Showing posts with label cubprixgen. Show all posts
Showing posts with label cubprixgen. Show all posts

Pusingan akhir Klinik Cub Prix KBS di Tangkak hari ini dan esok

 48 remaja dari seluruh negara akan bersaing di Litar Lumba Tangkak, Johor bagi merebut peluang untuk mendapatkan slot penyertaan ke siri perlumbaan satu pengeluar Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2019 pada 22 dan 23 Disember ini.
 Remaja-remaja berusia antara 13 hingga 22 tahun ini telah dipilih melalui program pencarian bakat di sebanyak 22 lokasi seluruh negara kendalian Kejuaraan Cub Prix Malaysia bersama-sama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dengan pelumba Grand Prix dunia pertama Malaysia, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini bertindak sebagai mentor program dan dibantu oleh juara Asia SuperSports 600cc dua kali, Azlan Shah Kamaruzaman.

“Dengan kerjasama bersama Kementerian Belia dan Sukan, program Klinik Cub Prix KBS ini telah menemui golongan remaja dari pelbagai lapisan masyarakat di 22 kawasan seluruh negara dan kami telah menguji sekitar 2200 peserta sebelum menyenaraikan 48 remaja terbaik termasuk yang diterbangkan dari Sabah dan Sarawak untuk ke sesi pemilihan akhir minggu ini,” jelas mentor program Klinik Cub Prix KBS, Shahrol Yuzy.
 “Daripada 48 pelumba ini, enam daripadanya akan menerima slot automatic berserta biasiswa penuh untuk beraksi dalam saingan satu pengeluar Kejuaraan Cub Prix musim 2019 nanti. Ia merupakan program pencarian bakat dan pemilihan terbesar serta paling komprehensif yang pernah dikendalikan oleh Cub Prix.”

Tambahnya, “Sambutan yang kami terima sangat menggalakkan dan remaja yang kami temui begitu teruja dan berminat dengan peluang sebegini dan saya harapkan program bersama diantara Cub Prix dan KBS ini akan diteruskan pada masa akan datang. Sukan permotoran ini merupakan sukan yang sangat khusus dan adakalanya tidak dapat dirasai oleh sebahagian mereka di luar sana. Siri Klinik ini sangat efektif dan berkesan kerana kami membawakan sukan ini dekat kepada mereka dan orang ramai dan momentum yang dibina sepanjang tahun 2018 ini perlu diteruskan.”

Hitam menawan terkini untuk Honda RS150R

Boon Siew Honda kini memperkenalkan Honda RS150R dengan peningkatan visual baharu bersama dengan pengenalan skema warna baharu untuk edisi 2018. Ia kini dirias dengan jalur sports dan reka bentuk grafik yang disegarkan bagi melengkapkan keterampilan motosikal yang berenjin cekap bahan api yang terkenal ini, sekaligus menjadikannya sebagai pilihan utama bagi penunggang berbanding pesaing lain dalam kelas yang sama.

Grafik terkini RS150R menghiasi motosikal sporty ini dengan pilihan tambahan warna baharu iaitu hitam metalik Pearl Magellanic Black. Pengenalan pilihan warna baharu ini dibuat sebagai tindak balas langsung terhadap pelanggan yang mencari warna yang lebih ramping untuk menemani daya tarikan visual motosikal mereka. Skema cat baharu ini boleh didapati bersama warna sedia ada dengan skema yang dikemas kini iaitu biru Pearl Nightfall Blue, mervh Candy Scintillate Red dan tentunya yang pilihan yang sentiasa popular iaitu warna edisi Repsol.
"Kami menyedari bahawa RS150R dipilih dan disesuaikan khusus untuk identiti pemiliknya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Keiichi Yasuda. "Oleh itu, visual warna terbaru untuk edisi 2018 Honda RS150R yang baharu perlu lebih banyak untuk melengkapkan penampilan yang agresif namun hebat," katanya kemudian.

Mula-mula dilancarkan pada 2016, RS150R merintis arah baru untuk Honda dalam kategori underbone, dengan enjin 150 cc dan disasarkan untuk segmen cub sport yang berpotensi tingi. Honda RS150R dipasang pada masa ini merupakan salah satu model motosikal terlaris di dalam barisan model Boon Siew Honda.
RS150R terus dikuasakan oleh enjin PGM-Fi yang cekap bahan api dan Euro 3, yang membolehkan penunggang mencapai tunggangan yang cekap dan berkuasa sambil mengekalkan pelepasan emisi ekzos pada tahap yang mesra alam. Pengalaman menunggang adalah kompromi yang sempurna antara ketangkasan dan keselesaan, sehingga kebanyakan penunggang, tanpa mengira usia dan jantina, tidak sepatutnya mempunyai masalah dengannya. Enjinnya didakap  bingkai berkembar dikimpal, dengan topang teleskopik di depan, yang diimbang dengan penyerap kejutan tunggal di bahagian belakang. Pencahayaan LED digunakan untuk lampu, dan tangki bahan api 4.5 liter terletak di bawah tempat duduk.
Honda RS150R ditawarkan pada harga seperti berikut:
Standard (Hitam, Biru, Merah) RM 7,999.00
Edisi Repsol RM 8,299.00

Harga yang ditunjukkan adalah harga ruang pameran yang disyorkan dengan 0% GST tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Boon Siew Honda menawarkan waranti pembuatan dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana yang lebih awal).




Siapa favorit di Cub Prix Jasin?

Persaingan sengit diantara Afif (50) Kasma (27) dan Akid (13)
Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ Racing, Ahmad Afif Amran muncul juara pusingan kedua di MAEPS, Selangor melalui pertarungan sengit bersama Mohd Akid Aziz manakala juara bertahan, Kasma Daniel Kasmayuddin menduduki tempat ketiga seterlah menang perlumbaan pusingan pertama di Tangkak, Johor.

Walaupun diletakkan antara pelumba pilihan, pendahulu CP150, Afif mengakui persaingan kelas CP150 kini semakin terbuka dan tiada pelumba favorit yang boleh dinamakan untuk memenangi perlumbaan pada pusingan ketiga Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Jasin, Melaka yang akan berlangsung mulai hari ini.
Kemenangan di MAEPS telah membantu Afif untuk naik ke kedudukan pertama keseluruhan dengan 45 mata namun diekori rapat oleh Kasma dengan 41 mata.

“Saya gembira kerana dapat memenangi perlumbaan lepas. Ia satu kemenangan yang sangat sukar. Pada masa sama, jika dilihat secara keseluruhan, persaingan tahun ini dijangkakan akan lebih sengit,” jelas Afif.

“Jika tahun lepas perhatian banyak tertumpu kepada Kasma, namun tahun ini sukar untuk membuat jangkaan. Rakan sepasukannya Akid juga perlu diberi perhatian walaupun tahun pertama dalam kelas ini. Begitu juga dengan pelumba-pelumba lain.


“Malah pelumba yang menggunakan jentera Honda juga sudah mula menunjukkan peningkatan ketara dan mempamerkan keupayaan sebenar mereka. Jadi tidak mustahil kita akan dapat melihat pemenang-pemenang yang berbeza dalam setiap pusingan,” jelas naib juara keseluruhan CP150 musim 2017 itu.

Tambahnya, “Dengan persaingan sengit seperti ini, ia memaksa kami sepasukan untuk terus bekerja keras. Saya gembira kerana rakan sepasukan, Hafiz Nor Azman dan Aiman Tahiruddin juga sama-sama berada di kelompok hadapan dan ia baik untuk kami sepasukan. Mudah-mudahan sesiapa sahaja diantara kami bertiga dapat menaiki podium pada minggu ini.”