Perodua Aruz dibuka untuk tempahan, bermula RM72,200

Perodua Aruz, kini dibuka untuk tempahan dengan anggaran harga antara RM72,200 dan RM77,200 (harga atas jalan tanpa insurans di Semenanjung Malaysia). Kenderaan Sport Utiliti (SUV) tiga-barisan tujuh-tempat duduk ini merupakan model transformasi keempat mereka yang menandakan piawaian baharu dari sudut kualiti, ruang, kecekapan bahan api dan keselamatan yang diperakui dengan penarafan keselamatan 5-bintang oleh ASEAN NCAP.

Perodua Aruz ini ditawarkan dengan dua varian iaitu 1.5 X dan 1.5 Advance, dengan lima warna iaitu putih Ivory White, perak Glittering Silver, biru Electric Blue, kelabu Granite Grey dan warna baharu, hijau Amazon Green.

"Dengan pelbagai aspek yang dipertingkatkan, Perodua Aruz adalah antara SUV yang menawarkan nilai terbaik di Malaysia," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato' Zainal Abidin Ahmad, sambil menambah bahawa kenderaan tersebut dilengkapi dengan waranti lima tahun/150,000 km (yang mana terdahulu).

"Perodua Aruz dijangka melengkapkan barisan produk kami yang sedia ada dan berdasarkan pakej produk yang ditawarkan, kami mensasarkan jualan purata bulanan sebanyak 2,500 unit atau 31,200 unit untuk tahun 2019," tambah Dato' Zainal.

Penarafan 5-bintang ASEAN NCAP bagi model baharu ini dicapai melalui penampilan ciri-ciri keselamatan seperti Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula-Daki (HSA), ISOFIX dan enam beg udara. Semua ciri-ciri tersebut terdapat pada semua varian.

Tambahan lagi, varian Advance menampilkan sistem bantuan pemanduan selamat (ASA) yang telah dipertingkatkan, dipanggil ASA 2.0.
 
Ciri-ciri baharu ASA 2.0 adalah pengesan pejalan kaki sehingga kelajuan pemanduan 50 km/j dan Amaran Pra-Pelanggaran dengan kelajuan operasi yang ditingkatkan sehingga 100 km/j dan 80 km/j untuk sistem Brek Pra-Pelanggaran. Sistem keselamatan ini juga menggabungkan Amaran Pergerakan Kenderaan Hadapan (Front Departure Alert) dan Kawalan Kesilapan Menekan Pedal (Pedal Misoperation Control).

ASA adalah sistem bantuan pemanduan yang membantu mengurangkan risiko pelanggaran dan bukan gantian kepada pemanduan selamat. Sentiasa waspada dan berhati-hati ketika memandu.
"Perodua Aruz amat sesuai untuk keluarga dan mereka yang mempunyai gaya hidup yang aktif dan beraspirasi. Posisi tempat duduk yang tinggi memberikan penglihatan yang baik ketika memandu, manakala ruang yang luas dan susunan tempat duduk yang fleksibel menjadikan model ini serba boleh dan boleh disesuaikan dengan apa-apa aktiviti yang anda ingin lakukan," kata Dato' Zainal.

Trenkuasa yang cekap untuk Perodua Aruz dibina di Sendayan, Negeri Sembilan, terdiri daripada enjin empat silinder 1.5 liter blok aluminium dengan Dual VVT-i dan transmisi automatik yang dikawal secara elektronik (E-AT).

Ianya digabungkan dengan Sistem Melahu Eko (Eco Idle) untuk memberi kecekapan bahan api sehingga 15.6 km/l dan membolehkan ia diiktiraf oleh kerajaan sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Memaparkan lampu depan LED dengan fungsi Follow-Me-Home (lampu auto pada varian Advance), Perodua Aruz juga diggayakan dengan rim aloi dwi-tona berukuran 17-inci, dengan ketinggian 220 mm dari aras tanah.

Akses Pintar dengan Butang Mula/Henti Enjin adalah standard untuk semua varian, manakala untuk varian Advance, lampu kabus dan rel bumbung ditambah untuk memberikan gaya yang lebih kepada varian tersebut.

Bahagian dalaman menyerlahkan lagi fungsi, gaya dan praktikal, di mana model ini turut dilengkapi dengan cangkuk anti-ragut untuk menghalang kecurian dan cangkuk utiliti di bahagian belakang kerusi.

Semua varian dilengkapi radio skrin sesentuh dengan paparan kamera undur, penghawa dingin digital dengan dua tetapan memori, corong penyaman udara untuk penumpang belakang dan alat pembaca kad tol terbina dalam.

Barisan tempat duduk kedua dibahagi 60:40, manakala barisan ketiga 50:50. Kedua-dua barisan tempat duduk ini boleh dilaras, dilipat dan digolek, menghasilkan banyak ruang dan konfigurasi untuk memenuhi setiap acara dan gaya hidup. Terdapat port pengecasan untuk ketiga-tiga barisan tempat duduk.

Bahagian dalaman untuk varian Advance adalah lebih eksklusif dengan kemasan kerusi kulit, stereng yang dibalut kulit dengan kawalan terima panggilan, serta perakam video memandu bersepadu. Varian teratas juga turut dilengkapi dengan HDMI, Smart Link, Bluetooth dan navigasi yang mana ditambah ke dalam sistem skrin sesentuh.

"Untuk maklumat lanjut mengenai Perodua Aruz, kami amat mengalu-alukan orang ramai untuk berkunjung dan bercakap dengan penasihat jualan kami yang sah di mana-mana cawangan jualan kami di seluruh negara.

"Perodua Aruz akan muncul di bilik pameran tidak lama lagi. Jangan tunggu lagi, tempah sekarang untuk menganjakkan gaya hidup anda untuk tahun baharu 2019!” kata Dato' Zainal.





Harga petrol RON97, RON95 dan diesel dikekalkan buat beberapa hari ini

Kerajaan Persekutuan berhasrat melaksanakan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat selaras dengan penurunan harga petroleum di pasaran dunia.

Walau bagaimanapun, dengan mengambil kira pandangan semua pihak yang terlibat, Kerajaan juga perlu mengkaji permintaan Petroleum Dealers Association of Malaysia (PDAM) yang menentang penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan. PDAM juga telah meminta agar diteliti semula kadar Margin Pengusaha Stesen Minyak yang merupakan salah satu komponen di bawah formula Automatic Pricing Mechanism (APM), yang pada masa ini digunakan untuk menetapkan harga runcit produk petroleum.

Sehubungan itu, pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri yang akan bermesyuarat pada 2 Januari 2019, dan dipengerusikan oleh YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, akan diperolehi ke atas permintaan PDAM dan juga memastikan penetapan harga runcit produk petroleum yang paling optimum. YAB Perdana Menteri juga akan bertemu dengan PDAM dalam masa terdekat.
Oleh demikian, harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel masing-masing adalah dikekalkan buat masa beberapa hari ini, pada paras RM2.50 seliter bagi RON97, RM2.20 seliter bagi RON95 dan RM2.18 seliter bagi diesel. Penetapan harga runcit produk petroleum terkini akan dibuat sebelum akhir minggu pertama tahun baru 2019.

Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk melaksanakan dasar penstabilan harga runcit dan pada masa yang sama melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat. Ini bermakna apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna memperolehi manfaat penurunan harga minyak dengan segera. Namun apabila harga pasaran dunia naik, demi melindungi pengguna daripada mengalami impak kenaikan harga, harga runcit produk petroleum akan dikekalkan pada paras tidak melebihi RM2.20 seliter dan RM2.18 seliter bagi petrol RON95 dan diesel melalui pemberian subsidi. Pengekalan harga pada paras ini dikekalkan sehingga pelaksanaan subsidi petrol RON95 secara bersasar pada pertengahan tahun 2019, sebelum harga runcit produk petroleum diapungkan mengikut harga pasaran.
Sayangi Malaysiaku!

Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Kementerian Kewangan Malaysia
Putrajaya
31 Disember 2018

Honda Rebel dan Honda X-ADV 2019 berbaju baharu

Honda X-ADV merah Grand Prix



Boon Siew Honda menyambut tahun baharu 2019 dengan penawaran skema warna yang lebih menarik untuk Honda Rebel dan Honda X-ADV.

Honda Rebel mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2017 dan telah menjadi pilihan penunggang yang menaik taraf ke jentera kruiser yang lebih baik. Berenjin kembar selari 471 cc sejukan cecair, ia menyediakan respons pendikit yang lancar dan linear, sepadan dengan gaya bobber tulen.
Matte Axis Grey
Kedudukan penunggangannya yang rendah menjanjikan pengalaman menunggang yang amat santai dan tidak meletihkan. Keselesaan ini tercapai melalui penggunaan lengan ayun keluli tiub kembar dengan penyerap kejutan Showa yang mempunyai tetapan prebanan dua peringkat.
Hitam Graphite
Honda Rebel kini didatangkan dalam dua pilihan warna berbeza iaitu kelabu legap metalik Matte Axis Grey dan Pearl Cadet Grey beserta skema warna yang sedia ada terutamanya hitam Graphite Black dan merah Millennium Red. Skema warna baru ini akan tersedia mulai sekarang di semua pengedar Honda Big Wing Dealers.
Merah Milleneum
Pearl Cadet Grey

Merah Grand Prix
 Honda X-ADV yang malar popular juga akan menerima kemas kini warna baharu untuk tahun 2019. Ia kini menampilkan warna baru metalik perak legap Moonstone Silver Metallic sebagai tambahan kepada merah Grand Prix Red dan perak legap Bullet sedia ada.
Metalik perak legap Moonstone Silver Metallic
 Tambahan warna baharu ini melengkapkan gaya lasak yang canggih namun unik bagi menyerlahkan penampilan Honda X-ADV yang sedia tersendiri. Skuter pengembaraan ini terus menggunapakai roda hadapan keluli tahan karat 17 inci yang mampu menangani keadaan jalan bergagai, penghadang angin hadapan yang boleh diselaraskan secara manual, serta sistem kunci Honda SMART yang menawarkan kemudahan menunggang. Ini adalah beberapa ciri yang boleh didapati secara eksklusif pada Honda X-ADV. Honda X-ADV skema warna baharu ini juga boleh didapati di peniaga Honda Big Wing bermula dari sekarang.
Perak legap Bullet


Harga asas adalah seperti berikut:
Honda Rebel : RM 32,399.00
Honda X-ADV (Warna Standard): RM 63,299.00
Honda X-ADV  (merah Grand Prix): RM 65,499.00

Benelli tawarkan varian Edisi Terhad RFS150iLE



Benelli kini menawarkan satu lagi varian menarik bagi model RFS 150i mereka. Model Edisi Terhad atau Limited Edition (LE) ini ditampilkan dengan grafik baru edisi terhad, dan hanya 5000 unit sahaja yang ditawarkan ke dalam pasaran.

Warna motosikal ini diinspirasikan dari bendera Itali yang merupakan negara asal Benelli, dan dihias dengan grafik menarik. Ianya juga dilengkapi tuil brek dan klac boleh-laras. Jentera ini dilengkapi dengan monoshock Kayaba dengan spring berhias warna kuning.
Setiap unit model ini akan mempunyai nombor siri unik edisi terhad yang akan dipaparkan pada motosikal tersebut. Setiap pembeli Benelli RFS150iLE juga akan diberi sijil khas yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Teknikal Benelli Itali, Mr. Marco Bellucci.

Di samping itu, pembelian model RFS150iLE ini juga turut melayakkan pemiliknya untuk menyertai satu cabutan bertuah yang menawarkan tiga helai jaket denim Benelli keluaran khas sebagai hadiah. Tak cukup dengan itu, 500 pembeli pertama turut juga menerima sehelai jersi Benelli RFS150iLE rekaan khas yang menarik untuk dipadankan dengan motosikal baharu mereka.

Pemilik hanya perlu mengisi borang pendaftaran pembelian mereka secara dalam talian (online) untuk mendapatkan jersi keluaran khas tersebut setelah selesai urusan pendaftaran dengan Jabatan Pengangkutan Jalan. Tawaran jersi ini sah bagi setiap pemilik yang mendaftarkan mana mana varian
model RFS150i mulai 24/12/2018 hingga 03/02/2019.

Para pemenang bertuah akan diumumkan di laman Facebook rasmi Benelli Malaysia, jadi pastikan anda sukakan dan mengikuti (LIKE dan FOLLOW) FB tersebut untuk sentiasa menerima maklumat mutakhir.

 Model RFS 150i ini merupakan model ‘moped’; kapcai spesifikasi perlumbaan pertama Benelli dengan sentuhan lagenda kejuruteraan mereka dan gaya perlumbaan Itali.

RFS bermaksud ‘Riders For Speed’ bermula dengan enjin, dimana teknologi moden sejukan cecair sejuk untuk ketahanan, suhu operasi enjin yang rendah dan kuasa maksimum. Enjin 149cc RFS ini menampilkan reka bentuk injap SOHC dengan teknologi Benelli B3SP yang serba baharu iaitu dengan tiga palam pencucuh untuk kuasa maksimum dan pengeluaran gas emisi yang rendah. Transmisi 6-kelajuan dan suapan bahan api suntikan elektronik menjadikan enjin RFS lebih efektif bagi menghasilkan 15.5 kuasa kuda pada 8500 rpm.
 Sistem B3SP Benelli '3-Spark' yang baharu ini adalah sebab utama enjin RFS 150i begitu fleksibel. Ia menggabungkan penggunaan ketiga – tiga palam pencucuh bersama-sama dengan sistem ECU motosikal dan suapan suntikan bahan api, untuk mengubah suai pemasaan enjin dan penggunaan plug  untuk memaksimumkan kuasa, menjadikan enjin ini beroperasi pada bersuhu rendah, mengoptimumkan kecekapan bahan api, dan mengurangkan pelepasan gas emisi ekzos.

Casis dan kerangka utama dengan reka bentuk dengan panel kerangka yang aerodinamik dan dilengkapi dengan panel badan berbekalkan kerangka yang kukuh menyokong lengan ayun belakang  jenis ‘monoshock’ dan ‘fork’ hadapan yang sama seperti motorsikal lumba yang kita tonton di televisyen. Rim bersaiz 17 inci jenis separa aloi memberi cengkaman tayar yang baik dan ia dibekalkan brek cakera jenis lumba untuk kuasa hentian yang meyakinkan.


Tempat duduk yang berkonsepkan ‘sporty’ membolehkan anda dan pembonceng bersiar-siar bersama dan pemegang bar belakang juga disediakan untuk keselamatan pembonceng.

Kluster meter LCD yang berinformasi memberi berbagai maklumat enjin dan juga kelajuan kepada penunggang. Cermin sisi yang jelas dan pada kedudukan yang tepat membolekan penunggang melihat keadaan jalanraya di belakang, manakala lampu utamanya yang berkonsepkan LED berteknologi tinggi menyuluh terus ke hadapan untuk menerangi jalan.

Sentuhan rekabentuk aerodinamiknya membantu ‘Riders For Speed’ membelah angin dengan mudah, dan juga melindungi penunggang daripada keadaan cuaca buruk. Semua ini merupakan hasil rekabentuk lagenda Itali dan kejuruteraan Benelli, sebuah syarikat yang mempunyai kepakaran melebihi 100 tahun.


Harga Benelli RFS150iLE ini hanyalah RM 7,488.00 tanpa cukai jalan dan insurans. Sila kunjungi ruang pameran di semua pengedar sah Benelli di Malaysia untuk maklumat lanjut. Anda juga boleh melayari  http://bit.ly/benelli-rfs150i-mtr

Spesifikasi RFS 150i

Enjin dan Transmisi
Isipadu(cc)
149.8
Jenis Enjin
157FMJ-3
Mod Enjin
1-Silinder / 4 – Lejang /4 –Injap / SOHC
Gerek x Lejang (mm)
ø57x58.7
Kuasa Maksimum
11.3kW/8500 r/min
Tork Maksimum
13.0N.m/7000 r/min
Nisbah Mampatan
11.3:1
Sistem Bahan Api
EFI
Pencucuh
TLI
Penghidup
Elektrik
Sistem Pelincir
Tekanan Pelincir Pancutan
Sistem Penyejuk
Water-cooled
Kotak Gear
6 - Kelajuan
Transmisi Pacuan Akhir
Rantai
Jenis Klac
Basah, Plat Berganda
Ukuran Fizikal
Berat (kg)
126
Tinggi Pelana(mm)
787
Panjang Keseluruhan (mm)
2021
Lebar Keseluruhan (mm)
764
Tinggi Keseluruhan (mm)
1267
Kelegaan Bumi (mm)
160
Tapak Roda (mm)
1325
Casis dan Dimensi
Jenis Kerangka
Straddle type
Suspensi Hadapan
Fork Teleskopik
Jarak Suspensi Hadapan (mm)
88
Suspensi Belakang
Teleskopik gegelung spring Kayaba teredam minyak
Jarak Suspensi Belakang (mm)
17
Tayar Hadapan
70/90-17
Tayar Belakang
120/70-17
Brek Hadapan
Cakera
Diameter Brek Hadapan (mm)
240
Brek Belakang
Cakera
Diameter Brek Belakang (mm)
220
Spesifikasi Lain

Berat Keseluruhan (kg)
171
Isi Tangki Bahan Api (L)
4.8
Batteri
12V6Ah(YTX7L-BS)

Ottimo VIZ110 diperkenal

 Sebuah syarikat pengeluar motosikal terbaharu iaitu Ottimo Technologies Sdn. Bhd. telah melancarkan motosikal pertama mereka secara rasmi. Pengenalan Ottimo VIZ110 telah disempurnakan di Jerai Regency Resort minggu lepas. Ottimo mensasarkan untuk menjual sebanyak 300 unit motosikal kapcai ini setiap bulan.
Pengarah Urusan OTTIMO Technologies Sdn. Bhd. Encik Daniel Lim berkata permintaan terhadap motosikal mampu milik bergaya trendi masih kukuh walaupun segmen moped berkapasiti yang lebih tinggi telah menyaksikan pertumbuhan yang ketara. "Kami berusaha memberi pengguna motosikal mampu milik dengan enjin empat lejang berkuasa 110cc  yang mematuhi piawaian EURO3 , dengan penjimatan bahan api serta digabungkan dengan rekabentuk yang menarik, segar dengan penampilan lebih trendi serta mesra pengguna", katanya.
VIZ110 dengan reka bentuk seiring trend bergaya masa kini dikuasakan oleh enjin empat lejang 110cc satu silinder, SOHC, sejukan  udara yang mampu mencapai 5.0 kW pada 7,500 rpm. Ciri-ciri lain termasuklah   lampu isyarat LED, pengecas USB, paparan meter kelajuan yang jelas, dan sistem pencahayaan yang mematuhi piawaian ECE. VIZ110 juga didatangkn dengan penghidup elektrik dan rim aloi yang dilengkapi dengan brek cakera hadapan untuk cengkaman yang lebih efisien.

OTTIMO Technologies Sdn. Bhd. mensasarkan untuk menjual 300 unit VIZ110 sebulan dalam tahun pertama operasi dengan memberi tumpuan awal kepada wilayah utara Semenanjung Malaysia sahaja terlebih dahulu untuk memastikan para pelanggan mendapatkan khidmat lepas jualan dan bekalan alat ganti yang terbaik di samping aktiviti pemasaran yang berterusan kepada pengguna.
Ottimo mempunyai pasukan dengan pengalaman lebih daripada 20 tahun dalam reka bentuk, pembuatan, jualan dan pemasaran motosikal. "Kami merancang untuk memperkenalkan lebih banyak produk pada masa akan datang dengan pendekatan yang tepat pada masanya dan berstruktur untuk meningkatkan portfolio kami secara beransur-ansur untuk memperluas asas pelanggan kami dan penembusan pasaran, " tambah Ketua Pegawai Eksekutif Ottimo Technologies Sdn. Bhd Encik Chong Kian Boon.

VIZ110 didatangkan dengan dua varian warna iaitu Syinta Merah dan Syantik Blue dengan konsep dua tona. Syarikat itu juga akan membuka pusat 3S di bandar Sungai Petani pada Februari 2019  bagi memastikan pelanggan OTTIMO mendapatkan perkhidmatan selepas jualan terbaik, selain memiliki kilang dan pusat alat ganti di Gurun, Kedah.