Hitam menawan terkini untuk Honda RS150R

Boon Siew Honda kini memperkenalkan Honda RS150R dengan peningkatan visual baharu bersama dengan pengenalan skema warna baharu untuk edisi 2018. Ia kini dirias dengan jalur sports dan reka bentuk grafik yang disegarkan bagi melengkapkan keterampilan motosikal yang berenjin cekap bahan api yang terkenal ini, sekaligus menjadikannya sebagai pilihan utama bagi penunggang berbanding pesaing lain dalam kelas yang sama.

Grafik terkini RS150R menghiasi motosikal sporty ini dengan pilihan tambahan warna baharu iaitu hitam metalik Pearl Magellanic Black. Pengenalan pilihan warna baharu ini dibuat sebagai tindak balas langsung terhadap pelanggan yang mencari warna yang lebih ramping untuk menemani daya tarikan visual motosikal mereka. Skema cat baharu ini boleh didapati bersama warna sedia ada dengan skema yang dikemas kini iaitu biru Pearl Nightfall Blue, mervh Candy Scintillate Red dan tentunya yang pilihan yang sentiasa popular iaitu warna edisi Repsol.
"Kami menyedari bahawa RS150R dipilih dan disesuaikan khusus untuk identiti pemiliknya," kata Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Keiichi Yasuda. "Oleh itu, visual warna terbaru untuk edisi 2018 Honda RS150R yang baharu perlu lebih banyak untuk melengkapkan penampilan yang agresif namun hebat," katanya kemudian.

Mula-mula dilancarkan pada 2016, RS150R merintis arah baru untuk Honda dalam kategori underbone, dengan enjin 150 cc dan disasarkan untuk segmen cub sport yang berpotensi tingi. Honda RS150R dipasang pada masa ini merupakan salah satu model motosikal terlaris di dalam barisan model Boon Siew Honda.
RS150R terus dikuasakan oleh enjin PGM-Fi yang cekap bahan api dan Euro 3, yang membolehkan penunggang mencapai tunggangan yang cekap dan berkuasa sambil mengekalkan pelepasan emisi ekzos pada tahap yang mesra alam. Pengalaman menunggang adalah kompromi yang sempurna antara ketangkasan dan keselesaan, sehingga kebanyakan penunggang, tanpa mengira usia dan jantina, tidak sepatutnya mempunyai masalah dengannya. Enjinnya didakap  bingkai berkembar dikimpal, dengan topang teleskopik di depan, yang diimbang dengan penyerap kejutan tunggal di bahagian belakang. Pencahayaan LED digunakan untuk lampu, dan tangki bahan api 4.5 liter terletak di bawah tempat duduk.
Honda RS150R ditawarkan pada harga seperti berikut:
Standard (Hitam, Biru, Merah) RM 7,999.00
Edisi Repsol RM 8,299.00

Harga yang ditunjukkan adalah harga ruang pameran yang disyorkan dengan 0% GST tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Boon Siew Honda menawarkan waranti pembuatan dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana yang lebih awal).




Akid damba podium di ARRC India

Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) turun beraksi di Litar Lumba Motor Madras, Chennai, India pada 3 hingga 5 ogos ini memberi misi baharu kepadv pelumba Underbone 150cc, Mohd Akid Aziz iaitu untuk meraih gelaran juara yang pertama pada musim ini.

Sepanjang tiga pusingan yang lepas, pelumba Uma Racing Yamaha Maju Motor Asia Team itu masih belum mengecapi gelaran juara  namun begitu telah berjaya meraih dua podium setakat ini dengan gelaran naib juara di Suzuka dan ketiga sewaktu di Australia.
 Akid yang juga merupakan juara bertahan kini berada di kedudukan keempat keseluruhan dengan 71 mata, 23 mata di belakang pendahulu, Md Helmi Azman (SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing Team).
“Rakan sepasukan, Md Haziq Fairues telah memenangi perlumbaan sewaktu di Australia, dan ini membuktikan bahawv jentera kami kekal kompetitif pada musim ini. Saya yakin yang saya juga mampu untuk menaiki podium sebagai juara pada baki tiga lagi pusingan musim ini,” jelas Akid.
Tambahnya, “Saya juga tidak begitu bimbang tentang usaha untuk mempertahankan gelaran keseluruhan kerana jurang perbezaan mata masih belum begitu jauh.
 “Paling penting saya mahu mencari kemenangan pertama terlebih dahulu di India minggu ini dan kemudian barulah saya memikirkan tentang strategi untuk mempertahankan gelaran keseluruhan.”

Raikan kemerdekaan dari GST dengan Haval Merdeka


Bersempena dengan Hari Merdeka yang mendatang dan bulan terakhir untuk 'cuti' Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sifar, Go Auto Sales Sdn Bhd, pengedar eksklusif untuk Haval SUV di Malaysia, sedang mengadakan promosi "Freedom From GST" bagi semua model Haval.

Promosi ini bermula dari sekarang hingga 31 Ogos 2018 yang menawarkan penjimatan sehingga RM6,600 yang meliputi GST sifar dan rebat dari RM500 hingga RM1,500 bagi pelanggan HAVAL yang baru dan sedia ada. Selain dari promosi semasa, Haval Malaysia juga akan menganjurkan pameran bergerak HAVAL The Curve Shopping Mall, Petaling Jaya, Selangor dari 9 - 12 Ogos sebagai sebahagian daripada Kempen Reimagine yang sedang berjalan sejak awal tahun ini.

"Sempena bulan akhir bagi para pelanggan untuk menikmati GST sifar sebelum pengenalan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Go Auto mengambil kesempatan untuk menambah lebih nilai kepada percutian cukai sedia ada dengan promosi semasa. Sebagai sebahagian daripada Hari Kemerdekaan bulan ini di mana rakyat Malaysia meraikan kemerdekaan, tema promosi kami amat sesuai kerana kami meraikan hari istimewa Malaysia. Selain itu, syarikat kami juga berharap dapat terus memberikan peluang kepada rakyat Malaysia untuk memiliki SUV pada harga yang kompetitif, "kata Pengarah Eksekutif Go Auto Group, Dato 'SM Azli SM Nasimuddin Kamal.

"Kami akan mengadakan jerayawara  atau roadshow mall kami yang berikut di The Curve minggu depan dan saya menjemput semua orang untuk melihat SUV kami dan menikmati penawaran semasa kami sebagai tambahan kepada aktiviti yang menyeronokkan yang kami sediakan. Saya yakin rangkaian SUV kami pasti dapat memenuhi keperluan pelanggan," tambah Dato 'Azli.

Perodua kekal sasar jual 209,000 unit dalam 2018


Perodua bersiap sedia untuk menghadapi pelbagai cabaran pada separuh tahun kedua 2018 (2H18) dan mengekalkan sasaran jualan sebanyak 209,000 unit menjelang akhir tahun ini walaupun angka jualan dan lepas jualan mencatat rekod baru pada separuh tahun pertama yang lepas.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh berkata syarikatnya juga turut mengekalkan sasaran pengeluarannya sebanyak 215.300 kenderaan pada tahun ini iaitu peningkatan 7.5% berbanding 200,100 kenderaan yang dikeluarkan pada tahun lepas.
Setakat ini Perodua telah menjual 117,100 kenderaan untuk 6 bulan pertama tahun ini. Ia merupakan peningkatan jualan sebanyak 17.5% berbanding 99,700 unit yang dijual dalam tempoh yang sama tahun lepas dan seterusnya mencatat rekod setengah tahun baharu buat syarikat itu. Dengan jumlah industri keseluruhan (TIV) sebanyak 289,700 unit untuk separuh pertama 2018. Perodua telah meraih sebanyak 40.4% bahagian pasaran, yang juga merupakan satu rekod setengah tahun yang baharu.
"Disebabkan peningkatan di bahagian jualan, Perodua juga telah menambah jumlah pengeluaran kenderaannya kepada 109,000 unit (antara Januari dan Jun 2018), peningkatan sebanyak 10% berbanding 99,000 unit dalam tempoh yang sama tahun lepas," kata Datuk (Dr) Aminar. Beliau berkata pembelian Perodua daripada pembekal (vendor) untuk enam bulan pertama tahun ini berjumlah RM2.28 bilion, kurang daripada RM2.33 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.
"Pengurangan tersebut adalah disebabkan penjimatan yang diperoleh daripada kadar pertukaran mata wang asing yang balk pada 1H18 walaupun jualan meningkat," ujar Datuk (Dr) Aminar. Jumlah pendaftaran sebanyak 117,100 adalah terdiri daripada 46,860 Myvi, 33,870 Axia, 23,555 Bezza dan 12,815 Alza, mengekalkan kedudukan teratas untuk kesemua empat model di dalam segmen masing-masing.
"Kami menyifatkan rekod jualan ini adalah berikutan permintaan yang tinggi buat Myvi baharu serta model kami yang lain pada suku pertama dan menjelang akhir suku tahun kedua kami menyaksikan peningkatan dalam jualan disebabkan oleh Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang berkadar sifar, "kata Datuk (Dr) Aminar. Myvi baharu terus menjadi model Perodua yang paling popular - sejak dilancarkan Novefmber 2017, dengan lebih daripada 65,000 telah berjaya didaftarkan daripada 115,000 tempahan yang dikumpulkan.

Perodua mengakhiri setengah tahun pertama 2017 (1H17) dengan 35% daripada 284,500 unit TIV. Manakala bahagian pasaran bulanan dalam separuh pertama 2018 atau 1H18 adalah 39.7% untuk Januari, 42.2% Februari, 41.5% Mac, 42.3% April, 51 % Mei dan 31% Jun. Penurunan peratusan pada bulan Jun adalah disebabkan oleh kenaikan jualan keseluruhan industri berikutan kadar sifar GST.

"Jualan kami memuncak pada bulan Mei dengan hampir 22,000 unit. Walau bagaimanapun, kami tidak mampu untuk meramalkan sama ada momentum ini akan berterusan pada suku-suku akan datang tahun ini. Walaupun perhubungan kami dengan kerajaan sudah bermula, namun kami masih belum jelas mengenai mekanisma penuh Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan dilaksanakan oleh kerajaan tidak lama lagi. "Berdasarkan ramalan, akan ada kenaikan harga kenderaan bermula dari bulan September dan seterusnya; kami menjangkakan bahawa orang ramai akan melalui tempoh penyesuaian seterusnya mengakibatkan pengurangan permintaan dalam tempoh tersebut." "Berkemungkinan impak tersebut akan berlangsung sehingga Disember 2018, walaupun pada kebiasaannya, ketika itu kebanyakan syarikat pengeluar kenderaan akan memberi tawaran yang hebat untuk mengelakkan stok dibawa ke tahun hadapan," kata Datuk (Dr) Aminar. Dari sudut tempahan, Perodua menerima lebih daripada 185,000 pesanan dalam 1H18, rangsangan 24% berbanding 1H17 dan menjadi lagi satu rekod setengah tahun. Pada bulan Jun sahaja tempahan melepasi 40,000, dan Perodua sedang bekerja lebih masa untuk memenuhi permintaan itu, kata Aminar.

"Dukacitanya, selain daripada beberapa unit Alza, kami menjangkakan semua tempahan yang dibuat bulan ini akan dipenuhi hanya bermula dari 1 September. Kami ingin memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang timbul, namun begitu kami percaya kami masih menawarkan nilai terbaik di pasaran pada masa ini," tambah Datuk (Dr) Aminar. Mengenai lepas jualan, jumlah permintaan untuk servis kenderaan di 179 pusat servis Perodua di seluruh negara menyaksikan pertumbuhan 6% daripada 1.026 juta kenderaan pada I H17 kepada 1.083 juta pada 1 H18. Pengeluaran juga naik sebanyak 10% dari 99,000 kepada 109,000 unit, sejajar dengan peningkatan dari segi permintaan.




Litar Sepang siaga lumba malam

Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah mengambil inisiatif untuk memasang lampu di sekitar litar untuk menawarkan keseronokan berlumba pada waktu malam yang merupakan pilihan menarik bagi sesetengah penggemar perlumbaan.

SIC telah memasuki era baru dalam perlumbaan di litar 5.543km yang terkenal dengan pemasangan lampu ini. Sejak dibuka pada tahun 1999, SIC telah menjadi permata sukan bermotor Malaysia kerana ia menjadi tuan rumah kepada acara-acara perdana seperti Formula 1 dan MotoGP. Kewujudan Lampu litar malam ini akan mengangkat SIC sebagai salah satu litar di dunia yang boleh menjadi tuan rumah perlumbaan malam.
Pelancaran lampu malam yang bersejarah itu disempurnakan oleh Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir bin Mohamad. YAB Tun jugalah yang telah merasmikan SIC ketika ianya dibuka dahulu, dan juga merupakan anara yang pertama mengalami pengalaman memandu kereta supercar di sekitar litar yang diterangi ini.

"Tun Dr Mahathir melancarkan SIC kembali pada tahun 1999 dan itulah permulaan pembangunan sukan motorsport Malaysia sehingga apa yang telah berlaku hari ini," kata Pengerusi SIC Tan Sri Azman Yahya.  "Selepas 19 tahun, Tun Dr Mahathir kembali menyempurnakan satu lagi peristiwa penting di litar ikonik itu. "
Tun memandu sendiri untuk merasai suasana pemanduan malam
Memandangkan SIC telah ditempah sepenuhnya pada purata 98% setahun sejak beberapa tahun kebelakangan, inisiatif untuk memasang lampu litar dua tujuan utama - pertama untuk membolehkan SIC menjual lebih banyak masa trek kerana permintaan untuk masa trek terutama pada hujung minggu sangat tinggi. Keduanya ialah untuk membolehkan lumba malam yang sangat popular di sini di Malaysia.
"Kami melihat satu-satunya peluang bagi kami untuk meningkatkan tempahan trek adalah dengan membuka trek pada waktu malam, jadi kami telah membuat keputusan untuk menjadikannya mudah dengan memasang lampu di sekitar trek," tambah Tan Sri Azman.
"Kami telah menggunapakai khidmat mereka yang mempunyai kepakaran dengan lampu litar dan mereka juga bertanggungjawab untuk memasang lampu di Litar Yas Marina di Abu Dhabi, Litar Antarabangsa Losail di Qatar, Jukasa Speedway di Kanada dan Litar Antarabangsa Bahrain antara lain. Mereka juga bertanggungjawab untuk pencahayaan di Stadium Nasional di Bukit Jalil untuk Sukan SEA KL tahun lepas. "

Sesi ujian yang telit telah dijalankan pada akhir tahun lalu untuk menentukan tahap lux yang sesuai iaitu antara 70 dan 150 lux. Tahap lux ditentukan sesuai untuk perlumbaan malam. Walau bagaimanapun, ianya tidak memenuhi keperluan Formula 1 atau MotoGP yang memerlukan tahap lux yang lebih tinggi untuk tujuan penyiaran televisyen.

Lampu litar yang dipasang terdiri daripada 64 tiang cahaya, dengan ketinggian dari 17 m hingga 43 m, dengan kuasa pencahayaan yang konsisten sebanyak 150 lux sepanjang litar. Kedudukan tiang dan lampu direka bentuk agar semua bahagian litar mempunyai keamatan pencahayaan yang sama. Ini sangat penting terutamanya bagi penunggang motosikal supaya mereka boleh menilai zon brek, puncak selekoh dan kawasan pecutan dengan baik. Reka bentuk dan lokasi tiang telah diluluskan oleh Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM) dan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).
"Saya percaya bahawa selain menggandakan masa kegunaan litar yang mampu disediakan untuk tempahan, inisiatif ini juga akan memberi pengalaman baru kepada mereka yang sudah biasa dengan litar ini ketka cahaya matahari masih ada," tambah Tan Sri Azman.

Tempahan untuk acara malam bermula dengan acara empat roda pertama pada 7 Julai 2018. Terkini, jumlah tempahan litar malam melebihi 10% sasaran awalnya. SIC meramalkan permintaan tinggi dari rakan kongsi dan pengguna kelab sedia ada yang ingin mengalami memandu dan menunggang pada waktu malam.

Inisiatif pencahayaan litar pada waktu malam ini akan terus mendorong kelestarian perniagaan SIC dan membuka dimensi baru untuk pengalaman pemanduan litar.