Ottimo VIZ110 diperkenal

 Sebuah syarikat pengeluar motosikal terbaharu iaitu Ottimo Technologies Sdn. Bhd. telah melancarkan motosikal pertama mereka secara rasmi. Pengenalan Ottimo VIZ110 telah disempurnakan di Jerai Regency Resort minggu lepas. Ottimo mensasarkan untuk menjual sebanyak 300 unit motosikal kapcai ini setiap bulan.
Pengarah Urusan OTTIMO Technologies Sdn. Bhd. Encik Daniel Lim berkata permintaan terhadap motosikal mampu milik bergaya trendi masih kukuh walaupun segmen moped berkapasiti yang lebih tinggi telah menyaksikan pertumbuhan yang ketara. "Kami berusaha memberi pengguna motosikal mampu milik dengan enjin empat lejang berkuasa 110cc  yang mematuhi piawaian EURO3 , dengan penjimatan bahan api serta digabungkan dengan rekabentuk yang menarik, segar dengan penampilan lebih trendi serta mesra pengguna", katanya.
VIZ110 dengan reka bentuk seiring trend bergaya masa kini dikuasakan oleh enjin empat lejang 110cc satu silinder, SOHC, sejukan  udara yang mampu mencapai 5.0 kW pada 7,500 rpm. Ciri-ciri lain termasuklah   lampu isyarat LED, pengecas USB, paparan meter kelajuan yang jelas, dan sistem pencahayaan yang mematuhi piawaian ECE. VIZ110 juga didatangkn dengan penghidup elektrik dan rim aloi yang dilengkapi dengan brek cakera hadapan untuk cengkaman yang lebih efisien.

OTTIMO Technologies Sdn. Bhd. mensasarkan untuk menjual 300 unit VIZ110 sebulan dalam tahun pertama operasi dengan memberi tumpuan awal kepada wilayah utara Semenanjung Malaysia sahaja terlebih dahulu untuk memastikan para pelanggan mendapatkan khidmat lepas jualan dan bekalan alat ganti yang terbaik di samping aktiviti pemasaran yang berterusan kepada pengguna.
Ottimo mempunyai pasukan dengan pengalaman lebih daripada 20 tahun dalam reka bentuk, pembuatan, jualan dan pemasaran motosikal. "Kami merancang untuk memperkenalkan lebih banyak produk pada masa akan datang dengan pendekatan yang tepat pada masanya dan berstruktur untuk meningkatkan portfolio kami secara beransur-ansur untuk memperluas asas pelanggan kami dan penembusan pasaran, " tambah Ketua Pegawai Eksekutif Ottimo Technologies Sdn. Bhd Encik Chong Kian Boon.

VIZ110 didatangkan dengan dua varian warna iaitu Syinta Merah dan Syantik Blue dengan konsep dua tona. Syarikat itu juga akan membuka pusat 3S di bandar Sungai Petani pada Februari 2019  bagi memastikan pelanggan OTTIMO mendapatkan perkhidmatan selepas jualan terbaik, selain memiliki kilang dan pusat alat ganti di Gurun, Kedah.

No comments: