RFID secara menyeluruh di lebuhraya PLUS mulai malam ini


 Transaksi tol menggunakan teknologi RFID diperluaskan ke laluan Juru hingga Skudai di lebuhraya tersebut mulai jam 10 malam ini, 15 Januari 2022 ini. Dengan pelaksanaan tersebut, semua 83 plaza tol di Lebuhraya Utara-Selatan menyediakan sekurang-kurangnya 1 lorong RFID untuk membolehkan pelanggan lebuhraya melengkapkan transaksi tol mereka. 

Ini bermakna, pelanggan kenderaan penumpang persendirian (Kelas 1) mempunyai lebih pilihan sama ada menggunakan kad Touch ‘n Go, SmartTAG atau RFID untuk membayar tol.

“Bermula jam 10 malam pada 15 Januari ini, pelanggan RFID Touch ‘n Go yang telahpun menggunakan kaedah tersebut untuk membayar tol di lebuhraya-lebuhraya lain sebelum ini boleh menggunakan teknologi tersebut secara menyeluruh di lebuhraya PLUS. Dengan pelaksanaan ini juga, pelanggan kenderaan penumpang persendirian (Kelas 1) lebuh raya PLUS kini boleh beralih kepada RFID untuk menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar, tanpa sentuh dan menggunakan transaksi e-Dompet,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.

Pada ketika ini, terdapat kira-kira 1.5 juta pelanggan lebuhraya yang telahpun menggunakan RFID Touch ‘n Go untuk membayar tol di kebanyakan lebuhraya lain khususnya di Lembah Klang. 

Pelekat RFID Touch ‘n Go dijual dengan harga RM35 di pusat pemasangan RFID yang sahdi seluruh negara (rujuk laman web Touch ‘n Go https://rfidregister.touchngo.com.my/fitment-centres ) dan juga secara atas talian. Pelanggan juga boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung RFID dan bagaimana ia boleh membantu mereka menikmati perjalanan lebuh raya dengan lancar di http://rfid.plus.com.my

VW Passat R-Line kini hanya RM211,916.88

 

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) hari ini melancarkan Passat R- Line baharu yang merupakan sebuah model naik taraf dengan kuasa lebih tinggi bersama ciri premium. Sekali gus meningkatkan statusnya selaku sedan saiz sederhana paling laris di dunia.

Passat R- Line baharu kini lebih berkuasa kerana enjin turbo 2.0TSI itu mampu menjana 220PS dan tork 350Nm. Enjin juga dipadankan dengan kotak gear klac basah DSG 6-kelajuan yang menawarkan pengalaman pemanduan dinamik. Pemanduan juga boleh dipersonalisasi menerusi ciri Dynamic Chassis Control (DCC).

Perincian yang halus telah ditambah pada ruang kabin untuk menjadikannya lebih mewah. Ciri paling ketara ialah sistem audio premium Harman Kardon yang terdiri daripada 12 unit pembesar suara berprestasi tinggi dan amplifier 700-watt. Ia mampu menghasilkan pengalaman audio yang mengasyikkan dalam setiap perjalanan. Kawalan pendingin hawa dengan sentuhan haptik yang ringkas dan mudah digunakan turut disediakan. 

Dipasang di Pekan, Passat R- Line baharu hadir dalam lima warna termasuklah warna perak (Scale Silver) baharu. Ia menjadi model kedua di Malaysia yang menerima logo baharu Volkswagen. 

Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter berbesar hati untuk memulakan tahun 2022 dengan melancarkan Passat R-Line baharu yang telah dipertingkatkan. “Passat dibina di atas kejayaan gabungan di antara kelas dan prestasi yang menjadikannya sedan pilihan sofistikated di pasaran antarabangsa serta tempatan. Kami telah mengekalkan ciri-ciri unik Passat R-Line dan menambah baik aspek prestasi untuk menjadikannya rakan paling ideal buat pemandu yang bijak menilai.”

CIRI-CIRI UTAMA

Enjin dan Prestasi 

Dikuasakan oleh enjin turbo 2.0TSI dan transmisi klac basah DSG 6-kelajuan yang mampu menjana 220PS dan tork 350Nm, Passat R-Line baharu menjanjikan pemanduan mengujakan buat mereka yang berani.  

Pengalaman memandu dipertingkatkan lagi dengan ciri Dynamic Chassis Control (DCC) dan Driving Mode Selection yang membolehkan pemandu mengubah suai gaya pemanduan mengikut keperluan. 

Penjimatan bahan api adalah sekitar 6.9l/100km.

Sistem bunyi

Sistem audio premium Harman Kardon 700-watt hadir dengan 12 unit pembesar suara (termasuk sebuah subwoofer) untuk menawarkan kualiti akustik yang padu dalam empat mode iaitu Pure, Chill Out, Live dan Energy.

Warna  

Pilihan untuk warna metalik ialah perak (Scale Silver), biru (Aquamarine Blue), dan kelabu (Manganese Grey); manakala warna hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White) ialah warna mutiara yang ditawarkan tanpa kos tambahan.

Harga 

Dengan pengecualian cukai jualan sekarang, Passat R-Line ditawarkan pada harga bermula RM211,916.88 . Ia juga hadir dengan penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, di samping jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.  


6 pelumba negara di FIM CEV REPSOL dan IATC Musim 2022

 

Pelumba-pelumba muda negara, Syarifuddin Azman, Danial Syahmi dan Hakim Danish sah akan beraksi di FIM CEV Repsol musim 2022 dan pusingan pertama telah dijadualkan pada 8 Mei 2022 di Circuito do Estoril, Portugal. 

Syarifuddin Azman atau lebih dikenali sebagai Damok sekali lagi akan bersaing dalam kategori FIM Moto3 Junior World Championship bersama pasukan Monlau Motorsport. Pada musim 2021, 

Damok berada di tempat ke-9 bagi kedudukan keseluruhan dan tahun 2022 merupakan tahun ke-3 Damok berlumba di kejohanan FIM CEV Repsol. 

Dengan prestasi yang membanggakan dalam kejohanan Idemitsu Asia Talent Cup (IATC) pada musim 2021, Danial Syahmi yang merupakan naib juara keseluruhan akan membuat penampilan sulung di pentas FIM Moto3 Junior World Championship bersama Honda Junior Talent Team. 

Manakala, johan edisi pertama SIC MiniGP Championship, Hakim Danish akan membuat penampilan penuh dalam kejohanan Hawkers European Talent Cup (HETC) bersama pasukan 

Monlau Motorsport. Pada tahun 2021, Danish telah membuat empat penampilan di CEV dan menunjukkan prestasi cemerlang di IATC di tempat ke-5. Ini bermakna pada musim hadapan, Danish akan berlumba di HETC dan IATC. 

Finalis FIM MiniGP World Series, Farres Putra, Emil Idzhar dan Farish Hafiy juga akan menyertai Danish di IATC. Pusingan pertama IATC akan berlangsung pada 4-6 Mac 2022 di Losail International Circuit, Qatar.

“Tahniah buat pelumba-pelumba negara yang akan beraksi di kejohanan CEV dan IATC untuk musim 2022. Cabaran pandemik Covid-19 tidak menghalang mereka untuk mempamerkan prestasi yang membanggakan pada tahun ini. Saya yakin Damok, Danial, Danish, Farres, Emil dan Farish dapat menaikkan lagi nama Malaysia di persada dunia. Terima kasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) dan pasukan SIC Racing dalam memastikan program pembangunan bakat negara diteruskan ke peringkat yang tertinggi.” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Sepang International Circuit (SIC), Azhan Shafriman Hanif. 

Zulfahmi Khairuddin, pengurus pasukan SIC Racing berkata, “Bagi musim 2022, kita mempunyai barisan pelumba yang kompetitif di CEV dan IATC. Saya juga sangat gembira kerana pihak Dorna Sports S.L telah memberi peluang kepada finalis FIM MiniGP Malaysia Series untuk ke perlumbaan IATC 2022 dengan ketiadaan sesi pemilihan pada tahun ini. Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada SIC dan KBS untuk peluang keemasan ini kepada mereka. Saya yakin pelumba kita dapat berlumba dengan lebih baik pada musim 2022 di bawah bimbingan saya dan barisan jurulatih pasukan SIC Racing”.

Jerayawara H-D PanAmerica dan Sportster S bermula Sabtu ini

*JERAYAWARA PAN AMERICA DAN SPORTSTER S AKAN TIBA KE BANDAR ANDA*

Selepas persediaan berminggu-minggu, akhirnya barisan motosikal terbaharu Harley-Davidson akan datang ke bandar anda dengan gaya baharu tidak lama lagi. Hari Terbuka di semua pengedar yang diadakan pada 30 dan 31 Oktober untuk mempamerkan Sporster S baharu.

Jerayawara atau pameran jalanan ini menawarkan peluang untuk menunggang-uji jentera kembara H-D pertama iaitu Pan America, dan juga Sporter S serba baharu. Ia merupakan sebahagian daripada strategi pemasaran H-D untuk mendekati semua peminat motosikal di seluruh negara.

Kakitangan profesional HD akan berada di sekitar anda semasa jerayawara tersebut untuk menjawab sebarang soalan anda mengenai Pan America atau Sportster S. Orang ramai dialu-alukan untuk melihat sendiri, merasa dan menunggang kedua-dua motosikal yang hangat diperkatakan ini.  

Di samping motosikal, tarikan utama lain ialah treler H-D 40-kaki yang digelapkan.  Treler 40-kaki ini akan membawa Pan America dan Sportster S mengelilingi Malaysia Barat mulai 6 Nov 2021. Treler itu juga direka sebagai bilik pameran mudah alih HD.

Hentian pertama untuk Treler H-D adalah di Genting Highlands pada 6 Nov 2021 dari 10 pagi – 5 petang di Tropicana Grandhill Gallery Genting Permai (barisan yang sama dengan Starbucks Genting yang terkenal).  Segera catat kalendar anda sekarang!

Lawati halaman media sosial H-D Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Johor Bharu untuk mengetahui lebih lanjut tentang jerayawara tersebut.  Jumpa anda di sana.  Motosikal H-D diedarkan oleh Didi Resources di Malaysia.
#harleydavidson #harleydavidsonmalaysia #didiresources #panamerica #sportsterS



PLUS aktifkan RFID laluan Hutan Kampung-Sg Dua


Mulai Ahad ini 31 Oktober 2021, sistem pembayaran tol Radio Frequency Identification (RFID) di sepanjang laluan Hutan Kampung-Sg Dua akan diaktifkan secara langsung bagi membolehkan lebih ramai pelanggan lebuh raya menikmati perjalanan yang lancar, tanpa sentuhan dan tanpa tunai, sekaligus menamatkan tempoh ujian awamnya yang dijalankan sejak Julai 2020. 

Sistem pembayaran tol RFID dengan sistem Pengecaman Automatik Nombor Pendaftaran Kenderaan (ANPR) di PLUS telah dipertingkatkan demi keselamatan dan kelancaran perjalanan yang membolehkan pelanggan melalui lorong tersebut pada kadar kelajuan 30 km/j berbanding 20 km/j di lorong SmartTAG. Di samping itu, sistem RFID di PLUS dengan ANPR dan Pusat Validasi Tol (TVC) akan meningkatkan pemprosesan pembayaran sebagai langkah pertama ke arah lebuh raya sistem tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) pada masa akan datang. Sebagai langkah menggalakkan pengalaman pembayaran tanpa tunai dan tanpa sentuh sejajar dengan norma baharu, sistem RFID juga akan memudahkan pelanggan untuk menambah nilai dan mengekalkan baki yang mencukupi melalui tambah nilai atas talian yang lebih selamat dan tambah nilai automatik melalui Touch 'n Go e-Wallet. 


“Sistem pertama seumpamanya bagi industri lebuh raya Malaysia, keunikan pengalaman RFID di PLUS terletak pada gabungan sistem ANPR dan TVC yang diperkukuhkan dengan kemampuan Artificial Intelligence dan Machine Learning yang menggunakan kamera beresolusi tinggi di kedua-dua lorong masuk dan keluar, sekaligus membolehkan semua pelanggan RFID sentiasa melalui lorong tol dengan lancar. Sistem ANPR dan TVC bersepadu ini akan dapat mengesan, menganalisis dan menyelesaikan isu pelanggan RFID secara automatik tanpa mengganggu pengalaman perjalanan pelanggan di lorong tersebut,” kata Datuk Azman Ismail, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

Datuk Azman juga mengunjurkan penggunaan RFID di laluan PLUS' Hutan Kampung – Sungai Dua, yang kini merupakan yang tertinggi di semua lebuh raya sistem tol tertutup di Malaysia akan meningkat sehingga 30% dalam masa terdekat berikutan kebenaran merentas negeri oleh Kerajaan. “Kami bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kedah dan Pulau Pinang untuk membawa RFID kepada pelanggan tempatan kami untuk menikmati pengalaman yang lancar menggunakan lorong RFID,” tambah beliau lagi.

Melalui kerjasama erat bersama Kementerian Kerja Raya (KKR) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan pihak Touch ‘n Go Sdn Bhd (TNG), PLUS juga sedang berusaha untuk memperluaskan akses kepada pembayaran tol RFID di sepanjang lebuh rayanya dari Juru ke Skudai mulai awal 2022.

PLUS menjemput semua pelanggan lebuh raya di Kedah dan Pulau Pinang untuk beralih 

kepada RFID bagi mengalami pengalaman lebuh raya yang lebih lancar. Tag TNG RFID boleh 

dibeli dengan hanya RM35, jauh lebih murah daripada harga peranti SmartTAG baharu 

dengan tanpa penggunaan bateri. Lokasi pusat pemasangan RFID yang sah, serta panduan 

langkah demi langkah RFID boleh didapati di kedua-dua laman web TNG dan TNG Digital, atau melalui aplikasi mudah alih PLUS yang boleh dimuat turun dari Google Play Store atau Apple App Store. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai RFID dan bagaimana ia boleh membantu anda menikmati perjalanan lebuh raya yang lancar, sila layari www.plus.com.my.