Piaggio Medley S150 ABS berteknologi


Pengedar Piaggio di Malaysia kini memperkenalkan Piaggio Medley S 150 ABS baharu. Medley direka untuk individu yang memerlukan skuter moden untuk perjalanan komuter. Ia dilengkapi peralatan keselamatan tinggi seperti brek dwi-cakera dengan ABS dan roda diameter besar.

Penampilan bahagian depannya menonjolkan paparan klasik skuter roda tinggi. Permukaannya lebih luas bagi meningkatkan lagi perlindungan aerodinamik dan meningkatkan keselesaan menunggang. Hendalnya dibentuk agar mampu memberikan perlindungan kepada penunggang, dan menempatkan sebuah kluster instrumen yang diperhalusi dengan bingkai kromium.
Paparan digital sedia memaparkan semua maklumat yang diperlukan, sementara susunan lengkap lampu amaran mengawasi semua fungsi, bermula dengan ciri henti dan jalan "Start & Stop" dan kemudiannya merankumi pemeriksaan sistem suntikan, tekanan minyak, penunjuk pengaktifan ABS dan pelumpuh enjin (immobilizer).

Penghadang depannya mempunyai petak simpanan luas yang dapat dicapai dengan mudah dari tempat duduk penunggang. Terdapat juga soket USB di dalam petak simpanan tersebut untuk anda mengecaj telefon atau peranti pintar anda.
Pelana yang besar dan selesa buat kedua dua penunggang dan pembonceng dibuka secara elektrik dengan menekan butang pada hendal, namun terdapat juga kunci mekanikal tradisional yang terletak di bahagian simpanan penghadang kaki pembonceng. Terdapat juga lampu siang LED yang inovatif dan menerlahkan ciri tersendiri skuter ini.

Bahagian depan skuter ini diapung dengan tupang atau fork bergaris pusat 33 mm, dan diseimbangkan dengan sepasang penyerap kejutan berpegas gegelung dengan pramuat boleh-laras 5-tahap. Roda hadapan 16" menawarkankan kestabilan, keselamatan dan keselesaan. Roda aluminium ini mempunyai reka bentuk berjejari enam yang elegan. Konfigurasi rim roda besar depan 16" dan belakang 14" yang diperbuat daripada aloi aluminium dengan enam jejari dan tayar 100/80 dan 110/80 itu menjanjikan kestabilan yang baik dan kelincahan bagi skuter seberat 132 kg (basah) ini.

Mengekalkan garis-arus praktikal, bahagian ekor mempunyai ruang yang cukup untuk menyimpan dua buah topi keledar. Ia dimungkinkan dengan rekaan bentuk ekor dan penempatan semula tangki bahan api di bawah papan pemijak kaki. Tangki bahan api berpusat di tengah ini juga membantu Medley dalam pengendaliannya memandangkan berat badan kini difokuskan kepada bahagian tengah skuter seperti banyak skuter lain terdahulu.

Sistem brek ini terdiri daripada satu cakera depan 260 mm, dengan angkup dwi-omboh terapung, disokong cakera 240 mm di belakang. ABS dwi-saluran ini adalah peralatan standard dan memastikan roda tidak terkunci di jalan licin.

Medley dikasakan enjin 150 cc i-Get yang dilengkapi dengan sistem henti dan mula "Start & Stop" (yang akan mematikan enjin di hentian lampu isyarat, dan hidup semula apabila pendikit dikilas), suntikan bahan api elektronik, empat injap dan penyejukan jenis cecair. Ia dikatakan enjin berkategori atasan dari segi prestasi dan endah alam sekitar. Ia menjana 15 hp pada 7,750 rpm manakala tork berdaya kilas 14.4 Nm pada 6,400 rpm, lebih daripada mencukupi untuk memastikan perjalanan tangkas di sekitar bandar. Enjin Piaggio Medley baharu ini menjamin jurang perkhidmatan dan penyelenggaraan yang panjang, dengan penukaran minyak dan penapis pada sela masa setiap 10,000 km dan kelegaan injap hanya perlu diselaraskan setiap 20,000 km. Penggunaan bahan api secara keseluruhan mencapai 45.9 km bagi setiap liter.

Bersempena dengan NAZA Merdeka Autofair 2017, 33 unit pertama terjual akan dibekalkan rak barangan belakang, kotak atas, pelapik rehat belakang, pelapik lantai dan perkhidmatan servis percuma selama dua tahun selain jaminan pengeluar dua tahun standard. Piaggio Medley S 150 ABS ini berharga RM17,000.00 tanpa GST.






Bollinger SUV lasak mesra alam


Kereta elektrik semakin menular penggunaannya, dan kini van elektrik telah mula digunakan di sektor logistik. Namun begitu trak elektrik dan SUV yang lebih kecil belum lagi banyak kenampakan di jalanraya dunia.

Bollinger Motors kini memperkenalkan kenderaan B1 pacuan semua-roda masa akan datang, yang mungkin memangkinkan penglibatan lebih aktif daripada pengeluar utama dalam kategori kenderaan elektrik luar-jalan. Namun, apakah pembeli kenderaan SUV mahukan sebuah kereta elektrik, atau ia nya lebih cenderung untuk pasaran khusus armada kerajaan dan penggunaan komersial? Apa pun, prototaip bolehguna B1 myata menjurus arah arah baru dalam mobiliti elektrik, dan layak diberi perhatian yang lebih serius.

Bollinger Motors lebih gemar menggelar B1 mereka ini sebagai "trak utiliti sport" (SUT) yang mempunyai "keupayaan jalan luar biasa" dan walaupun terdapat beberapa SUV dan crossovers yang boleh melakukan pemanduan luar jalan yang serius atau mempunyai beberapa ciri daya tarikan tambahan seperti pacuan semua roda, kenderaan baharu ini dibina sesuai dengan fungsinya. B1 mempunyai lojikuasa dan casis lasak, dengan badan aluminium yang ringan, dan mempunyai kelegaan tanah sebanyak 15.5 inci untuk memudahkan pengendalian di permukaan medan lasak dan kasar. Bateri dan lojikuasa semuanya ditempatkan rendah dan di antara rel casis, untuk mewujudkan pusat graviti yang rendah sambil memaksimakan ruang untuk kapasiti kargo.
 Kuasa untuk roda datang dari lojikuasa dwi-motor depan dan belakang yang mampu menjana tork 472 lb-ft, dan menghasilkan sehingga 360 hp (270 kW). berat keseluruhan trak adalah kira-kira 1769 kg dan denagn kapasiti 2,766 kg, tetapi apabila kosong, ia boleh memecut dari 0 hingga 100kmj dalam 4.5 saat dan boleh mencapai kelajuan melebihi 200 kmj. Dua pilihan bateri ditawarkan iaitu 60 kWh atau 100 kWh, masing-masing mampu menawarkan jarak perjalanan sejauh antara 192 atau 320 km, dan masa mengecaj di antara 7 jam dan 12 jam. Brek regeneratif akan turut membantu menambahkan capaian jarak, di samping menjadikannya sebuah kenderaan yang lebih mudah bergerak dan lincah di medan.

Bollinger Motors B1 juga menggabungkan pelbagai elemen sedia ada di luar jalan untuk memastikan trak ini stabil dan menawarkan daya tarikan tinggi pada semua jenis rupa bumi, dan menawarkan profil trak utiliti klasik dan dalaman bersih. Banyak ruang simpanan boleh didapati di bahagian belakang dan bonet depan (memandangkan ia nya tiada berenjin) dan ia juga mempunyai lohong atau lubang sedia terbina yang membolehkannya mengangkut papan sepanjang 8 kaki, dan bumbung keras B1 boleh ditanggalkan jika mahu. Dengan pergerakan roda sebanyak 10", ia mempunyai banyak ruang untuk menangani permukaan kasar, dan dengan empat tempat duduk.

Satu aspek lain yang sangat berguna bagi sebuah kenderaan elektrik adalah penggunaannya sebagai satusumber kuasa, dan Bollinger Motors telah menggabungkan fungsi tersebut dengan membina dua outlet elektrik 110V yang mudah diakses, serta outlet USB dan 12V, yang nyata amat berguna untuk mengecaj GoPro atau untuk menjalankan alat kuasa di tapak kerja. Untuk tugas-tugas kecil, kesan pada paras bateri B1 mungkin minima, bagaimanapun, terdapat had praktikal untuk penggunaannya sebagai pek bateri yang besar, yang mana anda perlu menguruskan penyimpanan tenaga anda dan baki perjalanan anda.

Nampaknya seolah-olah pasukan Bollinger Motors telah menghasilkan sesuatu yang menarik dan berprestasi, berdasarkan spesifikasi dan visual pada prototaip B1 yang bekerja, tetapi penentu sebenarnya kelak adalah harga, dan pada ketika ini, syarikat itu lebih gemar membisu, dan satu-satunya petunjuk yang mungkin boleh dijadikan rujukan adalah kenyataan yang dikeluarkan mereka bahawa ia nya akan mampu"bersaing dengan harga SUV yang setanding." Bollinger ingin mula menjual B1 ini menjelang akhir tahun dan diharapkan dapat memulakan pengeluaran pada akhir 2018 dan memasarkannya pada awal tahun 2019. Sementara itu, syarikat ini giat mengkaji permintaan pasaran dalam trak utiliti sport elektrik ini di laman webnya, yang akan turut memakumkanbakal pelanggan dengan berita terkini berkaitanpengeluaran. Menurut syarikat itu, pada awal tahun 2018 kelak, penempah awal itu akan dapat memesan B1 dengan bayaran pendahuluan USD$1,000.

KL TravelPass pakej perjalanan mudah lebih murah


Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dan Rail Express Link Sdn Bhd (ERL) hari ini melancarkan TravelPass KL, tiket sistem pengangkutan bersepadu yang menawarkan penyelesaian mudah bagi pelancong yang menginginkan pengalaman perjalanan yang lancar melalui rangkaian rel di Kuala Lumpur.

Dalam ucapannya, YB Dato 'Sri Hajah Nancy berkata kerjasama antara operator pengangkutan rel boleh menghasilkan produk yang unik dan inovatif yang akan menwujudkan nilai tambah kepada penawaran biasa mereka. SPAD sebagai badan yang mengawal selia dan menyelaras pengangkutan awam darat akan menyokong usaha kerjasama tersebut untuk membantu pengendali pengangkutan agar kekal mampan.

YBhg. Tan Sri Mohd Nadzmi pula dalam ucapannya berkata bahawa produk perjalanan lancar, menyenangkan dan mudah dari KLIA ke bandar Kuala Lumpur menjadikan perkhidmatan ERL sangat popular di kalangan pelancong dan sesama rakyat Malaysia. TravelPass KL dibangunkan untuk meningkatkan jumlah pelanggan dengan mensasarkan pelancong yang tiba untuk mengunjungi Kuala Lumpur, sama seperti penawaran Oyster Card di London dan Octopus Card di Hong Kong. "Ia juga akan menggalakkan kunjungan pelancong bukan sahaja di bandar tetapi juga di sekitar Lembah Klang melalui rangkaian sistem pengangkutan awam yang disediakan Prasarana," katanya.
KL TravelPass adalah kad pengangkutan bersepadu yang merangkumi pengangkutan dari lapangan terbang melalui KLIA Ekspres (samada sehala atau pergi-balik) dan perjalanan tanpa had untuk dua hari bagi semua perkhidmatan Rapid KL (LRT, MRT dan KL Monorail). pakej dengan perjalanan sehala dari/ke KLIA dikenakan  RM70 manakala RM115 untuk pakej dengan perjalanan pergi-balik, dan boleh didapati di Kaunter Tiket KLIA Ekspres di KLIA, KLIA2 dan Dewan Perlepasan KL Sentral.

Pelancong juga mempunyai pilihan untuk menambah nilai tunai kepada Kl TravelPass untuk menikmati lanjutan faedah perjalanan di bas Rapid KL dan perkhidmatan kereta api KTM Komuter. ERL merancang untuk terus meningkatkan KL TravelPass pada masa akan datang dengan memasukkan penyedia pengangkutan yang lain.
KL TravelPass ini telah dilancarkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Dato' Sri Hajah Nancy Shukri. Turut hadir pada majlis pelancaran tersebut ialah Pengerusi Eksekutif ERL, YBhg. Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Azharuddin Mat Sah; Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Rail Sdn Bhd, YBhg Dato 'Ir. Zohari Sulaiman dan Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Noormah Mohd Noor.

Kerjasama antara Prasarana dan ERL ini adalah hasil daripada Bengkel Penumpang yang baru-baru ini
dianjurkan oleh SPAD di kalangan pengusaha pengangkutan rel untuk menggalakkan orang ramai menggunakan rangkaian rel dan meningkatkan jumlah penumpang. Kerajaan berhasrat untuk mencapai 40% penggunaan pengangkutan awam oleh orang ramai menjelang 2030.

Demak Sri Lanka dan Motul jalin kerjasama

Demak Sales and Services Sri Lanka memeterai perjanjian kerjasama dengan pengeluar pelincir terkenal dunia Motul sebagai jenama pelincir yang dicadangkan untuk kegunaan semua motosikal jenama Demak yang dijual di  Sri Lanka. Demak Sri Lanka merupakan anak syarikat DNC Asiatic Holdings Sdn Bhd yang mengeluarkan motosikal Demak.

Berikutan perjanjian kerjasama itu, Transmec International (Pvt) Ltd yang merupakan pengedar sah MOTUL di Sri Lanka bersama Demak Sales and Services Sri Lanka memeterai perjanjian membekal dan menjual produk pelincir MOTUL di kesemua rangkaian pengedar Demak di seluruh Sri Lanka.
Pengurus Besar Operasi DNC Asiatic Sdn Bhd., Tan Peng Kee berkata, perjanjian kerjasama ini member peluang kedua-dua jenama ini berkembang seiring dengan teknologi dan kepakaran masing-masing.

“MOTUL merupakan sebuah jenama minyak pelincir yang terkenal di dunia dan menjadi salah satu penaja dan juga rakan pelincir rasmi untuk MOTO GP sejak dari 2014 sehingga kini, Demak amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan MOTUL,’ katanya.
Ketika ini semua model motosikal Demak dipasang di kilang Sri Lanka dengan purata jualan sebanyak 1,000 buah sebulan.

Demak Sri Lanka memiliki 134 pengedar sah dan 34 pusat mega yang menyediakan perkhidmatan alat ganti dan servis di seluruh Sri Lanka.
Menurut Peng Kee, jenama Demak begitu cepat berkembang di Sri Lanka sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan bagi memenuhi permintaan pasaran Sri Lanka DNC Asiatic Sdn Bhd telah membuka kilang pemasangan di Sri Lanka tahun lalu.

“Melalui kerjasama dengan MOTUL ini, kita akan berkongsi kerjasama teknologi bagi meningkatkan keupayaan dan kepakaran jurutera serta rangkaian pengedar di seluruh Sri Lanka,” katanya.
Tambah beliau, Demak akan mencadangkan pengunaan minyak pelincir MOTUL  sebelum dan selepas tempoh jaminan bagi mengekalkan keupayaan dan ketahanan enjin.

Redah banjir, enjin boleh retak

 Kalau menunggang meredah banjir, bolehkah enjin retak atau pecah? Persoalan ini banyak dibincangkan, dan seperti biasa banyaklah pendapat dan debat yang berkisar dengan isu ini.

Seperti lazimnya, sesuatu kerosakan itu terjadi disebabkan berbagai faktor dan penyebab yang menyumbang kepada kerosakan tersebut. Dan perlu juga disedari bahawa ada juga kerosakan yang disebabkan oleh kejadian yang berulang ulang, bagai retak menanti belah, dan kadangkala kerosakan besar akan terjadi disebabkan sesuatu yang kecil, kerana kerosakan dalaman telah lama berlaku tanpa disedari. 

Seperti kita sedia maklum, bahagian enjin dipermuat dari bahan logam. Enjin sekarang banyak diperbuat dari campuran aluminium adau keluli, tisak seperti dahulu bila enjin diperbuat dari besi tuangan (cast iron). Salah satu sebabnya adalah besi tuangan tidak tahan dengan perubahan suhu dan lebih rapuh serta berat, jika dibadingkan dengan logam moden yang digunakan masa kini.

Sekiranya anda memanaskan atau menyejukkan logam secara seragam, biasanya ia tidak mengalami kerosakan teruk atau retak. Tetapi jika anda menyejukkan hanya satu tempat atau bahagian logam panas, ia boleh menyebabkan retak atau sekurang kurangnya membengkok atau kiat. Menyejukkan hanya satu bahagian kecil logam tetapi kawasan sekitarnya masih panas mungkin akan menyebabkan keretakan. Apabila kita melakukan kerja mempateri (welding) besi tuangan, kita perlu memanaskan kawasan sekitar tempat yang ingin dipateri tersebut secara seragam untuk memanaskannya secara seragam supaya bahagian lain tidak membengkok atau retak.
Berbalik kepada persoalan asal, adakan enjin akan retak jika meredah banjir? Mengapa banyak motosikal yang melalui kawasan banjir tidak mengalami kerosakan? Bukankah motosikal telah diuji meredah air di kilang sewaktu ia direkabentuk?

Semuanya bergantung kepada keadaan. Sesetengah motosikal seperti motocross dan adventure dari awal lagi telah direka dan dibina dengan enjin yang lebih tebal dan tahan penyejukan mendadak kerana ia memang berkemungkinan akan digunakan untuk meredah air.

Namun begitu, tidak dapat kita nafikan bahawa logam yang panas jika disejukkan mendadak, akan membengkok. Bahan logam aluminium lebih anjal dan tahan bengkok dan mudah kembali ke bentuk asal. Pun begitu, harus difahami bahawa enjin diikat kepada kerangka, dan tidak bebas bergerak. Enjin yang amat panas jika disejukkan akan membengkok. Jika pemanasan dan penyejukkan terjadi secara seragam dan sekata, tentunya tiada masalah.

Tetapi jika ia nya terjadi secara mendadak, penyejukkan akan menyebabkan daya kilasan, yang'menarik' satu bahagian enjin melawan bahagian lain dan boleh menyebabkan ia retak. Retak halus mungkin tidak akan kelihatan pada masa kasar. Tetapi jika proses ini berlaku berulang kali, retak ini akan semakin membesar menunggu belah.

Dengan tak semena mena pada satu hari ketika anda menunggang di lebuhraya pada hari yang kering, mungkin pada kelajuan atau rpm tinggi, getaran enjin akan menyebabkan retak ini terbelah secara tak semena semena! Kita pun akan menjadi pelik apakah penyebabnya, walhal ia sudah lama rosak dan hanya menunggu hari untuk terbelah.

Jadi, elakkanlah meredah banjir. Jika terpaksa sangat, sejukkan dulu enjin, jangan sewaktu enjin terlalu panas. Begitu juga bila membasuh motosikal, tunggu sejuk dulu. Buat apa ambil risiko, kan.....? Dan, kalau jumpa gambar yang tersebar di media sosial tentang motosikal yang retak atau pecah enjin, jangan terus mudah percaya. Siasat dulu. Mungkin dia selalu meredah banjir atau telah mengalami perlanggaran atau hentakan teruk sebelum ini.