Showing posts with label menunggang. Show all posts
Showing posts with label menunggang. Show all posts

Gaya menunggang mana yang betul?

 Salah satu ciri menunggang yang penting dan sering ditumpukan adalah keinginan untuk menyempurnakan kedudukan badan. Keinginan ini bermaksud membuat penyesuaian kedudukan badan yang berlainan dari kedudukan yang selesa bagi seseorang penunggang itu, hanya kerana komen seseorang, atau kerana melihat apa yang orang lain buat.
Seringkali dalam mengusahakan "gaya" ini, kadangkala tiga  ciri utama dalam menunggang telah dilupakan, iaitu kebolehan menimbal-balik sudut sendeng, pegangan hendal yang relaks dan keselesaan menunggang. Tiga perkara ini jauh lebih penting untuk mendapatkan tunggangan yang baik, dan anda tidak perlu mengubah apa-apa melainkan anda menghadapi satu satu masalah khusus.
Apabila anda mencapai tahap ini, anda hanya perlu menunggang dengan 'gaya' anda sendiri, dan jika anda menonton perlumbaan motosikal anda akan tahu bahawa setiap pelumba dalam perlumbaan mempunyai gaya mereka yang tersendiri juga.
Mereka mungkin nampak sama, tetapi ada perbezaan yang boleh dilihat.

Jika anda memerhatikan gaya mereka betul betul, mungkin anda dapat menilai kedudukan badan yang 'sempurna', ataupun mungkin nampak bagaimana pelumba paling TIDAK  melakukan gaya atau kedudukan menunggang yang anda anggap betul.

Namun begitu harus juga disedari bahawa dalam persekitaran dunia nyata dengan kesesakan trafik dan kenderaan yang datang dari arah depan, gaya mereka ini mungkin tidak realistik atau selamat. Apa yang lebih utama ialah bagaimana penunggang dapat mencapai hasil yang mereka perlukan dalal masa atau keadaan tertentu, dan kedudukan badan yang sedikit berubah tidak akan menjejaskan tunggangan anda.


Foto: Shazli Shamsuddin

Wanita kini sudah boleh menunggang motosikal di Arab Saudi

Selama ini wanita Saudi boleh tengok sahaja motosikal yang diminati
Jualan motosikal di negara Arab Saudi dijangka naik mendadak menjelang 2018, dan tentunya akan menarik perhatian pengeluar motosikal sedunia, terutama sekali pasaran motosikal kecil, dan juga skuter. Ini berikutan persetujuan  Kerajaan Arab Saudi untuk membenarkan wanita untuk menunggang motosikal. Ini berikutan pemansuhan Undang-Undang yang melarang wanita dari memandu tanpa disertai dengan kehadiran seorang lelaki.

Undang-undang ini telah menghalang wanita dari memandu kenderaan di Arab Saudi selama beberapa dekad. Pada mulanya wanita hanya boleh memandu kereta dengan kehadiran orang lelaki dewasa di sebelah, tetapi kini mereka juga boleh menunggang kenderaan beroda dua setelah berumur 18 tahun.

Wanita-wanita yang mempunyai lesen memandu antarabangsa kini boleh menunggang di Arab Saudi tanpa perlu melalui mana-mana sekolah memandu. Dan, Kerajaan telah memberi jaminan bahawa tiada lagi diskriminasi atau gangguan terhadap pemandu wanita akan diamalkan, setelah ia berkuatkuasa dari bulan Jun 2018 kelak.
atau menunggang secara rahsia di padang pasir....

Tips menunggang di musim hujan

Musim tengkujuh kini tiba lagi dan di bawah ialah antara tip yang anda boleh gunakan sekiranya anda terpaksa meredah banjir dengan motosikal anda. Tips sedikit sebanyak yang kami berikan ini bertujuan untuk membantu mengatasi masalah menunggang motosikal semasa banjir dan hujan.

Selain itu, selalulah memeriksa sambungan peralatan elektrik motosikal anda agar berada dalam keadaan kalis air, dan jangan lupa untuk sentiasa memeriksa keadaan bunga tayar agar memperoleh cengkaman yang diperlukan ketika melalui keadaan jalan basah.

1. Dalam kes hujan amat lebat dan banjir yang teruk, tentunya anda tidak sepatutnya menunggang sama sekali kerana kerana air banjir boleh merosakkan peralatan elektrik motosikal anda yang menyebabkan motosikal anda rosak atau mogok. Dalam kes sebegini, pilihlah laluan yang lain atau menunggu sementara sehingga air mulai surut.

2. Pakai baju hujan yang sesuai dan tidak terlalu besar bagi mengelakkan ianya tersangkut pada bahagian bergerak motosikal anda.

3. Pastikan anda menggunakan kasut! Selain menyalahi undang undang jika menunggang tidak berkasut, ia amat penting untuk melindungi kaki anda terutama sekali ketika menunggang dalam keadaan jalan licin. Kasut boleh dibeli, tetapi kaki yang luka parah belum tentu pulih semula seperti sediakala.

4. Gunakan sarung tangan getah mencuci pinggan untuk melindungi sarung tangan kulit anda. Cari yang bersaiz besar. Ianya amat murah, dan memberikan cengkaman yang diperlukan selain kekal kering.

5. Visor helmet yang jelas mampu membantu penglihatan, tetapi tidak yang berkabus. Jika anda tidak mempunyai visor anti kabus, semburkan dengan semburan bahan anti kabus yang ada dijual. Tahukah anda bahawa dalah keadaan memerlukan terutama di waktu malam, sapuan air liur di bahagian dalam visor boleh mengelakkannya dari berkabus?

6. Sapukan gris atau getah penebat (sealant) di kepala palam pencucuh (plug) untuk mengelakkan air menerap masuk. Ini bertujuan untuk mengelakkan terminal palam pencucuh daripada menjadi basah, yang boleh menjadikan motosikal anda sukar untuk dihidupkan.

7. Kawal kelajuan motosikal anda, jangan terlalu laju ketika menyeberang kawasan banjir yang agak dalam kerana ia boleh menjadi sangat berbahaya. Melanggar air dengan laju boleh menyebabkan anda hilang kawalan disebabkan oleh rintangan air. Jangan lupa untuk menggunakan brek untuk membantu menyelaraskan dan mengimbangkan kelajuan motor.

8. Cuci motosikal dengan air bersih, kerana air hujan mengandung asid yang boleh menyebabkan karat pada besi dan memudarkan warna badan motor anda. Bilas dan bersihkan brek, kerana air hujan juga membuat brek kotor dan tidak berfungsi secara optimum.

9. Pastikan anda melincirkan rantai motosikal anda secara tetap, sekurang-kurangnya seminggu sekali bertujuan untuk melindungi rantai daripada hakisan agar rantai kekal dinamik, jadi ia menjadi lebih tahan lama.

10. Sentiasa pastikan kesemua lampu anda berada dalam keadaan baik agar anda sentiasa kelihatan pada pengguna jalanraya yang lain, terutama sekali di waktu hujan.

Jika anda telah terkesan dengan bencana tersebut beberapa syarikat ada menawarkan bantuan. Berikut adalah pautan artikel yang pernah kami siarkan sebelum ini:


http://www.motorev.com.my/2017/11/boon-siew-honda-bantu-pemilik-terjejas.html

http://www.motorev.com.my/2017/11/m-force-endah-mangsa-banjir.html




Gear mana yang tepat?

Antara cabaran yang dihadapi oleh penunggang adalah tugas memilih gear yang tepat dan dalam julat RPM bersesuaian untuk satu satu selekoh tertentu atau siri selekoh jika berada di litar lumba.

Hal ini jarang dititikberatkan kerana seringkali dilihat seperti sesuatu yang cukup mudah dilakukan, tetapi pada banyak sudut perkara menjadi lebih rumit.

Mari kita bincangkan beberapa pertimbangan apabila mengkaji pendekatan penilaian satu satu selekoh tertentu, agar ia akan membantu anda mencapai kestabilan sepanjang proses membelok, dan juga menjimatkan masa jika anda sedang berlumba di litar.

Ramai yang mungkin mengetahui bahawa ketika menunggang anda mahu mengekalkan enjin beroperasi dalam julat rpm yang menghasilkan kuasa maksima, lebih lebih lagi ketika berlumba.

Ia juga bermaksud bahawa anda harus memilih gear yang tepat untuk kemasukan selekoh supaya apabila kita mula keluar dari selekoh tersebut, motosikal anda akan memecut jauh lebih baik.

Walau bagaimanapun, penunggang seringkali membuat kesilapan memikirkan bahawa enjin perlu menjerit setiap masa. Ini tidak seharusnya berlaku. Semuanya banyak bergantung kepada pendekatan awal anda, mengkaji jika pendekatan itu betul, dan kemudian menyesuaikannya dengan wajar, jika perlu.

Berikut adalah beberapa perkara yang dapat membantu anda mendekati pendekatan yang ideal.

Jenis Selekoh
Agak jelas bahawa ia akan menjadi salah satu faktor penentu terbesar.

Satu selekoh yang panjang yang memerlukan anda menyendeng untuk jangka masa yang panjang akan memerlukan anda untuk membiarkan motosikal melajak buat seketika di pertengahan selekoh. Oleh itu, anda tidak semestinya mahu masuk ke dalam selekoh tersebut dalam rpm yang hampir maksima, hanya perlu bersedia menaikkan gear semasa anda melintasi puncak selekoh atau apeks.

Sebaliknya, jika selekoh pendek yang membolehkan anda untuk membelok pantas, cantas selekoh tersebut dan tegakkan jentera anda secepat mungkin agar anda boleh memecut keluar seberapa cepat.

Kebanyakan penunggang akan dapat mencari gear yang sesuai untuk selekoh biasa, tetapi selekoh yang lebih panjang yang diikuti dengan yang pendek atau siri beberapa selekoh akan menguji kemampuan anda.

Menaikkan gear dan mengekalkan kestabilan kestabilan
Selekoh panjang dan santai mungkin tidak akan memberi kesan banyak kepada kestabilan jentera anda sewaktu menaikan atau menurunkan gear. Tetapi satu siri selekoh yang rumit pendek selepas lurusan panjang mungkin akan menyebabkan anda hilang kawalan terhadap kestabilan motosikal. Dalam kes begini anda perlu menentukan bila hendak menukar gear dan mengekalkan kestabilan dalam waktu yang sama, terutama sekali jika anda perlu melibas motosikal ada dari kiri ke kanan.

Cuba lakukan cubaan lambatkan sedikit menukar gear, maknanya  ubah ketika atau tempat di mana anda menukar gear alam satu satu selekoh itu. Apa pun, tumpukan perhatian kepada perkara yang paling penting iaitu ketika keluar! Pastikan anda tidak berada dalam gear yang terlalu rendah ketika keluar supaya anda tidak ketinggalan dan membazirkan saat saat penting terutamanya ketika berlumba di litar. 

Jenis enjin motosikal
Cara motosikal anda bertindak balas kepada kilasan pendikit juga memainkan peranan yang besar. Perbezaan utama di antara jenis enjin adalah karekter enjin dan corak hantaran kuasanya.

Umum mengetahui bahawa enjin kembar mempunyai tork atau daya kilas yang datang lebih awal dan lebih banyak tork yang dihasilkan pada rpm yang lebih rendah. Penyampaian kuasa daripada enjin empat selinder sebaris adalah jauh lebih agresif, dan sifat responsif dan pantas enjin jenis ini bermakna ia memerlukan penunggang agar lebih berhati-hati dengan aksi tangan kanan mereka yang akan menjadi lebih sukar apabila enjin bergerak ke arah revolusi atau pusingan enjin lebih tinggi.

Enjin kembar mempunyai agihan kuasa yang lebih luas, lebih terkawal dan lebih rata, dan kuasanya lebih mudah disampaikan ke jalan atau litar. Ini memberi penunggang keupayaan untuk mendapatkan tenaga tujahan yang lebih keras dan lebih awal, yang memberikan kelebihan ketika keluar dari selekoh. Maknanya dari segi pemilihan gear, enjin kembar dalam gear tinggi pun lebih mudah mencapai daya yang diperlukan, jadi penunggang boleh mengekalkan gear yang lebih tinggi melalui selekoh dan ke lurusan berikutnya.

Bagi enjin empat selinder sebaris baris ia nya tidak begitu mudah, jadi pilihan gear adalah agak terhad berbanding enjin kembar kerana lebih mudah untuk kehilangan kuasa.


Kurang alih gear yang lebih baik

Pernyataan di atas harus difahami dengan mendalam. Tentunya menunggang keseluruhan litar dalam satu gear tidak akan mencapai apa-apa. Apa yang dimaksudkan adalah, secara idealnya anda ingin mengurangkan bilangan peralihan yang anda perlu buat namun masih memaksimakan kebanyakan kuasa enjin. Dengan membuat pengurangan peralihan gear anda akan akhirnya menunggang lebih lancar, dan seterusnya lebih cepat. Jangan terlalu amalkan bahawa lebih banyak peralihan gear akan memastikan enjin kekal dalam rpm tinggi sepanjang masa. Enjin dalam rpm tinggi dan menjerit sepanjang masa tidak  bermakna masa pusingan anda akan lebih cepat. Adakah anda benar-benar perlu menurunkan gear ketika memasuki selekoh di hadapan hanya supaya anda boleh mempunyai pecutan kecil ketika keluar sebelum menaikkan gear semula? Mungkin tidak. Inilah yang anda perlu nilaikan.

Kesimpulan
Pertimbangkan apakah kelebihan motosikal anda dan bagaimana anda dapat menggunakannya dengan sebaik-baiknya. Juga pertimbangkan bagaimana sesuatu yang mungkin dirasakan tidak wajar (contohnya memilih gear yang lebih tinggi) sebenarnya boleh membawa hasil yang lebih baik (pecutan yang lancar dan terurus).

Harus disedari bahawa sentiasa ada kompromi yang perlu dilakukan, dan akan sentiasa ada situasi atau bahagian litar di mana motosikal anda seperti tersasar di luar rpm optimum.

Tiada penunggang yang sempurna, dan penunggang yang berbekalkan tetapan atau setup jentera sebaik mana pun masih perlu membuat kompromi. Natijahnya ia merupakan aksi mengimbangi antara kuasa dan kestabilan untuk mendapatkan tunggangan paling selamat dan menyeronokkan di jalan raya, atau masa paling baik di litar.