan untuk mendapatkan yang terbaik,” jelas Akid yang juga merupakan juara Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) 2017.

Tambahnya. “Walaupun bertindak selaku pelumba ‘rookie’, saya tidak tertekan kerana sudah biasa mengendalikan jentera 150cc ini di peringkat Asia, jadi saya tidak ada masalah kekok untuk beraksi dengan jentera Yamaha Y15ZR.
“Cuma, jika di Asia Road Racing, litarnya lebih lebar, jadi saya dapat menggunakan jentera ke tahap maksimum berbanding di litar Cub Prix. Litar yang lebih pendek dan selekoh yang lebih sempit dan sangat mencabar. Kalau di litar saya terpaksa ‘berlawan’ dengan Kasma dan Ramdan, namun di paddock saya akan banyak belajar dan bertanya kepada mereka.”

Otai Fazli Sham beri amaran awal!


Meskipun sudah menceburkan diri selama lebih 15 tahun di dalam Kejuaraan Cub Prix, Ahmad Fazli Sham tekad membuktikan usia bukan halangan kepadanya untuk terus mencipta kejayaan dalam saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Litar Tangkak, Johor pada 31 Mac dan 1 April ini.

Untuk musim 2018 ini, pelumba paling senior di dalam kelas perdana CP150 itu berhijrah ke pasukan OneXOX TKKR Racing dan akan bergandingan bersama Khairul Ikhwan Ajis dan Mohd Hafiza Rofa, setelah sekian lama dengan tidak lagi bersama pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor sebelum ini.

Sejarah Fazli yang berasal dari Taiping, Perak ini bermula seawal tahun 2001 sebelum dilamar pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor pada tahun 2003. Kemuncak karier Fazli apabila bergelar juara Expert pada tahun 2007 dan 2008 selain pernah menyertai Program Wildcard Malaysia pada tahun 2009. Sepanjang kariernya, sebelum ini Fazli hanya pernah berpindah sekali ke pasukan Pennzoil Fastrac Racing pada 2011 sebelum kembali ke pangkuan Maju Motor pada tahun berikutnya. 

Fazli memegang rekod pelumba yang paling banyak memenangi perlumbaan kelas perdana (Expert, CP130 dan CP150) iaitu sebanyak 21 kemenangan.

Pelumba berusia 36 tahun itu percaya belum masanya untuk berundur dan kudratnya juga masih mampu untuk memberikan saingan kepada barisan pelumba lebih muda.

“Memang tidak dapat dinafikan, kemampuan saya mungkin tidak seperti dulu, tetapi dengan pengalaman yang ada, rasanya tidak ada masalah untuk saya memberikan saingan di kelompok depan. Pasukan tidak meletak sebarang sasaran tinggi kepada saya, namun saya akan tetap memberikan yang terbaik pada setiap perlumbaan,” ujar juara Expert 2007 dan 2008 itu.

Tambahnya, “Cuma mungkin fokus saya sedikit berbeza. Saya tidak terlalu memberi tumpuan untuk mengejar kemenangan seperti sebelum ini, sebaliknya pada masa sama saya mahu membantu pasukan untuk mendapatkan pelarasan jentera terbaik dan memberi tunjuk ajar kepada pelumba-pelumba lain.
“Banyak kejayaan yang dah dicapai selama ini. Saya juga merupakan antara pelumba yang sempat bersaing dengan semua generasi pelumba sepanjang 25 tahun penganjuran Cub Prix. Pengalaman itu perlu dicurahkan kepada generasi muda hari ini.” 




Akid buru gelaran ketiga di ARRC Thailand

Selepas menggenggam dua trofi peribadi di peringkat nasional dalam kariernya, Mohd Akid Aziz kini dalam misi memburu trofi berprestij ketiga apabila turun beraksi mempertahankan kedudukan pendahulu keseluruhan dalam saingan Underbone 150cc pada Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, minggu ini.

Pelumba berusia 19 tahun yang membawa cabaran UMA Racing Yamaha Maju Motor itu telah menggondol gelaran keseluruhan CP115 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS pada 2016 dan 2017 selain turut cemerlang pasukannya memenangi gelaran pasukan terbaik buat dua tahun berturut-turut di peringkat nasional dan juga antarabangsa.
 Pada aksi minggu ini, Akid bakal melengkapkan tahun sempurna buat pasukan kendalian Yong Ying Hoe seandainya berjaya menjulang gelaran juara keseluruhan kelas underbone ARRC yang kali terakhir dibawa pulang oleh pelumba negara pada tahun 2009.

Selepas lima pusingan, Akid kini hanya memerlukan enam mata kejuaraan dalam baki dua perlumbaan akhir untuk mengesahkan gelaran selaku juara keseluruhan apabila kini selesa mendahului kedudukan dengan 164 mata, 44 mata mengatasi Wahyu Aji Trilaksana di kedudukan kedua manakala rakan sepasukan Akid, Md Haziq Fairues ketiga dengan 116 mata.

“Saya sangat berbangga melihat bagaimana pasukan saya bekerja keras khususnya dalam kelas 150cc pada tahun ini. Kami cepat menyesuaikan diri dengan peraturan yang ditetapkan dan membantu kami untuk memperoleh keputusan terbaik tidak kira di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa,” jelas Akid.
 “Untuk perlumbaan minggu ini, tekanan mengejar gelaran keseluruhan tidak begitu tinggi. Saya cuma berharap semuanya akan berlangsung dengan baik seperti apa yang dirancang untuk menambah satu lagi koleksi peribadi dan juga kepada pasukan.”

Untuk rekod, sepanjang tahun 2016 dan 2017, pasukan Maju Motor telah menggondol 11 gelaran juara keseluruhan berpasukan dan individu dalam kategori perdana CP130 yang ditukar ke kategori CP150 pada tahun ini dan juga CP115 di dalam siri Kejuaraan Cub Prix selain muncul pasukan terbaik Underbone 130 2016.

Kalendar provisional Kejuaraan Cub Prix Musim 2018

Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan menyambut ulangtahun penganjuran musim ke-25 telah mengumumkan kalendar sementara perlumbaan untuk musim 2018.
Selepas memperkenalkan kategori baharu CP150 sebagai perlumbaan kelas perdana pada musim ini, tiada sebarang perubahan kategori lain dilakukan dengan Litar Tangkak, Johor akan menjadi venue pembuka musim pada 1 April diikuti negeri Melaka sebagai tuan rumah pusingan kedua pada bulan berikutnya.
Cuti rehat pertengahan musim kejuaraan bagi menyambut bulan Ramadhan dan Syawal akan berlangsung lebih awal, dan dijangka bermula 15 Mei sehingga 14 Jun 2018.

Penggal kedua kejuaraan akan bersambung di Selangor pada 1 Julai sebelum menuju ke pantai Timur untuk Pusingan 4 dan Pusingan 5 di Pahang dan Kelantan.

Bandar Penawar, Johor yang menjadi lokasi penamat musim 2017  kekal di dalam kalendar Kejuaraan Cub Prix dipilih sebagai hos pusingan ketujuh pada bulan September. Batu Kawan, Pulau Pinang muncul lokasi tunggal di Utara tanah air menjadi tuan rumah pusingan kelapan pada penghujung Oktober. 
Pusingan kedua terakhir akan berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan pada 18 November sebelum saingan musim 2018 melabuhkan tirai di Teluk Intan, Perak pada 16 Disember.

KALENDAR PERLUMBAAN 2018
Pusingan 1          31 Mac – 1 April               Tangkak, Johor                                
Pusingan 2          5 – 6 Mei                            Melaka                                             
Pusingan 3         30 Jun – 1 Julai                   Selangor                                          
Pusingan 4          20 – 21 Julai                       Temerloh, Pahang                            
Pusingan 5          3 – 4 Ogos                          Terengganu                                      
Pusingan 6          31 Ogos – 1 September       Kelantan                                         
Pusingan 7          22 – 23 September              Bdr Penawar, Johor  
Pusingan 8          27 – 28 Oktober                  Batu Kawan, P. Pinang                   
Pusingan 9          17 – 18 November              Jempol, N. Sembilan                      
Pusingan 10        15 –  16 Disember              Teluk Intan, Perak                          
(*Tertakluk kepada perubahan)

Ingin jadi pelumba? Kini masanya!

Dunia sukan permotoran negara masakini meriah dengan kejayaan beberapa pelumba negara seperti Khairul Idham Pawi, Hafizh Syahrin Abdullah, Adam Norrodin dan Zulfahmi Khairuddin di pentas antarabangsa selain yang terdahulu dari mereka seperti Shahrol yuzy Ahmad Zaini, Wazi Abd Hamid, Zamani Khairuddin dan adik beradiknya, Zamri Baba, Norizman ismail serta nama nama besar lain yang tidak sempat disenaraikan di sini.
Pencarian bakat baharu sukan permotoran sentiasa berlangsung sepanjang tahun, dan seperti lazimnya sebagai aktiviti pra-musim 2018 yang mendatang, pendaftaran untuk pemilihan pelumba bagi siri perlumbaan satu pengeluar kini dibuka menjelang pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 yang akan berlangsung di Batu Kawan Pulau Pinang pada 4 dan 5 November ini.

Siri perlumbaan satu pengeluar ini menjadi landasan penting kepada proses mengenalpasti dan membangunkan pelumba muda di Malaysia. Ini memandangkan fakta bahawa hampir kesemua pelumba Malaysia yang mencipta nama di pentas antarabangsa telah memulakan karier mereka di pentas sebegini.
Tempoh selama sebulan diperuntukkan bagi membolehkan pendaftaran bagi mereka yang berminat menyertai dunia perlumbaan dari seluruh negara. Penganjur perlumbaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia akan mengadakan sesi pemilihan dan calon calon yang terpilih akan menerima latihan daripada jurulatih dan bekas pelumba berpengalaman manakala motosikal juga akan turut disediakan oleh pihak pengeluar. Setakat ini difahamkan kedua dua pengeluar Honda dan Yamaha akan meneruskan program perlumbaan satu pengeluar seperti yang ada pada musim 2017 ini.
Bermula musim 2017, semua peserta yang terpilih untuk menyertai perlumbaan satu pengeluar diperlukan untuk membuat bayaran sebanyak RM4,000 semusim yang merangkumi yuran pendaftaran bagi 10 perlumbaan musim 2017, insurans perlumbaan dan lain-lain perkara yang berkaitan. Namun begitu, sut perlumbaan yang dibekalkan untuk kegunaan perlumbaan sepanjang musim akan menjadi milik pelumba pada penghujung musim. Oleh iu, perlumbaan kelas biasiswa ini mampu dijadikan lebih murah dan tidak memerlukan perbelanjaan yang besar bagi mereka yang ingin menceburkan diri dalam dunia perlumbaan. Pada musim lepas, pihak Yamaha juga menyediakan slot kemasukan dalam kategori Wira kepada dua pelumba terbaik musim 2017 manakala pihak Honda akan membantu tiga pelumba terbaik untuk menyertai pasukan satelit Honda.
Bagi mereka yang berminat untuk menyertai perlumbaan kategori Satu Pengeluar  Siri Super Yamaha PETRONAS, Cabaran Honda Wave Alpha dan Cabaran Yamaha NVX 155 di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, berikut merupakan sedikit garis panduan cara dan langkah-langkah awal untuk anda memulakan karier anda.
Perlumbaan Satu Pengeluar/One Make Race ialah satu kategori perlumbaan yang dianjurkan oleh pengeluar-pengeluar jentera bersama-sama dengan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.
- layari http://malaysiancubprix.com/rider-search-2018/ untuk maklumat terkini
- Setiap pelumba yang berminat perlulah mendapat kebenaran daripada ibu bapa terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menyertai perlumbaan Satu Pengeluar/One Make Race Cub Prix.
- Pendaftaran (SECARA ONLINE SAHAJA) kini mula dibuka kepada warga Malaysia di http://malaysiancubprix.com/rider-search-2018/
- Terbuka kepada warganegara Malaysia
- Pendaftaran bermula pada 1 November 2017
- Tarikh tutup pendaftaran 5 Disember 2017
- Ujian pemilihan akan diadakan pada bulan Disember 2017
- Pemohon yang terpilih akan dihubungi sendiri oleh pihak Honda dan Yamaha untuk menghadiri sesi pemilihan
- Permohonan dan ujian pemilihan bagi yang layak adalah PERCUMA
- HANYA peserta yang melepasi ujian pemilihan dan tersenarai beraksi dalam perlumbaan ‘One Make’ perlu menyediakan bayaran pendaftaran berjumlah RM4,000 (merangkumi yuran pendaftaran 10 pusingan musim 2018, insurans dan pengurusan berkaitan perlumbaan)
- Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut, sila emel ke daftar1make@twmr.com.my atau ke laman web www.malaysiancubprix.com
Ditegaskan sekali lagi bahawa pendaftaran adalah secara online sahaja jadi sebarang bentuk perhubungan lain seperti panggilan telefon ataupun pesanan mesej tidak diterima.

Akid mungkin muncul Juara Keseluruhan di Batu Kawan




Mohd Akid Aziz semakin hampir untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan dalam kategori CP115 menjelang saingan Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017. Pusingan 9 akan berlangsung di Batu Kawan, Pulau Pinang, 4 dan 5 November ini.

Juara bertahan dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu pernah menyertai kem latihan YAMAHA VR46 MASTER CAMP kali ketiga bersama Valentino Rossi pada bulan Mei lepas.

Akid kini selesa mendahului kedudukan dengan mengumpul 155 mata, 48 mata mengatasi rakan sepasukan, Mohd Haziq Mohd Fairues di kedudukan kedua dengan 107 mata. Akid perlu menamatkan perlumbaan di tempat ke-14 atau lebih baik bagi memungut minima dua mata untuk mengesahkan gelaran juara keseluruhan CP115 untuk tahun kedua berturut-turut. Cuma Haziq masih berpeluang mencabar, namun agak sukar dengan hanya baki dua pusingan sahaja lagi.
Gandingan Mohd Akid dan Mohd Haziq terlebih dahulu berjaya mempertahankan gelaran pasukan terbaik buat PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor pada musim lepas setelah perlumbaan pusingan 8 di Jempol, Negeri Sembilan berakhir. Pasukan ini turut telah mengesahkan status pasukan terbaik dalam kategori CP150 di Jempol.