Goh Brothers Motorcycles kini servis jentera MV Agusta

Pemilik MV Agusta kini mampu menarik nafas lega dengan wujudnya kerjasama di antara MV Agusta (MV) Motor SpA dan Goh Brothers Motorcycles Sdn Bhd (GBMC) untuk menyediakan sokongan selepas jualan bagi penyelenggaraan perkhidmatan, pembaikan dan jaminan untuk semua motosikal MV di Malaysia.

Cawangan pertama yang bersedia menerima pemilik MV adalah di Bengkel GBMC di hab motosikal The Gasket Alley di Petaling Jaya.

"Kami berbesar hati kerana dipilih sebagai rakan kongsi bagi jenama motosikal premium premium terkenal ini di Malaysia dan untuk memulakan proses pembangunan jenama dan peningkatan pengalaman pemilikan selepas jualan. Kami telah menghantar pasukan kami untuk menjalani latihan di kilang Itali dan memastikan peralatan dan kelengkapan yang betul siap di pusat servis kami," ujar Pengerusi Goh Brothers Motorcycles, Goh Kian Sin.
 Pengurus Negara Timur Jauh MV Agusta Motor SpA, Judah Sangaran berkata "Kami bekerjasama rapat dengan GBMC untuk mengekalkan dan membina keyakinan para pemilik semasa kepada jenama kami di Malaysia dan salah satu usaha sekarang adalah untuk memastikan ketersediaan alatganti secara lebih cepat dan perkhidmatan yang boleh dipercayai bagi semua pemilik MV Agusta sedia ada di Malaysia.
Model MV Agusta yang dijual di Malaysia termasuk F3 800, F4, F4RR, Brutale 1090, Brutale 1090RR, Brutale 1090 Corse, Brutale 800, Brutale 800RR, Brutale Dragster, Brutale Dragster 800RR, Rivale, Turismo Veloce, Stradale, dan MV Agusta hingga 2015.

Mercedes-Benz Star Mobile servis bergerak untuk pelanggan Cycle & Carriage

Cycle & Carriage Bintang Berhad ("Cycle & Carriage") telah melancarkan perkhidmatan Mercedes-Benz Star Mobile yang direka untuk memberikan kemudahan dan perkhidmatan penyelenggaraan yang mudah untuk kenderaan Mercedes-Benz mereka. Perkhidmatan ini termasuk perkhidmatan penyelenggaraan berjadual, penggantian bilah pengelap hujan, bateri utama atau penggantian alat kawalan inframerah dan penggantian bateri terus ke pintu pelanggan, tanpa perlu memandu ke pusat servis.
Pertama di Malaysia, perkhidmatan baru ini menawarkan perkhidmatan terbaik dalam kelas pelanggan dengan masa tunggu minimum, dengan mudah di depan pintu mereka.

Mercedes-Benz Star Mobile ini didatangkan kepada pelanggan dalam kenderaan Mercedes-Benz Vito. Cycle & Carriage merupakan perintis untuk melancarkan khidmat Mercedes-Benz Star Mobile dan ianya kini tersedia untuk pelanggan Cycle & Carriage di Lembah Klang. Bersempena pelancaran Mercedes-Benz Star Mobile, Cycle & Carriage kini mengetepikan yuran perkhidmatan untuk tiga bulan pertama.



Perodua Myvi juarai segmen Aras Mula di Anugerah Malaysia Car of the Year


Perodua Myvi telah diumumkan sebagai pemenang dalam segmen Aras Mula (Entry-Level) di majlis Anugerah Malaysia Car of the Year (MCOTY) 2018 yang diadakan di Saujana Hotel Kuala Lumpur pada malam Selasa yang lalu.

Dianjurkan oleh Institut Automotif Malaysia (MAI), acara tersebut turut dihadiri oleh Perdana Menteri YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, YABhg Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, YB Datuk Ignatius Darell Leiking dan Ketua Pegawai Eksekutif MAI, Dato’ Madani Sahari.
“Sejak dilancarkan pada November 2017, hampir 85,000 unit Perodua Myvi generasi ketiga telah dijual di Malaysia, daripada 138,000 tempahan setakat ini,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, YBhg Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh, yang naik ke pentas untuk menerima anugerah bagi pihak Perodua.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia di atas kepercayaan dan sokongan mereka terhadap Myvi kami.

“Kami gembira dan dalam masa yang sama berasa rendah diri kerana kami telah berjaya menambat hati rakyat Malaysia dengan menawarkan sebuah kereta yang disukai dan memenuhi keperluan mereka. Kami akan mengambil ini sebagai motivasi untuk kami berkhidmat dengan lebih baik lagi,” tambah Datuk (Dr) Aminar.

Populariti Myvi dapat dilihat semasa di Pameran Motor Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (KLIMS18), di mana Myvi GT, kereta rekaan yang sporty, telah berjaya menarik perhatian ramai.

“Reaksi positif pengunjung terhadap Myvi GT menjadi satu kejutan buat kami. Jadi sekiranya anda terlepas peluang untuk melihatnya di KLIMS18, kami memberi satu lagi peluang untuk melihatnya di pameran International Automodified Kuala Lumpur (IAMKL) yang julung kali berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hujung minggu ini dari 8hb hingga 9hb Disember!” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, YBhg Dato’ Dr Zahari Husin.

Anugerah tahun lalu menyaksikan kemenangan Perodua Bezza dan Perodua Myvi masing-masing di bawah kategori Bawah-RM50,000 dan RM50,001-RM60,000 manakala Dato' Dr Zahari Husin telah dinobatkan sebagai Automotive Man of the Year.

Di Anugerah MCOTY 2016, Perodua Bezza memenangi kategori Aras Mula (Entry-Level), Pilihan Ramai (People's Choice) dan Reka Bentuk Paling Signifikan (Most Significant Design Achievement).

Empat pelumba teratas CP150 uji jentera Yamaha R6

Empat pelumba teratas CP150 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS diberikan peluang untuk menguji jentera Yamaha R6 ketika sesi ujian tayar rasmi Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand yang berakhir semalam.
Kasma Danial Kasmayuddin bersama-sama juara CP150 2018, Ahmad Afif Amran, Mohd Hafiz Nor Azman dan Mohd Akid Aziz masing-masing turun ke litar dan bersaing untuk tampil dengan aksi terbaik bagi mengisi dua slot pasukan Hong Leong Yamaha Malaysia ke kategori SuperSports 600cc ARRC untuk musim 2019.
Kelebihan beraksi musim penuh kelas 600cc musim ini memberi kelebihan kepada Kasma apabila muncul pelumba terpantas diantara keempat-empat pelumba dengan catatan 1’40.011s namun ketinggalan kepada pelumba terpantas sepanjang dua hari sesi ujian, Peerapong Boonlert yang mencatat masa terpantas 1’38.834s.
Mohd Hafiz yang sebelum ini berpengalaman menunggang jentera Honda pula mempamerkan prestasi memberangsangkan meskipun pertama kali menguji jentera R6 apabila mencatat masa kedua terpantas di belakang Kasma dengan masa terbaik 1’40.614s.
“Ini merupakan aksi pertama saya menggunakan jentera R6, jadi tumpuan utama saya bukanlah untuk mendapatkan masa terbaik sebaliknya menggunakan peluang ini untuk mendapatkan lebih masa dan keserasian dengan jentera,” jelas Hafiz yang melakukan 92 pusingan sepanjang dua hari sesi ujian.
Ahmad Afif yang pernah beraksi dalam kelas 600cc pada tahun 2015 sebelum beraksi dalam kelas Asia Production 250cc ketiga terpantas dengan masa 1’41.453s manakala juara Underbone 150cc dan CP115 2017, Md Akid Aziz dilihat masih belum mendapatkan keserasian bersama jentera dengan catatan terbaik 1’42.986s.


Perodua sumbangkan 50 Myvi kepada Bomba dan IPT

Perodua akan menyumbang 50 buah Myvi kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Perak serta 25 institusi pengajian tinggi di seluruh negara untuk kegunaan mereka dalam latihan dan penyelidikan, menjadikan ia antara penyerahan kenderaan terbesar yang pernah dilaksanakan oleh syarikat tersebut.

Kami menyumbang tujuh buah Myvi generasi terbaharu dan 43 buah Myvi generasi sebelumnya kepada organisasi-organisasi ini dengan harapan ia dapat dimanfaatkan di dalam penyelidikan, latihan dan pembelajaran mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

Datuk (Dr) Aminar menyerahkan kenderaan-kenderaan tersebut secara simbolik kepada wakil-wakil organisasi masing-masing dengan disaksikan oleh Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr Zahari Husin, di satu majlis yang diadakan di ibu pejabat Perodua di Sungai Choh semalam.

25 institusi pendidikan tinggi tersebut merangkumi universiti serta institusi vokasional, teknikal, latihan industri dan kemahiran belia.

Sebagai syarikat People First, Perodua gigih memperkasakan golongan belia melalui pendidikan, kerana merekalah bakal pemimpin Malaysia dan peneraju masa hadapan industri automotif tempatan.

Inisiatif-inisiatif pendidikan kami termasuk Perodua Eco Challenge dan Perodua Youth Training Programme (PYTP). PYTP merupakan program Tanggungjawab Korporat yang paling lama telah kami laksanakan, menghasilkan lebih 630 graduan sejak 1999,” kata Datuk (Dr) Aminar.

Awal tahun ini, Perodua telah mengadakan majlis konvokesyen untuk 141 belia yang dilatih dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran, melayakkan mereka untuk menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) berdasarkan kecekapan teknikal and vokasional.

Lebih 70% daripada mereka akan berkhidmat di pusat servis dan fasiliti Badan & Cat (Body & Paint) Perodua di seluruh negara.

Dengan lebih sejuta unit dijual sejak kelahirannya pada tahun 2005, Myvi merupakan model kenderaan terlaris di Malaysia selama 13 tahun berturut-turut.

Justeru itu, Myvi sangat sesuai untuk tujuan penyelidikan dan latihan tempatan kerana ia adalah model yang paling dekat mewakili kenderaan di Malaysia,” kata Datuk (Dr) Aminar.

Baru-baru ini, Perodua Myvi telah memenangi segmen Aras Mula (Entry-Level) di Anugerah Malaysia Car of the Year (MCOTY) 2018, anjuran Malaysia Automotive Institute (MAI).