Showing posts with label gear. Show all posts
Showing posts with label gear. Show all posts

Gear mana yang tepat?

Antara cabaran yang dihadapi oleh penunggang adalah tugas memilih gear yang tepat dan dalam julat RPM bersesuaian untuk satu satu selekoh tertentu atau siri selekoh jika berada di litar lumba.

Hal ini jarang dititikberatkan kerana seringkali dilihat seperti sesuatu yang cukup mudah dilakukan, tetapi pada banyak sudut perkara menjadi lebih rumit.

Mari kita bincangkan beberapa pertimbangan apabila mengkaji pendekatan penilaian satu satu selekoh tertentu, agar ia akan membantu anda mencapai kestabilan sepanjang proses membelok, dan juga menjimatkan masa jika anda sedang berlumba di litar.

Ramai yang mungkin mengetahui bahawa ketika menunggang anda mahu mengekalkan enjin beroperasi dalam julat rpm yang menghasilkan kuasa maksima, lebih lebih lagi ketika berlumba.

Ia juga bermaksud bahawa anda harus memilih gear yang tepat untuk kemasukan selekoh supaya apabila kita mula keluar dari selekoh tersebut, motosikal anda akan memecut jauh lebih baik.

Walau bagaimanapun, penunggang seringkali membuat kesilapan memikirkan bahawa enjin perlu menjerit setiap masa. Ini tidak seharusnya berlaku. Semuanya banyak bergantung kepada pendekatan awal anda, mengkaji jika pendekatan itu betul, dan kemudian menyesuaikannya dengan wajar, jika perlu.

Berikut adalah beberapa perkara yang dapat membantu anda mendekati pendekatan yang ideal.

Jenis Selekoh
Agak jelas bahawa ia akan menjadi salah satu faktor penentu terbesar.

Satu selekoh yang panjang yang memerlukan anda menyendeng untuk jangka masa yang panjang akan memerlukan anda untuk membiarkan motosikal melajak buat seketika di pertengahan selekoh. Oleh itu, anda tidak semestinya mahu masuk ke dalam selekoh tersebut dalam rpm yang hampir maksima, hanya perlu bersedia menaikkan gear semasa anda melintasi puncak selekoh atau apeks.

Sebaliknya, jika selekoh pendek yang membolehkan anda untuk membelok pantas, cantas selekoh tersebut dan tegakkan jentera anda secepat mungkin agar anda boleh memecut keluar seberapa cepat.

Kebanyakan penunggang akan dapat mencari gear yang sesuai untuk selekoh biasa, tetapi selekoh yang lebih panjang yang diikuti dengan yang pendek atau siri beberapa selekoh akan menguji kemampuan anda.

Menaikkan gear dan mengekalkan kestabilan kestabilan
Selekoh panjang dan santai mungkin tidak akan memberi kesan banyak kepada kestabilan jentera anda sewaktu menaikan atau menurunkan gear. Tetapi satu siri selekoh yang rumit pendek selepas lurusan panjang mungkin akan menyebabkan anda hilang kawalan terhadap kestabilan motosikal. Dalam kes begini anda perlu menentukan bila hendak menukar gear dan mengekalkan kestabilan dalam waktu yang sama, terutama sekali jika anda perlu melibas motosikal ada dari kiri ke kanan.

Cuba lakukan cubaan lambatkan sedikit menukar gear, maknanya  ubah ketika atau tempat di mana anda menukar gear alam satu satu selekoh itu. Apa pun, tumpukan perhatian kepada perkara yang paling penting iaitu ketika keluar! Pastikan anda tidak berada dalam gear yang terlalu rendah ketika keluar supaya anda tidak ketinggalan dan membazirkan saat saat penting terutamanya ketika berlumba di litar. 

Jenis enjin motosikal
Cara motosikal anda bertindak balas kepada kilasan pendikit juga memainkan peranan yang besar. Perbezaan utama di antara jenis enjin adalah karekter enjin dan corak hantaran kuasanya.

Umum mengetahui bahawa enjin kembar mempunyai tork atau daya kilas yang datang lebih awal dan lebih banyak tork yang dihasilkan pada rpm yang lebih rendah. Penyampaian kuasa daripada enjin empat selinder sebaris adalah jauh lebih agresif, dan sifat responsif dan pantas enjin jenis ini bermakna ia memerlukan penunggang agar lebih berhati-hati dengan aksi tangan kanan mereka yang akan menjadi lebih sukar apabila enjin bergerak ke arah revolusi atau pusingan enjin lebih tinggi.

Enjin kembar mempunyai agihan kuasa yang lebih luas, lebih terkawal dan lebih rata, dan kuasanya lebih mudah disampaikan ke jalan atau litar. Ini memberi penunggang keupayaan untuk mendapatkan tenaga tujahan yang lebih keras dan lebih awal, yang memberikan kelebihan ketika keluar dari selekoh. Maknanya dari segi pemilihan gear, enjin kembar dalam gear tinggi pun lebih mudah mencapai daya yang diperlukan, jadi penunggang boleh mengekalkan gear yang lebih tinggi melalui selekoh dan ke lurusan berikutnya.

Bagi enjin empat selinder sebaris baris ia nya tidak begitu mudah, jadi pilihan gear adalah agak terhad berbanding enjin kembar kerana lebih mudah untuk kehilangan kuasa.


Kurang alih gear yang lebih baik

Pernyataan di atas harus difahami dengan mendalam. Tentunya menunggang keseluruhan litar dalam satu gear tidak akan mencapai apa-apa. Apa yang dimaksudkan adalah, secara idealnya anda ingin mengurangkan bilangan peralihan yang anda perlu buat namun masih memaksimakan kebanyakan kuasa enjin. Dengan membuat pengurangan peralihan gear anda akan akhirnya menunggang lebih lancar, dan seterusnya lebih cepat. Jangan terlalu amalkan bahawa lebih banyak peralihan gear akan memastikan enjin kekal dalam rpm tinggi sepanjang masa. Enjin dalam rpm tinggi dan menjerit sepanjang masa tidak  bermakna masa pusingan anda akan lebih cepat. Adakah anda benar-benar perlu menurunkan gear ketika memasuki selekoh di hadapan hanya supaya anda boleh mempunyai pecutan kecil ketika keluar sebelum menaikkan gear semula? Mungkin tidak. Inilah yang anda perlu nilaikan.

Kesimpulan
Pertimbangkan apakah kelebihan motosikal anda dan bagaimana anda dapat menggunakannya dengan sebaik-baiknya. Juga pertimbangkan bagaimana sesuatu yang mungkin dirasakan tidak wajar (contohnya memilih gear yang lebih tinggi) sebenarnya boleh membawa hasil yang lebih baik (pecutan yang lancar dan terurus).

Harus disedari bahawa sentiasa ada kompromi yang perlu dilakukan, dan akan sentiasa ada situasi atau bahagian litar di mana motosikal anda seperti tersasar di luar rpm optimum.

Tiada penunggang yang sempurna, dan penunggang yang berbekalkan tetapan atau setup jentera sebaik mana pun masih perlu membuat kompromi. Natijahnya ia merupakan aksi mengimbangi antara kuasa dan kestabilan untuk mendapatkan tunggangan paling selamat dan menyeronokkan di jalan raya, atau masa paling baik di litar.



Tekno-MotoRev: Pandai tukar gear tanpa guna klac?

Bagi yang belum pernah mencuba teknik ini, ia mungkin sesuatu yang dirasakan sukar atau boleh merosakkan kotak gear. Namun ia sebenarnya agak mudah tetapi kurang digunakan oleh penunggang. paling tidak, ia harus dipelajari agar anda tidak akan tersadai di tepi jalanraya jika kabel klac anda putus atau klac hidraulik anda mengalami kebocoran.
Tukaran gear tanpa klac adalah teknik yang tidak digunakan pelumba muda atau penunggang baharu. Mngkin kerana sudah terbiasa menunggang menggunakan klac teutamanya jika banyak menunggang dalam bandar, atau penunggang yang merasakan mereka meningkatkan potensi untuk kerosakan gear, transmisi atau penghantaran, atau mungkin juga mereka hanya menganggap ia nya tidak perlu.

Walau apa pun, kemahiran menunggang ini adalah agak mudah dipelajari dan mungkin juga salah satu kemahiran yang paling diabaikan oleh pelumba yang baru menceburkan diri di litar lumba.

Ia adalah satu teknik yang telah digunakan selama bertahun-tahun, dan telah digunakan oleh penunggang veteran dalam Grand Prix 500 seperti Eddie Lawson dan Wayne Gardner dahulu. Ketika itu peralatan elektronik yang membuat peralihan gear seperti yang terdapat hari ini (quickshifter) masih belum lagi wujud.

Selain amat memuaskan hati apabila mampu melakukannya dengan betul, ada beberapa manfaat yang sebenar untuk menggunakan teknik tukaran gear tanpa klac. Ia nya bukan sekadar menjimatkan masa psingan lap anda, malah akan memberikan kelebihan dalam perlumbaan apabila berjaya mendapat gear yang betul pada masa yang tepat.

Apabila anda menyendeng di sisi motosikal ketika menangani selekoh, tangan kiri dan lengan anda tidak selalu berada dalam kedudukan terbaik untuk membolehkan anda mengendalikan klac dengan mudah. Peralihan gear tanpa klac ketika keadaan sebegini akan membebaskan dari keperluan mmikirkan terlalu banyak perkara, dan anda kini mampu memberi perhatian kepada perkara lain yang lebh penting tanpa perlu koordinasi menarik klac, memasukkan gear dan melepaskan klac.

Ia juga kurang mengganggu keadaan dan posisi motosikal, dan ia nya begitu lancar dan memastikan  bahawa segala-galanya tetap lancar dan kemas, walaupun ketika menukar gear. Penukaran gear dengan klac dan kembali pada kedudukan pendikit semula tentunya akan memberi kesan ke atas kestabilan motosikal jika tidak dilakukan dengan lancar.

Peralihan gear tanpa klac di jalan lurus tidaklah benar-benar menjadi masalah, tetapi ketika menyendeng di selekoh kita tentunya tidak ingin mengalami masalah kestabilan jentera.

Jadi bagaimana harus kita melakukan peralihan atau penukaran gear tanpa klac ini?

Untuk memudahkan pemahaman, bayangkan anda sedang menunggang di lurusan sambil memerhatikan jarum rpm di meter ataupun yang lebih baik lagi, cuma perlu mendengar derumannya dengan telinga, bagi menentukan tahap rpm yang anda inginkan sebelum mengalih atau menukar gear.


Langkah 1 - apabila jentera anda menghampiri tahap rpm yang anda inginkan, kenakan sedikit tekanan kepada tuil gear anda. Ketika ini walaupun di tekan, gear tidak akan masuk, tekan sedikit keras tetapi tak perlu memaksa. Kekalkan tekanan ini.

Langkah 2 - Apabila rpm jentera anda mencapai tahap yang anda ingnkan, lepaskan atau kurangkan/tutup pendikit sedikit, dan kemudiannya kilas semula kembali ke kedudukan pendikit sebelumnya. PENTING: Anda tidak perlu melepaskan atau menutup pendikit sehingga habis, hanya cukup sekadar melepaskan bebanan pusingan enjin pada gear penghantaran.

Pada ketika anda menutup pendikit ini, tuil gear ayang anda tekan tadi akan memasukkan gear dengan sendirinya! Itu sahaja!

Tekanan yang cukup pada tuil gear yang telah anda buat itu sudah cukup untuk mengalihkan gear saat anda melepaskan pendikit, dan akan membolehkan gear seterusnya untuk masuk sebelum anda mengilas pendikit kembali.

Setelah berjaya mengalihkan gear, alihkan tekanan dari tuil gear dan bersiap sedia untuk peralihan gear seterusnya.

Anda mungkin perlu berlatih beberapa kali sebelum mendapat peralihan yang lancar, tetapi ia adalah agak mudah dan tidak seharusnya mengambil masa yang lama. Dan apabila anda mendapat teknik yang betul, akan terasa betapa manisnya!

Anda juga perlu mengambil kira bahawa motosikal yang berbeza akan memerlukan pelbagai tahap peralihan dan tekanan tuil serta pergerakan pendikit, tetapi anda akan tahu bila anda melakukannya dengan betul kerana motosikal akan memasuki gear seterusnya tanpa menyentap atau mengalami penurunan kelajuan.

Selamat mencuba!