Perodua labur RM7 juta untuk pusatkan pengeluaran bahagian model terdahulu

Perodua kini telah memusatkan pengeluaran alat ganti untuk model terdahulunya. Bagi memenuhi tujuan tersebut, syarikat pengeluar kereta tempatan tersohor tersebut telah melancarkan sebuah mesin tempa press stamping baharu di premis pembekalnya IQM Sdn Bhd di sini hari ini.
Mesin tempa hidraulik 1,600-tan metrik itu akan menghasilkan komponen badan kenderaan seperti penutup enjin, panel luar sisi, panel suku belakang, fender, pintu dan bumbung untuk model Perodua terdahulu seperti Myvi generasi pertama, Viva, Kelisa dan juga Kancil. Perodua melaburkan RM7 juta bagi mesin tersebut, termasuk pengangkutan dan pemasangannya di IQM.
Perodua juga telah memindahkan semua acuan tempa (stamping dies) yang diperlukan untuk menghasilkan alat ganti model terdahulu ke IQM. Ini membebaskan ruang di dalam kilang Perodua, meringkaskan proses keseluruhan, menjimatkan kos dan masa, serta memudahkan pemantauan dan pengurusan di bawah satu bumbung. Perodua juga berkongsi kemahiran dan pengetahuan dengan IQM berkenaan pengeluaran alat ganti model terdahulu.
Langkah ini merupakan salah satu inisiatif Perodua bersama dengan para pembekalnya untuk mengembangkan perniagaan dan keupayaan mereka ke arah menjadi pembekal automotif bertaraf dunia.

"Perodua membuat keputusan untuk memusatkan pengeluaran alat ganti model terdahulu di IQM berdasarkan empat teras. Pertamanya, kami ingin terus menyokong para pemilik model-model terdahulu kami dengan alat ganti yang berkualiti, pantas dan berpatutan menerusi perniagaan Badan & Cat kami. Kerana selagi anda memiliki kenderaan Perodua — biar lama mahupun baharu — sentiasa di sisi anda akan kami berada," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato' Zainal Abidin Ahmad.
"Kedua, kami komited untuk membangunkan semua 135 pembekal kami di Malaysia, bukan sahaja melalui perniagaan kami dengan mereka tetapi menerusi perkongsian kemahiran dan teknologi. Tiga, langkah ini mewakili komitmen kami kepada negara dan ekonominya dengan peningkatan daya saing ekosistem automotif Malaysia.
"Akhir sekali, ia melambangkan komitmen Perodua untuk terus meningkatkan kualiti dan kecekapannya ke arah menjadi sebuah syarikat yang lebih baik, maju dan mampan," tambah Zainal.
Sejak 1994, Perodua telah menjual lebih 3.7 juta kenderaan di Malaysia. Kini, lebih kurang satu pertiga daripada keseluruhan permintaan untuk alat ganti Perodua adalah untuk model-model terdahulu.

Kandungan tempatan dalam kenderaan keluaran mereka kini melebihi 90% bagi seluruh barisan modelnya. Perodua merupakan pembeli komponen automotif terbesar di Malaysia, membelanjakan RM4.5 bilion setakat tahun ini daripada RM5.4 bilion yang diperuntukkan untuk keseluruhan 2019.
IQM menjadi pembekal Perodua sejak 2002 dan ia kini membekalkan komponen logam teracu, pemasangan badan dan tiub brek kepada Perodua. IQM mula menghasilkan alat ganti Viva apabila pengeluaran model tersebut berakhir pada 2014, dan pada tahun lepas ia mula menghasilkan alat ganti Myvi generasi kedua di barisan pengeluaran khas yang baharu.


No comments: